Adsense

Isnin, 28 Mei 2012

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Diganggu peminat fanatik

Posted:

Diganggu peminat fanatik

Diganggu peminat fanatik

POPULAR dan terkenal, menjadikan aktres dan penyanyi muda, Liyana Jasmay, 24, sering menjadi buruan penerbit filem dan drama untuk membintangi filem mereka.

Bagaimanapun baru-baru ini, Liyana yang baru sahaja melangsungkan pertunangannya dengan seorang ahli perniagaan, Fathuddin Mazlan, 28, pada 29 Mac lalu dikejutkan dengan gangguan daripada peminat fanatiknya.

Menurut Liyana yang mesra disapa dengan nama Nana, gangguan lelaki berusia sekitar 20-an yang merupakan peminat fanatiknya itu telah menakutkannya. Hal itu telah membuat bapanya menghubungi polis dan lelaki itu telah ditangkap di hadapan rumahnya pada pukul 11.40 malam Khamis lalu.

"Saya tidak tahu siapa lelaki itu. Mulanya saya anggap dia merupakan peminat fanatik yang biasa, tetapi apabila dia kerap berlegar-legar di luar rumah saya, bagi saya perkara ini sesuatu yang serius," ujarnya.

Terang Nana lagi, gangguan daripada peminat itu bermula pada November tahun lalu. Dia tidak hanya menunggu di hadapan rumahnya di Hulu Klang, lelaki itu sebaliknya turut memberi bermacam-macam hadiah kepadanya termasuk tuala wanita.

"Lelaki ini memang psiko sebab dia pergi ke restoran milik keluarga saya dan menyamar sebagai sepupu saya. Entah macam mana, dia boleh mendapat alamat rumah dan sejak itu dia mula berlegar-legar depan rumah saya.


LIYANA JASMAY bersama Fathuddin pada majlis pertunangan mereka Mac lalu.


"Dia juga memberi pelbagai hadiah, tetapi semuanya dibuang oleh ibu kerana kita tidak tahu apa isi di dalamnya. Kalau peminat fanatik yang biasa, saya kenal mereka, tetapi lelaki ini sangat menakutkan.

"Ada waktunya kalau ibu saya melihat lelaki itu berada di hadapan rumah, ibu akan menghubungi saya dan meminta saya supaya tidak pulang ke rumah," jelasnya.

Bimbang dengan keselamatan anak bongsunya selepas melihat lelaki itu berlegar-legar di hadapan rumahnya dalam keadaan mencurigakan, bapanya telah menghubungi polis dan pihak berkuasa menangkap lelaki itu. Namun, lelaki itu hanya diberikan amaran.

"Saya tidak boleh mendakwanya kerana orang seperti itu mungkin ada masalah mental, jadi tangkapan dibuat untuk memberi amaran sahaja.

"Selepas ini, jika dia melakukan hal yang sama, dia akan ditangkap dan boleh didakwa," tuturnya.

Pengalaman diganggu peminat fanatik ini amat mengajarnya supaya lebih berhati-hati dalam setiap tindakan agar perkara yang sama tidak akan berulang kembali.

"Memang pengalaman ini cukup mengajar saya supaya tidak terlalu mendedahkan perkara peribadi kepada umum. Selepas ini saya akan lebih berhati-hati dalam setiap perkara termasuk tidak memberitahu ke mana saya pergi kepada peminat dalam laman sosial Twitter.

"Perkara yang penting sahaja saya akan kongsi bersama peminat. Segala aktiviti peribadi yang tidak melibatkan kerja, saya akan simpan sendiri," luahnya lagi.

New York

Bintang filem Papadom itu memberitahu dia akan terbang ke New York, Amerika Syarikat pada 2 Julai ini untuk mengikuti kursus jangka pendek di Akademi Filem New York dalam bidang lakonan dan pengarahan.

Nana, hanya akan pulang ke Malaysia pada bulan Disember, sebelum melangsungkan pernikahannya dengan Fathuddin pada 24 Januari 2013 di Masjid Wilayah, Jalan Duta, Kuala Lumpur.

"Bapa memberi syarat, saya harus pergi belajar terlebih dulu sebelum berkahwin. Tambahan, rancangan untuk ke New York telah lama dibuat. Memang berat hati untuk tinggalkan keluarga dan orang tersayang, tetapi saya harus belajar untuk masa depan," jawabnya.

Meskipun terpisah buat sementara waktu, kata Nana, tunang dan keluarganya akan melawatnya jika mereka mempunyai masa yang terluang.

"Perhubungan jarak jauh bukan satu masalah buat saya. Ya, sedih sedikit, tetapi sekarang pun kami jarang berjumpa walaupun kami tinggal berjiran.

"Saya sibuk dengan kerjaya dan Fathuddin pula bekerja di Sabah. Kami hanya berjumpa dua minggu sekali atau sebulan sekali sahaja," ujar Nana tentang hubungan cintanya.

Sebelum berangkat ke New York, pelbagai kerja harus dilangsaikan oleh si manis ini. Selain persiapan perkahwinan, Nana juga sibuk di set penggambaran filem Tokan dan drama terbitan syarikatnya, berjudul Fiksi Fixie yang ditayangkan di Astro Prima pada hari raya nanti.

Kematangan Liyana


LIYANA akan mengikuti kursus jangka pendek dalam bidang lakonan dan perfileman di Akademi Filem New York, Amerika Syarikat pada bulan Julai ini.


Mungkin di luar, ramai khalayak masih melihatnya seperti remaja lain, tetapi jelas Nana, hakikatnya sejak bertunang, dirinya banyak berubah dan lebih matang.

"Orang mungkin lihat saya macam budak-budak, tetapi orang tidak tahu apabila saya bersama Fathuddin, saya menjadi lain. Saya lebih matang dan sudah bersedia untuk ke alam rumah tangga

"Bagi saya Fathuddin seorang lelaki yang cukup menyenangkan. Bila kami berjumpa, semua masalah saya hilang dan kami memang serasi bersama," tuturnya dalam senyuman.

Disoal sudah bersediakah untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri seperti memasak dan melakukan kerja rumah, Nana pantas menjawab.

Jawabnya sambil tertawa: "Saya memang suka memasak. Kalau tidak percaya tanyalah ibu saya. Memang daripada kecil saya suka tolong ibu di dapur.

"Rasanya soal makan tidak ada masalah kerana Fathuddin suka masakan Barat, begitu juga dengan saya. Masakan yang paling saya suka masak ialah pasta."

Apabila bergelar isteri nanti, beritahu Nana, dia masih akan sibuk dengan dunia lakonan kerana bakal suaminya itu tidak pernah menghalangnya untuk terus aktif bekerja.

"Selepas berkahwin saya tetap akan berlakon, cuma watak perlu disesuaikan dengan status dan usia. Bakal suami saya tidak pernah menghalang kerana sejak mula kami berkawan dia tahu yang saya seorang pelakon dan saya sangat suka dengan apa yang saya lakukan.

"Mungkin selain berlakon, saya akan semakin sibuk di belakang tabir seperti menghasilkan skrip atau mengarah drama dan filem. Itu merupakan cita-cita terbesar saya," luahnya.

Pertaruhan Hoore! Hoore!

Posted:

Pertaruhan Hoore! Hoore!

Pertaruhan Hoore! Hoore!

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN


BARISAN karyawan filem muzikal Hoore! Hoore! berharap agar filem tersebut mendapat sambutan yang hangat kerana ia umpama satu tribute buat Allahyarham Sudirman Haji Arshad.


Bagi penggemar lagu-lagu Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad, sudah tentu filem muzikal berjudul Hoore! Hoore! merupakan sebuah filem yang sesuai untuk ditonton.

Pengarahnya, Saw Teong Hin menjelaskan filem terbitan Astro Shaw Sdn. Bhd. & Real Films Sdn. Bhd. itu sememangnya berbeza dengan kebanyakan filem yang sedang ditayangkan di pawagam sekarang.

"Sebagai seorang peminat setia kepada Sudirman, sudah tentu saya rasa sangat berbesar hati kerana diberi tanggungjawab oleh pihak penerbit untuk mengarahkan filem Hoore! Hoore!.

"Dalam filem ini terdapat 12 buah lagu nyanyian beliau yang dinyanyikan semula oleh para pelakon dan saya percaya ia mampu mengembalikan semula nostalgia terhadap bekas penghibur nombor satu Asia itu," ujarnya pada majlis tayangan perdana yang berlangsung di TGV KLCC baru-baru ini.

