Adsense

Selasa, 3 April 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Pelamin cinta Azza-Azlan

Posted: 02 Apr 2012 05:27 AM PDT

BERTEMU jodoh memang suatu yang sukar dijangka. Namun ketentuan Tuhan sudah tertulis hingga masa menentukan segalanya berlaku. Pengalaman manis dilalui pelakon drama popular, Noor Azzarima Zawari atau Azza berpeluang merasai detik bahagia buat kali kedua.

Kelmarin menjadi hari bersejarah buat Azza yang juga bekas anggota kumpulan Elite apabila selamat melangsungkan majlis pernikahan bersama jejaka pilihan, Azlan Zulaily.

Majlis yang diadakan secara sederhana dan ringkas dihadiri 100 tetamu terdiri anggota keluarga, rakan artis dan pihak media berlangsung dalam suasana tenang dan lancar.

Azza yang kelihatan anggun dengan gaun warna krim rekaan Syafieq Aiman menguntum senyum gembira saat Azlan melafazkan akad nikah yang disempurnakan imam Masjid Al-Syakirin Bukit Antarabangsa, Selangor.


Walaupun Azlan melafazkan akad sebanyak tiga kali kerana gemuruh, ia tidak menghalang pasangan ini sah bergelar suami isteri. Sebagai tanda ikatan suami isteri, Azlan memberikan wang hantaran sebanyak RM10,000 bersama tujuh dulang manakala pihak Azza membalas sembilan dulang.


Azza ditemui sebaik majlis akad nikah selesai menyatakan perasaan syukur dan gembira kerana hasratnya membina mahligai bahagia bersama suami menjadi kenyataan.

Katanya, dia tidak mahu terburu mengadakan majlis persandingan. Cuma, apa yang penting adalah melaksanakan acara pernikahan kerana masing-masing terikat dengan jadual kerja.

"Saya hanya mendapat cuti tiga hari sebelum kembali ke lokasi penggambaran drama bersiri Baitul Rahmat. Kami memang berhasrat mengadakan majlis resepsi dan ia akan menyusul kemudian.

"Buat masa ini, kami masih merancang tarikh sesuai untuk majlis persandingan nanti. Kami sebenarnya turut menerima jemputan pasar raya Mydin yang sudi menaja acara resepsi yang ingin diadakan di cawangan baru di Taman Meru, Ipoh, Perak.

"Sebolehnya saya lebih suka acara persandingan nanti dibuat ringkas dan apa yang paling penting adalah bertemu dan meraikan rakan serta kenalan yang hadir," katanya.

Sebagai raja sehari, sudah tentu Azza mengharapkan majlis persandingan yang akan diadakan memberikan elemen romantik pada mereka dan tetamu yang hadir.

Menyelami hidup berumahtangga, Azza mengakui persefahaman antara dan kasih sayang antara satu sama lain penting dalam membawa kebahagiaan yang diimpikan.

"Saya tidak mempunyai masalah dengan jadual kerja suami kerana saya tahu bagaimana kerjanya sebagai pramugara. Namun, saya sendiri sebagai isteri perlu bijak membahagikan masa agar mempunyai masa untuk bersamanya.

"Apa yang saya lihat anak angkat saya, Marissa dapat terima Azlan dengan baik. Begitu juga keluarga saya sememangnya sebelum ini sukar untuk saya bawa mana-mana lelaki berjumpa mereka.

"Sebaliknya, apabila saya kenal dengan dia, saya rasa dia boleh diterima keluarga saya dan memang tiada masalah," katanya turut menerima cincin daripada ibu mentua.

Azza, 35, menyatakan jadual kerjanya masih sibuk dengan penggambaran drama sehingga September nanti. Namun dia tetap akan mencari masa terluang untuk mengadakan majlis resepsi dijangka diadakan pada Mei nanti.

Azlan pula tidak berselindung perasaan gementar ketika berdepan situasi disatukan sebagai suami kepada Azza yang mempunyai ramai peminat. Kata jejaka berasal dari Sungai Petani, Kedah ini, dia gembira sebaik majlis akad nikah selesai. Ketika diijab kabul, dia mengakui merasai perasaan tanggungjawab sebagai suami.

"Saya menyukai karakter diri Azza yang penyayang. Malah, saya menganggap anaknya seperti anak saya juga dan ini membuatkan semangat saya kuat untuk hidup berumahtangga.

"Seperti Azza, jadual kerja saya juga tidak menentu. Mungkin saya dapat meluangkan masa bersamanya ketika cuti," katanya yang berpeluang mendapat cuti seminggu.

Pada majlis akad nikah, Azza menerima barang hantaran antaranya beg tangan, pewangi Gucci dan barangan kemas Habib manakala barangan untuk Azlan berupa pewangi dan tali pinggang.

Seperti mana pasangan suami isteri lain, Azza bersama Azlan berhasrat berbulan madu selepas mendirikan rumah tangga. Namun, mereka masih membuat perancangan mengenai destinasi pilihan. Dalam pada itu, pasangan bahagia ini juga menyimpan impian menimang cahaya mata jika dimurahkan rezeki.




Misi murni Jamie

Posted: 02 Apr 2012 05:06 AM PDT

DEMI tanggungjawab membentuk kesedaran terhadap masalah yang menular daripada pola pemakanan tidak sihat di kalangan masyarakat hari ini, chef selebriti antarabangsa, Jamie Oliver kini kembali dengan mempromosi dan menggalakkan masyarakat untuk mengamalkan gaya pemakanan yang sihat serta berkongsi pengalaman masakannya kepada dunia.

Jamie Oliver's Food Revolution mengisahkan perjalanan chef selebriti serta aktivis pemakanan sihat ke Amerika Syarikat demi memberi pendedahan serta meningkatkan lagi betapa pentingnya gaya pemakanan yang sihat.

Selain mendidik masyarakat mengenai gaya pemakanan seimbang, beliau juga turut memberi galakan kepada masyarakat agar meluangkan masa memasak di rumah bersama rakan-rakan dan keluarga.

Masalah obesiti di Amerika Syarikat yang meningkat memberi kesan buruk malahan golongan kanak-kanak membesar dalam persekitaran yang mendedahkan mereka kepada pemakanan tidak sihat serta tanpa sebarang kawalan.


Misi Jamie untuk melakukan perubahan terhadap pola pemakanan masyarakat demi melahirkan generasi yang bebas daripada obesiti.


Berdasarkan kajian, kanak-kanak hari ini mempunyai jangka hidup lebih pendek berbanding ibu bapa mereka akibat dari pemakanan tidak sihat sekali gus mendedahkan mereka kepada pelbagai penyakit kronik.

Jamie melawat Huntington, Virginia Barat, bandar yang mempunyai kapasiti penduduk yang menghidapi masalah obesiti tertinggi di Amerika Syarikat, serta membantu mereka mendapatkan pola pemakan yang lebih sihat.

"Kini tibalah masanya kita kembalikan kegemilangan serta keseronokan ketika berada di dapur bersama orang tersayang. Bersama komuniti di Huntington, saya ingin menjadikan pengalaman terindah ini dengan meraikan kejayaan bersama mereka.

"Saya juga ingin membuktikan kepada dunia bagaimana pola pemakanan yang lebih sihat mampu mewarnai kehidupan kita. Oleh itu, ayuh bersama-sama saya berkongsi rasa serta menyelami kehidupan mereka demi menyampaikan mesej kesedaran ini untuk membuka mata dunia terhadap kelebihan mengamalkan gaya pemakanan yang sihat," kata Jamie.

Pengurus Besar Kumpulan 8TV dan ntv7, Airin Zainul, berkata, Jamie Oliver's Food Revolution adalah sebuah program yang menjadi platform kepada dunia untuk sedar bahawa masyarakat sengsara dengan masalah gaya hidup tidak sihat
"Jamie adalah chef pujaan saya di 8TV. Untuk program, Jamie akan menghidangkan resipi enak yang ringkas untuk dipraktikkan penonton di rumah," katanya.

Jamie berjaya mendapatkan 600,000 tandatangan sebagai tanda sokongan kepada misinya dan rancangan ini berjaya memberi impak kepada masyarakat di Amerika Syarikat malah nama-nama besar Hollywood seperti Jennifer Aniston, Ricky Gervais, Queen Raina and Oprah Winfrey turut serta menyokong rancangan ini.

Ikuti perjalanan Jamie untuk membuka mata masyarakat dunia dengan berbekalkan kebolehannya dalam masakan serta memupuk cinta terhadap pemakanan sihat dalam Jamie Oliver's Food Revolution mula bersiaran pada 26 April 2012, setiap Khamis, jam 10.30 malam secara eksklusif di 8TV. 8TV juga boleh ditonton di saluran 708 di Astro.

Penonton juga boleh menonton rancangan kegemaran anda di www.8tv.com.my/ www.tonton.com.my serta ikuti kami di laman sesawang www.facebook.com/8TVfb, www.twitter.com/8tv dan www.youtube.com/8tvaddicts.