Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Enggan bicara isu kesihatanBARANGKALI tahun 2012 merupakan tahun cerah Zizan Razak atau nama sebenarnya Mohd. Razizan Abd. Razak, 28. Mana tidaknya, tidak cukup menggondol pelbagai anugerah dan trofi, Zizan tidak lekang dihujani tawaran daripada semua sisi. Sesungguhnya kuasa populariti memainkan peranan sendiri walau tidak terhegeh-hegeh mencari atau memburu peluang. Adapun begitu, nilai sesebuah populariti yang merencanakan kepadatan waktu untuk diri sendiri mampu mengundang padah untuk diri sendiri. Buktinya, pada 30 April lalu Zizan dikejarkan ke Pusat Perubatan Pantai, Bangsar, Kuala Lumpur pada pukul 2.30 pagi hari Ahad kerana dilaporkan mengalami keradangan otot. Ketika itu, Zizan dikatakan dalam perjalanan menuju ke Ipoh, Perak bagi menjayakan rancangan Melodi yang bersiaran secara langsung di TV3 pada pukul 12.30 tengah hari, hari yang sama. Adakah kerana terlalu penat dan terbeban dengan tugasan sebagai anak seni apabila diri laris menjadi rebutan ramai pihak? Jawab Zizan, tawaran yang singgah adalah rezeki baginya yang masih menganggap dirinya masih hijau dalam industri. "Banyak yang sudah dipilih-pilih dan saya bukan jenis yang suka ambil semua tawaran yang datang tanpa usul periksa, kadang-kadang kerja yang saya terima itu ditawarkan sejak tahun lepas lagi. "Mahu tak mahu kena buat sebab sudah berjanji. Saya menilai semua tawaran atau kerja yang sedang saya lakukan adalah rezeki dari Allah dan tiada masalah bagi saya," ujarnya secara diplomatik. Tambahnya, kini kesihatannya beransur baik dan sudah boleh melakukan kerja seperti sedia kala cuma perlu dibataskan beban tugasnya. "Insya-Allah saya akan mengambil cuti tidak lama lagi untuk berehat seketika dan akan kembali menjalankan tugas-tugas yang terbengkalai," ujarnya yang enggan membicarakan lebih lanjut akan hal kesihatannya. Dia kini yang kelihatan lebih sensitif terutama isu yang berkaitan kondisi tubuh badannya sebenarnya enggan menimbulkan perasaan risau dalam kalangan peminatnya. Malah, dia turut merasa bersalah kerana tidak dapat memberikan persembahan terbaik dalam kerjayanya seperti sediakala.
Zizan yang baru keluar daripada wad seminggu lalu sudah memulakan kembali sesi penggambaran filem Tokan yang tertangguh lebih seminggu ketika dia ditahan di wad. Selain Tokan, kebanyakan tawaran yang diterimanya sebelum ini tanpa melalui perjanjian terpaksa ditolak buat masa sekarang atas nasihat doktor yang menyuruhnya berehat sekurang-kurangnya dua bulan. Kejang belakang Kesihatan Zizan mula merudum ketika dia menjalani penggambaran filem KL Zombie yang dikatakan terlampau lasak serta sentiasa dikelilingi debu dan sejak itu dia dilaporkan mulai batuk. Selepas majlis Anugerah Bintang Popular di Genting Highlands, Pahang, Zizan kembali ke set penggambaran filem itu dan melunaskan baki wataknya. Pada waktu yang sama dia berulang-alik ke klinik untuk mendapatkan rawatan. Namun, keadaan bertambah buruk apabila dia mulai sesak-sesak nafas, batuk berkahak serta tidak boleh tidur. Ketika dalam perjalanan ke tapak Melodi di Ipoh, Perak, dia mengadu kejang otot di bahagian belakangnya dan setelah dikejarkan ke pusat perubatan terbabit doktor mengesahkan keadaannya masih stabil dan tidak berbahaya. Buat masa sekarang, Zizan hanya akan menghadiri majlis-majlis ringan dan tidak akan berlakon filem atau telefilem sekitar bulan Mei dan Jun. Cuma disebabkan syarat perjanjian dalam kontrak bersama Melodi dan Super Spontan, Zizan akan terus bersama dalam kedua-dua program itu. Sepanjang tempoh rehatnya, Zizan perlu mengawal pemakanannya dan tidak dibenarkan memakan masakan laut, makanan bergoreng dan perlu mengambil ubat-ubatan khas dua kali sehari. Dalam pada itu, dia perlu menjalani pemeriksaan darah secara berkala selain berjumpa dengan doktor seperti mana yang ditetapkan.
Zizan terkenal dengan sikapnya yang sukar mengatakan tidak sekiranya mendapat tawaran sama ada berlakon, mengacara mahupun melawak. Tokan Zizan yang ditemui ketika penggambaran filem Tokan di Jonker Street, Melaka baru-baru ini terkejut apabila dia ditawarkan watak Mat Lobe dalam karya arahan Ghaz Abu Bakar itu. "Jarang ada penerbit atau pengarah yang mahukan saya melakonkan watak berbeza daripada realiti diri sebenar, saya sudah melakukan sebaik mungkin dan bertuah kerana digandingkan bersama pelakon-pelakon hebat. "Insya-Allah saya akan mencari ruang untuk diri saya sendiri cuma saya risau akan penerimaan penonton mengenai peranan dan mesej filem ini," katanya yang diberikan watak serius dan mencabar keupayaannya sebagai seorang yang dianggap kelakar. Pelakon filem KL Gangster itu bagaimanapun menilai filem Tokan sebagai sebuah filem komedi gelap yang tidak splastik namun masih mengekalkan humor dari sesetengah sudut. Zizan melakonkan watak Mat Lobe iaitu seorang pengedar dadah daripada keluarga kelas atasan dan bercita-cita menjadi tokan ternama di Malaysia. Selain Zizan, Tokan turut dibintangi oleh Johan As'ari, Liyana Jasmay, Sofi Jikan, Wan Hanafi Su dan Pekin. | ||
Lopez dilayan bagai permaisuri Posted: Lopez dilayan bagai permaisuri
JENNIFER LOPEZ telah dilayan bagai seorang permaisuri oleh kekasihnya, Casper Smart. Bintang jelita latin yang juga juri program realiti TV American Idol itu menjalinkan hubungan dengan penari pengiringnya itu sejak enam bulan lalu. Smart bagaimanapun bijak menawan hati Lopez. Satu sumber memberitahu majalah People: "Casper melayan Jennifer seperti seorang permaisuri. Dia memberi seluruh perhatian hanya untuk Jennifer." Dalam pada itu, Lopez yang merupakan ibu kepada anak kembar berusia empat tahun, Max dan Emme hasil perkahwinan dengan bekas suaminya, Marc Anthony baru-baru ini mengakui dia berasa dirahmati jika dikurniakan anak lagi di masa depan. Katanya: "Jika berpeluang melahirkan anak lagi di masa depan, saya akan berasa dirahmati. Namun sekarang ini saya hanya mahu memberi tumpuan kepada Max dan Emme." Lopez juga mengakui dia mungkin mengambil anak angkat selepas melalui pengalaman berlakon dalam filem terbaharunya, What To Expect When You're Expecting. "Filem tentang pengambilan anak angkat itu membuatkan saya terbuka hati pula untuk mengambil anak angkat," akuinya lagi. | ||
Posted: Jamal tiada istilah bersaraJAMAL ABDILLAH memotong kek sempena hari jadinya yang ke-53 pada majlis yang diraikan oleh Warner Music Malaysia. SIAPA yang tidak kenal dengan penyanyi tinggi lampai bersuara merdu, Jamal Abdillah atau nama sebenarnya, Jamal Ubaidillah Ali. Memiliki aura tersendiri ketika mengadakan persembahan, memang bersesuaian gelaran Raja Pop Malaysia yang diberikan untuknya. Meskipun telah hampir 30 tahun berkecimpung dalam karier sebagai penyanyi, tarikan Jamal tidak pernah luntur. Buktinya dirinya masih digilai wanita tidak kurang juga kaum lelaki dengan pesona dan bakat yang ditonjolkan oleh lelaki ini. Demi menghargai bakat dan kariernya dalam bidang seni selama ini, Warner Music Malaysia telah menganjurkan majlis hari jadi buat Jamal di Restoran Dareen, Solaris Mont Kiara, Kuala Lumpur baru-baru ini. "Ia sesuatu yang memeranjatkan kerana buat julung kalinya Warner Music meraikan hari jadi saya yang disertai oleh peminat. "Boleh dikatakan, saya boleh agak kerana tarikh pun hampir, namun apa yang mengejutkan saya ialah ia disertai oleh peminat saya," tutur Jamal yang terharu dengan kejutan yang diberikan oleh peminatnya. Ditebak mengenai hajatnya setelah menjangkau umur 53 tahun, bicara Jamal, harapannya ialah dia ingin berada di persada seni sehingga ke hujung nyawa, dengan maksud tidak mahu bersara. Tutur anak kelahiran Ipoh, Perak ini lagi, dia merasakan bakat yang ada pada dirinya belum lagi diasah dan digunakan sepenuhnya. Banyak lagi perkara yang ingin dicapainya selama bergelar anak seni dan apa yang dilihat hanya sebahagian daripada bakat yang ada dalam diri. "Saya minat dengan lagu jazz, rock dan hindustan. Saya juga gemar bermain piano dan gitar. Namun, saya rasakan di saat ini, saya masih belum mencabar sepenuhnya bakat yang saya ada selama ini. "Buat permulaan, single terbaharu saya, Bahagia Sementara diterbitkan sendiri bersama (penerbit) Razman. Warner Music pula bertindak selaku pengedar dan membuat promosi. "Perbezaan buat sendiri ia lebih sukar jika dibandingkan dengan dilakukan oleh orang lain," tutur Jamal. Tambahnya, apabila proses tersebut dilakukan sendiri, selain lebih rumit, masa yang diperlukan juga panjang. Contohnya, dia sendiri perlu berjumpa dengan komposer dan penulis lirik. Namun, kepuasan berbeza dapat dicapai hasil dari kerja yang dilakukan sendiri. Suka cara Malique Semasa awal kemunculannya, sekelip mata lagu Aku Maafkan Kamu menjadi siulan pendengar tidak kira yang muda mahupun yang telah berusia. Sehingga kini, apabila berkumandang di corong-corong radio, lirik dan suara merdu Jamal pasti membuatkan pendengar ingin mendengar sehingga ke akhir lagu. Buktinya, klip video tersebut telah mencapai jumlah penonton tertinggi dengan jumlah angka melebihi tiga juta penonton. Bagi Jamal sendiri, Malique merupakan seorang lelaki yang pintar di mana kesemua ayat yang diselitkan dalam lirik lagu itu adalah menjangkaui pemikiran. Jika diberi peluang untuk bekerjasama dengan Malique, dia tidak akan teragak untuk menerima tawaran tersebut. Selain Malique, Jamal juga ada meluahkan hasratnya untuk bekerja bersama dua orang komposer hebat iaitu Ramli M.S serta M. Nasir jika diberi peluang. - NOOR ASHREEN ISMAIL |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |