Harian Metro: Rap |
Posted: 07 Sep 2011 05:54 AM PDT MELIHAT pada jalur kerjaya dan jadual seni pelakon popular, Fasha Sandha, 27, tiada ruang yang kosong dan masa yang terluang kerana setiap hari dipenuhi pelbagai undangan lakonan dan komitmen sebagai anak seni. Bagaimanapun, peluang berbual panjang dengannya beberapa hari sebelum menjelangnya Aidilfitri untuk sesi fotografi, Fasha menyuarakan rasa bahagianya yang bagai tersekat jauh tersembunyi. Fasha yang juga memiliki salon Chinta, bagai melepaskan segala cerita dan sembang yang ingin dikongsikan buat tatapan peminat yang tidak henti menyokongnya. Jelasnya, kedatangan Syawal kali ini mengundang seribu rasa bahagia dan gembira kepadanya. Tidak sekadar pada aspek kerjaya dan perniagaannya yang kian berkembang baik, malah soal peribadi yang dulunya dijentik kuat juga sudah tidak lagi dibicarakan.
"Tidak hanya berkumpul dengan sanak-saudara dan menghabiskan masa terluang bersama keluarga, saya sendiri berasa puas dan gembira dengan pencapaian diri sendiri. Setidak-tidaknya, masih ada ruang buat saya bernafas walau dibelit seribu satu dugaan," katanya yang menghabiskan cuti selama lima hari beraya bersama keluarga di Kuala Perlis dan Kangar. Senyuman yang terukir petang itu bukan pada soal peribadi yang ada kalanya luas dibentangkan media, jauh sekali kepingin bercinta lagi, sebaliknya anak kelahiran Johor Bahru, Johor pada 28 Mac 1984 ini bahagia dengan rezeki dan peluang yang tidak henti diberikan kepadanya. Fasha juga sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri Cinta Elysa dan ruang buatnya berlakon filem tidak dapat dipenuhi walaupun banyak menerima tawaran. "Ada kalanya saya terfikir sendiri, tersenyum dan bersyukur kerana undangan lakonan tidak henti datang mencurah walaupun penat juga nama saya dikaitkan dengan pelbagai cerita sebelum ini. Ironinya, ia langsung tidak menggugat kepercayaan pihak produksi atau kepercayaan saya pada lakonan. "Bayangkan jadual kerjaya saya begitu padat sekarang. Sejurus habis penggambaran drama siri 5 Tahun 5 Minit dan Dewa Cinta, saya terus berlari ke lokasi telefilem sempena Aidilfitri yang ditayangkan minggu lalu, Ku Petik Dosa. Belum sempat rehat, saya terus ke lokasi drama siri Cinta Elysa pula hingga kini. "Saya bertuah kerana berpeluang bekerja dengan ramai pengarah dan pelbagai genre cerita. Watak yang diberi juga jauh lebih matang berbanding sebelumnya yang mampu menyerlahkan kematangan dan kemampuan dalam lakonan. "Mungkin ini peluang terbaik untuk saya meletak sepenuh fokus bagi mengukuhkan lagi lakonan serta mempelbagaikan lagi bakat yang ada buat peminat yang setia menyokong," katanya yang turut gembira dengan sambutan baik pelanggan terhadap salon Chinta miliknya. Melihat wajah si empunya senyuman manis ini yang banyak mewarnai drama televisyen hari ini tiada siapa yang sedar yang Fasha terpaksa menolak beberapa tawaran filem. Meskipun layar lebar menjanjikan skala yang lebih besar dan profil kerjaya yang kuat, bintang filem Anak Halal dan Cicakman ini tidak pernah menjadikan soal itu sebagai kayu ukur pada kerjayanya. Sebaliknya, jelas Fasha berkali-kali, apa yang menjadi keutamaannya adalah kekuatan skrip dan kelainan pada watak yang diberi. "Sejak awal pembabitan saya, memang cukup mementingkan skrip dan watak kerana saya percaya itu adalah kunci yang membawa kepada kejayaan seseorang pelakon. Tidak timbul soal filem atau drama kerana jika plot ceritanya kuat, ia akan tetap membawa nama seseorang pelakon itu ke tahap yang lebih baik. "Lihat saja drama Natasha yang saya fikirkan banyak membantu memperkenalkan nama saya dengan lebih cepat kerana penonton lebih merasai karakter yang saya terjemahkan. Itu lebih penting kerana sebagai pelakon, saya hanya inginkan yang terbaik buat peminat dan bukannya pada profil semata-mata kerana banyak mewarnai naskhah layar lebar. "Drama Cinta Elysa ini skripnya begitu kuat, begitu juga plot cerita serta perwatakannya hingga berjaya menarik minat saya. Lagipun ia ditulis penulis skrip yang sama dengan drama Natasha iaitu Sharifah Abu Salim. Saya yakin ia mampu mengulangi fenomena Natasha. "Bagaimanapun, saya akui terpaksa menolak beberapa tawaran filem tapi semua itu bukanlah soal skrip yang tidak menarik, sebaliknya masalah masa dan jadual yang bertembung. Prinsip yang saya amalkan adalah tidak mengambil dua tawaran dalam satu masa kerana bimbang terlalu penat dan hilang fokus," katanya. Mengakui kini sudah memegang beberapa skrip drama dan filem untuk dipertimbangkan, Fasha yang kali terakhir muncul di layar perak menerusi filem 4 Madu yang ditayangkan tahun lalu, begitu berhati-hati dan teliti akan projek barunya. "Setakat ini saya sudahpun meneliti beberapa skrip drama siri untuk tayangan Astro serta dua skrip filem termasuk karya romantik komedi terbitan Tall Order Production yang masih perlu saya pertimbangkan. "Saya akan memilih mana yang berkualiti dan boleh memberikan saya kepuasan maksimum sebagai pelakon," katanya yang merancang mengadakan rumah terbuka buat peminat dan teman rapat di salon Chinta, minggu depan. Drama Cinta Elysa akan mula disiarkan di TV3 setiap Selasa, jam 9 malam mulai minggu depan. Drama 13 episod ini turut menggandingkannya buat pertama kali dengan Johan Ashaari dan akan menyingkap satu lagi plot cerita berkisar kekeluargaan, persahabatan dan percintaan. PROFIL Nama sebenar: Nur Fasha Sandha Hassan |
Travelog AirAsia 26 episod di TV3 Posted: 07 Sep 2011 05:45 AM PDT LEBIH 20 tahun terbabit dalam bidang hiburan tempatan, orang kuat AirAsia, Edd Razhe diberi kepercayaan muncul di depan kamera pula bagi mengendalikan program sendiri buat julung kalinya. Edd yang juga Pembantu Khas kepada Pengerusi dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, bakal mengacarakan program Travelog AirAsia Bersama Edd Razhe yang turut dijayakan bersama hos undangan terdiri dari barisan selebriti popular tanah air. Program 26 episod ini bakal disiarkan di TV3 bermula penghujung Oktober ini.
Seramai 20 artis wanita terkenal yang bakal terbabit dalam program ini seperti Maya Karin, Fauziah Latiff, Ella, Nurul Syuhada Nurul Ain, Fara Fauzana, Intan Ladyana, Nora Danish, Alyah, Fasha Sandha, Juliana Evans, Daphne Iking dan ramai lagi. Semua artis akan disolek oleh jurumekap terkenal, Zulfazli Suhadi.
Secara peribadi, Edd yang pernah menjadi pengurus kumpulan Feminin, Maya Karin dan Yasin turut bersyukur kerana diberi kepercayaan TV3 dan AirAsia mengacarakan program menarik itu. "Semuanya bermula apabila saya tampil dengan idea untuk buat program ini dan ia juga dipersetujui Pengasas dan Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Bhd, Tan Sri Tony Fernandes dan Pengasas Bersama Tune Group dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Datuk Kamarudin Meranun serta Datuk Seri Farid Ridzuan yang tertarik untuk merealisasikan program ini. "Sebelum ini, saya pernah menjayakan Majalah 3 bersama Nurul Syuhada dan sedikit sebanyak pengalaman itu memberi keyakinan tinggi pada saya memikul tanggung-jawab besar mengacarakan program ini. "Selain itu, saya juga dibantu kawan termasuk rakan artis untuk merealisasikan program ini seperti direncanakan. Sebagai pengacara, saya bersedia memberikan yang terbaik pada program ini mengikut kemampuan sendiri," katanya. Mengenai pemilihan artis, kata Edd, semua selebriti yang terbabit dalam program ini ialah mereka yang rapat dengannya sejak dulu. Ia lebih memudahkannya bekerja kerana sudah kenal lama dan lebih selesa bekerjasama dengan rakan artis yang sudah kenal hati budinya. "Bukan itu saja, mereka juga sudah tahu cara saya bekerja bagi memudahkan kami merealisasikan program ini. Sepanjang mengacarakan program ini, saya turut dibantu produser dan jurukamera TV3 yang turut membuat liputan untuk semua episod di lokasi yang dipilih," katanya. Selaku Produser Eksekutif, Edd berkata, apa yang menarik mengenai Travelog itu adalah konsep santai dan berbeza dengan program Majalah 3 yang memaparkan isu yang lebih serius. "Terus terang, saya akan mengacarakan program ini dengan cara sendiri serta mengikut keselesaan sepanjang ia bersiaran nanti. Program ini dihasilkan dalam dua bahasa iaitu bahasa Melayu dan Inggeris. Episod pertama akan memaparkan saya meneroka kota Paris bersama Maya Karin dan kami akan berangkat ke sana pada 26 September ini. "Di Jeddah pula, kami akan paparkan cara orang Islam menunaikan umrah di Tanah Suci Makkah. Selain pengacara, saya juga bertanggungjawab dari segi kandungan program dipaparkan nanti," katanya. Sementara itu, Edd turut bercerita kenangannya ketika bekerjasama dengan jurukamera BernamaTV, Noramfaizul Mohd Nor yang meninggal dunia selepas terkena tembakan ketika membuat liputan Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia dan Bakti di Mogadishu, Somalia pada 2 September lalu. Katanya, arwah antara jurukamera daripada Bernama yang paling rapat dengannya kerana sudah kenal iaitu sejak 10 tahun lalu. Arwah juga sering membuat liputan pelbagai majlis anjuran AirAsia yang berlangsung di Kuala Lumpur sebelum ini. "Arwah pernah membuat liputan bersama AirAsia ke Miri (Sarawak), Medan dan Korea sebelum ini. Antara kenangan yang sukar dilupakan ketika bersama arwah ketika dia membuat liputan majlis menandatangani perjanjian antara AirAsia dan Manchester United, tiga tahun lalu. "Saya dan AirAsia memang suka dengan hasil kerjanya yang bagus, kreatif dan ada kelainan berbanding jurukamera lain. Kami di AirAsia cukup terasa dengan pemergiannya itu. Apapun, kita kena reda dengan ujian Tuhan yang lebih menyayanginya," katanya. |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |