Hip
Adi bersama Aida ketika mengerjakan umrah tahun lalu.
WALAUPUN amat berat untuk menerima hakikat tetapi pelakon pujaan ramai, Adi Putra sukar untuk menafikan rumah tangganya kini bergolak dan memberi bayangan ia sangat sukar diselamatkan.
Dia sudah berusaha sedaya upaya untuk mengekalkan mahligai rumah tangganya yang dibina kira-kira tujuh tahun lalu, termasuk berdoa ketika mengerjakan umrah buat kali kedua pada 28 April lalu.
Aktor kelahiran Singapura berusia 31 tahun itu tidak mampu berselindung atau menipu diri sendiri terhadap gejolak rasa yang sedang dilaluinya kini terhadap rumah tangga yang dibinanya dengan penerbit, Aida Yusof. Namun sebagai lelaki yang masih bergelar suami, Adi atau nama sebenarnya Mohamed Hadi Putera Halim terus mencuba dan berusaha sebaik-baiknya sehingga ke saat ini, dengan mendoakan kesejahteraan keluarga termasuk cuba menyelamatkan rumah tangga yang didirikan sejak 14 April 2006 itu.
Tetapi sepanjang di Tanah Suci Makkah, doa yang tak lepas dipanjat sering memberikan pembayang yang condong ke arah negatif. Bunyinya seperti tidak mampu diselamatkan lagi.
Bahkan, sehari selepas pulang daripada mengerjakan umrah pada 8 Mei lalu, Adi dan Aida ke Mahkamah Syariah, Jalan Duta, Kuala Lumpur untuk membicarakan kes mereka. Kedua-duanya akan hadir ke mahkamah untuk sebutan kes mereka Isnin depan.
"Ikutkan saya memang tak mahu berkongsi cerita ini lagi. Tapi saya sedar lambat laun ia pasti akan diperkatakan. Saya juga tak mampu membohongi diri apabila diajukan soalan apakah doa yang dipohon sepanjang di Makkah.
"Malah hingga saat ini, saya dapat tahu sudah ada pihak yang sudah mula menghidu," katanya ketika dihubungi HIP.
Selama ini, tiada siapapun mampu menjangka bahawa rumah tangga mereka sebenarnya sudah mula dilanda badai. Malahan ramai beranggapan Adi dan Aida dilihat sungguh bahagia lebih-lebih mereka kerap bersama menyertai siri jelajah promosi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH2011) Mac lalu.
Namun, sememangnya baik Adi mahupun Aida bijak menyembunyikan resah yang bertandang di hadapan khalayak. Rezeki mereka untuk dikurniakan anak juga masih belum ada. Aida seperti yang kita sedia maklum sudah empat kali keguguran, namun mereka tetap tabah dan kasih sayang itu dikatakan masih berbunga. Tetapi ironinya hubungan mereka kian hambar. Sudah menjadi adat dalam berumah tangga, ada pasang ada surutnya.
"Sehingga kini, kami masih sebumbung.
Saya sendiri belum mampu mengatur atau menjangka apa yang bakal terjadi tak lama lagi sekalipun apa yang diharapkan adalah sebaliknya. Kami masing-masing, masih menjalankan tanggung jawab dan kewajipan sebagai suami isteri.
"Mungkin orang di luar pada dasarnya melihat kami bahagia. Tetapi apabila hubungan ini semakin meruncing, saya sendiri cuba mengambil langkah berjaga-jaga.
Kami cuba memulihkan keadaan tetapi saya boleh simpulkan hingga saat ini, peratusan lebih berat kepada perpisahan," katanya.
Ditanya apakah punca sebenar yang menyumbang kepada kehambaran dalam ikatan perkahwinan mereka, Adi memilih untuk tidak membuka aib rumah tangganya itu.
Kata Adi, ia langsung bukan berpunca daripada soal ketiadaan anak mahupun faktor masa apabila dirinya sibuk memenuhi tanggung jawab sebagai anak seni mahupun kehadiran orang ketiga.
Adi mula berlakon di Malaysia sekitar 2003 menerusi karya Erma Fatima, Adi hanya mula dikenali pada 2006 menerusi drama Mya Zara.
Komen Anda
Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersial. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.Senarai komen