Adsense

Jumaat, 24 Februari 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Bakal cipta sejarah

Posted: 23 Feb 2012 05:14 AM PST

ZAINAL Abidin, Jamal Abdillah, Amy Search dan Datuk Sheila Majid punya lakaran sejarah tersendiri di dalam peta hiburan Malaysia. Puluhan tahun bertahan, bukan semua artis mampu berbuat demikian. Mereka antara legenda seni kita yang masih bernafas untuk terus menghibur warga kita.

Idea untuk berkongsi pentas disambut baik mereka. Langsung mereka digabungkan di dalam sebuah konsert, The Legendary Concert 2012 - Dulu, Kini dan Selamanya yang dijangka mencetus sejarah baru industri muzik tanah air bermula 5 Mei depan. Bukan calang-calang persembahan kerana bukan sahaja empat artis berpengalaman malah menampilkan empat genre muzik berlainan.

Konsert lima lokasi ini dianjurkan oleh Afro Inang Worldwide dan Research Venture Lab Sdn Bhd.

Penyanyi yang popular dengan lagu Ikhlas Tapi Jauh dan Hijau, Zainal, 53, berkata, pihaknya menerusi Afro Inang Worldwide sudah buat kajian mendalam mengenai konsert legenda itu selama dua tahun termasuk membabitkan pasaran muzik tempatan ketika ini.


"Hasil kajian mendapati, peminat usia 15 hingga 25 tahun akan menonton konsert ini kerana ia mengimbas nostalgia buat mereka. Selain itu, ramai peminat yang tidak ingin melepaskan peluang menonton konsert legenda ini kerana mereka membesar dengan lagu-lagu kami dari dulu hingga sekarang," katanya.


Secara peribadi, Zainal juga percaya sudah sampai masanya, penghibur bertaraf legenda seperti mereka berkongsi pentas dalam satu konsert serta memberikan impak pada masyarakat.

"Jika saya dikenali dengan sumbangan pada alam sekitar, Jamal pula, walaupun hidupnya penuh ranjau dan duri tapi dia tetap berdiri sampai hari ini. Manakala, Amy pula banyak mendekati golongan mat rempit dan Sheila pula dengan program amal dan kesihatannya.

"Jika nak diikutkan, Amy dan Jamal dan sudah mampu buat konsert solo kerana pengaruh mereka yang cukup besar dan menarik ribuan peminat," katanya.
Zainal juga melihat gabungan mereka berempat mampu menarik lebih ramai peminat.

"Sekurang-kurangnya seramai 40,000 peminat dalam satu konsert. Maklumlah, masing-masing mempunyai peminat tersendiri. Namun, bila kita lihat pasaran muzik sekarang, artis seperti kami nak tarik 10,000 peminat pun susah dalam satu masa," katanya.

Pada masa sama, kata Zainal, dia juga mengikuti perkembangan muzik tiga lagi penghibur yang juga rakan seperjuangannya itu.

"Jamal adalah penghibur paling senior kerana dia memulakan karier nyanyiannya pada 1979. Selepas itu, barulah saya, Amy dan Sheila pula mengikut jejaknya menceburi bidang nyanyian.

"Saya memang teruja hendak berkongsi pentas dengan Jamal kerana belum pernah mengadakan konsert dengannya sebelum ini," katanya.

Diminta komen gandingannya dengan Sheila pula, kata Zainal, mereka memang pasangan serasi apabila bergandingan di atas pentas.

"Terus terang, kami tidak ada agenda lain bila bekerjasama kerana masing-masing sudah berkahwin dan ada keluarga sendiri. Ramai peminat yang suka dengan gandingan kami di pentas.

"Muzik kami juga tidak keterlaluan dan ada identiti tersendiri. Setiap artis akan menyampaikan enam lagu solo dan kami berempat akan berduet satu lagu Ikhlas Tapi Jauh," katanya.

Bagi Jamal, 53, pula, dia tidak ingin lepaskan peluang menjayakan konsert legenda itu kerana ia adalah pentas untuk mereka membuktikan kehebatan masing-masing.

"Saya juga menjanjikan yang terbaik pada konsert itu nanti. Sudah pasti saya berdebar kerana ketiga-tiga mereka juga ada kekuatan tersendiri. Dari segi persiapan, saya memang sentiasa bersedia untuk menjayakan mana-mana persembahan atau konsert.

"Saya juga akan menyampaikan enam lagu popular saya khusus untuk menghiburkan peminat nanti. Selain itu, saya juga ada kejutan dalam segmen khas kerana ia bukan konsert yang biasa yang pernah dijayakan sebelum ini," katanya.

Manakala Amy, 54, yang tampil solo dalam konsert itu berkata, dia memang menanti peluang bekerjasama dengan tiga lagi penghibur hebat itu.

"Walaupun saya lebih berusia daripada mereka, dari segi pembabitan dalam bidang seni, sayalah yang paling junior dalam bidang muzik. Namun, saya memang mengagumi dan mengikuti perkembangan muzik Zainal, Jamal dan Sheila, sejak dulu.

"Bukan mudah untuk menggabungkan kami berempat dalam satu konsert berskala besar ini. Ia memerlukan persefahaman antara kami. Apa yang saya boleh katakan gabungan kali ini adalah yang terbaik dan bakal mencetuskan fenomena dalam industri. Rangkaian lagu yang disampaikan ialah lagu solo dan medley," katanya.

Satu-satunya penyanyi wanita dalam konsert ini, Sheila, 47, yang juga paling bongsu berkata, dia juga tidak sabar berkongsi pentas dengan tiga lagi penghibur seperjuangannya itu.

"Contohnya, saya sendiri memang meminati Jamal dan baru sekarang berpeluang mengadakan konsert dengannya. Seperti biasa, saya akan sampaikan lagu popular yang juga lagu wajib seperti Sinaran, Antara Anyer dan Jakarta dan sebagainya lagi.

"Saya juga berasa terpanggil untuk menjayakan konsert ini kerana sebahagian daripada hasil kutipan akan disalurkan untuk rumah kebajikan pilihan masing-masing. Justeru, peminat datanglah beramai-ramai kerana selain berhibur, kita juga membantu golongan kurang bernasib baik di luar sana," katanya.

Konsert Legenda membabitkan lima lokasi iaitu bermula di Stadium Larkin, Johor Bahru pada 5 Mei, diikuti Stadium Likas, Kota Kinabalu (19 Mei), Stadium Kuching, Kuching (26 Mei), Pulau Pinang (23 Jun) dan Stadium Merdeka, Kuala Lumpur (30 Jun).



Prihatin persatuan

Posted: 23 Feb 2012 05:06 AM PST

BERAT mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Di sebalik cahaya glamor dunia hiburan, ada sebahagian karyawan seni terpinggir dan menderita terutamanya mereka yang bergelar veteran. Walaupun tidak semua, masih ada yang terkial-kial berlakon serta melakukan kerja lain selagi termampu bagi meneruskan kelangsungan hidup pada usia emas mereka.

Episod derita ini turut dirasai Datuk Yahya Sulong yang sudah lama menghidap asma dan pelbagai penyakit lain. Pelakon berusia 84 tahun ini sedang terlantar di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Ampang sejak Isnin lalu selepas terjatuh dalam bilik air. Dia kini ditemani isterinya, Datin Alisah Ali, 65, yang setia menjaganya biarpun terpaksa berulang-alik dari Bandar Baru Sentul ke Ampang.

Mujur ia mendapat reaksi segera persatuan hiburan yang bersimpati. Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) yang diterajui oleh presidennya, Datuk Freddie Fernandez, Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) yang diwakili oleh Pemangku Timbalan Presiden, Zed Zaidi serta Pemuda Umno Malaysia menerusi Pengerusi Biro Kebudayaan & Kesenian, Jamawi Jaafar segera hadir menghulur sumbangan, Rabu lalu.

Tiada kata yang mampu diluahkan Datin Alisah sebaik menerima sumbangan ini. Tidak suka meminta-minta, namun dia juga tidak menolak setiap sumbangan yang diberikan kerana sekurang-kurangnya boleh menampung kos sepanjang suaminya mendapat rawatan.


"Kami tak suka dan malu untuk menerima sumbangan kerana takut dikatakan gemar meminta-minta. Sikit-sikit nak bantuan. Tapi kami akur hidup kami memang susah. Suami pernah bercakap perkara ini dan mengeluh. Dia memang susah hati dan menggelabah memikirkan soal kewangan. Tapi saya minta dia jangan menyerah dan teruskan berjuang untuk hidup.


"Bahkan kami pernah berbual mengenai soal kehidupan. Ada sekali suami tanya saya, kalau diberi pilihan siapa yang nak pergi dulu (meninggal dunia)? Maaf cakap, saya nak dia kerana jika saya yang pergi dulu, siapa yang akan menguruskan hidupnya? Kami kahwin sejak 1978 dan kami hidup bersama dengan duit pencen bekas isteri pertama dan bantuan Baitumal.

"Dengan duit inilah, saya berjimat cermat untuk menampung kehidupan kami. Apabila ada pihak bagi sumbangan, saya sangat bersyukur dan mengucapkan terima kasih. Sekurang-kurangnya ada yang ambil berat dan mahu membantu kami," katanya yang kelihatan cuba mengawal emosi sedih di depan mereka yang hadir.

Bercerita mengenai sumbangan yang disampaikan, Freddie berkata, ini bukanlah kali pertama Karyawan memberikan sumbangan buat Yahya Sulong. Tahun sebelum ini pun, mereka sudah melawatnya dan memberikan sumbangan ketika dia dimasukkan ke hospital.

"Inilah tanggungjawab kami sebagai persatuan artis kerana kami perlu sentiasa jaga kebajikan ahli serta terus membantu seperti dalam kes ini. Sudah banyak artis yang dibantu. Kami harap Yahya akan segera sembuh daripada penyakitnya. Dari segi dana untuk tabung bantuan pula, kami sudah ada beberapa cadangan untuk mencari wang.

"Sudah ada dermawan yang menyatakan kesudian untuk membantu golongan artis yang tidak bernasib baik. Kami mengalu-alukan sesiapa juga yang sudi untuk bekerjasama dengan kami mengumpul dana untuk teruskan aktiviti kebajikan. Kami mahu ada kesinambungan untuk membantu kerana ada artis yang tidak bekerja.

"Memang ada antara artis veteran mempunyai anak-anak, tetapi kadangkala mereka ada masalah sendiri dan tidak mampu untuk bantu. Selagi boleh, kami akan teruskan aktiviti begini kerana jika dilihat, industri nyanyian semakin tenat. Kita semakin kekurangan peluang untuk buat rakaman. Album juga tidak boleh dijual macam dulu. Kami perlu berfikir idea baru untuk bantu industri muzik," katanya.

Sementara itu, Zed sering bekerjasama dengan Jamawi dalam misi membantu penggiat seni tempatan. Sudah banyak program dilakukan sebelum ini, antaranya bantuan buat keluarga Allahyarham Datuk Ahmad Jais, Faizal Yusof, Latif Ibrahim dan terbaru buat seniwati Azean Irdawaty.

"Seniman berikan bantuan dan dalam masa sama buat surat sokongan kepada Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan menerusi Finas untuk artis ini dapat bantuan lain. Kami mahu lakukan sesuatu untuk meringankan beban penggiat seni. Dana untuk tabung ini dicari dengan pelbagai program.

"Terkini, kami dan Pemuda Umno akan mengadakan Karnival Muzik Belia & BN Youth Music pada 3 dan 4 Mac ini yang akan berlangsung di The Curve, Damansara. Pelbagai aktiviti menarik membabitkan persembahan artis dan seni akan diadakan. Perdana Menteri akan hadir pada 4 Mac dan kami sudah menyiapkan memorandum tiga usul berkaitan kebajikan artis untuk disampaikan kepada beliau," kata Zed.
Sementara itu, Jamawi yang turut terpanggil menghulur bantuan ini berkata: "Sebelum ini Pemuda Umno banyak bekerjasama dalam bentuk program. Tetapi selepas berbincang mengenai keperluan Seniman, kami berpendapat artis veteran dan yang sakit perlu dibantu. Kami dan Seniman akan menziarah 22 artis selepas ini untuk menyampaikan sumbangan. Ia membabitkan artis veteran dan baru kerana kami menghargai peranan artis dalam menghibur masyarakat."