JIKA sebelum ini mereka hanya jeling-menjeling, bertegur sekadar sebagai rakan artis saja. Namun hanya kerana bertembung menerusi Mania, penyanyi jelita, Atilia dan Alyah kini bagaikan belangkas yang susah untuk dipisahkan. Program realiti itu menyatukan persahabatan mereka.
Malah, pada sesi fotografi yang diatur Isnin lalu, gelagat mereka memang seperti sahabat yang sudah bertahun lamanya kenal. Usik-mengusik, saling berpelukan, bergelak-senda, langsung tidak terlintas bahawa hakikatnya mereka baru sebulan dua bersahabat.
Menceritakan detik bagaimana mereka mula rapat, Atilia yang jelas lebih banyak bercakap berkata, dia amat bersyukur terbabit dalam Mania kerana bukan saja menimba pengalaman malah mendapat seorang sahabat sejati.
"Kalau diimbas kembali, pertama kali saya berkongsi pentas dengan Alyah adalah sewaktu menyertai satu program televisyen iaitu Tiada Lama Tiada Baru. Mulanya, ibu saya yang terlebih dulu rapat dengan Alyah dan pernah memujinya. Namun jujur saya katakan, pada kali pertama melihat Alyah, saya anggap dia seorang yang agak sombong ditambah pula dia jarang bercakap.
"Bagaimanapun, persepsi itu nyata berubah seratus-peratus kerana selepas sama-sama menyertai Mania, ternyata dia seorang yang banyak cakap juga. Ada satu insiden, saya memang terkenal sebagai artis yang sering membawa makanan di belakang pentas dan suatu hari, Alyah 'tweet' saya mengatakan dia sedih kerana saya tidak memberinya nasi goreng.
"Bermula saat itu, kami semakin rapat dan dia juga antara artis yang sentiasa menyokong saya dalam pertandingan itu. Kebetulan pula, Alyah berpindah dan rumah kami betul-betul bertentangan. Tetapi, insiden yang menjadi titik-tolak bagaimana saya boleh mempercayai dia sebagai seorang sahabat sejati adalah ketika tersingkir di Mania.
"Pada malam itu juga Alyah menghubungi saya dan menawarkan untuk mengikutnya ke luar negara bagi meredakan kesedihan. Saya memang tidak berfikir panjang, pada keesokan malamnya juga kami terbang ke Medan dan tinggal selama dua hari di sana. Apabila sudah berdua, kami mula berbual, bercerita dan meluahkan isi hati masing-masing.
"Saat itu, saya mula menyedari sangat serasi dan selesa berkawan dengan Alyah. Dia sememangnya seorang sahabat yang sangat memahami dan boleh dipercayai. Walaupun pada dasarnya, umur saya lebih tua berbanding dia, namun dia sering menganggap dirinya kakak dan sekarang ini hubungan kami sudah seperti adik-beradik," ujar puteri kepada Salamiah Hassan itu.
Demikian juga yang terjadi kepada Alyah. Dia tidak pernah menyangka akan menjadi rapat dengan Atilia namun itulah sebenarnya antara hikmah di sebalik penyertaannya di Mania.
"Sejak rapat di Mania, Atilia juga banyak memberi kata perangsang kepada saya sewaktu belum disingkirkan. Kalau diikutkan, saya sebenarnya lebih rapat dengan ibunya, namun mengenali Atilia, dia seorang rakan yang sangat baik dan memahami. Atas dasar kepercayaan, biarpun baru rapat dengannya, kami sudah boleh berkongsi banyak perkara, meluahkan pendapat masing-masing dan sering berbual mengenai industri," ringkas jawapan penyanyi Kisah Hati ini.
Bercerita mengenai Mania, Alyah yang tersingkir pada minggu kelapan, seminggu sebelum penentuan artis mana layak ke final, dia tidak menafikan sedikit terkilan dengan keputusan itu.
"Tujuan utama saya menyertai Mania adalah kerana ingin mendalami serta mempelajari bidang muzik. Saya akui, memang cetek sangat pengetahuan saya mengenai bidang muzik dan berharap dengan platform ini, dapatlah menimba semua ilmu itu. Memandangkan program ini juga ditonton bukan saja di Malaysia, malah Singapura, Indonesia dan Brunei turut mengikutinya, saya mahu tunjukkan bakat yang ada.
"Bukan banyak program di negara ini yang mempertandingkan sesama artis seperti Anugerah Juara Lagu dan adanya Mania ini, saya nampak ruang di situ. Jadi, sepanjang program itu, saya cuba menonjolkan kemampuan yang ada dengan gaya persembahan serta nyanyian terbaik. Banyak juga cakap-cakap mengatakan itu ini tidak kena dengan persembahan saya, namun itulah risiko yang harus ditelan.
"Tersingkir pada minggu kelapan, saya memang tidak terkejut dan anggap itu normal. Sudah lama berkecimpung dan merasai sepak terajang industri, saya anggap bertahan sehingga tahap itu pun sudah cukup membanggakan. Sekurang-kurangnya, matlamat untuk menyertai Mania tercapai juga dalam kira-kira 70 peratus.
"Saya juga cukup bersyukur diletakkan di bawah empayar Aubrey Suwito kerana dia bukan saja seorang produser yang sangat bagus malah kami sudah seperti keluarga. Sewaktu saya disingkirkan, merekalah yang cukup mengambil berat dan memberi kata-kata perangsang untuk menenangkan saya," katanya.
Bagi Atilia yang tersingkir pada minggu keenam pula menganggap ia satu percubaan terbaik pernah dilakukannya.
"Saya melihat Mania satu platform yang amat bagus untuk mengembangkan lagi muzik saya ke tahap lebih jauh dan itulah sebabnya saya masuk bertanding. Walaupun ada juga hajat yang tidak kesampaian untuk saya tunjukkan dalam program itu, namun saya bangga kerana sehingga ke saat penyingkiran, saya tetap menjadi diri saya.
"Inilah pertandingan pertama menggunakan sistem undian sepenuhnya yang pernah saya sertai. Biarpun gagal meneruskan perjuangan selepas di minggu keenam, saya sangat gembira kerana berjaya mengekalkan stail muzik saya sepanjang pertandingan itu," ulas penyanyi Kekanda Adinda itu.
TRIVIA ATILIA
Mudah tersentuh apabila... menonton babak anak dan ayah di TV.
Insan yang paling ingin ditemui... Norah Jones.
Tenang bila berada di... tempat di mana saya bebas tanpa dikenali sesiapa.
Aset paling berharga dalam hidup... suara.
Destinasi yang belum pernah dan ingin dilawati... New York.
Lagu kegemaran sekarang... Batu Belah Batu Konkrit (Monoloque feat Azlina Aziz).TRIVIA ALYAH
Mudah tersentuh apabila... melihat tangisan ibu.
Insan yang paling ingin ditemui... Tun Dr Mahathir Mohamad.
Tenang bila berada di... tempat percutian.
Aset paling berharga dalam hidup... suara.
Destinasi yang belum pernah dan ingin dilawati... Venice, Itali.
Lagu kegemaran sekarang... Part of Me (Katy Perry)