Adsense

Isnin, 28 Mei 2012

Gosip Artis Malaysia

Gosip Artis Malaysia


Dafi Teringin Kekasih Indonesia - Gigit Jari Awek di Malaysia

Posted: 27 May 2012 09:16 PM PDT

Dafi
KUALA LUMPUR: Penyanyi Dafi mengakui dia teringin memiliki seorang kekasih warga Indonesia sejak menetap di Indonesia pada Januari lalu.
Dafi atau nama sebenarnya Gadaffi Ismail Sabri berkata, keinginannya itu mula timbul sejak melihat ramai gadis-gadis di negara tersebut mempunyai raut wajah yang cantik.
"Jujur saya katakan, kecantikan wajah mereka membuatkan saya teringin mempunyai seorang kekasih di sana.
"Bagaimanapun, kenyataan ini bukan mahu mengatakan yang orang Malaysia tidak cantik, harap peminat-peminat tidak salah faham atau berkecil hati ya," katanya.
Tambah Dafi lagi, selain itu dia juga ingin merasakan pengertian hubungan cinta jarak jauh apabila dia pula ke tanah air nanti.
Enggan terlalu memikirkan soal pilihan cinta, Dafi meneruskan target utamanya yang ingin mengembangkan kerjaya di negara seberang itu.
Ujar pelantun lagu Bila Terasa Rindu itu, sejak mengikat kontrak selama setahun menjadi artis eksklusif stesen televisyen Trans Corp dan terus menjadi hos rancangan Selebritas Siang, dia gembira kerana peminat-peminatnya di negara itu mudah menerimanya.
"Saya tidak sangka bahawa kerjaya di Indonesia memberi respons yang bagus. Mungkin juga sebelum ini saya pernah berduet dengan Gita Gutawa menerusi lagu Sempurna, saya beranggapan mereka mula mengenali saya dari lagu tersebut.
"Malah ia satu pengalaman baru buat saya bagi mengacarakan program berbahasa Indonesia. Agak sukar, namun Alhamdulillah saya mampu mengatasinya dengan pantuan pihak produksi dan pengacara gandingan saya iaitu Mesty dan Lala," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Dafi sedang mengumpulkan bahan lagu yang akan dimuatkan dalam albumnya di Indonesia selain masih lagi meneliti beberapa tawaran berlakon yang bersesuaian dengannya.

- ---

Ibu Tidak Benarkan Fizo Ambil Anak Angkat

Posted: 27 May 2012 09:14 PM PDT

Fizo Omar
KUALA LUMPUR: Pelakon Fizo Omar, 27, pernah berhasrat untuk mengambil anak angkat, namun tidak dibenarkan oleh ibunya atas sebab-sebab tertentu.
Fizo atau nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar berkata, ibunya enggan dia mengambil anak angkat kerana risau sekiranya dia gagal menjadi seorang bapa yang bertanggungjawab selepas berumah tangga nanti.
"Saya pernah terfikir untuk mengambil anak angkat, tetapi ibu pula tidak benarkan.
"Dia risau sekiranya saya tidak mampu menunaikan tanggungjawab sebagai bapa angkat apabila memiliki keluarga sendiri kelak. Maklumlah, nak jaga anak angkat bukannya mudah," katanya.
Tambah Fizo yang bakal muncul dengan filem Halimunan tidak lama lagi, dia seorang yang sukakan kanak-kanak sehingga sanggup buat apa sahaja, terutamanya buat anak-anak buahnya.
Malah Fizo juga sanggup berulang alik ke Pahang semata-mata ingin menziarahi anak-anak buahnya dan bermalam bersama.
"Saya seorang yang sangat manjakan kanak-kanak, kerana bagi saya mereka adalah tempat yang paling sesuai untuk menghilangkan tekanan.
"Jadi, anak-anak kakak sayalah yang menjadi tempat untuk saya bermanja dengan mereka. Macam-macam kami lakukan apabila bersama seperti bermain, mandi dan tidur bersama, rasa seronok," ujarnya.
Bagaimanapun, jauh di sudut hati pelakon ini ialah dia bimbang mengenai keselamatan anak-anak buahnya memandangkan masalah penculikan semakin menjadi-jeadi sejak kebelakangan ini.
"Apabila mendengar berita tentang penculikan kanak-kanak, membuatkan saya agak gerun dan risau dengan keselamatan anak-anak buah saya.
"Apalagi dengan kanak-kanak yang bergelandangan di luar sana. mengenangkan hal itu, membuatkan fikiran saya tidak tenteram.
"Perasaan marah dan pelbagai persoalan mula timbul, apakah motif mereka berbuat demikian, belum lagi yang merogol dan membunuh," katanya.

- ---

Linda Rafar Cemas Terperangkap Dalam Lif

Posted: 27 May 2012 09:12 PM PDT

Linda Rafar
PETALING JAYA: Penyanyi Linda Rafar yang ingin membeli belah di Plaza Alam Sentral, Shah Alam, pada tengah hari Ahad, cemas apabila terperangkap selama 10 minit di dalam sebuah lif.
Linda berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, dia dan anak ketiganya, Syed Rezzaqiib, 4, ingin turun ke aras bawah, selepas menghantar dua anak lelakinya yang lain iaitu Rezzaril, 12, dan Rezzaiman, 10, bermain boling.
"Selepas menghantar anak saya bermain boling di aras atas, saya turun ke aras bawah bagi membeli barang-barang dapur.
"Pada kejadian itu, bukan saya dan Rezzaqiib sahaja berada dalam lif, terdapat beberapa orang termasuklah seorang pekerja plaza itu. Agak mencemaskan, kerana masing-masing sukar untuk bernafas," katanya yang dihubungi di sini, Ahad.
Tambah Linda, lebih menakutkan lagi apabila lampu lif tersebut terpadam dan ia membuatkan dia berasa lebih panik, tambahan pula anaknya semakin lemah kerana kesukaran bernafas.
"Sebenarnya, yang membuatkan saya lebih cemas apabila salah seorang daripada kami yang terperangkap memberitahu lif itu sering bermasalah sehingga ada kejadian ia dapat dibuka dalam masa satu hari. Gemuruh darah saya dibuatnya.
"Syukurlah, lif berkenaan dapat dibaiki oleh petugas penyenggaraan yang dimaklumkan mengenai kejadian itu," ujar Linda.
Bagaimanapun, kejadian tersebut membuatkan Linda trauma untuk menggunakan kemudahan itu lagi malah dia sanggup naik turun tangga atau eskalator pada masa akan datang.
"Baru saya faham bagaimana rasanya apabila terperangkap dalam lif. Bila kawan-kawan saya melalui pengalaman begitu sehingga rasa trauma untuk masuk lif, saya sering menganggap ia satu benda yang remeh.
"Namun, apabila saya merasainya sendiri, barulah saya faham, ia mampu membuatkan kita cemas dan tak tentu arah.
"Mujurlah ada beberapa orang lagi yang terperangkap, sekurang-kurangnya kita dapat berfikir cara untuk menyelamatkan diri," tuturnya.
Linda bagaimanapun tidak berhasrat mengambil sebarang tindakan terhadap pihak pengurusan pusat membeli belah itu namun, berharap orang ramai berwaspada apabila memasuki lif.

- ---