Adsense

Khamis, 23 Jun 2011

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Musim Aaron popular

Posted:

Musim Aaron popular

Musim Aaron popular



SEJAK kebelakangan ini tiba-tiba sahaja nama Aaron Aziz meniti dari bibir ke bibir. Bukan kerana kontroversi tetapi kerana lakonan berkesannya di dalam dua buah karya yang kebetulan disiarkan dalam masa yang sama iaitu filem KL Gangster dan drama Nora Elena.

Maka tidak hairanlah mengapa kini penonton semakin menggilai Aaron Aziz atau nama sebenarnya Aaron Mustapha Aziz terutamanya wanita yang jatuh cinta dengan sisi romantisnya di dalam drama-drama lakonannya.

Tersenyum dan tidak henti mengucapkan syukur, kata Aaron yang kini berusia 35 tahun, keikhlasan dalam melakonkan setiap watak serta kerja kerasnya selama ini semakin membuahkan hasil.

"Ini sudah rezeki saya, saya percaya kalau kita buat sesuatu dengan penuh keikhlasan orang akan nampak dan hargai lakonan serta karya itu.

"Tahun ini tahun ke-11 saya berlakon dan rasanya tahun ini merupakan tahun tuah dan tepat kerana kebetulan dua buah karya lakonan saya berjalan serentak di televisyen dan layar perak," ujarnya.

Meskipun namanya kini berada di puncak, katanya selera penonton boleh berubah-ubah mengikut musim, mungkin kini dia diminati dan digilai tetapi ia tidak akan berkekalan.

"Dulu masa drama Nur Kasih keluar, semua orang bercakap tentang drama Nur Kasih dan pelakonnya, sekarang bila masa berlalu ada drama lain pula yang diminati, sebab itu saya cakap saya popular hari ini juga kerana musim.

"Mungkin pada masa akan datang akan ada fenomena pelakon lain pula, cuma saya rasa bertuah kerana penonton menghargai diri saya sebagai pelakon," ucapnya.

Walaupun namanya sedang hangat, Aaron masih mengekalkan konsep satu kerja dalam satu-satu masa supaya dia tidak hilang fokus dan menyusahkan orang lain.


AARON AZIZ dan isteri bakal menunaikan umrah pada bulan depan dan bakal menukar kerakyatan Singapura kepada Malaysia.


"Sejak awal berlakon saya memang amalkan konsep satu kerja dalam satu-satu masa. Saya tidak mahu kerana saya mahukan wang yang banyak, saya terkejar-kejar dari satu lokasi ke lokasi yang lain.

"Memanglah saya akan dapat duit dengan cara macam itu, tetapi kualiti kerja belum dapat dipastikan lagi. Saya juga bimbang akan menyusahkan orang lain," katanya yang menolak beberapa tawaran lakonan kerana kini terlibat dengan penggambaran drama Stanza Cinta.

Romantis Aaron

Jika dilihat kembali kebanyakan watak yang dipegang Aaron dalam filem adalah watak gengster atau samseng, manakala di dalam drama adalah watak romantis.

Akui Aaron dia sendiri tidak tahu mengapa dia sering diberikan watak sebegitu, tetapi tegasnya setiap kali melakonkan watak gengster dan romantis ia sentiasa berbeza.

"Memang saya selalu diberikan watak yang lebih kurang saya tetapi saya lakonkannya dengan cara berbeza. Romantis Seth Tan dan Nora Elena dan romantis Irfan dalam drama Stanza Cinta sangat berbeza," kata duta L'Oreal Men itu lagi.

Dalam dunia realiti, Aaron sendiri tidak seperti Seth Tan atau jahat dalam filem KL Gangster. Semuanya itu hanya watak lakonannya sahaja.

"Saya gembira apabila drama Nora Elena mencipta satu fenomena di mana penonton terkejar-kejar balik rumah untuk menonton drama itu dan ia menghilangkan tekanan pada mereka yang menontonnya.

"Tetapi harus diingat Seth Tan hanyalah watak lakonan bukannya saya yang sebenar. Saya juga tidak mahu kerana watak romantis terlebih dalam Nora Elena membawa masalah kepada orang lain.

