Kosmo Online - Hiburan |
Konsert Kosmo! di Sarawak meriah Posted: Konsert Kosmo! di Sarawak meriahKONSERT Fiesta Bumi Kenyalang Kosmo! pada Ahad lalu di Tower Square, Tebingan Kuching, Sarawak berlangsung dengan cukup meriah. Faktor cuaca menyebabkan konsert yang sepatutnya berlangsung pada pukul 8 malam telah ditunda ke pukul 9 malam. Satu pujian buat peminat yang menyaksikan konsert Kosmo! kerana mereka tidak berganjak meskipun dalam keadaan hujan lebat yang turun sejak pukul 4 petang sehingga 7 malam. Mereka tetap setia demi menyaksikan barisan penyanyi seperti Amy Search, Misha Omar, Akim, Nera, Bob, Iwan Dasri, Noorhafiza dan Mal Imran. Bob yang mendendangkan tiga buah lagu pada konsert tersebut melahirkan rasa teruja terhadap pelancaran akhbar Kosmo! di bumi kelahirannya. Menyifatkan kehadiran akhbar kompak tersebut sebagai pelengkap berita-berita terkini, penyanyi itu berharap agar Kosmo! terus memberi informasi tepat dan terkini. Bercakap tentang konsert yang berlangsung pada malam Ahad lalu, Bob memberitahu: "Saya sangat teruja kerana dapat turut serta menjayakan konsert ini. Pertama adalah kerana saya menjadi salah seorang artis yang dapat mengumumkan tentang kehadiran Kosmo! di Sarawak. "Kedua, saya sudah lama tidak dapat membuat persembahan secara terbuka dan bertemu peminat seperti ini. Selalunya, saya hanya dijemput untuk menghiburkan tetamu dalam majlis-majlis korporat, jadi bila dapat bertemu peminat sebegini, saya rasa amat gembira," kata penyanyi yang bakal muncul dengan single terbaharu dalam masa terdekat ini. SUASANA meriah dan penuh keterujaan mewarnai Konsert Fiesta Bumi Kenyalang Kosmo! yang julung kali berlangsung di Kuching, Sarawak pada 13 Mei lalu. Sementara itu, penyanyi Misha Omar yang menyampaikan dua buah lagu popularnya iaitu Bunga Bunga Cinta dan Pulangkan turut mengucapkan tahniah atas perkembangan Kosmo! yang kini cuba menakluk pasaran negeri Sarawak. "Saya ingin mengucapkan syabas kepada Kosmo! kerana telah berkembang dengan agak pantas dalam tempoh yang agak singkat iaitu lapan tahun menjelang Ogos ini," ujar penyanyi itu yang kini aktif sebagai pelakon drama. Mengulas tentang konsert yang berlangsung, Misha memberitahu dia teruja apabila bertemu dengan peminat di Sarawak kerana sambutan dan penghargaan yang ditonjolkan cukup berbeza dengan reaksi yang diterima jika dia bertemu peminat di Kuala Lumpur. Ujarnya: "Saya teruja dengan sambutan yang diberikan peminat di sini. Mereka masih lagi mempunyai keghairahan bertemu artis dan tidak malu menunjukkan penghargaan serta minat mereka kepada kita. Jika kita bertemu peminat di ibu kota, kebanyakannya tidak menunjukkan rasa teruja, mungkin kerana sudah sering bertemu artis." Penyanyi Nera yang terbang dari Kota Kinabalu, Sabah ke Kuching Sarawak pada hari berlangsungnya konsert Kosmo! memberitahu, dia cukup teruja dapat menghiburkan peminat di Kuching. "Bagi saya ini satu penghargaan apabila pihak Kosmo! menjemput saya untuk sama-sama menyertai konsert yang cukup bersejarah buat akhbar Kosmo!," ujarnya. PENONTON turut dikejutkan dengan aksi semburan api fire-eater dan kelincahan para penari Kampung Budaya Sarawak. Nera yang popular dengan lagu Hatimu Milikku terpaksa terbang seawal pukul 6.30 pagi ke Kota Kinabalu keesokan harinya selepas konsert Kosmo! kerana mempunyai peperiksaan di kolej pada pukul 9 pagi. "Saya ada peperiksaan pada pukul 9 pagi tetapi saya yakin saya mampu lakukan yang terbaik. Walaupun saya sibuk dengan persembahan pentas, saya akan pastikan pelajaran saya tidak terabai," terangnya yang mengikuti pengajian pelancongan. Seorang lagi penyanyi, Akim yang baru sahaja muncul dengan filem muzikal Hoore! Hoore! mengatakan dia sering turun ke Kuching kerana undangan persembahan pentas. Baginya, sambutan yang diberikan oleh peminat di Sarawak cukup hebat terutamanya pada konsert Kosmo!. "Saya sebagai penyanyi cukup seronok apabila lihat ramai peminat bersorak dan benar-benar menunggu kemunculan saya. Memang saya rasa sangat dihargai peminat," luahnya. Dia yang menyanyikan lagu Inilah Cinta, Janji dan Just The Way You Are pada konsert tersebut menambah, melihat kepada sambutan yang diberikan masyarakat di Kuching, tidak mustahil akhbar Kosmo! mampu memenangi hati pembaca di sana. "Saya diberitahu ketika konsert Kosmo! diadakan, akhbar ini baru beberapa hari dipasarkan di sana, tetapi sambutan yang diberikan orang ramai sangat luar biasa. Tidak mustahil Kosmo! mampu pergi lebih jauh daripada apa yang dikecapi hari ini," katanya yang akan muncul dengan album terbaharu tidak lama lagi. Bagi legenda rock Amy Search yang masih tiada tandingan, dia sengaja menyarung sut berwarna merah menyala pada malam itu. "Ini (merah) warna rasmi Kosmo! kan? Sebab itu saya pakai warna merah sebagai sokongan kepada akhbar ini," ujarnya yang sangat berpuas hati dengan sambutan peminat yang hadir pada malam itu. Mendendangkan tiga buah lagu termasuk lagu 'berhantu' Isabella, Amy berjaya memukau ribuan tetamu yang hadir dengan karisma luar biasanya. MAL IMRAN (kiri) berduet dengan Norhafiza bagi memeriahkan lagi suasana konsert. "Semoga Kosmo! terus belayar dengan gagah di Sarawak," ujar vokalis unggulan Search itu menunjukkan tanda sokongannya kepada Kosmo!. Selain penyanyi, tetamu kehormat yang hadir pada konsert Kosmo! ialah Menteri Pelancongan Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, Menteri Muda Pelancongan Sarawak, Datuk Talib Zulpilip, Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak dan Pengarang Kosmo!, Baharom Mahusin. Buat semua artis yang terlibat termasuk kakitangan Cats FM yang banyak membantu melancarkan perjalanan majlis termasuk dua DJ Cats FM, Yasz dan Cassie, yang bertindak selaku pengacara pada konsert malam itu, jutaan terima kasih Kosmo! ucapkan. Semoga kita boleh bekerjasama lagi pada masa akan datang. | ||
Posted: Apek mahu berdamaiOleh KHAIRUL AMRI HASSAN
KEMELUT yang melanda hubungan pelawak terkenal, Saiful Apek dan pemilik syarikat produksi Metrowealth International Group Sdn. Bhd. (MIG), David Teo sebelum ini menarik perhatian ramai. Apek yang merupakan sahabat baik kepada arwah Bob Kuman naik berang apabila David menggunakan perkataan 'sedekah' ketika ditemu bual dalam satu program televisyen lantas melepaskan kemarahan itu dalam akaun Twitter dan Facebook miliknya. Malah, dia turut meminta penerbit terkenal itu membuat permohonan maaf secara terbuka serta menuntut bayaran tertunggak berjumlah RM200,000 yang sepatutnya diselesaikan hasil kutipan filem terbitan bersamanya iaitu Lady Boss dan Anak Mami Kembali. Akhirnya pada hari Selasa lalu, Apek tampil membuat penjelasan berkenaan krisis yang tercetus antara dirinya dan David Teo. Ikuti temu bual antara Saiful Apek dan Kosmo! ketika ditemui di Subang Avenue, Subang, Selangor itu. Kosmo!: Boleh Apek ceritakan situasi terkini antara anda dan David Teo? SAIFUL APEK: Pada mulanya saya tidak tahu menahu mengenai perkara ini sehingga saya menonton program Melodi beberapa minggu lalu dan Ahad lepas. Saya tidak dimaklumkan sesiapa mengenai kes tuntutan saya yang difailkan pada tahun 2006 telah dibatalkan. Kalau saya tahu tak akan saya nak bising, itu bermakna mengancam diri sendiri. Saya akur dengan keputusan itu dan tiada lagi persengketaan antara kami. Bagi saya memaafkan adalah penyelesaian yang paling tepat. Saya harap jangan bangkitkan lagi isu ini. Setelah isu ini selesai, anda pernah berjumpa atau menghubungi David? Belum sempat bersua muka lagi dan pihaknya juga belum menghubungi saya. Kalau pada mulanya dulu dia yang datang cari saya rasanya tidak salah jika dia melakukan perkara yang sama sekarang. Sebelum ini pun pernah terserempak beberapa kali dengan dia tapi tiba-tiba hilang. Apapun, saya ucapkan terima kasih kepada David Teo kerana berani membuat permohonan maaf secara terbuka dan menghormati adat masyarakat Melayu. Jika David menawarkan anda berlakon atau bekerja di bawahnya, adakah anda setuju? Secara amnya saya tiada masalah, saya boleh berlakon kalau ditawarkan tapi sanggupkah pihak tertentu menanggung akibat kelak? Orang ramai akan bercakap-cakap, ambil saya berlakon apabila sudah timbul polemik. Ya, kalau ditawarkan saya terbuka. Anda rasa ralat atas kejadian yang berlaku sekarang? Apa tindakan anda selepas ini? Saya tidak dapat pastikan apa yang akan dilakukan selepas ini. Bagi saya tidak begitu ralat sebab isu ini sudah terlampau lama, yang ralatnya sudah tentu anak-anak saya sebab mereka ada berlakon dalam filem Lady Boss tujuh tahun lalu. Anda ada meluahkan rasa tidak puas hati dalam akaun Twitter dan Facebook milik anda sebelum ini, kenapa? Sebelum itu saya ingin memohon maaf kepada semua berkenaan tulisan saya yang kurang rasional yang ramai sifatkan saya meroyan. Isu ini ada sejak arwah (Bob Kuman) ada lagi dan baru sekarang tergerak untuk bersuara. Isu apa yang anda maksudkan? Berjuang dan bersuara dengan saluran yang lebih afdal dan sahih bagi pihak yang terlibat dalam sesebuah produksi termasuk artis dan kru. Perkara yang saya tuntut tiada kena mengena dengan agama atau bangsa tapi hak yang sepatutnya dijaga dan dibela. Mungkin anda ada usul atau cadangan untuk diutarakan? Saya mencadangkan untuk menubuhkan satu biro khas yang disertai semua persatuan secara berpusat. Matlamatnya untuk mempunyai satu laman istimewa bagi mengeratkan silaturrahim dan menyelesaikan masalah dalam industri seni tempatan. Jadi kepada artis atau kru produksi yang ingin menyuarakan ketidakpuasan hati boleh melalui saya. Saya sifatkan diri saya sebagai pencetus dan perantara untuk disuarakan kepada pihak bertanggungjawab. Boleh huraikan lagi berkenaan biro itu? Biro yang dimaksudkan itu saya namakan KEMAS 0.0 (Kebajikan Eksklusif Masyarakat Artis dan Seni). Perkara yang ditekankan merangkumi kepekaan terhadap tawaran kontrak dan perjanjian antara artis, kru produksi dan syarikat penerbitan, keselamatan, insurans, perubatan, penginapan, pengangkutan, mekanikal, bayaran, sumbangan idea, royalti dan jumlah waktu bekerja. Tindakan ini baru permulaan dan harap mendapat maklum balas positif. Nasihat kepada generasi baharu? Saya menyeru supaya rakan-rakan artis lain menggunakan saluran dan cara yang betul sebelum menandatangani perjanjian. Jadikan kami iktibar. Seboleh-bolehnya elakkan menggunakan perkataan 'sedekah' sebaliknya ditukarkan kepada terma 'hadiah' yang bersifat lebih merestui. | ||
Posted: Nichkhun suka Soo Ae
SALAH seorang anggota 2PM, Nichkhun, tanpa berselindung memberitahu jenis wanita yang biasa dapat mencuri hatinya. Dalam program Section TV Entertainment News yang mengunjungi studio tempat Nichkhun dan artis Nam Bora sedang menjalani penggambaran iklan It's Skin, dia memberitahu dia gemarkan wanita dengan gaya semulajadi. "Saya sukakan Soo Ae," ujar Nichkhun ringkas. Ketika ditanya apa yang membuatkan dia memilih aktres kelahiran Korea yang terkenal dengan drama bersiri April Kiss dan Athena: Goddness of War itu, Nichkhun ternyata sudah bersedia dengan jawapannya. Dia memberitahu dengan yakin: "Wanita ideal untuk saya mesti seorang wanita yang selalu kelihatan semulajadi. Ciri itu ada pada Soo Ae." |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |