Adsense

Khamis, 10 Mei 2012

Gosip Artis Malaysia

Gosip Artis Malaysia


Shikin Kamal Tolak Tawaran Berlakon Demi Pelajaran

Posted: 10 May 2012 06:19 PM PDT

Shikin mahu memberikan tumpuan kepada pelajaran.
PETALING JAYA: Pelakon jelita, Shikin Kamal menjelaskan dia terpaksa menolak semua tawaran lakonan kerana ingin memberikan tumpuan kepada pengajiannya di Universiti Teknologi MARA (UiTM) di Shah Alam.
Shikin berkata, walaupun rasa ralat kerana banyak peluang terpaksa ditolak tetapi dia mengambil keputusan untuk memberikan keutamaan kepada pelajaran kerana yakin ia dapat menjamin masa depannya.
"Rezeki dalam bidang lakonan memang banyak tetapi pilihan perlu dibuat kerana pelajaran menjadi keutamaan saya buat masa ini.
"Saya korbankan keinginan untuk berlakon buat sementara waktu kerana segulung ijazah memang menjadi impian saya selama ini," katanya.
Namun kata penuntut tahun dua jurusan sains aktuari ini dia hanya menerima tawaran berlakon apabila tiba cuti semester bagi mengisi masa lapangnya selain mengubat rindu untuk ke lokasi penggambaran.
Dalam pada itu, bercakap mengenai kemunculannya dalam filem Mantera bersama Tomok yang bakal menemui penonton pada 17 Mei ini, Shikin memberitahu dia pada mulanya agak gugup untuk berlakon disamping bekas penyanyi kumpulan New Boyz itu.
Shikin berkata, perasaan itu timbul kerana menyedari kedudukan Tomok yang cukup popular dikalangan peminat membuatkan dia sedikit berasa segan dengan penyanyi berusia 28 tahun itu.
"Sangkaan saya meleset kerana Tomok sebenarnya adalah seorang yang sangat merendah diri dan kami banyak membantu antara satu sama lain," katanya.
Tambah Shikin, dia juga berbangga dapat berlakon dalam filem arahan Mohd Aliyar Ali Kuthy itu kerana Mantera adalah sebuah filem yang berbeza dengan yang sedia ada.
"Mantera adalah sebuah filem yang benar-benar berbeza dan saya yakin ia akan mencipta fenomena baru dalam industri perfileman negara," katanya.
Sementara itu, bercakap mengenai perkembangan terbarunya, Shikin berkata, selain sibuk dengan pelajaran dia juga sedang menanti dua buah filem lakonannya iaitu Tanda Puteri Negara arahan Datin Paduka Suhaimi Baba dan Leftwings arahan Faizal Chal dan Nasir Jani yang turut menampilkan Awie dan Tomok sebagai gandingannya.

- ---

Ebi AF Nafi Jalin Hubungan Dengan Salma Mentor

Posted: 10 May 2012 06:18 PM PDT

Ebi Kornelis. - Foto ihsan ASTRO 
SHAH ALAM: Penyanyi Ebi Kornelis (Akademi Fantasia 5) menolak dakwaan terbaru yang mengatakan dia kini menjalin hubungan dengan penyanyi Salma (Mentor) secara rahsia.
Ebi atau nama sebenarnya Ebi Kornelis @ Firdaus Yaimal, 28, berkata gosip yang pertama kali didengarnya itu adalah sangat mengejutkan kerana mereka hanya kenalan biasa dan tidak pernah rapat sebelum ini.
"Saya tidak pernah dengar dakwaan (bercinta) ini. Saya akui sudah mengenali dia lebih dua tahun lalu, malah sebelum dia bergelar artis lagi tetapi kami tidak pernah rapat.
"Kami pernah terserempak pada beberapa persembahan nyanyian di Sabah tetapi tidak pernah berhubung. Saya juga tidak pernah ada nombor telefonnya sebelum ini," hurainya ketika ditemui baru-baru ini.
Katanya, dia percaya dakwaan berkenaan timbul selepas mereka berduet dalam laguKasih Tak Sampai nyanyian asal kumpulan Padi pada minggu ketujuh program Mania.
"Saya mula berhubung dengan Salma untuk mengajak dia berduet dalam persembahan saya dalam Mania kira-kira dua minggu lalu.
"Namun, kami berhubung pun atas dasar kerja semata-mata dan langsung tidak pernah terfikir apa-apa yang serius," jelasnya.
Salma
Ebi berkata, pengalaman hitam yang pernah dilaluinya ketika kontroversi dengan penyanyi Mila Jirin sebelum ini membuatkan dia berasa serik untuk memikirkan soal cinta.
"Saya belum bersedia untuk komitmen cinta pada waktu ini. Kontroversi saya dengan Mila kira-kira empat tahun lalu mengajar saya banyak perkara.
"Ia adalah detik hitam yang pernah merosakkan karier nyanyian saya. Kini saya mahu bangkit semula dan membuktikan kepada semua saya mahu berjaya dalam bidang ini," luahnya.
Terdahulu, kontroversi hubungan Ebi dengan Mila pernah menimbulkan kekecohan apabila dia didakwa meludah ke arah penyanyi wanita itu akibat salah faham di antara mereka.
Penyanyi yang pernah popular dengan lagu Bukan Diriku ini berkata, dia kini sudah menemui formula muzik yang mampu melonjakkan kembali namanya dalam bidang muzik.
"Saya percaya pada bakat dan kelebihan saya yang boleh memberikan sesuatu kepada industri hiburan. Saya sudah menemui resepi dan formula yang bersesuaian. InsyaAllah selepas komitmen Mania, saya mahu keluar semula dengan gaya dan muzik baru," kongsinya.
Selain aktif bergiat sebagai komposer muzik bagi runut bunyi telefilem dan drama, Ebi juga bakal tampil dalam filem Leftwings tidak lama lagi.

- ---

Johan Raja Lawak Nafi Sertai Sepahtu

Posted: 10 May 2012 06:16 PM PDT

Johan
PETALING JAYA: Pengacara dan pelawak Johan menegaskan khabar angin bahawa dia bakal menyertai kumpulan lawak Sepahtu adalah tidak benar sama sekali.
Johan atau nama sebenarnya Muhammad Yazid Lim Mohd Aziz, 28, berkata, dia terkejut apabila khabar angin tersebut menjadi perbualan umum malah telahpun diberitakan di ruangan pojok pada sebuah akhbar Ahad lalu.
"Khabar angin itu tidak benar. Saya pun terkejut apabila membaca ruangan pojok yang ditulis pada akhbar tersebut yang mengatakan saya bakal sertai Sepahtu.
"Bagi saya, ia merupakan sebuah khabar angin yang mengarut kerana saya tidak membuat sebarang kenyataan berkenaan dengan hal ini," katanya yang dihubungi di sini, Khamis.
Johan yang juga merupakan ahli kumpulan Jozan bersama Zizan Razak dengan nada berseloroh menambah, berita itu timbul mungkin kerana ada sebilangan orang yang ingin melihatnya dalam kumpulan tersebut.
Sepahtu
Sementara itu, salah seorang ahli Sepahtu, Shuib berkata, dia juga terkejut apabila khabar angin itu tersebar luas kerana dia dan Johan tidak pernah pun berbincang mengenai kemasukan ahli baru dalam kumpulannya itu.
"Apabila membaca ruangan pojok itu, saya terkejut, kerana Johan pun tidak pernah berbincang dengan saya tentang hal ini.
"Saya bertanyakan kepada seorang lagi ahli Sepahtu, Jepp, dan dia juga tidak tahu tentang berita ini.
"Apa-apa pun, saya enggan mengulas lanjut tentang hal ini, rasa pelik pula apabila berita sebegini timbul," ujarnya.
Bagaimanapun kata Shuib, dia tidak mempunyai masalah sekiranya Johan ingin sertai kumpulannya itu bagi memeriahkan lagi industri hiburan tempatan.

