Adsense

Khamis, 8 Mac 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Serasi watak jahat

Posted: 07 Mar 2012 05:13 AM PST

SERASI dengan nama Nabila Dally sebelum ini, pelakon berbakat besar yang dicungkil menerusi program realiti TV bercorak lakonan, Pilih Kasih musim pertama, akhirnya mengambil keputusan untuk menukar namanya sebagai Bella Dally.

Akuinya, tiada apa yang kurang atau jelik dengan nama sebenarnya itu, cuma keputusan menggunakan Bella Dally sebagai nama komersial bertujuan mengelak kekeliruan.

"Terlalu ramai bernama Nabila di kalangan selebriti kita. Contohnya, kita ada Nabila Huda dan Ika Nabila. Jadi tidak salah rasanya saya menggunakan nama Bella Dally untuk mengelak kekeliruan.

"Lagipun Bella adalah nama timangan saya di rumah, juga panggilan di kalangan rakan terdekat. Bella dan Nabila bunyinya tidak jauh berbeza," kata gadis yang akan menginjak usia 21 tahun pada September depan.


Ketika ditanya adakah bintang baru yang cantik ini menukar nama kerana nama itu membawa nasib yang tidak baik atau disebabkan merajuk dengan bekas pengetua Pilih Kasih iaitu aktor Rosyam Nor, dia menafikan hal itu.


"Tiada kaitan dengan semua itu. Seperti yang saya katakan, ia disebabkan ada ramai artis bernama Nabila. Ia tidak ada kena-mengena dengan isu apapun, cuma saya sekadar mahu dikenali sebagai Bella kerana ia lebih unik," katanya.

Keputusan menukar nama pernah dilakukan pelakon Shahrizal Jaszle yang sebelum ini dikenali sebagai Shah Jaszle, begitu juga Bob AF yang ingin digelar sebagai Bob Yusof.

Bagaimanapun, masing-masing mempunyai alasan yang berbeza seperti Shahrizal misalnya menganggap nama Shah Jaszle itu 'panas' dan tidak serasi dengannya.

Menyorot dunia lakonan, gadis kelahiran Sabah itu ditemui di lokasi penggambaran drama bersiri Friday I'm In Love arahan Ahmad Faizal Abdul Rashid.
Ia bakal disiarkan menerusi TV9 tidak lama lagi.

Antara lakonan Bella yang diingati penonton tentunya drama Qalesya yang disiarkan menerusi Astro dan terbaru, Vanilla Coklat yang bersiaran di Slot Lestary TV3 iaitu Bella beraksi di samping Izara Aisya.

Sekian lama terikat dengan watak klise iaitu peranan hitam, kali ini menerusi Friday I'm In Love yang diterajui Qushari atau Qi, Bella diberi kepercayaan membawakan watak gadis baik bernama Ana.

"Selalu sangat dapat watak jahat tapi untuk drama ini, saya akhirnya dapat watak baik. Mula-mula memasuki industri hiburan saya memang selalu tertanya-tanya kenapa selalu dapat watak jahat.

"Karakter itu bukan saja susah untuk dijiwai, malah saya sendiri berasa kurang selesa kerana diri saya sama sekali tidak begitu. Saya bimbang ekoran terlalu kerap membawa watak jahat, orang sangkakan perwatakan sebenar saya di luar sama seperti dalam lakonan.

"Tapi lama-kelamaan, saya jadi suka pula kerana apabila membawakan watak baik, intonasi dan pergerakan terbatas. Sebaliknya, untuk watak antagonis, seseorang pelakon bebas melakukan pergerakannya melainkan watak itu jahat dalam diam.

"Jadi selepas menilai dan melalui pengalaman kedua-duanya, saya akui melakonkan watak jahat lebih memberi kepuasan. Perwatakan jahat juga boleh dikawal iaitu membuatkan orang tetap suka pada kita meskipun watak itu sangat jahat atau kejam. Tetapi terpulang pada cara kita menzahirkan peranan sebegitu," katanya.

Tiga tahun menyusuri kehidupan anak seni, jika dibandingkan dari segi populariti artis seangkatannya seperti Neelofa dan Izara Aishah, Bella masih belum menyerlah walaupun kemunculan dua pelakon jelita itu yang tidak memperoleh ruang publisiti yang luas seperti diperolehnya menerusi Pilih Kasih.

Pun begitu, Bella tidak pernah berasa cemburu dengan kejayaan orang lain.

"Ada orang berjaya dalam masa yang singkat, ada orang dengan cara sebaliknya.
Yang pasti, saya tidak pernah rasa cemburu. Saya tidak menafikan mereka berdua lebih 'hot'. Mereka adalah bakat kelahiran Dewi Remaja yang kita tahu melahirkan ramai bintang terkenal di persada hiburan.

"Saya berharap satu hari nanti saya juga mampu menyerlah seperti mereka," katanya.

Akui Bella, kontroversi salah satu cara untuk dikenali, namun dalam perjalanan seninya, dia enggan dicemari gosip yang boleh mencalarkan maruah diri dan keluarga.

