Utusan Online - Hiburan |
Posted: Diana kaya kerana emasOleh KHADIJAH IBRAHIM
RAMAI yang menyangka sejak melahirkan anak sulung, Kashfi Haiqal, pada 29 Oktober 2010, pelakon Diana Rafar sudah tidak aktif berlakon. Sebenarnya, pelakon utama filem Susuk itu masih meneruskan kerjaya sebagai pelakon yang diladeni sejak 1988. Kata Diana atau Adiana Abdul Rafar, 30, sejak ada anak, kegiatannya sebagai pelakon agak terbatas kerana dia perlu mengutamakan keluarga. "Diana tidak boleh tinggalkan anak lama sebab masih menyusu badan. Kalau ada tawaran berlakon yang waktu penggambarannya singkat, pasti Diana terima. "Lainlah kalau ada produksi yang boleh bertolak ansur, sudah pasti Diana terima tawaran itu. Bagi Diana, sekarang ini keluarga lebih utama. Kalau tidak berlakon, Diana tetap sibuk menguruskan spa dan memenuhi undangan persembahan nyanyian bersama kakak, Linda Rafar," katanya ketika ditemui di D'Lugano Spa, Seksyen 13, Shah Alam baru-baru ini. Menurut anak bongsu dari enam beradik itu, dia tidak menyesal menolak banyak tawaran kerana telah menemui satu bidang baru yang lebih menguntungkan, iaitu menjadi ejen menjual kepingan emas. Sebagai ejen menjual kepingan emas 999.9 dengan syarikat pembekal Serambi Emas, Diana memberitahu, dia tidak memerlukan masa yang lama di sesuatu tempat memandangkan pekerjaan itu mampu mendatangkan hasil yang lumayan. "Kalau berlakon, Diana kena tinggalkan anak di rumah. Bila buat jualan emas begini, boleh bawa anak bersama. Adalah menjadi hasrat Diana untuk berkongsi rezeki ini dengan orang lain kerana perniagaan ini sudah lama beroperasi, cuma orang kita sahaja yang tidak sedar," katanya bersungguh-sungguh. Menurut Diana, sudah dua tahun dia menjadi ejen menjual kepingan emas dan pulangan yang diperoleh amat lumayan sehinggakan sekarang ini menjadi terlalu memilih untuk berlakon. "Sekarang Diana sudah temui satu bidang baru yang memberi pendapatan berlipat ganda daripada berlakon. Jadi buat masa sekarang, Diana tumpukan perhatian pada perniagaan emas ini. "Dulu memang Diana kena cari pelanggan dan menerangkan apa kelebihan kalau kita membeli emas. Alhamdulillah, sekarang ini ramai yang mencari Diana pula untuk menceburi bidang ini," katanya. Menurut Diana, dia ingin mengubah pendirian masyarakat Melayu agar tidak menjadikan emas sekadar hiasan diri semata-mata tetapi sebagai pelaburan jangka masa panjang. Harga emas sentiasa naik mengikut pasaran semasa dan emas yang dibeli itu boleh disimpan sendiri atau di bank melalui sistem Ar-Rahnu. "Kalau emas itu disimpan di rumah, pembeli tidak akan mendapat sebarang keuntungan melainkan kena jual emas itu. "Di Serambi Emas pelanggan boleh membeli melalui sistem Ar-Rahnu di mana mereka boleh membayar 35 peratus daripada nilai sebenar dan bakinya akan dibiayai Ar-Rahnu," terangnya lancar. Tambah Diana, selepas membayar secara ansuran kepada Ar-Rahnu, emas berkenaan akan menjadi hak milik pembeli dan mereka yang terbabit dengan perniagaan emas dengan Serambi Emas pada masa sama dapat menjana pendapatan sampingan. Katanya, perniagaan emas yang dilakukannya bukanlah sistem jualan langsung tapi sebagai persediaan masa depan dan sesiapa yang berminat boleh menghubunginya di talian 014-7104039 atau 014-7104029. Malah, dia sanggup turun padang untuk memberi penerangan pada sesiapa yang ingin menambah pendapatan dengan cara ini. Lantaran seronok mengendalikan perniagaan jual beli emas itu, kini Diana menjadi seorang pemilih dalam bidang lakonan. "Bukan Diana nak berhenti berlakon, cuma kurangkan sedikit. Lagipun sudah lama Diana berlakon, sekarang ini masanya untuk tumpu pada keluarga. "Disebabkan anak masih menyusu badan, Diana tidak boleh terima tawaran berlakon yang lama sebab kasihan pada anak. Lainlah kalau watak yang diberi benar-benar menarik perhatian, Diana akan fikir dua kali," katanya tersenyum. | ||
Posted: Riadah cara Salih YaacobOleh MUHAMMAD SYAFIQ ROOS ANNUAR MASA terluang akan digunakan untuk mengeratkan hubungan dengan isteri dan anak-anak. JIKA difikirkan, bukan mudah bagi lelaki ini untuk membahagikan masa bersama isteri-isterinya apatah lagi dengan anak-anak. Namun bagi salah seorang tunggak utama segmen Sinar Pagi di Sinar FM bersama Kak Engku dan Khairil Rashid ini, keluarga adalah keutamaannya. Tidak mahu menjadikan 'tidak cukup masa' sebagai alasan, Salih tetap memastikan mempunyai kelapangan untuk bersama-sama anak-anak mahupun empat isteri. Baru-baru ini, S3 berpeluang mengikuti Salih Yaacob bersama dua orang isteri dan lima orang anaknya beriadah di Tasik Ampang, Kuala Lumpur. Menurut penghibur yang sudah menceburi bidang seni seawal tahun 80-an ini, meluangkan masa bersama keluarga adalah sesuatu yang sangat bermakna bagi dirinya. "Tidak dinafikan, kadang-kadang saya memang sibuk tetapi kalau ada masa terluang, memang saya akan ajak anak-anak dan isteri untuk keluar bersama. "Bukan apa, walau sesibuk mana pun kita bekerja, dalam masa yang sama juga kita harus memberi perhatian dan tumpuan kepada keluarga. "Lebih-lebih lagi keluarga saya pun memang jenis yang suka keluar berjalan-jalan, jadi memang meriahlah kalau keluar ramai-ramai," katanya lagi. Selain itu, Salih juga mengakui aktiviti riadah bersama keluarga yang selalu dilakukannya itu dapat membantu untuk mengurangkan tekanan. Meskipun sekadar berjalan-jalan untuk mengambil angin, ia dapat melegakan perasaan, terutamanya selepas aktiviti seni yang padat. "Apabila bersama keluarga, hilang jugalah segala masalah yang ada di kepala. "Malah dalam masa yang sama, ia sebenarnya turut memberi peluang kepada anak-anak saya untuk lebih mengenali antara satu sama lain kerana mereka berlainan ibu. "Aktiviti riadah sebegini turut dapat merapatkan hubungan mereka adik beradik. "Contohnya hari ini, saya bawa empat orang anak saya dengan isteri kedua iaitu Effa Madiha, 19, Effa Nageeha, 15, Effa Fateha, 9 tahun dan Mohd Ehsan, 11 tahun. "Sementara Farah Aqeesya, 3 tahun adalah anak bersama isteri saya yang ketiga. Jadi memang perkara sebegini dapat membuatkan mereka lebih bersatu," ujar bapa kepada 11 orang anak ini lagi. Selain bersiar-siar di lokasi berdekatan kediaman, Salih juga meletakkan hasrat untuk membawa keluarga besarnya melancong ke luar negara apabila berkesempatan. Jika tahun lalu, dia telah membawa seluruh isi keluarganya melancong ke China, tahun ini dia merancang untuk mengadakan rombongan ke Singapura pula. "Percutian di luar negara juga adalah salah satu cara saya meraikan ahli keluarga yang sangat memahami kesibukan saya selama ini. "Walaupun hanya sesekali apabila ada peluang, kesempatan itu menjadi sangat bermakna kerana seluruh keluarga akan turut serta dan di sinilah peluang untuk lebih mesra dan berkasih sayang antara isteri-isteri dan anak-anak yang lain," katanya sambil tersenyum lebar. Penyampai perlu menonjol Setelah lima tahun berada bersama stesen radio nombor satu Malaysia, Sinar FM, tidak dinafikan Salih sememangnya mempunyai rangkaian peminat sendiri. Merungkai sedikit persoalan mengenai bagaimana untuk menjadi penyampai radio yang dihormati, Salih mengakui perkara tersebut datang daripada kedudukan dan juga reputasi penyampai itu sendiri. "Penyampai tidak boleh stereotype dan selalu memikirkan apa yang terbaru mahu diberikan kepada pendengar. Apa yang lebih penting adalah kebolehan penyampai radio itu dalam menghidupkan suasana. "Penyampai yang berjaya ialah yang boleh memberi kesan kepada pendengar dan dapat menghiburkan mereka melalui corong radio," ujarnya seraya memberikan tips berguna kepada penyampai generasi baru hari ini. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |