Adsense

Selasa, 3 April 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Memori gaun merah jambu

Posted: 02 Apr 2012 04:15 PM PDT

Hip

Siti teruja berhimpun bersama penggiat seni di Arena of Stars, Ahad ini

MERANGKUL gelaran Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) pada usia 18 tahun dan menyandang trofi gah itu sebanyak tujuh kali, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin tetap ampuh pada kedudukan tersendiri. Nyata aura popularitinya tidak luntur walaupun mengumumkan menarik diri daripada menyertai majlis pengiktirafan ini bagi memberi peluang muka baru, sejak dua tahun lalu.

Begitupun, penyanyi kesayangan ramai itu kembali duduk di kerusi calon pada ABPBH2011 di Arena of Stars Genting Highlands, 8 April ini, bersama 11 lagi pemegang gelaran paling popular untuk merebut trofi khas, Anugerah Seri Perak.

Mengimbas kenangan pada 1997, debaran mengiringi langkahnya saat kali pertama diumumkan sebagai Bintang Paling Popular dan lebih manis turut membolot tiga lagi trofi, Penyanyi Wanita, Penghibur TV serta Artis Remaja Popular.

"Saya masih ingat saat naik ke pentas menerima trofi dan persalinan yang saya gayakan ialah gaun merah jambu. Waktu itu saya masih malu-malu, maklumlah terlalu muda. Sebagai orang yang baru setahun jagung berada dalam arena seni suara, pengiktirafan ini tentu menyemarakkan semangat.

"Bagi saya, ABPBH bukan hanya pertandingan, ia sebuah momento atau pengiktirafan peminat terhadap seluruh penggiat seni. Apabila mendapat kepercayaan lagi pada tahun berikutnya, hanya syukur dan terima kasih diucapkan atas penghargaan ini," katanya ketika ditemui pada sidang media Hari Ibu, semalam.
Biar baru pulang dari Puncak, Bogor, selepas menyertai percutian bersama SitiZoners Indonesia, wajahnya tetap segar, malah sempat memotong kek istimewa daripada 17 peminat bersempena ulang tahun ke-17 pembabitannya dalam dunia seni.

Majlis Sepetang Bersama Datuk Siti Nurhaliza anjuran Tautan Hati Enterprise pula itu di Hotel Grand Dorsett Subang Jaya pada 13 Mei ini.

Menyentuh pembabitannya dalam acara minum petang itu, akuinya, kali akhir dia menjayakan majlis bersempena Hari Ibu ialah lima tahun lalu dan kali ini dia enggan melepaskan peluang mendekati peminat pada sambutan istimewa untuk insan tersayang bersama Tautan Kasih.

Menerusi Anugerah Seri Perak yang diadakan bersempena ulang tahun ke-25 ABPBH, Siti bersaing dengan Aishah, Zainalabidin, Eman Manan, Sofia Jane, Datuk M Nasir, Ziana Zain, Rosyam Nor, Saiful Apek, Mawi, Nabil dan Shaheizy Sam.

Enggan meletakkan pencalonan itu sebagai pertandingan, sebaliknya dia lebih selesa melihatnya sebagai penghargaan berterusan masyarakat terhadap sumbangan karyawan seni.

"Saya melihat acara gemilang ini sebagai medan perhimpunan seluruh warga hiburan dari segala latar belakang. Walaupun sebelum ini menarik diri, saya tetap ingin bersama rakan lain berkumpul dan meraikan acara yang diadakan khusus buat kami.

"Bagi saya, semua bintang ini punya potensi sama-rata, malah tidak keterlaluan jika saya katakan Sam masih menjadi pujaan ramai. Tidak kira siapa pun yang menang nanti, saya tetap gembira," katanya yang turut terbabit dalam persembahan ABPBH kali ini.

Tambah Bintang Paling Popular 1996 hingga 2001 disusuli kemenangan pada 2004 dan 2009, masih terakam di ingatannya bagaimana tempias populariti yang dikecapi membuatkan dirinya diintai produk terkemuka.

"Siapa kata anugerah berdasarkan populariti tidak menjamin apa-apa kerana daripada pengiktirafan ramai itu yang membuatkan saya bekerja keras menonjolkan yang terbaik bagi membalas balik keyakinan peminat.

"Malah, selepas memenangi ABPBH kali pertama, barulah syarikat atau jenama mula merisik-risik siapa kita? Pastinya, rakan lain yang membawa pulang trofi juga merasai penangan selepas mendapat pengiktirafan ini," ulasnya ringkas namun penuh bermakna.

Bagai boleh menjangka soalan seterusnya, Siti tampak tenang apabila ditebak perihal gosip di laman sosial mengenai suaminya, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa yang dikatakan sudah mengahwini aktres jelita, Rozita Che Wan.