"Janganlah kerana menonton drama ini, penonton wanita terutamanya mempertikaikan kenapa suami mereka tidak begitu romantis. Watak Seth hanyalah fantasi. Isteri saya sendiri tanya pada saya kalau dia tidur di bawah adakah saya akan angkat dia naik atas seperti mana dalam drama Nora Elena sebabnya saya sangat berbeza daripada watak Seth itu sendiri," ucap Aaron.

Singapura ke Malaysia


BARISAN pelakon Stanza Cinta bergambar dengan pengarah drama ini. Along Kamaluddin (dua dari kanan).


Cerita bapa kepada dua orang cahaya mata ini lagi, dia aktif berlakon di Singapura selama lima tahun, sebelum meneruskan kerjanya di Malaysia.

Sejak menjejakkan kaki di dalam industri seni Malaysia, terangnya, dia tidak lagi menoleh ke belakang dan pada tahun 2007 Aaron membawa keluarganya berpindah ke Kuala Lumpur.

Tahun ini, selepas lima tahun di Malaysia, Aaron sekeluarga sudah bersedia untuk memohon status penduduk tetap di Malaysia.

"Saya sudah lama bekerja di Malaysia dan sudah mempunyai ramai rakan dan kerjaya yang stabil di sini. Malah, isteri dan anak-anak saya juga selesa tinggal di Kuala Lumpur.

"Tahun ini, saya sudah jual semua aset saya di Singapura dan bersedia untuk memohon status penduduk tetap di Malaysia. Keluarga saya di Singapura tidak menghalang keputusan saya kerana mereka memahami jiwa saya kini di Malaysia," jelasnya.

Bagaimanapun, sebelum memohon status penduduk tetap, Aaron dan isterinya Diyana terlebih dahulu akan terbang ke Mekah untuk mengerjakan umrah pada 13 Julai depan selama 11 hari.

"Ini kali pertama saya akan ke Mekah bersama isteri. Saya memang rasa teruja, kerana tidak pernah ke sana, selama ini pun saya hanya dengar cerita daripada orang sahaja.

"Nanti di sana saya juga ingin berdoa agar permohonan status penduduk tetap saya akan dipermudahkan dan saya akan uruskan proses permohonan itu sekembalinya saya dari Mekah," tuturnya yang ditemui pada majlis sidang akhbar drama Stanza Cinta.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Pujian bukan penghalang penyingkiran

Posted:

Pujian bukan penghalang penyingkiran

Pujian bukan penghalang penyingkiran

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN
roni.ridwan@kosmo.com.my


PASANGAN adik-beradik Mohammat Arziwan dan Azirah Nabinah Amat terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada pertandingan tersebut.


BIARPUN baru seminggu beraksi, namun nasib ternyata tidak menyebelahi dua pasangan rancangan Mari Menari musim kedua setelah tersingkir pada minggu yang pertama.

Memulakan aksi di pentas tarian pada Sabtu lalu, pasangan Ummi dari kumpulan Ray mendapat undian terendah berbanding empat lagi pasangan.

Pasangan tersebut yang merupakan pasangan adik-beradik iaitu Mohd. Hairul Izuan, 25, dan Siti Ummi Nur Faitul Zilla Dahalan, 27, itu hanya mendapat sebanyak 16.6 peratus.

Menampilkan satu persembahan tarian yang cukup menarik dengan diiringi lagu Joget Angan Tak Sudah nyanyian Jay Jay, namun ia masih belum mampu lagi memikat hati juri dan penonton.

Sementara pasangan Nora pula mendahului saingan selepas tamat persembahan apabila mereka memperoleh undian tertinggi iaitu sebanyak 24.75 peratus.

Merupakan pasangan suami isteri, Mohd. Faizule Abdullah, 23, dan Tengku Puteri Norazilina Tengku Aman Shah, 22, mempersembahkan tarian yang diiringi lagu Zapin Cinta SMS nyanyian Adibah Nor dan Senario.

Dalam saingan yang berlangsung pada hari Ahad membabitkan kumpulan Belalang, pasangan Wan telah diumumkan memperoleh undian terendah, sekali gus tersingkir dan tidak dapat beraksi pada minggu berikutnya.