- ---

Hafiz Tolak Tuduhan Disantau Dalam ‘Mania’

Posted: 10 May 2012 06:15 PM PDT

Hafiz. - Foto ihsan ASTRO
SHAH ALAM: Penyanyi Hafiz Suip (Akademi Fantasia 7) menolak sekeras-kerasnya dakwaan kononnya dia disantau ketika bersaing dalam program Mania beberapa minggu lalu sehingga menjejaskan prestasi persembahannya.
Pemilik nama penuh Mohd Hafiz Mohd Suip, 22, ini berkata, dakwaan berkenaan adalah tidak berasas kerana dia percaya semua peserta yang bertanding dalam program tersebut bersaing secara sihat dan tidak melibatkan sebarang taktik kotor.
"Saya nafikan dakwaan itu. Saya tidak fikir ia (santau) berlaku sama sekali. Alhamdulillah, keadaan saya baik dan tiada apa-apa yang pelik dialami.
"Mungkin orang melihat prestasi saya agak merosot beberapa minggu lalu kerana tekanan yang dihadapi dalam pertandingan Mania tetapi ia tiada kaitan dengan perbuatan khianat pihak tertentu," jelasnya  baru-baru ini.
Penyanyi lagu Awan Nano itu berkata, sebagai umat Islam dia sentiasa berserah dan berlindung kepada Allah dalam mencari rezeki dan dia percaya sebarang penganiayaan hanya akan berlaku dengan keizinan-Nya.
"Kalau benar ada yang berniat jahat untuk melakukan begitu, adalah lebih baik dihentikan saja. Bukan saja perkara itu berdosa, malah ia tidak mendatangkan manfaat kepada sesiapa pun.
"Saya tidak ada hak untuk membalas, biarlah Tuhan saja yang membalasnya. Saya percaya setiap perkara hanya berlaku dengan izin-Nya," katanya.
Dalam pada itu, Hafiz berkata dia semakin merasai tekanan menjelang persaingan minggu separuh akhir (minggu kesembilan) Mania pada malam Sabtu ini.
Katanya, pada peringkat ini cabaran bukan saja melibatkan aspek pemilihan lagu dan persembahan, bahkan ia turut bergantung kepada tuah seseorang penyanyi itu berdasarkan undian peminat.
"Seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, pertandingan ini menjadi lebih mencabar kerana ia tidak diadili oleh juri profesional, sebaliknya bergantung kepada penilaian penonton yang mengundi.
"Menerusi kaedah begini, apa keputusan pun boleh terjadi. Yang bagus boleh tersingkir jika nasib undian tidak menyebelahi," terangnya.

- ---

Saiful Apek Tuntut RM200,000

Posted: 10 May 2012 06:07 PM PDT




KUALA LUMPUR: Pelawak terkenal, Saiful Apek, 43, melancarkan 'perang' terhadap produser, David Teo dengan mendakwa penerbit filem terkemuka terbabit gagal melunaskan pulangan pelaburan RM200,000 filem Lady Boss dan Anak Mami Kembali kepadanya selepas dia yang membintangi kedua-dua filem berkenaan melaburkan wang hasil lakonannya RM100,000 sejak 2005.

Katanya, selain isu berkenaan perkara lain dibangkitkan adalah kegagalan David menyiapkan album nyanyiannya sedangkan kontrak dimeterai setahun ditandatangani pada tahun yang sama.
Menurutnya, berikutan tidak berpuas hati dan tidak mempunyai saluran memperjuangkan haknya, dia tampil membuat kenyataan di laman sosial facebook dan twitter sehinggalah menyedari menerima kritikan hebat pengguna rangkaian sosial berkenaan.
Saiful berkata, Ahad ini jam 2 petang, dia dan lebih 50 selebriti yang mahu menuntut hak masing-masing terhadap David dengan mengadakan sidang media bersama bukti dan dokumen yang pernah ditandatangani bagi menerangkan keadaan sebenar.
Katanya, pada 2005, dia ditawarkan membintangi filem Lady Boss dan Anak Mami Kembali dengan bayaran RM100,000 sebelum wang itu dilaburkan semula dalam kedua-dua filem berkenaan.
---