Antara lagu-lagu popular Sudirman yang mewarnai jalan cerita filem tersebut termasuklah Bercanda Di Pasiran Pantai, Basikal Tua, Hoore Hoore, Salam Terakhir, Kasih dan Milik Siapakah Gadis Ini.

Lebih menarik lagi, Teong Hin yang juga seorang pengarah berpengalaman ternyata mengambil langkah yang cukup berani apabila cuba untuk mengetengahkan beberapa orang pelakon baharu.

Antara yang menjayakan filem tersebut seperti Akim AF dan Nurfarah Nazirah selaku teraju utama serta baru kali pertama beraksi di layar perak. Tidak ketinggalan kehadiran pelakon berpengalaman seperti Adibah Nor, Harun Salim Bachik, Sahronizam dan Kilafairy.

Ditanya mengenai pemilihan para pelakon, Teong Hin memberitahu ia telah dilakukan sendiri olehnya, namun pemilihan untuk peringkat akhir dibuat menerusi perbincangan bersama pihak penerbit.

"Kalau boleh saya tidak mahu penonton melihat penampilan pelakon semata-mata, sebaliknya mendalami jalan cerita dan mesej yang disampaikan. Lagipun kini sudah tiba masanya bakat-bakat baharu diperkenalkan dalam industri perfileman," ujarnya pernah mengarahkan filem Puteri Gunung Ledang pada tahun 2004.

Ujarnya lagi, biarpun teraju utama Hoore! Hoore! dibawakan oleh dua orang pelakon baharu, tetapi dia berpuas hati dengan lakonan kedua-duanya serta komitmen yang diberikan oleh kesemua pelakon yang terbabit dalam filem tersebut.

Sudah mula ditayangkan sejak Khamis lalu, Hoore! Hoore! mengisahkan tentang gadis bernama Nurul Aiman (NurFarah) yang mempunyai tubuh yang agak gempal dan tidak terlalu cantik, tetapi merupakan seorang insan yang baik hati.

Selain mempunyai dua orang rakan baik di sekolah, Nurul Aiman juga mempunyai seorang rakan yang cukup tampan bernama Johari (Akim AF). Bagaimanapun, dalam diam Johari sebenarnya menaruh hati kepada Nurul Aiman.

Mengenai pemilihan lagu-lagu Sudirman yang dimuatkan dalam filem tersebut, pengarah tersebut mengakui tidak melalui proses yang sukar untuk memilih lagu yang sesuai.

"Boleh dikatakan kebanyakan lagu-lagu yang dinyanyikan oleh Sudirman memang disukai ramai. Namun, saya telah memilih lagu-lagu yang boleh dikaitkan dengan jalan cerita filem ini," jelasnya lagi.

Terkejut

Kali pertama tampil di layar perak, Akim AF tidak dapat menyembunyikan perasaan gembiranya apabila mendapat kepercayaan Teong Hin untuk berlakon dalam filem Hoore! Hoore!.

"Berlakon di bawah arahan seorang pengarah yang hebat seperti Teong Hin pastinya menjadi impian setiap pelakon. Jadi, sudah tentu peluang yang saya terima tidak boleh dilepaskan," ujarnya penuh teruja.

Sementara itu, Nurul Farah yang mengakui memiliki sifat pemalu yang sangat tebal menyatakan berpeluang berlakon dalam filem dan memegang watak utama merupakan satu pengalaman yang cukup bermakna.

"Mungkin Hoore! Hoore! merupakan filem pertama dan terakhir saya, namun semuanya bergantung kepada keadaan. Buat masa ini saya lebih gemar memberi tumpuan kepada pelajaran," ujar penuntut Universiti Selangor (Unisel) dalam jurusan Diploma Seni Reka Grafik itu.

Pixie Lott suka Big Bang

Posted:

Pixie Lott suka Big Bang

Pixie Lott suka Big Bang

Oleh HARYATI KARIM


PIXIE LOTT kini sedang giat mempromosi album terkininya, Young Foolish Happy.


TIADA riak kepenatan terpancar pada wajah penyanyi yang berasal dari London, England, Pixie Lott ketika ditemui pada sesi temu bual bersama Kosmo! di Hotel Double Tree, Kuala Lumpur, petang Sabtu lalu.

