Adsense

Khamis, 17 November 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Sedia jalani ujian DNA

Posted: 16 Nov 2011 04:07 PM PST

Hip

Tidak hirau cerita mengarut

BINTANG pop, Justin Bieber, percaya dakwaan seorang peminat perempuan bahawa dia bapa kepada anak yang dilahirkannya adalah sebahagian daripada 'tugas' yang perlu dihadapinya sebagai penyanyi.

Mariah Yeater mendakwa, penyanyi berusia 17 tahun itu ialah bapa kepada anak lelakinya, Tristyn, yang berusia 4 bulan, selepas mereka berasmara di belakang pentas selepas konsert Bieber di Los Angeles pada tahun lalu. Perempuan berusia 20 tahun itu memfailkan kes di mahkamah dengan menamakan Bieber sebagai bapa bayi terbabit dan menuntut nafkah berjumlah RM850,552 daripadanya.

Biarpun penyanyi remaja dari Kanada itu berkali-kali menafikan tuduhan terbabit, dia menerima perkara berkenaan sebagai sebahagian daripada cabaran hidup bintang pop sepertinya.

Bercakap kepada majalah Star mengenai keadaan dirinya dan teman wanita, Selena Gomez, berdepan dengan situasi berkenaan, Justin berkata, mereka berdua perlu membiasakan diri dengan insiden sedemikian kerana ia sebahagian daripada asam garam industri hiburan.

"Memanglah tidak patut kami membiasakan diri dengan perkara seperti ini, namun itulah sebahagian daripada hakikat dunia hiburan yang perlu diterima. Kami berdua belajar untuk tidak menghiraukan cerita karut yang tiba-tiba muncul seperti itu," katanya.
Pasangan muda lagi popular ini sememangnya perlu berdepan banyak cabaran sejak mereka mula bersama pada penghujung tahun lalu. Awal tahun ini, bintang Disney berusia 18 tahun itu menerima ugutan bunuh daripada peminat Bieber apabila mereka dilihat berciuman di kawasan percutian St Lucia.

Peminat tegar Bieber mengirim mesej berbaur ancaman ke laman sosial yang berbunyi "aku bersumpah akan bunuh kamu" dan "jika betul kamu ialah teman wanita Justin, aku akan bunuh kamu. Aku benci kamu."

Bagaimanapun, Justin berkata, Selena berdepan keadaan itu dengan agak tenang dan tidak membiarkan khabar angin mengenai bayi terbabit menekan dirinya.

"Dia dalam keadaan baik. Seperti saya, dia juga tidak menghiraukan perkara seperti itu.

"Selena sudah biasa berdepan beberapa perkara yang teruk, yang diperkatakan peminat mengenainya di Twitter, apabila kami mula keluar bersama. Sejak itu, dia belajar untuk tidak menghiraukan semua cerita merapu yang ditulis mengenai kami," kata Bieber.

Mimpi ngeri membabitkan dakwaan dirinya sebagai bapa bayi terbabit juga mungkin berakhir tidak lama lagi apabila bintang muda ini bersedia untuk membuktikan dirinya tidak bersalah menerusi ujian DNA.

Pasukan perundangan penyanyi ini sudah mengeluarkan kenyataan pada minggu lalu, dengan melabelkan dakwaan Yeater sebagai berniat jahat, fitnah dan tidak benar sama sekali. Justin sendiri akan mengambil ujian bagi menentukan dirinya bukan bapa kepada bayi terbabit.

Mereka turut menegaskan akan mencari apa saja penawar undang-undang yang ada bagi melindungi Bieber dan memastikan pihak yang membuat tuduhan palsu itu bertanggungjawab atas perbuatan mereka.

Bintang pujaan ramai ini juga menambah, dia bersedia untuk melakukan apa saja demi membersihkan namanya.
"Semua perkara berhubung kes ini dikendalikan oleh pasukan perundangan saya. Namun jika mereka mahu saya turut menanganinya, saya akan berbuat begitu," ujarnya.

Lagu Bieber untuk Arthur Christmas

APABILA filem animasi 3D Arthur Christmas terbitan Aardman untuk Sony Pictures Animation dan Columbia Pictures ditayangkan kepada umum pada minggu depan, peminat akan dapat menikmati lagu Santa Claus Is Comin' To Town versi Bieber, yang dimainkan ketika kredit akhir filem terbabit dipaparkan.

