Adsense

Jumaat, 24 Februari 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Dengan sekali lafaz

Posted: 23 Feb 2012 02:47 PM PST

Hip

Yusry terasa kembali remaja bercinta dengan Lisa

LEBIH setahun menyulam cinta, pasangan selebriti popular, Lisa Surihani Mohamed, 26, dan Yusry Abdul Halim, 39, selamat diijabkabulkan dalam majlis pernikahan yang berlangsung di Hotel Marriott Putrajaya, malam tadi.

Lisa sah bergelar isteri kepada pelakon, pengarah dan penyanyi itu hanya dengan sekali lafaz.

Saya dapat rasakan, Lisa wanita yang cukup istimewa sejak mula-mula kami berkenalan. - Yusri, pengarah

Aktres berkenaan dinikahkan oleh abang sulungnya sendiri, Mohamed Azan, dengan disaksikan Pegawai Tadbir Agama Daerah Sepang, Halim Mat Isa, kira-kira jam 9 malam.

Mengenakan persalinan serba putih rekaan Cosry, pelakon Lagenda Budak Setan itu menerima mas kahwin berupa rantai platinum berserta tujuh dulang hantaran berbalas sembilan.

Antara hantaran daripada Lisa termasuk kelengkapan sembahyang, kek, manisan, keyboard dan koleksi lagu Beatles, manakala pengantin lelaki pula, selain rantai berkenaan, turut membalasnya dengan kelengkapan solat, cincin dan manisan.

Hadir menyaksikan majlis pernikahan mereka ialah keluarga terdekat kedua-dua belah pihak termasuk ibu bapa pengantin, Siti Amira Ahmad, Abdul Halim dan Zarina Fenner.
Majlis bertemakan taman pada musim sejuk itu dihadiri oleh kira-kira 250 tetamu termasuk produser David Teo dan isterinya, Jane Lim.

Pasangan yang bakal berbulan madu di Eropah, bermula dengan Switzerland, Mac ini, akan mengadakan majlis persandingan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 26 Februari.

Dijangka acara resepsi berkenaan membabitkan keluarga kedua-dua belah pihak dengan anggaran kehadiran kira-kira 2,000 tetamu.

Yusry yang mengenakan baju Melayu daripada Taufik Tailor ketika ditemui selepas majlis berkenaan mengakui, dia sudah lama tidak berasakan cinta sehinggalah bertemu Lisa.

"Dia membuatkan saya berasa seperti seorang remaja yang baru bercinta. Saya juga dapat berasakan, Lisa wanita yang cukup istimewa sejak mula-mula kami berkenalan," katanya yang bersyukur apabila semuanya berakhir dengan sempurna.

Manakala Lisa yang dilihat tenang sepanjang majlis berlangsung berkata, sejak awal lagi dia dapat berasakan lelaki itulah yang terbaik buatnya.

"Semakin mengenalinya, perasaan sayang saya kepadanya semakin kuat. Itulah yang membuatkan saya berani membawa perhubungan ini ke tahap lebih jauh.

"Yusry juga menjadikan saya insan yang lebih baik," kata Lisa yang menginginkan empat cahaya mata.

Konsert Sudirman... Abadi Di Hati: Magis lirik lagu Sudir

Posted: 23 Feb 2012 01:48 PM PST

Hip

Sharifah Aini

Sharifah Aini

KELMARIN, genap dua dekad pemergian penghibur nombor 1 Asia, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad. Perginya meninggalkan kenangan dan lagu malar segar yang terus diminati hingga kini.

Bagi rakan seperjuangan dalam bidang seni terutama artis generasi baru, peluang menyanyikan lagu Allahyarham dalam sebuah acara khas ibarat satu pengiktirafan buat mereka dan peluang itu tidak akan disia-siakan sama sekali.

Malam ini, bertempat di Auditorium Perdana, Angkasapuri, artis daripada generasi baru dan lama berpadu suara menjayakan konsert Sudirman... Abadi Di Hati terbitan RTM. Antara barisan artis terpilih ialah Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini, Adibah Noor, Jaclyn Victor, Dayang Nurfaizah, Alyah, Bob, Shila Amzah, Tomok, Black, Aril dan dan Rey. Konsert selama dua jam itu menampilkan konsep persembahan secara kronologi iaitu berdasarkan album pernah arwah hasilkan, sejak album pertama berjudul Teriring Doa hingga ke album terakhir, Penghibur No 1 Asia, yang memuatkan lagu popular, One Thousand Million Smiles.

Bagi Sharifah Aini, dipilih menjayakan konsert itu sudah cukup untuk membuatkan dirinya teruja. Memilih tiga lagu untuk didendangkan, satu daripadanya ialah lagu Melayu Deli berjudul Anak Dagang.

"Kak Pah pilih lagu Anak Dagang kerana ia berentak Kemelayuan dan Kak Pah memang sukakan melodinya," katanya yang akan turut menyanyikan lagu Merisik Khabar dan Terasing untuk persembahan itu.

Turut teruja mengadakan persembahan tribute itu ialah Alyah. Sebagai peminat, pastinya peluang itu diterima penyanyi ini dengan senang hati.
"Alyah memang minat sangat dengan Allahyarham. Lirik lagunya pula cukup menyentuh perasaan," ujarnya yang akan menyampaikan lagu Jauh Di Sudut Hati.

Pendapat Alyah itu turut disokong Adibah Noor, sekali gus menyifatkan lirik lagu nyanyian Allahyarham memang mempunyai kuasa sehingga ia melekat di ingatan peminat sehingga ke hari ini.

"Kekuatan Allahyarham sebenarnya terletak pada lagunya, terutama lirik yang ditulis Habsah Hassan. Semuanya mempunyai cerita tersendiri dan dekat dengan pendengar," katanya.

Memilih lagu Hujan dan One Thousand Million Smiles untuk dinyanyikan, Adibah berkata, lagu Hujan dipilih kerana lagu itu jarang dinyanyikan dalam mana-mana majlis.

Sementara itu, generasi baru yang terbabit dalam konsert itu rata-rata melahirkan rasa bertuah kerana menjadi pilihan. Shila antara mereka yang cukup seronok apabila berpeluang menjayakan konsert yang diiringi Orkestra RTM itu.

"Ketika Allahyarham meninggal, saya baru berusia dua tahun. Saya mula mengenali hasil kerjanya selepas terbabit dalam bidang seni. Pada saya, Allahyarham memang unik dan dia berani mencuba sesuatu yang berlainan," katanya yang akan menyampaikan lagu Gerimis Di Lautan dan Si Jali-Jali, berpadu suara bersama Bob.