Walaupun mendapat pujian yang positif daripada juri profesional, ternyata pasangan tersebut tidak dapat menyaingi undian empat peserta lain.

Pasangan Mohammat Arziwan, 25, dan Azirah Nabinah Amat, 18, yang juga pasangan adik-beradik itu sekadar mendapat 18.13 peratus undian.

Ditemui selepas tamat persembahan, pasangan tersebut meluahkan rasa sedih dan kecewa kerana tidak dapat meneruskan saingan walaupun telah melakukan satu persembahan yang menarik.

Menurut Arziwan, persaingan pada malam tersebut sememangnya dilihat cukup sengit dan jarak undian antara setiap peserta tidak jauh berbeza.

"Secara jujurnya kami memang tidak dapat menjangka untuk tersingkir awal, namun kami sedar bahawa persembahan pasangan lain juga tidak kurang hebatnya.

"Memang keputusan ini agak mengecewakan, tetapi kami tetap berpuas hati kerana dapat menyertai rancangan ini walaupun adik saya tidak ada asas dalam tarian," ujarnya yang juga merupakan artis budaya di Jabatan Kebudayaan Sarawak.

Sementara itu, Azirah yang tidak dapat menahan air mata kerana tersingkir pula menyatakan penglibatan mereka berdua bukan sekadar suka-suka.

Ujarnya, mereka bersetuju untuk menyertai rancangan tersebut kerana mahu merapatkan lagi hubungan mereka yang pernah renggang sebelum ini.

"Sebelum saya mendirikan rumah tangga, hubungan saya dengan abang agak rapat, namun selepas saya berkahwin ketika berusia 16 tahun, hubungan kami tidak lagi rapat.

"Walaupun hanya seminggu dalam rancangan ini, saya tetap gembira kerana banyak perkara saya pelajari dan sangat berterima kasih kepada suami yang memberi keizinan kepada saya," ujarnya.

Persembahan pada minggu pertama yang bertemakan Gemalai Extravaganza itu diadili tiga orang juri tetap iaitu Vanida Imran, Harith Iskandar dan Joseph Gonzalez serta seorang juri jemputan, Jaafar Onn.

Dengan penyingkiran kedua-dua pasangan tersebut, kini tinggal lapan lagi pasangan iaitu Nora, Azlin, Sarah, Bibi, Nita, Faiz, Mizi dan Razman akan bersaing pada minggu berikutnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Beast wakil Korea ke Malaysia

Posted:

Beast wakil Korea ke Malaysia

Beast wakil Korea ke Malaysia


BEAST


CUBE Entertainment baru-baru ini mengumumkan kumpulan Beast akan membuat persembahan sebagai wakil dari Korea Selatan di MTV World Stage Live in Malaysia 2011 yang akan berlangsung di i-City Shah Alam pada 24 Julai depan.

Beast merancang untuk memberikan sebuah persembahan hebat buat penonton yang hadir. Mereka akan berkongsi pentas dengan band dari Amerika, 30 Seconds to Mars dan juga wakil dari Malaysia, Pop Shuvit.

"Kami gembira kerana akan ke Malaysia untuk membuat persembahan bersama dengan penyanyi-penyanyi terkenal yang lain. Ramai orang hanya mendengar dan melihat Beast menerusi YouTube sahaja, sebab itu kami sangat teruja kerana persembahan secara langsung kami akan disiarkan hampir di seluruh dunia," kata Beast.

Beast merupakan satu-satunya penyanyi dari Korea Selatan yang diundang untuk menyertai konsert MTV World Stage Live in Malaysia 2011 dan merupakan penyanyi Korea yang kedua menyertai konsert ini, selepas kumpulan Wonder Girls pada tahun lalu.

"Impian menjadi kenyataan untuk mengadakan sebuah konsert untuk peminat kami di Malaysia," kata Beast lagi.

Berita gembira buat peminat Beast, mereka bukan sahaja boleh menyaksikan persembahan secara langsung kumpulan Beast tetapi mereka juga bakal bertemu dengan penyanyi pujaan mereka dalam majlis ramah mesra bersama peminat sempena dengan agenda promosi di luar negara bermula dengan Malaysia pada 1 Julai.

MTV World Stage Live in Malaysia 2011 akan disiarkan di 160 negara.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.