Adsense

Khamis, 17 Mei 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Jay puas hasilkan New Breed

Posted: 16 May 2012 08:00 AM PDT

RAMAI yang mengatakan penyanyi K-Pop ini ada iras-iras jaguh badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei. Ada benarnya juga usikan itu selepas dapat bertentang mata secara dekat dengannya Selasa lalu dalam sesi temubual yang cukup santai.

Hanya diberikan kira-kira 15 minit untuk bertanya soalan, apa yang boleh disimpulkan, Jay Park ada perbezaan nyata berbanding penyanyi K-Pop lain. Bukan saja fasih berbahasa Inggeris, interaksi yang mesra mengundang suasana cukup selesa berbual dengannya di hotel Double Tree by Hilton, petang itu.

Biarpun empunya badan jelas kelihatan letih namun dia tidak sedikitpun menunjukkannya dan menjawab setiap persoalan yang dilontarkan dengan bersungguh-sungguh. Kunjungan ke Malaysia adalah lokasi terakhir jelajah album barunya, New Breed sebelum kembali ke Korea keesokan harinya.

Melihat kejayaan serta populariti yang dikecapinya pada saat ini, siapa sangka jejaka berusia 25 tahun ini sebenarnya tidak pernah terlintas untuk terjun dalam industri hiburan.


"Sejak kecil lagi saya sudah didedahkan dengan muzik dan mula mendengar lagu-lagu mendiang Michael Jackson sewaktu berusia dua tahun. Selepas itu, pada usia tujuh tahun, saya mula didedahkan pula dengan muzik hip hop dan sejak itu saya memang meminati genre muzik terbabit. Bermula dari situ, saya mula berangan-angan dan cuba berjinak-jinak dengan menghasilkan lagu hip hop.


"Niat asalnya saya cuma menghasilkan muzik sekadar untuk suka-suka saja. Namun, pencetus utama kepada saya untuk terbabit secara serius dalam bidang ini adalah ibu yang sering menyuruh saya memasuki uji bakat.

"Tidak sangka impian untuk saya menghasilkan album yang benar-benar mencerminkan diri saya kini sudah tercapai. New Breed benar-benar membuatkan saya puas. Sambutan pun sangat mengagumkan dan saya benar-benar terharu dengan penerimaan hebat daripada peminat terhadap lagu yang dimuatkan dalam naskhah ini.

"Sejak bergerak solo ini, saya berasa sangat bebas dalam berkarya dan kreativiti pun tidak terbatas. Berpeluang bekerjasama dengan produser muzik terkemuka, Rob Knox juga satu pengalaman yang hebat. Sewaktu bertemunya pertama kali, kami banyak berbual mengenai muzik dan tidak sangka pula dia menawarkan untuk menyumbang beberapa lagu dalam album saya," ujarnya.

Mengakui semakin ketagih untuk menghasilkan muzik, Jay kini dalam proses untuk menyiapkan album Inggeris, Mixtape dengan bantuan rakannya, Cha Cha. Berbeza dengan New Breed, album untuk pasaran Korea ini akan memuatkan material yang lebih 'edgy' dan liriknya juga matang.

"Sekarang ini hanya tinggal satu lagu yang perlu disiapkan dan kebanyakan lagu berentak rancak sesuai dengan trend masa kini. Saya terpaksa menyerahkan tugasan itu kepada Cha Cha demi menjayakan siri jelajah untuk New Breed. Memang sejak New Breed dilancarkan, jadual saya sangat padat dan selepas sampai saja di Korea esok, saya kena hadir sesi fotografi pula.

"Sejurus selepas itu, esoknya saya akan terbang ke Amerika Syarikat untuk sesi promosi di sana dan pada 15 Jun nanti saya akan bergandingan dengan beberapa artis K-Pop lain menjayakan satu konsert di Singapura. Manakala pada Julai nanti, saya akan mengunjungi Jepun untuk membuat showcase.

"Memang sangat penat, namun saya tidak kisah semua itu kerana setiap kali bertemu peminat, ia bagaikan kepuasan kepada saya. Kerana sokongan mereka, saya dapat berada di tahap ini dan saya sangat gembira," jelasnya.

Bertempat di KL Live, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur pada Ahad lalu, Jay turut tampil dalam satu showcase yang berjaya menghimpunkan kira-kira 1,500 dalam ruang kecil itu. Biarpun berasak-asak, tidak menjadi halangan buat peminat fanatiknya yang ternyata ingin melihatnya dari dekat.

Walaupun hanya mendendangkan lima lagu termasuklah Nothing On you, medley I Got Your Back dan Star, Up & Down, Know Your Name dan Girlfriend, namun tidak dinafikan auranya di atas pentas memang terserlah. Cuma mengenakan seluar jeans dan singlet, Jay sangat bijak memancing penonton dengan tariannya manakala nyanyiannya juga cukup bertenaga.

Memeriahkan lagi pentas pada showcase itu, acara selingan diadakan dengan membawa naik empat peminat bertuah sebelum diminta meniru tarian Jay dan berpeluang merakamkan foto bersamanya. Menyusul selepas itu, satu segmen khas untuk meraikan hari jadinya sebelum dihadiahkan kek dan cenderahati daripada peminat.

Berikutan sambutan yang sangat memberangsangkan, Jay juga menyatakan keinginannya untuk kembali dan mengadakan konsert di sini.

"Sebelum berkunjung ke sini, saya sebenarnya merasa tidak bersemangat, kurang motivasi dan agak letih selepas melawat beberapa negara lain. Namun sebaik tiba di sini, tatkala melihat wajah serta bagaimana sambutan yang mereka berikan, serta-merta semangat saya naik. Malah, sewaktu mengadakan persembahan, rasa penat pun hilang. Saya tidak sabar untuk kembali sekali lagi ke sini dan mengadakan konsert besar pula," ujarnya mengakhiri perbualan petang itu.