- ---

Nurul Tak Lihat Budaya Pilih Suami

Posted: 09 May 2012 10:33 PM PDT

Nurul sedang membilang hari untuk menempuh detik bahagia. 
KUALA LUMPUR: Penyanyi Nurul Wahab tidak melihat kelainan budaya antara beliau dengan bakal suami iaitu Eric Daniel Depp sebagai satu halangan untuk mereka mengecap bahagia.
Nurul berkata, dia menerima Eric seorang warganegara Perancis kerana ketulusan dan kriteria yang diinginkan daripada lelaki berusia 47 tahun itu.
"Saya tidak meletakkan bangsa atau warna kulit dalam memilih seorang lelaki sebagai calon suami tetapi memandang kepada ketulusan dan ciri-ciri yang saya cari.
"Eric juga seorang yang faham mengenai budaya, agama Islam dan sentiasa hormat budaya kita di Malaysia. Soal itu langsung tidak pernah menjadi masalah kepada saya," ujarnya pada Rabu.
Nurul ditemui selepas melancarkan album mini terbarunya di sini.
Tambah Nurul, dia tidak perlu risau mengenai soal budaya atau tanggungjawab bakal suaminya itu kerana sifat-sifat yang diinginkan daripada seorang lelaki ada pada Eric.
Nurul memberitahu, pengalaman Eric selama 10 tahun tinggal di Asia telah banyak mengajarnya mengenai budaya dan cara kehidupan masyarakat di sini.
"Aspek budaya atau tanggungjawab tidak menjadi isu kerana apa yang penting saya perlu memainkan peranan dalam soal kerohaniannya sebagai mualaf.
"Tanggungjawab saya sebenarnya yang lebih besar dalam memastikan bakal suami faham mengenai agama Islam dengan lebih baik," ujarnya.
Pasangan itu bakal bernikah pada 6 Jun depan di Duchess Palace dekat sini pada pukul 11 pagi.
Kira-kira 200 tetamu bakal dijemput pada hari bahagianya itu yang dibuat secara kecil-kecilan.
Dalam pada itu, Nurul memberitahu, Eric telah memeluk Islam sejak 13 Februari lalu dan tindakkannya itu telah meyakinkan bahawa lelaki tersebut sesuai untuknya.
Nurul juga tidak pernah menyangka akan bertemu dengan Eric dan seterusnya mengambil keputusan untuk berkahwin selepas lima tahun menjanda.
"Saya telah mengenalinya pada September 2010 dan kami mula serius pada Januari 2011. Sepanjang dua tahun pengenalan kami dia seorang lelaki yang baik dan memahami diri saya dan sentiasa senang bersama dengannya," katanya.
Sementara itu, ditanya kenapa dia sering mengelak apabila ditanya mengenai lelaki sebelum ini, Nurul berkata, dia tidak mahu menjadikan kehidupan peribadinya sebagai satu 'perniagaan' sepertimana dilakukan sebelum ini.
Dia juga banyak belajar daripada pengalaman lalu dan tidak lagi bersedia untuk berkongsi kisah peribadi melainkan perkara penting seperti pengumuman perkahwinan.
"Cukuplah dulu selagi ada kisah dipaparkan dalam akhbar malah hubungan peribadi itu menjadi perniagaan. Bukan mengelak tetapi saya sudah banyak belajar daripada pengalaman lalu," katanya.
Bercerita lanjut mengenai bakal suaminya itu, Nurul berkata Eric adalah seorang duda tetapi tidak mempunyai cahaya mata dan bekerja sebagai konsultan dan jurulatih kesihatan.
Katanya, pihak media hanya akan mengenali Eric pada hari pernikahan nanti kerana bakal suaminya itu merasakan dirinya bukanlah seorang artis.
"Dia bukan sombong tetapi malu nak jumpa orang apatah lagi saya ni seorang artis. Dia rasa tak sesuai untuk berada di sini," katanya.
Dalam perkembangan sama, Nurul memberitahu sebanyak enam individu telah sudi untuk menaja perkahwinannya nanti iaitu Rizman Ruzaini, Bon Zainal, Jakel, Zaha Weeding Planner, Deqsha dan Duchess Place.
Bagaimanapun dia tidak akan mengadakan sebarang majlis resepsi sebaliknya keluarga pihak lelaki akan meraikan perkahwinan mereka dalam sebuah majlis di Bali, Indonesia pada 14 Jun depan.

- ---