Adsense

Khamis, 14 Jun 2012

Gosip Artis Malaysia

Gosip Artis Malaysia


Remy Ishak Masuk Wad Kerana Jangkitan Paru-Paru

Posted: 14 Jun 2012 07:07 PM PDT

Remy Ishak. Foto ONG SOON HIN
PETALING JAYA:Gara-gara kurang rehat serta tidak cukup tidur, pelakon Remy Ishak, 30, menerima nasib malang apabila paru-parunya dijangkiti virus atau pneumonia sehingga terpaksa di tahan di Hospital Pakar Ampang Puteri, Ampang dekat sini.
Remy atau nama sebenarnya Mohammad Zalimei Ishak berkata, hal tersebut membuatkan dia terpaksa ditahan di hospital berkenaan sejak Isnin lalu dan perlu mendapatkan pemantauan daripada pihak doktor setiap masa.
"Saya perlu membuat pemeriksaan secara terperinci dan berehat secukupnya sebelum dibenarkan pulang.
"Mujur saya buat pemeriksaan doktor apabila berasa tidak sedap badan. Penyakit ini menyedarkan saya, sesibuk mana sekalipun, saya perlu meluangkan sedikit masa untuk berehat.
"Doktor kata, ini semua berpunca daripada tidak cukup tidur, kurang rehat dan terlalu bekerja keras sehingga membuatkan antibodi saya menjadi lemah," katanya yang dihubungi di sini, Khamis.
Pneumonia merupakan penyakit yang disebabkan jangkitan virus, kuman atau bakteria ke bahagian paru-paru dan seseorang akan mengalami simptom-simptom seperti batuk serta selesema sebelum ia merebak ke dalam sistem pernafasan dan seterusnya menyerang paru-paru.
Bagaimanapun tambah Remy, penyakit itu perlu dirawat secepat mungkin bagi mengelakkan menjadi lebih serius yang mungkin boleh meragut nyawa jika dibiarkan.
"Ini satu pengajaran buat saya dan ingin menasihatkan kepada semua supaya jagalah kesihatan sebaik mungkin. Terlalu kuat bekerja membuatkan kita lebih mudah untuk dapat penyakit.
"Saya tidak kesal dengan apa yang telah berlaku pada diri ini kerana ia sebenarnya memberi peringatan kepada saya supaya menjaga diri dengan baik," ujarnya.
Beritahu Remy lagi, dia juga sedikit ralat apabila gagal hadir ke pelancaran filem Aku,Kau dan Dia yang diadakan pada Rabu lalu serta beberapa promosi filem Jiwa Taiko sepanjang tempoh ditahan dalam wad.
Sementara itu, ditanya mengenai status Twitter Remy yang merajuk apabila tidak diberi perhatian oleh kekasihnya, Tiz Zaqyah,ketika dia terlantar sakit, pelakon itu enggan memberi komen tentang hal berkenaan.
"Tak ada apa yang perlu dinyatakan tentang hal itu, saya tak mahu komen," ujarnya.

- ---

Anzalna Tak Dipaksa Beri Kenyataan Jerat Diri

Posted: 14 Jun 2012 07:06 PM PDT

Wartawan hiburan akhbar Berita Minggu, Zubir Mohd Yunus didakwa menjadi punca perbalahan di antara Neelofa (kiri) dan Anzalna. 
PETALING JAYA: Wartawan hiburan akhbar Berita Minggu, Zubir Mohd Yunus menjelaskan kenyataan yang dikeluarkan pelakon baru Anzalna Nasir dalam sisipan B-Pop akhbar itu bertajuk Anzalna Bidas Neelofa pada Ahad lalu diterbitkan dengan persetujuan bersama dan bukan secara paksaan.
Zubir berkata dia mempunyai bukti dalam bentuk rakaman bahawa temu ramah bersama Anzalna berhubung krisis pelakon itu dengan aktres Neelofa tidak dilakukan secara paksaan oleh pihaknya seperti didakwa oleh aktres baru tersebut.
"Artikel tersebut diterbitkan dengan persetujuan bersama. Saya tidak memaksa Anzalna meluahkan perasaan berhubung krisisnya dengan Neelofa. Saya hanya memujuk dan dia sendiri bersetuju kenyataan itu akan diterbitkan.
"Bagi saya tidak timbul isu kerana saya mempunyai bukti dalam bentuk rakaman mengenai kenyataan Anzalna dalam temu ramah kami," katanya ketika dihubungi di sini, petang Khamis.
Zubir diminta mengulas kenyataan Anzalna kepada sebuah blog hiburan pada Rabu lalu bahawa dia terkejut apabila luahan yang disifatkan sebagai off record itu telah diterbitkan dalam akhbar berkenaan sehingga menimbulkan perbalahannya dengan Neelofa.
Susulan penyiaran artikel di akhbar tersebut, Neelofa melalui peguamnya telah mengeluarkan notis dengan menuntut Anzalna mengemukakan bukti dan penjelasan terhadap kenyataan berbaur fitnah yang dibuatnya.
Anzalna diberi tempoh selama tujuh hari bermula Rabu lalu untuk memberikan surat tuntutan balas sebelum tindakan selanjutnya diambil.
Zubir Mohd Yunus
Zubir berpendapat Anzalna enggan bertanggungjawab terhadap artikel itu tetapi beliau tidak berkecil hati atau marah kerana dia percaya tindakan aktres itu berpunca daripada fikiran dan emosi yang bercelaru kerana tekanan akibat insiden berkenaan.
Berikut adalah soalan-soalan yang diajukan kepada Zubir berhubung kes itu.
1) Anzalna mendakwa dia melarang anda menerbitkan luahan peribadinya tetapi anda tetap menyiarkan artikel itu pada Ahad lalu. Kenapa?
Tidak timbul isu... saya tetap menerbitkan artikel itu kerana ia mendapat persetujuan bersama.
Saya sudah mengingatkan dia luahan mengenai Neelofa boleh menyebabkan dia didakwa sebagai fitnah namun Anzalna bertegas kononnya dia mempunyai bukti terhadap kenyataan yang dikeluarkan.
Sebagai wartawan, saya hanya melaporkan apa yang diluahkan Anzalna. Mengenai dakwaan saya memaksa dia untuk mendapatkan kenyataan itu adalah tidak tepat kerana saya hanya memujuk dan dia bersetuju untuk meluahkan perkara itu.
2) Tidakkah dakwaan yang ditimbulkan Anzalna akan menjejaskan kredibiliti dan integriti anda sebagai wartawan?
Ini bukan kali pertama saya berdepan dengan dakwaan artis kononnya saya tidak melaporkan fakta secara beretika. Dalam apa juga kontroversi artis yang berlaku, artis memang mudah alpa dengan apa yang mereka luahkan kepada wartawan. Apabila kes menjadi kronik, mereka menyalahkan wartawan pula.
Artis seperti Anzalna masih baru dan mungkin disebabkan oleh tekanan dihadapinya dia terlepas cakap kepada blog tersebut dan menuduh saya memaksa dia mengeluarkan kenyataan sebegitu.
Ia adalah proses pembelajaran untuk artis baru seperti Anzalna agar lebih berhati-hati dalam kenyataan yang dikeluarkan. Hakikatnya, hubungan saya dan dia tiada masalah kerana kami baru saja berhubung menerusi telefon.
Dakwaan itu tidak menjejaskan reputasi dan tidak menjadi kudis pun. Saya menjunjung etika kewartawanan dan sama sekali tidak melanggarnya. Semua perbualan bersama dirakamkan sebagai bukti.
3) Adakah anda bimbang jika kepercayaan artis terhadap anda terhakis gara-gara kes ini?
Tiada apa yang perlu saya bimbangkan kerana saya melaporkan cerita mengikut fakta dan bukan ditokok-tambah. Selama ini segala sumber dan kandungan cerita yang disampaikan adalah sahih dan mempunyai bukti, bukan direka-reka untuk menjadikan ia sensasi.
Perbalahan di antara artis adalah perkara lumrah dalam dunia hiburan. Saya berharap isu ini dapat diselesaikan dengan segera. Semoga Anzalna dan Neelofa dapat berbincang dengan baik dan profesional di luar dan tidak perlu dibawa sampai ke mahkamah.
Pelik Dengan Hans Isaac
Hans Isaac
4) Apa komen anda mengenai 'kemunculan' aktor dan penerbit Hans Isaac dalam krisis itu sehingga bertindak untuk mengajak anda berdebat mengenai etika kewartawanan?
Saya berasa pelik dengan tindakan Hans yang mengajak saya berdebat susulan krisis antara Neelofa dan Anzalna.
Walhal, saya hanya wartawan yang melaporkan perkara, bukan orang berkepentingan atau ahli politik. Saya hairan kenapa dia harus campur tangan sedangkan dia tiada kena-mengena dalam kes itu.
Hans berkata sebagai penerbit dia mahu mempertahankan hak aktres yang bekerja di bawah produksinya padahal Neelofa sudah bekerja dengan banyak produksi lain sebelum ini.
Penerbit dan pengarah Aziz M. Osman untuk filem Azura 2012, KRU untuk King Kapchaidan beberapa lagi tetapi tidak pernah tampil membela Neelofa dalam kes-kes kontroversi sebelum ini jadi mengapa pula dia harus bertindak sehingga mahu mengajak saya berdebat pula?
Saya hormati pandangan Hans berkenaan isu ini dalam laman Twitter miliknya. Dia ada persepsi sendiri untuk menangani kes tersebut tetapi saya mahu jelaskan saya tidak layak untuk berdebat dengan artis berpengalaman sepertinya untuk kes seperti ini.

- ---

Perompak Ikat, Ugut Bunuh Andy (Estranged)

Posted: 14 Jun 2012 06:36 PM PDT

Andy(kiri) bersama ahli kumpulan Estranged.
PETALING JAYA: Pemain dram kumpulan Estranged iaitu Andy, 28, berhadapan dengan maut apabila diikat oleh empat orang perompak yang memecah masuk rumah didiaminya bersama keluarga di Kota Damansara dekat sini pada Ahad lalu.
Andy atau nama sebenarnya Azwin Andy Malik berkata, perompak-perompak yang menutup wajah dengan topeng itu telah mengugut untuk membunuh jika dia atau ahli keluarga lain cuba untuk melawan.
"Mereka muncul dengan membawa wayar, batang besi dan kayu. Malang sekali abang saya (Azlan Rudy) dipukul teruk sehingga meninggalkan kesan lebam pada badannya ketika cuba melawan.
"Saya beritahu mereka untuk ambil apa sahaja barang yang diinginkan dan jangan mencederakan kami sekeluarga," katanya.
Kejadian rompakan tersebut berlaku pada Ahad lalu, pukul 3.45 pagi sewaktu Andy baru sahaja pulang ke rumah. Menyedari pintu utama rumahnya tidak ditutup, dia terus ke tingkat atas.
"Pada mulanya, saya sangka nenek saya datang ke rumah dan berborak bersama ahli keluarga yang lain apabila mendengar bunyi orang sedang bercakap.
"Ketika mahu naik ke tangga, terdapat dua lelaki memakai baju hitam turun dan masa itu saya tidak dapat berbuat apa-apa.
"Habis semua barang-barang berharga diambil. Mereka juga bertanya sama ada kami menyimpan peti besi atau tidak? Mujurlah perompak tersebut memenuhi permintaan saya supaya memulangkan kad pengenalan dan kad kredit," ujarnya.
Antara barang-barang yang dirompak ialah sebuah komputer riba, iPad, sejumlah wang tunai, barangan kemas serta beberapa barang lain.
Sejurus selepas kejadian tersebut, mereka sekeluarga membuat laporan polis.
Estranged popular dengan lagu Aurora.

- ---

Pelakon Razak Ahmad bersalah khalwat, didenda RM2,900

Posted: 14 Jun 2012 02:03 AM PDT

PETALING JAYA: Mahkamah Rendah Syariah di sini, hari ini menjatuhkan hukuman denda RM2,900 atau setahun penjara sekiranya gagal membayar jumlah itu terhadap pelakon, Razak Ahmad selepas didapati bersalah berkhalwat dengan seorang ahli perniagaan berstatus isteri orang, enam tahun lalu.

Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Muhammad membuat keputusan selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah.
Pada 14 September 2006, Razak, 45, mengaku tidak bersalah atas tuduhan berada bersama Selamah Sahudin, 45, dalam keadaan yang menimbulkan syak di Nombor A-4-19, Blok A, Taman Serdang Perdana, Seri Kembangan di sini pada jam 2.15 pagi, 1 April 2006. - ---

Ibu Shila Amzah Teman Dating

Posted: 13 Jun 2012 09:38 PM PDT

Sharnaaz Ahmad.
SUBANG JAYA: Tindakan Fauziah Sarman atau Kak Zie iaitu ibu kepada penyanyi Shila Amzah yang sering menemani anaknya untuk bertemu dengan pelakon Sharnaaz Ahmad sedikit pun tidak menggagu hubungan pasangan tersebut.
Sharnaaz berkata, dia berasa selesa apabila setiap kali bertemu dengan Shila, ibu wanita berkenaan sering bersama yang secara tidak langsung dapat meningkatkan kepercayaan keluarga terhadap hubungan tersebut.
"Saya tidak pernah rasa terganggu ditemani oleh ibu Shila setiap kali kami ingin keluar malah menganggap kehadiran ibunya cukup menyenangkan.
"Tambahan pula elok juga ada orang yang lebih berusia menemani kami dan sedikit sebanyak ibunya boleh bagi nasihat jika ada benda-benda yang tak manis berlaku semasa kami keluar bersama.
"Macam pernah sekali, saya tanpa sedar telah memegang tangan Shila dan ibunya menegur perbuatan itu dan ia adalah sesuatu yang baik," ujarnya.
Tambah Sharnaaz, dia tidak faham mengapa ada segelintir pihak yang sentiasa memandang serong apabila Shila membawa ibunya ketika bertemu saya.
Dalam pada itu, Sharnaaz memberitahu setakat ini dia belum pernah meminta izin daripada ibu Shila untuk keluar berdua-duaan dengan kekasihnya itu dan juga tidak pernah terfikir mengenainya.
Ia disebabkan dia cukup selesa dengan situasi tersebut serta berasa selesa dengan kehadiran orang yang lebih dewasa dalam hubungan mereka.
Sementara itu, Sharnaaz berkata, dia memang memasang impian untuk memperisterikan Shila dan membina keluarga dengannya suatu hari nanti.
Bagaimanapun perkara itu mungkin akan terjadi dalam masa dua hingga tiga tahun selepas kedudukan kewangannya benar-benar stabil.
"Kahwin bukan perkara mudah dan sebagai lelaki yang akan bertanggungjawab terhadap seorang wanita, saya perlu memastikan semua perkara tersedia untuk kesenangan bersama nanti.
"Tetapi Shila adalah pilihan saya untuk hidup bersama dan membina keluarga dengannya nanti," ujarnya.

- ---

Neelofa Lebih Tegas Gara-Gara Anzalna

Posted: 13 Jun 2012 09:36 PM PDT

Neelofa
PETALING JAYA: Pelakon Neelofa, 23, menyifatkan tuduhan yang dinyatakan Anzalna Nasir dalam akhbar Berita Minggu Ahad lalu telah menjadikannya lebih tegas dan matang untuk bertindak terhadap individu yang menganiaya.
Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor berkata, sebelum ini dia sering memberi kenyataan balas dalam mana-mana tuduhan yang diterima, namun dia sedar bahawa membalas kenyataan boleh memakan diri.
"Sejak saya bergelar artis, macam-macam tuduhan yang perlu ditelan. Dan kerana ingin menegakkan kebenaran, saya sanggup menjelaskan satu persatu setiap isu yang timbul.
"Bagaimanapun, kenyataan Anzalna yang disiarkan baru-baru ini menyedarkan saya untuk bersifat lebih tegas, matang dan bijak.
"Saya tidak perlu menjadi orang yang kurang bijak dengan memberi kenyataan balas banyak kali apabila menerima tuduhan yang palsu, sebaliknya menggunakan cara yang lebih formal untuk menyelesaikan masalah," tegasnya.
Neelofa ditemui pada sidang akhbar khas yang diadakan di Hotel One World, di sini, petang Rabu.
Tambah pelakon filem Azura 2012 itu, dia juga mengakui sebelum ini dirinya terlalu lembut hati kerana enggan membesarkan sesebuah isu.
Anzalna
Pada sidang akhbar khas itu, Neelofa melalui peguamnya telah mengeluarkan notis dengan menuntut Anzalna mengemukakan bukti dan penjelasan terhadap kenyataan berbaur fitnah yang dibuatnya bertajuk "Anzalna Bidas Neelofa" menerusi akhbar Berita Minggu pada 10 Jun 2012.
Anzalna diberi tempoh selama tujuh hari untuk memberikan surat tuntutan balas daripada pihaknya sebelum tindak seterusnya diambil.
Neelofa telah melantik dua peguam iaitu Ahmad Hidayat Md Nor dan Mohd Irwan Mohd Mubarak daripada firma guaman Ahmad Hidayat Md Nor & Co untuk mengemukakan notis berkenaan yang telah dihantar pada Rabu.
Sementara itu, ditanya adakah Neelofa akan bekerjasama dengan Anzalna pada masa akan datang, dia tidak mempunyai masalah tentang hal itu.
"Sebagai seorang profesional, saya akan bekerjasama dengan sesiapa pun termasuklah dengan dia (Anzalna).
"Lagipun, notis tuntutan berkenaan adalah bagi membersihkan nama saya sebagai seorang selebriti dan duta kepada beberapa produk," katanya.
Sementara itu Anzalna seperti dilaporkan akhbar Utusan Malaysia pada Khamis berkata, dia tidak takut dengan sebarang tindakan yang bakal diambil terhadapnya dan bersedia untuk bersemuka dengan pelakon dan pengacara program Nona itu.
Sambil menggagap ia sebagai perkara kecil, Anzalna juga bersedia berbincang dengan Neelofa berhubung hal berkenaan selain mengesahkan mempunyai bukti mengenai fitnah yang pernah dibuat pengacara tersebut.

- ---

Gambit Asah Minda Di Meja Judi

Posted: 13 Jun 2012 09:34 PM PDT

Gambit
PETALING JAYA: Tindakan pelakon Gambit bermain daun terup di sebuah lokasi hiburan di Australia baru-baru ini adalah bertujuan untuk mengasah minda psikologi melalui permainan itu.
Gambit atau nama sebenarnya Gambit Saifullah Rosli, 27, berkata, permainan daun terup yang disertainya itu hanyalah secara kebetulan bagi memenuhi masa terluang sewaktu bercuti dan bukannya semata-mata atas tujuan berjudi.
"Saya menyertai permainan itu sebenarnya secara kebetulan sahaja dan menganggap ia satu permainan psikologi.
"Biarlah orang nak buat macam-macam tuduhan terhadap saya kerana saya bermain daun terup bukan kerana mahu mendapatkan duit, tetapi sekadar ingin menguji pengetahuan.
"Cakap pun tak guna, kerana orang akan tetap mengkritik. Asalkan saya dan Tuhan tahu niat sebenar, itu sudah cukup," katanya ketika dihubungi di sini, Rabu.
Gambit baru-baru ini telah menulis mesej melalui Twitter miliknya yang mengharapkan tuah dalam permainan daun terup yang disertainya pada 5 Jun lalu.
Gara-gara mesej tersebut, pengikut laman sosial milik Gambit turut menghantar kritikan selain menganggap pelakon itu tidak peka tentang halal dan haram menyertai permainan tersebut.
Bagaimanapun, pelakon Karipap-Karipap Cinta itu terkilan apabila kebanyakan masyarakat tempatan terlalu cepat membuat spekulasi dan menyebarkan maklumat dengan membuat tuduhan yang tidak benar selepas membaca entri berkenaan.
Wan Akashah Wan Abdul Hamid. Foto daripada blog hazirinbudiman
"Saya seorang yang sangat sayangkan Malaysia, bangsa dan agama, tetapi kenapa kebanyakan masyarakat kita mempunyai mentaliti iaitu terlalu cepat menilai keburukan seseorang individu itu?
"Diakui, salah saya juga meletakkan entri yang boleh menimbulkan persoalan kepada semua tetapi dengan menyebarkan maklumat dan membuat spekulasi sendiri, tidakkah ia berbau fitnah? Dan bukankah fitnah itu haram?
"Sebelum mengata tentang orang, cerminlah diri sendiri," tegasnya.
Sementara itu pendakwah dan pengacara program Semanis Kurma, Wan Akashah Wan Abdul Hamid berkata, pemahaman seseorang yang ingin menimba pengetahuan daripada permainan daun terup adalah salah mengikut syariat Islam.
Menurutnya, seseorang itu tidak sepatutnya menyertai permainan daun terup atau apa-apa juga aktiviti seumpamanya kerana ia boleh mempengaruhi mereka untuk berjudi.
"Saya tidak setuju dengan pendapat individu yang terlibat dengan judi semata-mata atas alasan untuk memahami permainan itu.
"Daripada segi hukum, ia sudah pun dikira haram kerana di dalam Al-Quran ada menyebut Allah melarang umat Islam menghampiri perkara-perkara yang haram.
"Contohnya, Allah berfirman jangan sesekali menghampiri zina iaitu seperti pergaulan bebas atau majlis tari menari. Sama juga dengan isu perjudian.
"Banyak lagi cara lain untuk mendapatkan pengetahuan. Matlamat baik tapi caranya itu sebenarnya salah," tegasnya.

- ---