USIANYA terlalu muda untuk menerima kontroversi yang tidak henti menghimpit. Meskipun luarannya Aliff Aziz tersenyum dan optimis akan segala suara-suara nakal yang tidak lekang berbisik, hakikatnya perit di jiwa hanya Allah yang tahu. Jelasnya, itulah dugaan dan ganjaran atas populariti yang diterima bergelar anak seni.
Mahu atau tidak, anak muda berusia 21 tahun ini menerima frasa jika takut dilambung ombak, usah berumah di tepi pantai. Lantas semua kontroversi ditelan tanpa bersuara. Namun ketika bertemunya petang minggu lalu, Aliff tidak henti mengukir senyum bahagia.
"Alhamdulillah bahagia saya kerana kerjaya nyanyian yang semakin jelas hala tujunya dan banyak pihak yang sentiasa membantu untuk saya terus berjalan meskipun sendirian," usik si pemilik senyuman manis ini mengelak kisah cintanya.
Mahu atau tidak, status selebriti yang ada pada Aliff membuatkannya terikat untuk lari daripada kisah peribadi yang dipaparkan secara meluas. Bertanya soal kontroversi mengaitkan dirinya, jelas Aliff, dia bersyukur kerana diberi dugaan secepat ini kerana awal-awal lagi sudah menjadikan semua itu sebagai pengajaran untuk memperbaiki diri.
Hinggalah terbaru, Aliff dikatakan menjalin hubungan dengan pelakon, Anne Ngasri. Walaupun awalnya hanya ingin menyifatkan perkenalan itu atas dasar sahabat, lama-kelamaan kejujuran dalam persahabatan itu kian terbongkar.
"Bukan mahu menafikan atau mengelak sebaliknya saya tidak mahu kisah peribadi mengaburi karier nyanyian saya. Saya tidak mahu dikatakan berbohong dan kerana itu saya mengaku akan perhubungan kami berdua, cuma semuanya masih di peringkat mengenali hati budi masing-masing. Saya sukakan Anne dan ketika ini saya masih mencari keserasian dan keselesaan antara kami berdua.
"Saya bimbang dan gusar kisah-kisah sebegini akan menenggelamkan cerita mengenai perkembangan kerjaya seni dan album yang kini berada di pasaran.
Maklumlah, penghijrahan saya atas restu ibu bapa yang ingin melihat saya berjaya dalam lapangan ini. Itu janji saya dan pastinya saya tidak mahu semua impian itu musnah hanya kerana kisah cinta.
"Jujurnya, saya ingin meletak fokus ke depan tanpa perlu pening memikirkan soal lain. Lagipun usia masih muda dan jauh lagi perjalanan yang perlu dicatur," katanya.
Terdetik pula bagaimana keadaan mampu mempertemukan dua bintang muda ini.
Meskipun masih berpegang atas alasan jodoh dan ketentuan, namun sedikit janggal melihatkan jejaka muda seperti Aliff mampu membuka ruang jiwanya untuk mengenali Anne yang tujuh tahun lebih tua daripadanya. Malah lebih menarik, Aliff bagai tidak peduli langsung akan status Anne yang juga ibu tunggal kepada tiga anak - Abdul Warits berusia enam tahun, Abdul Wafri, empat tahun dan Nazhara Afroza, dua tahun.
Jelas Aliff, status dan siapa diri Anne sebelum ini bukan menjadi ukuran sebaliknya keikhlasan yang ada pada pelakon berpengalaman itu membuatkannya jatuh hati untuk mengenali lebih rapat.
"Saya akui akan perasaan saya. Saya memang ingin mengenali Anne dengan lebih rapat kerana peribadinya yang membuatkan saya selesa. Bayangkan, sejak berpindah ke Kuala Lumpur awal tahun lalu untuk memberikan tumpuan kepada bidang nyanyian, Anne satu-satunya teman rapat yang menemani saya dan membantu saya dalam pelbagai perkara.
"Selain pihak syarikat rakaman, Sony Music yang menjaga hal ehwal saya, Anne adalah insan yang sering menemani saya di kala sunyi dan rindu akan keluarga di Singapura. Kami berkenalan ketika sama-sama berlakon drama Antara Kita pada Januari lalu dan hubungan itu kekal baik hingga kini. Saya menghormati pendirian dan peribadi Anne kerana pada saya, dia adalah wanita paling sabar dan cekal.
"Tidak sekadar berkongsi minat dan cerita, Anne banyak mematangkan saya terutamanya dalam hal membabitkan kerjaya kerana dia jauh lebih berpengalaman.
Saya sendiri kagum dan sentiasa seronok kerana berpeluang mengenali seorang wanita sebaik dirinya," katanya.
Tambah Aliff yang sudah pun bertemu keluarga Anne dan menganggap mereka sebagai pengganti keluarganya di Singapura, dia tidak pernah menolak jika terbit rasa cinta satu hari nanti.
"Kelakarnya, saya boleh menjadi begitu akrab dengan kesemua anak Anne. Itulah yang membuatkan saya tambah seronok kerana hilang juga rasa rindu pada keluarga apabila selalu bersama Anne dan keluarganya di sini," katanya.
Aliff turut berkongsi kisah mengenai dirinya yang kini semakin serius dalam bidang lakonan selain memasang impian menyambung pengajiannya di peringkat lebih tinggi.
"Drama Antara Kita memang titik permulaan buat saya sebagai pelakon. Tidak langsung saya terfikir akan menjadi seorang pelakon dan tidak sesekali saya rasa ada bakat terpendam. Namun itulah rezeki dan saya bersyukur kerana ada pihak meletak kepercayaan itu kepada saya. Insya-Allah selepas ini saya akan muncul lagi dalam satu lagi drama siri dan masih mempertimbangkan beberapa lagi tawaran lain yang datang.
"Selain itu saya juga ingin kembali menyambung pengajian di peringkat diploma atau ijazah dalam jurusan Kejuruteraan Muzik. Mana tahu ada rezeki saya ingin sekali melebarkan empayar menjadi seorang komposer dan memiliki studio sendiri," katanya.
Aliff yang sebelum ini popular menerusi lagu Sayang Sayang lebih lima tahun lalu senyap seketika kira-kira dua tahun kerana mengikuti kursus khidmat negara di republik kelahirannya, Singapura.
Mengecapi populariti ketika itu dengan bersandar wajah kacak dan vokal yang tersendiri, Aliff sekali lagi mengundang jeritan peminat gadisnya menerusi single daripada album keduanya, Kalau Cinta.
Kini selepas tiga tahun membawa nama, Aliff kembali dengan album terbarunya berjudul Aliff Aziz. Album terbitan Sony Music yang sudah berada di pasaran ini mengandungi 10 lagu termasuk Jangan Ganggu Pacar Ku yang kini sedang rancak diputarkan selain Cinta Ya Cinta, Hanya Lagu, Sudah Nasib Ku, Cinta Dusta, Setiap Detik, Nada Cinta dan Dilema Cinta berduet bersama Hao Ren.