Enggan mengambil pusing kerana sudah banyak kali berdepan desas-desus sama, Siti hanya berharap si penyebar fitnah menyedari perbuatan sendiri selain hanya akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya tuduhan melampau itu diteruskan.

"Entahlah, ini bukan kali pertama berlaku. Kami masih boleh bersabar, cuma kurang selesa apabila suami saya menerima banyak panggilan daripada teman bertanyakan perkara ini. Sudah-sudahlah, saya tidak tertekan pun sebab setakat ini Datuk K sentiasa di sisi," tambahnya sambil tersenyum manis.

Gandingan bekas kekasih

Posted: 02 Apr 2012 04:13 PM PDT

Hip

PENERBIT, David Teo (dua dari kanan) bersama barisan pelakon 3 Temujanji pada majlis pratontonnya di Sunway Pyramid, malam tadi.

PENERBIT, David Teo (dua dari kanan) bersama barisan pelakon 3 Temujanji pada majlis pratontonnya di Sunway Pyramid, malam tadi.

Pengarah 3 Temujanji nafi ambil kesempatan atas kegagalan cinta Pierre, Yana

PENGARAH Hashim Rejab yang tampil dengan naskhah ketiga, 3 Temujanji, berjaya menggandingkan bekas pasangan kekasih, Pierre Andre dan Yana Samsudin, dalam filem komedi cinta yang bakal menjengah panggung pada 5 April ini. Hashim berkata, dia memilih Pierre bukan untuk mengambil kesempatan atas kegagalan hubungan cinta mereka, sebaliknya inginkan hero berbeza untuk digandingkan dengan Yana. Bagaimanapun, kedua-duanya bersikap profesional tanpa mencampur adukkan sejarah hitam yang pernah melingkari kehidupan mereka sebelum ini.


"Pada mulanya Yana agak terkejut apabila dimaklumkan mengenai rancangan menggandingkannya dengan Pierre. Namun, kedua-duanya cuba bersikap profesional, seterusnya bersetuju menerima tawaran berkenaan.

"Memang tak dinafikan pada awalnya mereka nampak kekok, bagaimanapun keadaan itu berjaya diatasi mereka. Malah kedua-duanya berjaya membentuk karakter Riana dan Mukhsin dengan baik, mungkin berdasarkan pengalaman sebagai pasangan kekasih sebelum ini.

"Filem ini memang langsung tiada kaitan dengan kisah percintaan mereka. Cuma, kita mahukan keserasian itu supaya nampak cantik di atas skrin," katanya yang pernah menghasilkan Sekali Lagi dan Papa I Love You.
Mengenai sambutan yang diharapkan terhadap filem terbarunya itu, Hashim tidak berani meletakkan sebarang sasaran memandangkan suasana industri filem yang agak kurang memberangsangkan tahun ini.

Begitupun, dia tetap mengharapkan kutipan diraih filem ini mampu melebihi pungutan dua filem arahannya sebelum ini. Sekali Lagi membuat kutipan kasar RM2.04 juta dan Papa I Love You pula sekitar RM500,000.

"Saya tidak berani menjangka reaksi penonton terhadap filem ini, tetapi jika mereka sukakan filem yang tidak memerlukan kita terlalu berfikir, 3 Temujanji sesuai dengan cita rasa seperti itu.

"Filem ini mempunyai ciri hiburan dan komedi yang digemari masyarakat di negara kita, sesuai bagi mereka yang datang menonton wayang semata-mata untuk hiburan dan bersantai," katanya yang mengakui lebih matang setelah selepas menyiapkan tiga judul.

Filem yang menelan belanja kira-kira RM1.5 juta ini dirakam di sekitar Putrajaya dan Kuala Lumpur. Selain Pierre dan Yana, 3 Temujanji turut dibintangi Kamal Adli dan Diana Amir.

Filem ke-58 terbitan Metrowealth Pictures (MIG) yang mempunyai sedikit suntikan percintaan ala Korea ini mengisahkan seorang wanita bernama Riana (Yana) yang tidak mempercayai lelaki dan cinta dalam hidupnya.

Prinsip Riana amat mudah, cinta hanya membawa sengsara dan semua lelaki tidak berguna pada pandangan matanya. Keadaan ini menyebabkan Riana menetapkan setiap hubungannya dengan lelaki tidak akan lebih daripada tiga temujanji. Selepas tiga temujanji, mereka akan berpisah dan mereka tidak akan berhubung lagi. Dengan cara ini Riana percaya dia akan dapat menikmati keseronokan bercinta tanpa perlu sengsara.