TRIVIA JAY PARK

  • Makanan Malaysia yang disukai...Nasi Ayam
  • Aktiviti sukan di masa lapang...Boling
  • Filem terakhir yang ditonton...The Avengers
  • Artis Hollywood yang menjadi inspirasi...Usher
  • Tiga benda yang mesti ada ketika bercuti...Laptop, telefon bimbit, beg backpack



  • Bilik 7 selami hati Abby

    Posted: 16 May 2012 07:46 AM PDT

    MINGGU ini saya dipertemukan dengan pelakon cantik Abby Abadi. Kisah peribadinya pun sudah cukup panjang, bagaikan sebuah telenovela yang meragut emosi.

    Ia penuh dengan emosi, suka, bahagia, sedih, tertipu, dicurangi dan kemudian timbul keinsafan.

    Diari hitam putih kehidupannya memang penuh pesona. Isu inilah yang bakal kami
    rungkaikan dalam Bilik 7 di ntv7.

    Saya difahamkan penampilan Abby Abadi sudah berbeza. Kini dia selesa berhijab selepas kembali dari menunaikan ibadat umrah baru-baru ini. Bersediakan Abby membuat pengakuan?

    Penerbit Bilik 7, Engku Azmin Engku Zaini meyakinkan bahawa Abby sudah bersedia. Alhamdulilah, semoga cerita negatif berkisar pelakon yang berasal dari Kuala Lumpur ini boleh dijadikan teladan.

    Berkahwin sesama artis bukan satu tanggungjawab yang mudah? Bagaimana pula perasaannya apabila suami tercinta 'dirampas' wanita lain? Kekasih yang disayangi akhirnya berada dalam pelukan orang lain. Duka di hati Abby Abadi tiada siapa yang tahu.

    Sebaik saja melangkah ke Bilik 7, senyuman manis masih lagi terukir di bibirnya. Dia anggun dan sopan dalam jubah berona hitam. Perubahan itu membuatkan Abby nampak semakin jelita dan sesuai dilabelkan sebagai fashionista.

    Perubahan Abby untuk berhijab adalah didorong gerak hati sendiri. Menurut ibu tiga anak ini, keputusan untuk bertudung bukan kerana sudah mengerjakan ibadat umrah tetapi mula menyedari ia tuntutan sebagai muslimah.

    Akui Abby dia sudah lama berhajat untuk memakai tudung namun beliau lebih suka jika tindakan itu dilakukan atas kerelaan hati.

    "Saya rasa lebih tenang dan belajar banyak perkara yang mana sebelum ini saya buat sambil lewa saja. Saya rasa inilah satu-satunya peluang yang ada untuk saya perbetulkan apa yang kurang dalam diri saya," jelas Abby.

    Biarpun kontroversi yang melanda bekas suaminya, Norman Hakim dan Memey Suhaiza sehingga meretakkan rumah tangga dia dan Norman, dua tahun lalu, Abby kini sudah semakin tenang menjawab soalan berkaitan isu itu.

    Katanya, tiada rasa dendam atau kecewa di hatinya sekarang. Malah hubungan keruh antara Abby dan Norman sebelum ini telah beransur baik memandangkan masing-masing sudah dapat menerima ketentuan takdir yang tertulis.

    Antara soalan lain yang saya lontarkan adalah sejauh mana Abby menyayangi permata hatinya. Bagaimana keadaan anak-anaknya - Mohamed Danish Hakim, 8, Marissa Dania,6, dan Maria Danisha,3 selepas berpisah dengan Norman?

    Abby memandang tepat ke muka saya. Matanya mula berkaca. Nada suaranya lembut dan teratur.

    "Anak-anak adalah harta paling berharga buat saya. Mereka adalah jiwa dan semangat saya. Saya tak sanggup kehilangan anak-anak," katanya.

    Selain itu, percintaan yang mengundang kontoversi antara Abby dan pelakon kacak Zul Ariffin turut dikupas dalam Bilik 7 malam ini.

    Satu Malaysia sudah tahu hubungan intim mereka dulu. Kemesraan di antara mereka sering terlihat di majlis hiburan sehingga Abby dan Zul mendapat jolokan pasangan sehati sejiwa. Khabarnya mereka juga dalam perancangan mahu berkahwin.

    Namun apakan daya, sebagai manusia kita hanya mampu merancang. Hidup mati jodoh pertemuan semuanya di tangan Tuhan.

    "Saya sedih dan tak dapat hendak menggambarkannya melalui kata-kata. Tapi saya reda dengan ketentuan Tuhan. Mungkin ada kesilapan yang saya lakukan tanpa sedar sebelum ini. Mungkin ini ujian Tuhan buat saya.

    " Biarpun hati saya terluka untuk melepaskan Zul pergi, tapi saya tak ada kuasa untuk mengubah keadaan. Di sudut hati ini, saya ingin melihat orang yang disayangi bahagia dengan caranya tersendiri," kata Abby lagi.

    Hubungan romantik mereka berjalan selama tiga tahun. Biarpun pendek tapi bagi mereka yang terbabit dalam soal hati dan perasaan pastinya ia satu tempoh yang cukup panjang. Satu perpisahan yang memedihkan lebih-lebih lagi apabila Zul hadir dalam hidup Abby ketika dia berdepan kemelut rumah tangganya.

    Apa yang sebenarnya yang terjadi sehingga Abby dan Zul boleh berpisah?

    Saksikan semua itu dalam program hati ke hati, Bilik 7 hanya di ntv7, mulai jam 9 malam ini.