"Seawal kemunculan dulu, saya pernah terpalit dengan gosip yang kurang enak.
Saya dituduh gemar bertukar lelaki dan ke kelab malam. Saya menjadikan gosip ini sebagai pengajaran.

"Kalau boleh, saya mahu diterima kerana bakat, bukan dikenali kerana saya ini orangnya penuh kontroversi.

"Orang tua saya juga selalu pesan, mereka izinkan saya berlakon tetapi minta saya jaga nama baik keluarga. Saya harap saya tidak menghampakan mereka," katanya.

Bakal muncul dengan siri Inspirasi Varasiti dan filem Gila Gila Remaja 2 tahun ini, Bella mengakui belum puas untuk mengasah bakatnya dan kerana itulah dia tidak bersedia untuk menerima sebarang tawaran mengacara atau menyanyi.

"Saya mahu fokus dalam bidang lakonan dulu dan memperbaikinya. Benar saya suka juga mengacara dan menyanyi tetapi lakonan adalah minat utama saya," katanya.

Trivia BELLA DALLY

  • Berdarah kacukan...sebelah ibu (Filipina/Eurasian) dan bapa (Pakistan/Melayu).
  • Mendapat pendidikan awal di... St Agnes, Kota Kinabalu.
  • Pelakon Hollywood yang dikagumi ...Julia Robert, Angelina Jolie dan Kate Winslet.
  • Filem paling sedih pernah ditonton...Titanic
  • Kenangan terindah dalam hidup...ketika menyertai program realiti Pilih Kasih kerana di situlah bermula segalanya.
  • Warna paling digemari...hijau kebiruan.
  • Haiwan paling geli...labah-labah.


  • Nora sudi ucap tahniah

    Posted: 07 Mar 2012 04:55 AM PST

    "SETAKAT ini Jejai belum maklumkan apa-apa kepada saya mengenai rancangan perkahwinannya (dengan Fasha Sandha) sebagaimana dilaporkan akhbar hari ini (semalam).

    "Kalau Jejai dan keluarga bekas mentua saya mengesahkan sendiri perkara itu, saya juga sudah tentu sudi mengucapkan tahniah."

    Begitulah komen pelakon Nora Danish ketika mengulas berita perkahwinan bekas suaminya, Toh Muda Rizal Ashram Ramli (Jejai) dengan pelakon Fasha Sandha, sebagaimana dilaporkan akhbar ini semalam dan kelmarin.

    Nora atau nama sebenarnya, Nora Mohd Danish Hanif yang kebetulan menyambut hari jadinya semalam, ketika dihubungi bagaimanapun enggan memberikan komen panjang kerana apa saja keputusan bekas suaminya dengan pelakon itu, bukanlah lagi urusan dan haknya.


    Bagi Nora, sejak mereka bercerai pada 12 Ogos 2008, dia tidak pernah lagi mencampuri urusan peribadi Jejai walaupun mereka masih mencurahkan kasih sayang kepada satu-satunya anak lelaki hasil perkongsian hidup mereka.


    Nora yang sebelum ini pernah terjebak dalam kontroversi bersama Fasha bagaimanapun lebih suka bersikap optimis dan terbuka dengan siapa pilihan Jejai untuk menjadi suri hidupnya.

    Nora dan Jejai mendirikan rumah tangga pada 2006 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Putra Rayqal Ramli Rizal Ashraf (Qaqal) yang kini berusia tiga tahun.

    Kelmarin, muka depan Harian Metro menyiarkan berita Fasha dan Jejai sudah mengikuti kursus perkahwinan, baru-baru ini sebagai persiapan bernikah.

    Kata Fasha, 27, Jejai, 36, juga sudah datang merisik dengan keluarganya dan mereka sudah bersedia untuk ke jenjang pelamin tahun ini.

    Semalam, dalam sisipan Rap, Fasha dalam fesyen baju pengantin bersama Jejai berkata, lelaki itu menjadi pilihan hatinya kerana serius menerimanya sebagai calon isteri.

    Menyentuh soal kerjaya lakonannya, Nora yang mula mencipta nama menerusi filem Senario Pemburu Emas Yamashita sedang sibuk di lokasi penggambaran filem terbaru lakonannya, Aku Terima Nikahnya terbitan Metrowealth (MIG).

    "Alhamdulillah rezeki untuk saya sentiasa ada dan setakat ini saya masih sibuk dengan pelbagai tawaran berlakon. Terbaru, saya sekali lagi dipertemukan dengan Adi Putra untuk filem Aku Terima Nikahnya selepas kai bekerjasama menerusi drama Tentang Dhia.

    "Filem ini adalah satu lagi cabaran buat saya kerana perwatakannya sangat mencabar. Namun saya bersyukur kerana pihak produksi dan Adi sendiri banyak membantu bagi menguatkan lagi plot perjalanan cerita ini," jelasnya.

    Sementara itu, Nora juga akan terbabit dengan filem Mencari Cinta, beraksi di samping Rusdi Ramli pada 16 Mac ini sebelum bercuti selama dua minggu bermula 27 Mac ini bagi menunaikan umrah.

    Setakat ini dia masih belum bertemu pengganti Jejai dan gembira menempuh kehidupannya sebagai ibu tunggal.