Adsense

Khamis, 14 Jun 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Johan hanya teman baik

Posted: 13 Jun 2012 08:15 AM PDT

CINTA menyempurnakan kehidupan manusia, itu diakuinya. Namun untuk mempunyai rasa itu buat masa sekarang, jujur dia belum bersedia.

Bukan serik atau tawar hati untuk kembali menjalani kehidupan berumah tangga selepas perkahwinan pertamanya kecundang. Sebaliknya pelakon serba-boleh berwajah eksotik, Nabila Huda Suhaimi, 28, mahu mendahulukan rasa cinta itu buat permaisuri hatinya, Keisha Laila, 2.

"Seluruh kehidupan sekarang, saya dedikasi buat Keisha. Dia adalah keutamaan saya dalam segala hal. Sejak bercerai, saya tak pernah merasa sunyi kerana saya ada Keisha yang menjadi pengubat hati kala duka mahupun saat lelah pulang bekerja.

"Dia adalah kekuatan saya selama ini. Kalau ditanya, cinta saya buat siapa, Keisha adalah insan selayaknya menerima kasih sayang yang abadi daripada saya.

Tidak menafikan penting kehadiran seorang lelaki dalam kehidupan seorang wanita, tetapi buat masa ini saya belum bersedia.

"Lagipun sejak zaman remaja lagi saya sudah berdikari dan menjadi rezeki sendiri tanpa bergantung pada sesiapa. Jadi, bukan masalah buat saya menjalankan tanggungjawab sebagai ibu dan bapa sekali gus.

"Kalau satu hari ditakdirkan bertemu jodoh pun, saya impikan lelaki yang boleh menyayangi Keisha dan bukan hanya inginkan saya seorang. Dia juga haruslah bertanggungjawab sebagai seorang lelaki dan ketua keluarga," katanya.

Ketegasan nadanya berbicara, jelas menyatakan bahawa hati Nabila mesra disapa Abil ini belum dimiliki sesiapa meskipun berlegar gosip sejak beberapa bulan yang lalu dirinya begitu dekat dengan pemenang anugerah Artis Lelaki Baru Popular, Johan As'ari.

Malah, Johan pernah menuruti wanita yang dilahirkan pada tanggal 2 Disember itu bercuti ke Jepun bersama keluarga, namun itu juga bukan bererti mereka bercinta.
Sebaliknya, undangan itu tidak lebih daripada jemputan teman baik terhadap teman baiknya.

"Dia adalah sahabat paling rapat dan kawan paling baik pernah saya jumpa. Kami memang berkawan baik, tetapi tidak bermakna kami bercinta.

"Kalau ditakdirkan kami bercinta suatu hari, itu saya anggap kerja Yang Maha Esa. Apa yang saya tahu, saya tidak mahu mencemari persahabatan kami dengan perasaan yang lebih daripada sebuah persahabatan.

"Bagi mereka yang mengenali diri saya, mereka akan tahu saya bukan jenis hipokrit. Saya tidak pernah merahsiakan dengan siapa saya bercinta kerana menyembunyikan hal sebenar akan memberi masalah di kemudian hari.

"Peminat tidak suka ditipu, begitu juga wartawan. Malah, saya sendiri juga tidak suka hidup dalam ketakutan gara-gara penafian yang dilakukan. Cinta perkara yang harus diraikan, jadi tidak salah jika orang tahu bahawa kita sedang bersama seseorang," katanya.

Nabila pernah bernikah dengan Zaidy Zailani pada 6 Disember 2008 dan dikurniakan cahaya mata sulung mereka pada 11 Mei 2010 iaitu Keisha Laila. Perkahwinan mereka hanya bertahan selama tiga tahun sebelum mengambil keputusan berpisah.

Memastikan Keisha memperoleh kasih sayang seadilnya daripada kedua-dua belah pihak, Nabila dan bekas suami sepakat untuk menjaga Keisha, selang seminggu.

Beralih topik kerjaya, filem lakonannya Jalan Kembali Bohsia 2 yang sedang hangat ditayangkan kini memperoleh kutipan cukup memberangsangkan iaitu RM3 juta dalam tempoh empat hari.

Diarahkan oleh pengarah muda jutawan terkenal, Syamsul Yusof, filem berkenaan turut dibintangi oleh Salina Saibi, Sofi Jikan, Zizan Raja Lawak, Harun Salim Bachik, Azad Jazmin dan Hetty Serlene.

Kembali menjayakan watak Tasha sebagaimana di dalam Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam, Abil berkata, dia dibebani perasaan bersalah untuk melakonkan watak itu yang tidak lagi sesuai dengan statusnya sebagai ibu.

"Semasa penggambaran filem ini dilakukan, saya baru saja habis pantang. Emosi dan fikiran yang sering tertinggal di rumah memikirkan anak membuatkan saya selalu rasa tidak tenteram di set penggambaran.

"Sekali-sekala, saya resah memikirkan impak watak Tasha kepada diri saya yang sudah bergelar ibu. Apatah lagi, dua tahun saya meninggalkan watak itu sebelum memasuki semula penggambaran Jalan Kembali Bohsia 2 dilakukan.

"Justeru, saya terpaksa buat semula 'homework' termasuk menonton filem Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam. Namun, mengenang kerjaya sebagai pelakon tidak boleh banyak beralasan dan kepuasan penonton itu yang utama, saya nekad memberi yang terbaik dan berharap penonton terbuka menerima bahawa apa yang dipersembahkan itu lakonan semata-mata," katanya.

Baru saja menamatkan sesi penggambaran drama Nikalaya yang dirakam di Thailand dan Kedah, Abil bersyukur kerjaya lakonannya semakin diiktiraf penonton yang dulu menebal pandangan negatif terhadapnya.

Tawaran diberikan produser serta pengarah juga semakin pelbagai, jika dulu dilambakkan watak liar, kini ramai sudi memberi peluang kepadanya melakukan transformasi watak baik untuknya.

"Saya anggap itu satu perkembangan positif sekurang-kurangnya orang tahu, tidak semestinya kebolehan saya hanya pada watak jahat saja tetapi juga watak baik.
Kepercayaan itu penting sebenarnya untuk membentuk lakonan yang versatil," katanya.




3 lokasi Cinta Masjid

Posted: 13 Jun 2012 07:57 AM PDT

PROGRAM Cinta Masjid anjuran TV AlHijrah kembali lagi dengan berkunjung ke Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam sebagai lokasi ketiga untuk diimarahkan. Pelbagai kegiatan kerohanian dan juga aktiviti kemasyarakatan akan berlangsung pada Sabtu dan Ahad ini seawal jam 8 pagi.

Sudah semestinya, program yang akan berlangsung selama dua hari ini bukan saja dapat mengeratkan silaturahim di antara TV AlHijrah dan kariah serta jawatankuasa masjid, ia juga dilihat mampu menjadi jambatan penghubung di antara aktiviti duniawi dan ukhrawi.

Dijangkakan lebih 20,000 jemaah akan hadir bagi menyaksikan sendiri aktiviti yang bakal berlangsung seperti siaran langsung rancangan Assalamualaikum dari tapak lokasi, di samping penyempurnaan papan tanda gergasi Cinta Masjid. Antara lain, Rakaman 60 Minit bersama Ustaz Don, siaran langsung Selangor Berselawat bersama kumpulan Al-Mawlid turut diadakan, sesi Qasidah bergendang oleh Ratib Hadad, rakaman Dikir Zikir, sesi ramah mesra bersama pengacara Soal Wanita dan juga Chef Kecil.

Turut memeriahkan pelbagai aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong memasak, pertandingan memakai hijab, demonstrasi memanah dan lain-lain.


Semua aktiviti yang dijadualkan selama dua hari ini bukan saja bertindak sebagai pengerat hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat setempat, ia juga mampu mengelakkan umat Islam daripada membabitkan diri dengan aktiviti yang kurang berfaedah dan bertentangan dengan ajaran agama Islam.


Cinta Masjid turut memberi peluang kepada penduduk setempat untuk beramah mesra bersama personaliti TV AlHijrah seperti Ustaz Don Daniyal, hos rancangan Assalamualaikum, Amin Idris dan pemenang program Solehah, Amie Sofia serta ramai lagi di samping mendapatkan informasi yang lebih tepat mengenai rancangan kegemaran mereka.

Kariah masjid dan penduduk setempat dijemput hadir bagi bersama-sama merasai kemeriahan program Cinta Masjid.