Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Dina jelmaan Effie WhiteRAMAI yang meletakkan harapan yang tinggi apabila ada naskhah teater antarabangsa dipentaskan di Malaysia. Justeru, tidak hairanlah apabila Dreamgirls - The Broadway Musical Sensation yang berlatarkan era 60-an sehingga 80-an dipentaskan di Istana Budaya dengan menampilkan lakonan pelakon-pelakon tempatan, ada yang masih was-was dengan kualiti produk yang diadaptasi dari naskhah teater berprestij New York itu. Bagaimanapun, Kosmo! yang berkesempatan menonton teater muzikal itu pada sesi previu pada minggu lalu terpukau dengan kualiti lakonan yang diberikan oleh barisan pelakonnya terutamanya penyanyi dan penyampai radio, Dina Nadzir yang memegang watak Effie White. Jika sudah namanya teater muzikal sudah tentulah kebanyakan dialog dilontarkan adalah dalam bentuk nyanyian. Dan khusus buat Dina yang merupakan penggerak utama teater ini, dia dilihat berjaya melakonkan watak yang pernah dipegang oleh Jennifer Hudson menerusi versi filem itu dengan penuh sukses. Rata-rata penonton memberikan sorakan padu dan mengakui kualiti vokal yang dimiliki Dina merupakan antara yang terbaik dalam pementasan teater. Sungguhpun begitu, Dina yang ditemui sejurus pementasan teater yang turut menampilkan lakonan Cheryl Samad, Azura Zainal, Dafi dan Tony Eusoff itu selesai mengakui, agak sukar buat dirinya untuk menjiwai karakter Effie White meskipun watak itu merupakan watak yang diidamkan selepas menonton filem itu di pawagam. "Sebenarnya saya teruja apabila menonton filem Dreamgirls dan dalam hati saya berkata alangkah bagusnya kalau saya dapat berlakon watak Effie White itu. Jadi apabila ada uji bakat untuk teater Dreamgirls di Malaysia, saya tidak melepaskan peluang. "Memang ramai orang beranggapan watak ini mudah untuk saya sebab saya penyanyi, tetapi hakikat sebenarnya ia amat sukar kerana saya terpaksa menyanyi, berlakon dan menari dalam masa yang sama. Apatah lagi tahap kualiti yang diinginkan penerbit adalah sangat tinggi. "Selain itu, teater ini seratus peratus dituturkan dalam bahasa Inggeris ala-ala Amerika Syarikat dan itu cabaran buat orang macam saya yang bertutur dalam bahasa Melayu setiap hari," katanya jujur. DREAMGIRLS dipentaskan di Istana Budaya sehingga 24 Julai ini. Tambah Dina, walaupun dia sudah biasa menyanyi di atas pentas dengan nada yang tinggi tetapi untuk Dreamgirls, dia harus menyanyi mengikut not muzik yang telah ditetapkan oleh pihak penerbitan teater itu. "Biasanya kalau saya menyanyi, saya hanya akan dengar muzik tetapi untuk teater ini, saya kena ikut not-not muzik yang telah ditetapkan oleh pihak penerbitan asal di New York supaya tidak lari daripada pementasan asal. "Saya juga cukup berbangga apabila melihat Azura dan Cheryl yang kita tahu mereka bukan penyanyi tetapi boleh menyanyi dengan cukup baik. Saya berpuas hati melihat orang ramai dapat menerima lakonan saya," ujarnya yang menganggap seluruh tenaga produksi seperti keluarga selepas berlatih bersama selama tiga bulan. Cheryl jadi diva Pengacara yang cukup petah berkata-kata, Cheryl Samad, juga dilihat membawakan watak Deena Jones dengan baik meskipun lakonannya ditenggelami oleh karisma yang ada dalam watak yang dihidupkan Dina. Wataknya sebagai gadis naïf pada peringkat awal mengalami transformasi sebagai seorang diva yang glamor dan diminati ramai. Bagi Cheryl, tranformasi itu cukup sukar untuk dilakukannya. "Bagi saya, babak yang paling sukar adalah apabila saya berubah daripada seorang gadis naïf kepada seorang diva yang menjadi tumpuan di atas pentas persembahan. "Saya harus kaji jalan cerita dan penyanyi Diana Ross yang merupakan penyanyi utama kumpulan The Supremes yang mana kumpulan itu merupakan inspirasi kepada teater ini," kata Cheryl. Luah Cheryl lagi, dia sedar bahawa lakonannya sebagai Deena Jones sudah pasti akan dibandingkan dengan lakonan penyanyi terkenal Beyonce bagi karakter Deena Jones versi filem. "Saya tidak kisah kalau orang ingin bandingkan saya dengan Beyonce kerana penonton di Malaysia lebih terdedah dengan versi filemnya berbanding versi teater. Itu hak masing-masing. Apa yang penting semua orang dalam produksi teater Dreamgirls ini telah memberikan yang terbaik. "Walaupun penat kerana terpaksa berlatih setiap hari dan harus memberi persembahan yang konsisten, saya bersyukur dan berpuas hati kerana setakat hari ini semuanya berjalan dengan lancar. Saya juga seronok dapat berlakon dengan Dina dan Azura yang mana bagi saya mereka merupakan pelakon yang bagus," ujarnya. Azura cuba nasib Azura Zainal yang lebih dikenali sebagai pengacara program televisyen tiba-tiba membuka mata khalayak dengan bakat lakonannya yang sebelum ini tenggelam dengan bakat pengacaraannya, Ramai juga yang tertanya-tanya siapa gerangannya pelakon yang memegang watak gedik sebagai Lorrell Robinson. Ternyata lakonannya menjadi apabila ramai yang geli hati tatkala wataknya itu muncul di atas pentas.
"Semasa diberi peluang untuk uji bakat saya tidak meletakkan harapan yang tinggi kerana saya lihat ramai pelakon yang bagus turut menghadiri uji bakat tersebut. Alhamdulillah saya terpilih tetapi ketika itu saya terpaksa menolak tawaran ini kerana terlibat dengan penggambaran program televisyen. "Bagi saya tidak adil untuk produksi kerana saya tidak dapat hadiri latihan, namun seminggu selepas saya tolak tawaran itu mereka hubungi saya dan tetap mahukan saya sebagai Lorrell. Jadi, apabila orang sudah beri kepercayaan saya harus buat yang terbaik," luah Azura. Ramai yang tidak tahu, sebenarnya Azura aktif menyanyi dan menari sejak dia di bangku sekolah rendah lagi, malah dia turut mengikuti kelas vokal bersama Siti Hajar Ismail. "Memang ramai yang terkejut apabila saya memegang watak ini. Pada peringkat awal latihan memang 'bertarabur' juga saya menari dan menyanyi tetapi selepas latihan yang kerap semuanya okey," katanya lagi. Azura menaruh harapan bahawa dengan peluang yang diberikan untuk Dreamgirls itu akan menjadi batu loncatan untuk ke bidang baru selain pengacaraan. "Saya sengaja ingin cuba bidang baru, sekadar cuba nasib. Saya harap dengan lakonan sepenuh hati yang saya beri untuk Dreamgirls akan membuka mata khalayak mengenai bakat yang saya ada dan membawa saya peringkat yang lebih tinggi," jelasnya. Teater kedua Dafi Selepas kejayaan teater Kenangan Mengusik Jiwa, 60-an, nampaknya Dafi semakin selesa beraksi di pentas teater. Tidak kekok memegang watak C.C White, Dafi mengakui semakin ketagih untuk berlakon teater. "Mula-mula berlakon teater memang saya takut tetapi selepas melalui pengalaman bersama produksi teater saya berasa seperti ketagih pula. Teater memang mengajar saya untuk menjadi seorang pelakon dan penyanyi yang lebih baik daripada sebelum ini. "Teater memang memberikan saya kepuasan, jika diberi peluang untuk berlakon teater lagi saya tidak akan teragak-agak untuk menerimanya asalkan watak itu bersesuaian dengan saya dan saya yakin saya boleh membawa watak itu dengan baik," jawabnya. Bercerita tentang lakonannya dalam Dreamgirls, luah Dafi, dia berpuas hati setelah berlatih dan melakukan sehabis baik, respons positif yang diterimanya membuatkan gembira. "Saya sangat gembira dengan respons yang diberikan penonton, semua penat-lelah saya telah terbayar. Saya berbangga kerana terlibat dalam produksi ini, saya saya akan berusaha lebih keras supaya saya akan membawa peningkatan dalam watak C.C White," ujarnya yang masih fokus dalam bidang nyanyian. Teater Dreamgirls yang diarahkan oleh Joanna Bessey itu dipentaskan di Istana Budaya bermula 14 Julai lalu sehingga 24 Julai ini. Buat peminat yang tidak mahu melepaskan peluang menonton teater Dreamgirls - The Broadway Musical Sensation, tiket berharga antara RM48 hingga RM400. boleh didapati di kaunter Istana Budaya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||||
Posted: Tian Liang suka Malaysia
PERJALANAN seni aktor Tian Liang sebelum bergelar pelakon agak unik. Sebelum membintangi filem sulungnya,The Fantastic Water Babes dan drama sulungnya, Niu Lang Zhi Nu - kedua-duanya pada tahun 2008, dia merupakan seorang bintang sukan bertaraf dunia. Pemenang satu pingat emas dan satu pingat perak untuk sukan terjun papan anjal di sukan Olimpik di Sydney, Australia pada tahun 2000 dan pemenang satu pingat emas dan satu pingat gangsa untuk sukan yang sama pada Olimpik 2004 di Athens, Greece itu mengumumkan persaraannya dari bidang sukan pada Mac 2007. Ia rentetan selepas kerajaan China mengharamkan penglibatannya dalam bidang sukan selepas dia terbabit dengan iklan komersial. Selepas sibuk membintangi pelbagai drama, akhirnya dia kini muncul dengan filem kedua lakonannya, I Love Wing Chun. Apa yang menarik, filem ini membawanya ke Malaysia kerana penggambaran filem itu telah berlangsung di Melaka pada tahun lepas. "Produksi ini merupakan sesuatu yang sungguh bermakna buat saya. Ia merupakan pengalaman pertama saya melakukan penggambaran sepenuhnya di luar negara," ujar aktor berusia 32 tahun itu. Tambah Liang: "Saya sangat menyukai cuaca di Malaysia dan begitu juga dengan makanan Malaysia, terutama longan yang dicampur dengan gula perang, lazat sungguh!" I Love Wing Chun merupakan sebuah filem komedi aksi seni mempertahankan diri mengenai tiga sahabat baik iaitu seorang ahli bisnes yang kaya, seorang mahaguru kung fu dan seorang penipu.
Si penipu yang sedang nazak merayu mahaguru kung fu supaya menjaga dan melindungi anak lelakinya. Pada masa yang sama dia memohon ahli bisnes yang kaya itu membantu anak lelakinya itu dari segi kewangan. Apabila anak si penipu itu meningkat dewasa, segala penipuan mulai terbongkar. Menurut Liang, dia melakonkan karakter anak si penipu yang mempunyai kepakaran seni mempertahankan diri Wing Chun tetapi tidak menyedari mengenai hal itu. "Personaliti karakter saya itu merupakan seorang yang sangat jujur dan itu menyebabkan ia agak berlawanan dengan karakter-karakter kelakar yang lain dalam filem ini," jelas Liang mengenai karakter lakonannya dalam I Love Wing Chun. Bercerita lanjut tentang persediaan yang dilakukannya untuk membintangi filem itu ujar Liang: "Saya belajar asas kung fu dengan menghadiri kelas kung fu pada sebelah pagi dan sebelah petang setiap hari selama seminggu." Sehubungan itu, bersempena promosi dan tayangan filem edaran RAM Entertainment Sdn. Bhd. yang turut dilakonkan oleh Yuen Wah, Yuen Qiu dan Natalis Chan Pak Cheong bermula pada 28 Julai ini, Liang bakal berkunjung ke Kuala Lumpur. Dia bakal muncul untuk sesi bertemu peminat di Malaysia pada esok, 22 Julai di Times Square, Genting First World Plaza di Genting Highlands, menjelang pukul 2 petang. Dalam pada itu pesan Liang buat peminatnya di Malaysia: "Buat peminat di Malaysia, I Love Wing Chun merupakan sebuah filem aksi komedi yang penuh dengan babak aksi dan elemen komedi yang menyeronokkan. Harap anda semua suka dengan filem ini." Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||||
Posted: Inspirasi Man BaiOleh NOOR ASHREEN ISMAIL MAN BAI MAN BAI bukanlah satu nama asing bagi industri seni tempatan. Namnya cukup harum pada tahun 1980-an dengan sebuah kumpulan yang diberi nama Gersang yang terkenal pada zaman kegemilangannya dengan lagu-lagu seperti Masih Aku Terasa dan Suratan Takdir. Dia kemudian menyepi sebentar sebelum pada tahun 1997, Man Bai kembali ke persada dengan sebuah lagu yang amat digemari iaitu Kau Ilhamku. Kini, setelah beberapa lama menyepi serta tidak muncul dengan sebarang album, pemilik nama Abdul Rahman Osman ini kembali menyerikan persada seni tanah air dengan album solonya yang terbaharu diberi judul Inspirasi. Apa yang menariknya, nama Inspirasi dipilih kerana semua lagu yang terkandung di dalam album ini merupakan hasil nukilan dirinya sendiri sebagai komposer dan penerbit bagi album ini. Sebagai seorang artis yang telah lama menapak di dalam industri, ujar Man Bai dia inginkan kelainan untuk menyerlahkan dirinya dengan artis baharu yang datang mencurah. "Takut juga, kerana Malaysia kini punyai ramai artis, jadi saya akan cuba mengalih perhatian mereka kepada Man Bai iaitu melalui jiwa saya. "Jadi dengan berkarya sahaja yang akan membuatkan saya diingati. Saya tidak tahu berapa lama lagi saya akan bertahan dan bagus juga ada generasi baharu ini dan untuk itu saya akan terus berkarya selagi mampu," ujar Man Bai tentang perjalanan seninya. Album Inspirasi yang mengandungi lapan buah lagu yang mana dua buah lagu lama telah dirakam semula iaitu Masih Aku Terasa dan Kau Ilhamku dengan penampilan versi baharu. Antara lagu baru yang dimuatkan di dalam album ini ialah Air Mata, Tentang Cinta, Awan Berlalu Pergi termasuk lagu duet bersama Datuk Khatijah Ibrahim yang berjudul Kita Cinta. Album Inspirasi ini telah pun berada di pasaran sejak 30 Jun lalu. Bagi peminat yang ingin memilikinya, boleh dapatkan di kedai muzik dengan harga RM31.90 sahaja. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |