Adsense

Isnin, 28 Mei 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Bukan ditaja

Posted: 27 May 2012 03:19 PM PDT

Hip

Fazura buka butik guna wang simpanan peribadi

PERNAH terdetik dalam hatinya untuk melupakan saja impian bergelar ahli perniagaan meskipun itu adalah cita-cita yang bersarang dalam hatinya sejak dulu lagi.

Semakin hampir hari butiknya itu bakal dibuka kepada khalayak, pelakon jelita, Nur Fazura Sharifuddin atau lebih akrab disapa Fazura mengakui pendiriannya goyah seketika dek cabaran yang mendatang.

Namun, semangat yang kuat serta keazaman yang kebal dalam hati dan juga dorongan orang yang dekat dengan dirinya akhirnya tersergam juga butik House Of Doll (HOD) yang menjadi lambang kejayaannya pada hari ini. "Proses untuk membuka perniagaan ini sebenarnya berjalan dengan lancar dan memang tiada masalah. Namun, lagi beberapa hari ia bakal beroperasi, banyak pula cabaran yang mendatang terutama membabitkan perbelanjaan yang dikeluarkan.

Disebabkan perkara itu (kos) hampir saja saya mahu melupakan hasrat untuk membuka butik itu.

"Tapi disebabkan inilah adalah cita-cita saya sejak dulu lagi dan jaminan saya untuk kehidupan pada masa depan, segala cabaran dan dugaan, saya tempuhi dengan penuh sabar.

"Perniagaan ini adalah keutamaan saya ketika ini dan lakonan jatuh nombor dua. Disebabkan itulah saya berusaha untuk merealisasikan impian ini," ujar Fazura pada sidang media pembukaan butiknya di Bangsar, Kuala Lumpur, semalam.
Bukan kecil modal yang dikeluarkan aktres yang mula dikenali menerusi filem Bicara Hati ini.

Meskipun merahsiakan jumlah sebenar, khabarnya modal yang dikeluarkan adalah berjumlah ratusan ribu ringgit.

Tegas Fazura, semua wang yang dikeluarkan untuk membuka perniagaan itu adalah hasil keringatnya sepanjang bergelar anak seni dan bukannya ditaja sesiapa.

"Bagi mereka yang suka menyangka bukan-bukan, mereka harus sedar bahawa saya juga ada pendapatan sendiri. Saya dibayar untuk berlakon. Itu tidak termasuk pendapatan yang diperoleh dari hasil saya menjadi duta produk. Tak perlulah untuk saya beritahu berapa wang yang saya ada dalam bank.

"Beratus ribu juga saya habis untuk membuka perniagaan ini.

Semuanya adalah duit simpanan saya sepanjang menjadi anak seni dan saya tidak membuat pinjaman bank langsung. Tak percaya sila tanya 'banker' saya yang ada di sini," katanya sambil tertawa. Dua tahun lamanya Fazura merancang untuk pembukaan butik ini.

Bukan sekadar menggunakan nama dan popularitinya semata-mata, jelas Fazura semua perkara membabitkan butiknya itu adalah idea dan juga cita rasanya dengan dibantu pereka fesyen, Rizman Ruzaini.

"Dari sekecil-kecil cincin hinggalah pakaian berkonsepkan adi busana, semuanya adalah lahir dari cita rasa dan rekaan saya sendiri bersama Rizman. Harganya juga tidak terlalu mahal dan mampu dibeli oleh peminat," jelasnya yang kelihatan cukup anggun mengenakan dress paras paha rona fuchsia yang juga berjenama HOD.

Ditanya apakah dia akan sentiasa berada di butik itu untuk melayan peminat yang ingin membeli pakaiannya, Fazura berkata perkara itu tertakluk pada jadualnya.

"Jika saya tidak terbabit dalam sebarang penggambaran, saya akan berada di butik. Jika tidak, kakitangan saya akan membantu mereka," jelasnya.