Adsense

Khamis, 10 Mei 2012

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Antara kontroversi dan prestasi

Posted:

Antara kontroversi dan prestasi

Antara kontroversi dan prestasi

TAHUN 2012 bukan permulaan yang positif buat Tasha Shila dalam mencorakkan fasa kedua usia perjalanan kariernya dalam industri lakonan.

Awal tahun ini, suasana industri hiburan tanah air dikejutkan dengan dakwaan pelakon filem Ratu The Movie itu terbabit dengan sebuah parti liar di sebuah pusat hiburan di Kuala Lumpur dengan melakukan tarian tiang dan menjelang beberapa bulan selepas itu namanya dikaitkan pula dengan golongan kenamaan.

Baru-baru ini pula muncul gosip nakal membawa perkhabaran bahawa dia berlagak diva apabila sanggup mengusung trofi kemenangannya dalam Anugerah Bintang Popular 2011 untuk kategori Artis Baharu Wanita Popular ke mana-mana sahaja dia pergi.

Tasha yang ditemui di Holiday Villa Hotel and Suites, Subang, Selangor baru-baru ini menjawab dakwaan yang ditohmah terhadap dirinya itu.

Menurut pemilik nama sebenar Natasha Sheila Abd. Razak itu, tuduhan yang dilemparkan terhadapnya sedikit kasar dan mengganggu kehidupan peribadinya. Ini kerana hal itu tidak benar sama sekali.

"Saya menafikan dakwaan bahawa saya mengusung trofi kemenangan saya merata-rata! Kenapa perlu saya berbuat demikian sedangkan umum sudah mengetahui akan kemenangan saya? Apatah lagi untuk berlagak dengan orang ramai, perkara ini mengarut dan tidak benar sama sekali," tegas pelakon berusia 25 tahun itu.

Berangan

Menurut Tasha lagi, dakwaan yang dilemparkan terhadap dirinya itu telah ditokok tambah dan dijadikan provokasi untuk memanaskan keadaan.

"Perkara ini terjadi selepas saya pulang dari Genting Highlands usai majlis tersebut pada hari Isnin bersama keluarga saya. Kebetulan saya singgah di Pavilion (Kuala Lumpur) untuk berjumpa dengan kawan baik saya, Reza yang bekerja di butik Prada.

"Dia antara individu yang sentiasa menyokong saya dalam industri dan perkenalan dengannya sudah lama terjalin iaitu sejak ketika saya bekerja di sana sebagai eksekutif kanan jualan sebelum bergelar artis.

FIGURA jelita ini mengakui pernah bekerja di gedung beli-belah Pavilion, Kuala Lumpur.


"Jadi, saya memang membawa trofi itu untuk berkongsi saat-saat manis bersama kawan baik saya itu. Mungkin orang dari luar melihat saya di butik itu membuat andaian bahawa saya mengusung trofi merata-rata dan mahu menunjuk-nunjuk.

"Apa salahnya berkongsi kemenangan dengan kawan baik?" ujarnya yang kemudiannya menghabiskan masa bersama keluarga untuk makan tengah hari di restoran yang terletak berdekatan pada hari yang sama.

Sebagai pendatang baharu kata Tasha, dia sememangnya teruja dan gembira apabila namanya diumumkan sebagai pemenang dan langkah terbaik adalah berkongsi dengan kawan rapatnya.

Ditanya sama ada gosip yang disebarkan akibat hasad dengki sesetengah pihak yang tidak ditabalkan sebagai pemenang anugerah itu, Tasha lebih selesa mengunci mulut dan mengandaikan kalah menang adat bertanding.

Perasan bagus atau berangan barangkali frasa yang melampau untuk ditujukan kepada seseorang artis baharu. Namun Tasha dengan tenang menjawab perilaku itu sebenarnya berbalik kepada niat seseorang.

"Berangan, bagi saya sama sekali tidak, cuma orang salah erti pasal niat. Kalau difikirkan masing-masing layak menang cuma rezeki berpihak kepada saya. Hendak dikatakan popular pun, belum lagi sebab saya masih baharu dan banyak yang perlu dipelajari.

"Alhamdulillah, penghargaan yang diberikan merupakan permulaan yang bagus untuk memecut karier dalam bidang seni cuma perlu menyusun kerjaya dengan lebih teratur dan berhati-hati," katanya yang kini sedang berada di landasan yang betul sebagai anak seni.

Golongan kenamaan

TASHA tidak terlepas daripada digosip meraih tajaan lelaki yang berpangkat Datuk.


Sudah beberapa lelaki yang bergelar Datuk telah dikaitkan dengan pelakon manis kelahiran Ampang, Selangor itu.

Sebelum ini kecoh juga isu dia mendapat tajaan dan kini hal itu diheret kembali ke kancah kontroversi.

"Saya mengaku saya memang banyak berhubung dengan golongan kenamaan sejak saya bekerja di butik Prada lagi. Ia juga sebelum saya bergelar artis dan mereka sebelum ini pelanggan tetap Tasha.

"Kalau berhubung pun sebelum ini sekadar pelanggan dan penjual, itu saja. Pelik juga tiba-tiba nama saya dikaitkan dengan macam-macam nama Datuk.

"Selepas saya berhenti bekerja di butik itu, saya tidak pernah berhubung dengan mana-mana Datuk atau golongan kenamaan pun. Cuma kalau terserempak, kami memang akan bertegur sapa saja," jelasnya yang sama sekali menafikan dirinya ditaja oleh golongan kenamaan berpangkat Datuk.

Tasha sekeras-kerasnya menafikan dakwaan dia ditaja dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada individu yang terlibat menyebarkan fitnah.

Bagaimanapun saat ditanya tentang kesahihan seorang lelaki berpangkat Datuk telah menaja kelab peminatnya sehingga dia dinobatkan sebagai artis baharu paling popular, Tasha mempunyai jawapan sendiri.

Katanya: "Saya tak tahu, mungkin tanpa pengetahuan saya, ada insan yang sudi menaja kelab peminat saya dan diucapkan terima kasih serta syukur Alhamdulillah.

"Kalau betul perkara yang diperkatakan mengenai lelaki berpangkat Datuk itu, terima kasih juga kepada yang sudi menaja."

Wu Chun restui Ella kahwin

Posted:

Wu Chun restui Ella kahwin

Wu Chun restui Ella kahwin

Oleh HARYATI KARIM

WU CHUN mengakui ada menerima kad jemputan untuk majlis perkahwinan Ella Chen yang pernah digosip bercinta dengan dirinya suatu masa dahulu.


Aktor, penyanyi dan model terkenal kelahiran Brunei yang mencipta populariti di Taiwan, Wu Chun hadir ke Kuala Lumpur pada minggu lalu untuk bertemu peminat selain promosi drama lakonannya, Sunny Girl yang kini sedang ditayangkan di 8TV pada setiap Sabtu pukul 6.30 petang.

Pada sidang media berlangsung, Wu Chun yang pernah digosip bercinta dengan Ella Chen seorang pelakon dan juga ahli kumpulan terkenal Taiwan, S.H.E, sempat memberi ucapan tahniah atas perkahwinan Ella dengan suaminya, seorang lelaki Malaysia, Alvin Lai yang berlangsung pada 5 Mei lalu.

Disoal adakah dia menerima jemputan ke majlis bersejarah Ella, jawab Wu Chun dia ada menerima jemputan ke majlis resepsi Ella, bagaimanapun tidak dapat hadir kerana pada tarikh yang sama dia masih berada di Malaysia.

"Saya tidak dapat hadir kerana ada kerja di Malaysia, tetapi saya sudah memberinya hadiah perkahwinan iaitu bingkai gambar. Hadiah itu bukan untuk menyimpan gambar perkahwinan mereka sebaliknya untuk anak mereka," ujarnya yang memasang impian untuk berlakon bersama Andy Lau.

Wu Chun yang kini memegang kerakyatan Taiwan, kerap ke Malaysia atas urusan kerja. Dia bagaimanapun mengaku menyukai Malaysia kerana budaya dan cuaca sama seperti negara kelahirannya Brunei.

"Saya sukakan banyak perkara tentang Malaysia. Sebenarnya saya agak terkejut ketika menghadiri sesi bertemu peminat di Sunway Piramid kerana tidak sangka begitu ramai peminat menyokong saya di Malaysia," ucapnya.

Buku biografi

Tidak hanya sibuk berlakon, bintang filem 14 Blades itu juga sibuk menulis buku biografi tentang dirinya. Bermula sebagai pemain kebangsaan untuk sukan bola keranjang negara Brunei, kini dia telah dikenali di seluruh Asia.

"Buku tersebut ditulis daripada pengalaman peribadi dan saya mengambil masa selama tiga tahun menyiapkannya. Saya mengambil masa yang lama untuk menyiapkan biografi tersebut kerana sibuk dengan kerja.

"Saya amat berharap buku itu dapat dikeluarkan tahun ini juga. Selain buku biografi, saya juga merancang untuk menerbitkan sebuah buku masakan kerana saya ada menyimpan impian untuk membuka sebuah restoren satu hari nanti," terang penggemar buah-buahan itu lagi.

Disoal mengapa dia terfikir untuk menulis buku biografi tentang diri sendiri, jawabnya: "Saya berharap buku ini memberi inspirasi kepada orang yang membacanya selain buku ini ditulis untuk tujuan kebajikan. Segala keuntungan daripada buku ini akan diberi kepada badan kebajikan, saya tidak akan ambil satu sen pun."

Bercakap mengenai kerjaya, Wu Chun tidak menolak andainya dia menerima tawaran untuk terlibat dalam naskhah dari Malaysia.

"Industri filem Malaysia berbeza dengan Taiwan, tetapi saya tidak menolak andai naskhah yang diberi itu melibatkan budaya tempatan," katanya.

Bercerita lanjut mengenai drama Sunny Girl lakonannya bersama aktres Rainie Yang, aktor berusia 32 tahun itu memberitahu kesemua aksi lagak ngeri dalam drama tersebut dilakukannya sendiri.

Bukan tidak ada pelakon gantian, tetapi Wu Chun memberitahu dia sendiri yang berkeras mahu melakukannya sendiri kerana suka kepada cabaran.

"Pengarah meminta pelakon gantian melakonkan aksi lagak ngeri tetapi saya menolak untuk melakukannya sendiri.

"Kalau bapa saya tahu pasti dia marah. Bayangkan saya harus terjun daripada bangunan yang tinggi lebih kurang KLCC.

"Saya juga memandu bot laju dalam masa yang sama jurukamera berada di dalam helikopter yang terbang sangat rendah di atas kepala saya. Memang itu satu risiko besar," katanya yang teringin melakukan lompatan bungee.

Maya ingin bercinta

Posted:

Maya ingin bercinta

Maya ingin bercinta

Oleh HARYATI KARIM

MAYA mengakui dirinya belum mahu memikirkan soal jodoh.


Aktres yang popular dengan watak Izzah menerusi filem pecah panggung Ombak Rindu, Maya Karin Roelcke nampaknya semakin sibuk tahun ini selepas memenangi anugerah Pelakon Filem Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular 2011.

Cukup laris sebagai pelakon dan pernah dikaitkan dengan beberapa artis lelaki popular, namun sehingga kini hati wanita berusia 31 tahun itu masih kosong sejak bercerai dengan bekas suaminya, Steven David Shorthose pada 16 Julai 2010.

Akui Maya yang semakin jelita ketika ditemui pada majlis penyampaian hadiah Anugerah Bintang Popular di Holiday Villa, Subang baru-baru ini, dia ingin kembali bercinta.

Kosmo!: Selepas bercerai setahun lebih, adakah anda sudah bersedia untuk kembali bercinta dengan mana-mana lelaki?

MAYA: Hati saya sudah terbuka untuk kembali bercinta sejak Disember tahun lalu, tetapi setakat ini hati saya masih belum dimiliki oleh mana-mana lelaki.

Maknanya, anda pernah mempunyai teman lelaki sejak Disember tahun lalu?

Belum ada lagi, tetapi saya mengaku yang saya pernah keluar dengan beberapa lelaki. Kami pergi makan malam bersama tetapi hubungan itu tidak pergi lebih jauh.

Apa masalahnya, sedangkan anda merupakan artis terkenal, tentu tidak sukar untuk memiliki mana-mana lelaki yang diingini.

Siapa kata senang untuk mencari lelaki yang benar-benar sesuai. Sebenarnya mungkin kerana kesibukan kerjaya membataskan saya untuk mengenali dengan lebih dekat hati lelaki yang saya minati. Bayangkan kami pergi makan malam, kemudian saya sibuk dengan kerja, dua bulan selepas itu baru saya teringat untuk hubunginya semula. Jadi, agak sukar untuk lelaki menerima jadual kerja saya.

Kriteria lelaki idaman anda?

Saya suka lelaki yang berdikari, suka cabaran, lasak dan falsafah kehidupan yang sama seperti saya. Buat masa ini, saya sangat sibuk, jadi saya tidak mahu terlalu memikirkan soal jodoh.

Jika boleh, anda mahu lelaki itu bekerja dalam bidang yang sama ataupun berlainan?

Kalau boleh saya mahu lelaki yang berlainan bidang dan tidak terlibat langsung dalam industri seni. Sekurang-kurangnya minda saya berkembang kerana kami boleh membincangkan topik yang berlainan.

Ada meletakkan sasaran untuk menamatkan zaman janda?

Tidak ada sebarang sasaran. Keluarga juga tidak memaksa saya untuk berkahwin segera. Saya tidak terlalu memilih, cukup jika lelaki itu memahami, menyayangi dan ikhlas menerima saya seadanya.

Perkembangan terbaharu anda?

Jadual saya penuh sepanjang tahun ini dan terpaksa menolak beberapa tawaran lakonan filem. Sebelum puasa, saya akan bergegas untuk penggambaran dua buah filem, salah satu filem itu adalah arahan Osman Ali.