Adsense

Khamis, 8 September 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Raya Tak Jadi boleh ‘meletup’

Posted: 07 Sep 2011 07:14 PM PDT

Hip

Teraju utama Raya Tak Jadi.

Teraju utama Raya Tak Jadi.

Dijangka tetap menarik perhatian penonton walaupun selepas dua minggu hari raya

MESKIPUN penayangannya selepas dua minggu menyambut Aidilfitri, namun filem Raya Tak Jadi ini diyakini mampu meraih perhatian penonton dan seterusnya meraih kutipan besar apabila ditayangkan mula 15 September ini.

Ia bukan dilihat atas sebab faktor tarikh tayangan yang diperoleh daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), tetapi kekuatan jentera promosi dan kekuatan jalan cerita yang akan disajikan di lebih 70 pawagam seluruh tanah air.

Pengurus Besar Filem & Drama, Perniagaan Studio dan Pembangunan Korporat Primeworks Studio, Tengku Iesta Tengku Alaudin berkata, sekalipun lahir sedikit perasaan kecewa dengan tarikh tayangan, namun kelebihan dan rahmatnya lebih besar daripada apa yang dijangkakan."Memandangkan judul filem ini menggunakan tajuk raya, namun saya percaya umat Islam masih lagi berada di dalam mood raya yang biasanya disambut selama sebulan.
"Kami juga bertuah kerana filem yang diterajui pelakon utamanya iaitu Saiful Apek dan Johan (Raja Lawak) cukup kuat untuk membawa filem ini meraih kejayaan yang besar. Daripada maklum balas yang diterima daripada pengunjung yang menonton triler filem ini menerusi internet, kebanyakan mereka tidak sabar untuk menyaksikan gandingan mantap dua pelakon ini dan tidak kurang memuji jalan ceritanya yang mampu menggelikan hati penonton," katanya yang dihubungi Hip kelmarin.

Berhubung dengan tarikh itu juga, Tengku Iesta pada mulanya tetap berusaha untuk mendapat tarikh pada hari raya pertama, namun terpaksa akur selepas rayuannya ditolak atas sebab sedikit kelewatan mengemukakan permohonan kepada jawatankuasa Skim Wajib Tayang. "Pada mulanya kita sudah cuba untuk dapatkan tarikh pada hari raya itu, tetapi mengikut penjelasan daripada FINAS, permohonan kepada Wajib Tayang agak terlewat dikemukakan. Bagaimanapun kita cuba sekali lagi mengemukakan rayuan kepada FINAS tetapi tidak berjaya," katanya yang tetap bersyukur dengan tarikh tayangan yang diterima kerana bebas daripada persaingan filem tempatan yang akan ditayangkan.

Melihat kejayaan besar filem yang diperoleh menerusi tayangan filem Hantu Bonceng arahan Ahmad Idham Ahmad Nadzri pada hari raya pertama lalu, Tengku Iesta kini semakin gigih mengatur strategi menguatkan jentera promosinya sejak Ramadan lalu.
"Apa yang harus kami lakukan sekarang adalah menguatkan jentera promosi untuk memberikan impak yang lebih besar untuk filem ini. Promosi menerusi TV sudah dijalankan sejak Ramadan lalu lagi di mana kita banyak menyiarkan sedutan filem ini selama 10 saat dalam program utama stesen milik Media Prima Berhad dan ia masih berterusan hingga kini.

"Selain itu juga, bermula minggu ini kami akan gigih mengatur promosi baik menerusi TV, akhbar, majalah, internet dan pelbagai medium lagi," katanya dalam nada optimis itu.

Filem Raya Tak Jadi menampilkan pelakon komedi terkenal seperti Saiful Apek, Johan Raja Lawak, Datuk Jalaluddin Hassan, Wan Sharmila dan Noreen. Filem arahan A. Razak Mohaideen itu mengisahkan Leo, seorang ahli perniagaan Kurma merancang untuk menculik Penyimpan Mohor Besar Raja Raja, Haji Ehsan atas sebab kontena kurmanya tidak sampai mengikut jadual dan mengalami kerugian.

Leo mengarahkan Ali dan Abu untuk menculik Haji Ehsan. Arahan itu dapat dilaksanakan tapi mereka tertukar dengan teksi Shuib.

Shuib mempunyai seorang adik namanya Bob dan mereka terjumpa Haji Ehsan dalam bonet teksi yang disangka mayat Haji Ehsan.

Abu dan Ali kemudian berjaya menjejaki teksi Shuib dan mereka mula merancang dan menculik ibu dan adik Shuib. Leo meminta wang tebusan dari Hajah Nisah lakonan Noreen Noor sebelum melepaskan ibu dan adik Shuib. Polis berjaya memberkas Leo dan pekerjanya semasa mereka bertukar wang dan tebusan.


Penonton Melayu berkuasa

Posted: 07 Sep 2011 07:12 PM PDT

Hip

Jumlah penonton bertambah setiap tahun bergantung jenis filem yang ditayangkan.

Jumlah penonton bertambah setiap tahun bergantung jenis filem yang ditayangkan.

Pengendali panggung akui jumlah penonton jatuh mendadak sepanjang Ramadan lalu

PENONTON Melayu mendominasi jumlah khalayak di pawagam apabila rata-rata operator panggung wayang mengakui peratusan jumlah kunjungan setiap kali puasa menurun lebih 50 peratus sepanjang bulan puasa lalu, berbanding bulan lain.

Penurunan peratusan yang ketara itu secara tidak langsung membuktikan kuasa menonton filem dikalangan masyarakat Melayu cukup besar malah bukan hanya penerbit tempatan mengelak menayangkan filem mereka pada Ramadan, malahan pengedar filem antarabangsa juga seboleh-bolehnya akan memilih tarikh lain.

Selain menghormati kehadiran bulan mulia, ketiadaan filem blockbuster juga antara faktor yang menyebabkan penonton bukan beragama Islam tidak mengunjungi pawagam dalam tempoh berkenaan. Dua daripada operator panggung terbesar di negara ini, Golden Screen Cinema (GSC) dan Tanjong Golden Village (TGV) mengakui penonton Melayu memegang monopoli terbesar yang ditonjolkan menerusi penurunan kadar peratusan pengunjung pawagam pada musim Ramadan.

Pengurus Operasi GSC, Kelvin Chee, berkata walaupun pihaknya tidak mempunyai kadar pembahagian penonton mengikut bangsa, situasi sepanjang puasa menunjukkan kecenderungan kaum Melayu berbanding bangsa lain.

"Sememangnya populasi kaum Melayu juga paling besar namun dari segi tontonan filem di pawagam, angka antara 40 hingga 50 peratus kurang daripada jumlah biasa adalah sesuatu yang amat besar dan jelas menunjukkan penonton Melayu menjadi penyokong utama industri perfileman.

"Bagaimanapun, bangsa lain juga masih menjadikan menonton filem sebagai aktiviti santai bukan hanya pada hujung minggu malah pada hari bekerja terutama tayangan malam," katanya.
Kelvin berkata, kebiasaannya sepanjang bulan puasa ada dikalangan penonton Melayu yang gemar ke panggung tetap memperuntukkan waktu sekiranya ada filem menarik dengan memilih tayangan selepas jam 9 malam atau tengah malam.

Seperti tahun terdahulu, walaupun kehadiran penonton merosot sepanjang Ramadan, ia akan naik mendadak sebaik saja 1 Syawal hingga hari seterusnya terutama jika terdapat filem blockbuster tempatan dan luar negara.

"Memang ada pengedar filem Hollywood di sini yang akan memilih tarikh wajib tayang bukan pada bulan puasa, cuma kali ini trend agak berlainan apabila filem Rise of the Planet of The Apes ditayangkan dan mendapat sambutan hangat.

"Kami yakin sekiranya ada filem yang bagus, pengunjung setia akan tetap datang. Macam kali ini ramai pengunjung Melayu di ibu negara yang mengikuti tayangan tengah malam disebabkan di sini kita mempunyai empat pawagam yang mengadakan tayangan tengah malam dari Khamis hingga Ahad," katanya lagi.

Sementara itu, wakil TGV, berkata sememangnya dari segi perkadaran, bangsa Melayu mewakili hampir 80 peratus pengunjung yang setia mengikuti filem kegemaran di panggung wayang.

"Jumlah penonton Melayu yang lebih ramai membuatkan peratusan mereka juga lebih besar berbanding bangsa lain sekali gus apabila Ramadan penurunan kadar peratusan bilangan penonton sangat ketara.

"Boleh dikatakan sepanjang Ramadan hanya sekitar 10 hingga 15 peratus saja penonton Melayu tetapi kebiasaannya mereka mengambil tiket untuk tayangan malam, itu pun jika ada filem blockbuster," katanya.

GSC adalah pengendali pawagam terbesar dengan 24 pawagam di seluruh negara yang menyediakan 42,055 tempat duduk manakala TGV berada di tangga ke dua dengan 16 pawagam yang boleh memuatkan 23,751 penonton.