Hip
JAMAL mesra meraikan setiausaha dari meja ke meja.
Jamal akui persembahan sempena Minggu Setiausaha di PWTC tak 'sampai' MELALUI satu jam 15 minit bersama Raja Pop, Jamal Abdillah, sempena majlis sambutan Minggu Setiausaha anjuran Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam bagai membawa pengalaman berbeza berbanding persembahannya sebelum ini.
Seakan hilang sedikit aura hebat penyanyi itu, perjalanan majlis bertemakan Kuning Jingga itu dilihat mengalami naik turun dalam memberikan emosi mendalam tatkala lagu indah Jamal bergema di segenap ruang dewan acara.
Bukan lagu yang dibawakan olehnya tidak menghiburkan hati, jauh sekali disebabkan nada suaranya, tetapi Jamal yang menghiburkan kira-kira seribu peminat, tidak seceria yang pernah disaksikan ketika muncul pada persembahan Hari Ibu mahupun Minggu Setiausaha sebelum ini.
Ia diakui sendiri figura itu pada sidang media selepas persembahan berakhir. Katanya, tanpa disoal media, dia tidak dapat menjiwai persembahan terbabit sepenuh hati dan bagai ada halangan ketika mengalunkan lagu sepanjang majlis berlangsung.
Enggan menyalahkan sesiapa, Jamal jujur memberitahu, gangguan itu datang daripada dalamannya sendiri.
"Ia sesuatu yang sukar dimengertikan. Saya rasa persembahan hari ini tidak 'sampai'. Selain teknikal, ia hadir dari diri sendiri, namun saya cuba memberikan sesuatu yang berbeza dan terbaik kepada penonton.
"Sebagai penyanyi, jika lagu yang dinyanyikan berentak gembira, roh itu akan meresap masuk. Begitu juga dengan lagu sedih, kita akan cuba menghubung kaitkan perasaan itu dengan kisah sedih kita pada masa lalu," katanya yang ingin memberikan persembahan sempurna buat peminatnya setiap kali muncul di pentas.
Mungkin itu yang dirasakan Jamal, yang sangat menitikberatkan bab emosi dalam setiap lagu dendangannya. Namun apa yang dapat dilihat pada majlis itu ialah kegilaan peminat yang menjeritkan namanya setiap kali lagu popularnya seperti Sepi Seorang Perindu dan Gadis Melayu dipersembahkan buat mereka.
Malah, ketika turun mendekati peminat dari meja ke meja, seorang peminat wanita sanggup menarik Jamal dan memeluknya dan ia ditangani dengan tenang oleh lelaki ini, yang sudah melalui fasa seperti itu sejak dulu lagi.
Walaupun dirasakan majlis agak hambar kerana terlalu banyak lagu medley mengiringi persembahan penghibur terkenal itu, Jamal melihatnya sebagai kelainan yang dicipta untuk majlis meraikan setiausaha, kali ini.
"Setiap kali menerima tawaran, saya agak tertekan untuk memilih sesuai dengan konsep majlis supaya orang tidak bosan. Kali ini, saya sengaja menyanyikan lagu secara medley supaya ada perbezaan berbanding persembahan sebelumnya.
"Lagipun, bagi memuaskan hati peminat, saya cuba menyanyikan lagu sebanyak yang mungkin. Kerana itu juga saya menyanyikan lagu lain, walaupun masa sudah tamat." katanya.
Secara bergurau dia berkata, lagu Seniman Menangis, Bunga Pujaan dan Tuhan dipersembahkan sebagai sedekah kepada peminat.
Pada pertengahan persembahan, penyanyi ini dilihat dapat menarik kembali tumpuan. Saat itu, Jamal dilihat lebih bertenaga dan serasi bersama peminatnya. Dia yang turun ke pentas sempat bergambar bersama mereka dan interaksi bersama peminat membuatkan majlis mula kembali hangat.
Kacak bergaya dengan sut hitam, Jamal yang setia dengan lagu segar sepanjang zaman seperti Aku Penghibur, Perjalananku, Berdendang Dalam Tangisan, Oh Dimana Mustika Hati, Kau Lupa Janji dan Curiga secara medley meraih perhatian peminatnya sehingga mendapat tepukan gemuruh.
Sambil memanjatkan kesyukuran, Jamal mengaku setiap kali mengadakan persembahan, rasa tertekan untuk memberikan yang terbaik kepada peminat pasti muncul. Tetapi sebagai penyanyi profesional, dia sedaya upaya melenyapkan rasa itu agar tidak turut dirasai khalayak.
"Saya memastikan melakukan senaman dan perlu kuat dari segi mental dan fizikal.
Maklumlah, umur sudah bertambah dan saya perlu menanganinya," katanya.
Berbicara soal dirinya yang terlalu kerap menerima tawaran untuk majlis seperti itu sehingga dikatakan tidak menjaga nilai eksklusif, Jamal tidak melihatnya sebagai tindakan yang salah.
"Saya setuju jika dikatakan terlalu kerap muncul dan ia seakan tidak menjaga nilai eksklusif seseorang artis. Tetapi lihat pula di mana kekerapan itu berlaku. Saya menjaga perkara itu dan memilih membuat persembahan dengan menilai harga yang sewajarnya.
"Lagipun, saya membuat persembahan di atas pentas seperti ini (PWTC) dan kurang mengadakan persembahan secara percuma, bagi menjaga eksklusif diri," katanya yang sudah menerima dua tawaran menjayakan Minggu Setiausaha dan dua untuk Hari Ibu, setakat ini.