Realitinya, sebelum itu, sudah berpuluh media menemubual dia sejak pukul 11 pagi. Gadis berambut perang itu hanya memberi senyuman meleret.

Ini merupakan kunjungan kali kedua dia ke Malaysia, dan akui Pixie atau nama sebenarnya Victoria Louise Lott, dia amat menyukai Malaysia terutamanya kerana cuaca panas.

"Saya sukakan Malaysia, terutamanya cuaca yang panas kerana saya memang sukakan matahari. Walaupun begitu, saya harus minum banyak air untuk kekal segar dan cantik dalam keadaan cuaca seperti ini," katanya yang sempat memberi tip kecantikan.

Sungguhpun sudah dua kali berada di Malaysia, Pixie memberitahu, dia tidak sempat untuk menjelajah keindahan Malaysia secara keseluruhan kerana agendanya di sini adalah untuk bekerja.

"Malaysia sebuah negara yang indah, tetapi saya tidak sempat untuk menikmati sepenuhnya keindahan itu kerana setiap kali saya datang ke sini, ia atas urusan kerja.

"Sama seperti pada kali ini, kedatangan saya ke sini kerana kembara promosi album kedua yang berjudul Young Foolish Happy yang dikeluarkan pada tahun lalu.

"Jangka masa yang pendek dan terkejar-kejar dari satu lokasi ke lokasi yang lain menyebabkan masa saya sangat terbatas. Apa pun saya sempat merasai makanan Malaysia yang sangat enak," tutur gadis berusia 21 tahun itu lagi.

Bercakap mengenai perubahan kehidupannya, Pixie yang mula dikenali pada tahun 2009 menerusi single Mama Do dan Boys and Girls daripada album pertamanya, Turn it Up, menjelaskan kehidupannya kini terlalu sibuk.

"Berbanding dahulu, kehidupan saya kini memang sangat sibuk. Saya sibuk menjelajah dari satu negara ke negara yang lain, tetapi saya tetap Pixie yang sama.

"Walaupun sudah dikenali dan terikat dengan jadual kerja yang padat, saya masih melepak di tempat yang sama dengan rakan-rakan lama saya. Bukan itu sahaja, saya juga tidak pernah berubah menjadi orang yang berbeza, cuma kerjaya yang semakin berkembang," ceritanya jujur.

Penyanyi yang mula menyanyi pada usia 12 tahun itu juga berbakat dalam bidang lakonan. Buktinya, Pixie pernah terlibat dalam pementasan teater West End berjudul Chitty Chitty Bang Bang dan juga berlakon dalam dua buah filem iaitu Fred: The Movie dan Sadie J.

"Berlakon memang sesuatu yang cukup seronok, tetapi buat masa ini saya ingin memberi fokus kepada bidang nyanyian terlebih dulu.

"Ini kerana jika terlibat dalam filem, saya perlu menghafal skrip, watak dan penggambaran yang juga mengambil masa yang panjang. Saya tidak mahu melakukan sesuatu perkara dengan separuh hati sahaja.

"Andai pada masa depan saya menerima skrip yang cukup menarik dan juga watak yang saya suka, saya tidak akan menolak untuk terlibat dalam dunia lakonan semula," tambah Pixie.

Pixie yang kini sibuk mengumpul material untuk album terbaharunya mengatakan dia amat menyukai kumpulan Big Bang yang berasal dari Korea Selatan.

G-Dragon dan Top daripada kumpulan Big Bang pernah bekerjasama Pixie dengan lagu yang berjudul Dancing Own My Own. Kata Pixie, dia amat berharap dapat bekerjasama lagi dengan mereka pada masa depan.

"Big Bang merupakan kumpulan K-Pop yang paling saya suka kerana mereka sangat segar dan berbakat. Pertama kali mendengar lagu mereka ketika berada di Jepun, saya terus terpikat. Kemudian apabila dapat bertemu dengan mereka, ternyata mereka semua sangat baik," luahnya lagi.

Selain sesi promosi album keduanya, Pixie juga memberi persembahan cukup bertenaga pada showcase Young Foolish Happy yang berlangsung di KL Live, Kuala Lumpur pada malam Sabtu lalu.

Menyanyikan barisan lagu popularnya, peminatnya ternyata sudah lama menunggu kehadirannya di Malaysia apabila mereka sama-sama menyanyikan untaian lagu miliknya tanpa dipinta.