Lagu berkenaan adalah daripada album Krismas penyanyi ini yang berjudul Under The Mistletoe.

Sebelum tayangan filem itu pula, peminat akan dapat menyaksikan video muzik eksklusif untuk lagu terbabit, yang akan mula ditayangkan secara perdana, hanya di pawagam yang memutarkan filem berkenaan.

Single pertama daripada album terbabit, Mistletoe, akan turut didengar peminat dalam iklan TV terpilih bagi filem ini.

Under The Mistletoe ialah album yang menggabungkan irama tradisional Krismas bersama lagu baru yang ditulis secara bersama oleh Bieber. Ia mula dipasarkan pada awal November lalu.

Filem Arthur Christmas pula mendedahkan buat kali pertama bagaimana Santa menghantar kesemua hadiah untuk kanak-kanak hanya pada satu malam saja.
menerusi filem terbabit, operasi Santa yang berteknologi tinggi dikatakan tersembunyi di Kutub Utara.

Diarahkan Sarah Smith, hasil tulisan Peter Baynham dan Sarah sendiri, filem komedi ini antara lain menggunakan suara pelakon James McAvoy, Jim Broadbent, Bill Nighy, Hugh Laurie, Imelda Staunton, Eva Longoria, Ashley Jensen dan Laura Linney.

Full content generated by Get Full RSS.

Bakal gegar tiga negeri

Posted: 16 Nov 2011 04:04 PM PST

Hip

Konsert Fenomena 30 Tahun Search janji persembahan terbaik

SEMPENA tiga dekad pembabitan kumpulan Search dalam arena seni muzik tanah air, legenda rock ini akan muncul dalam tiga siri konsert mereka, masing-masing di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang, pada 19 November, diikuti dengan Stadium Larkin, Johor Bahru (3 Disember) dan Padang Astaka, Kuala Lumpur (17 Disember).

Konsert berkenaan dianjurkan sebagai penghargaan buat peminat yang sentiasa berdiri di kukuh di belakang Search, menyokong karier muzik kumpulan ini sejak mula diasaskan pada 1981 lagi. Anggota kumpulan ini sendiri menjanjikan persembahan terbaik buat penyokong kuat mereka, dengan lebih 20 lagu popular bakal dipersembahkan pada konsert terbabit.

Lebih menggembirakan, mereka tidak akan menyampaikan lagu secara medley, bagi memastikan kepuasan maksimum buat penonton.

Bukan sekadar kumpulan berkenaan yang akan menggegarkan konsert terbabit, malah ia turut dihangatkan lagi dengan kemunculan artis dan kumpulan undangan seperti Datuk M Nasir yang bakal muncul di Kuala Lumpur (KL), Sofea (Pulau Pinang), Koffin Kanser (Johor) dan Projek Pistol (KL).

Kumpulan lain yang turut memeriahkan konsert itu nanti ialah Bittersweet dan Pesawat.
Pengacara sampingan konsert terdiri daripada Burn, Nana, Jehan Miskin, Nabil, Angah dan Jep untuk persembahan di Pulau Pinang, sementara Johan pula tampil menghiburkan penonton di Johor dan KL.

Istimewanya juga, konsert terbabit menawarkan tiga kereta Perodua Viva 660 BXA sumbangan penganjur, Oracle Accord, untuk peminat bertuah, manakala setiap penonton yang hadir akan menerima sehelai baju-T eksklusif sebagai cenderamata.

Habuan hebat itu tentu saja menambahkan lagi tarikan untuk peminat menyaksikan persembahan kumpulan legenda ini.

Bagi peminat yang tidak ingin ketinggalan menyaksikan kehebatan Search pada tiga konsert terbabit, mereka boleh mendapatkan tiket di cawangan Petronas yang mengambil bahagian, Rock Corners dan wakil jualan sah yang tersenarai di www.ticketonline.com.my. Peminat juga boleh melayari laman rasmi konsert di www.facebook.com/search30.

INFO

  • Sertai kuiz Berita Harian - Search dan menangi sepasang tiket bernilai RM69 untuk menonton persembahan kumpulan rock legenda ini di Johor Bahru atau Kuala Lumpur

  • Dapatkan akhbar Berita Harian di ruangan HIP hari ini untuk mengetahui cara menyertai peraduan ini
  • Full content generated by Get Full RSS.