Harian Metro: Rap |
Posted: 22 May 2011 09:49 AM PDT DARJAT menjadi isu dalam percintaan mereka. Bagi Rahman Rahmat dan Rosnaini Ishak, mereka faham cinta yang diimpikan tidak semudah itu untuk digapai. Namun mereka sanggup meredah segala onak untuk cinta dan dicintai. Ketentuan yang sudah tersurat mustahil untuk disangkal. Letak beribu halangan sekalipun, datang sebesar mana dugaan yang menghempas, jika cinta itu putih, ia tidak akan ke mana. Percaya dan yakin dengan pengertian cinta suci, episod penuh romantis ini bakal dipentaskan di gelanggang teater oleh dua bintang muda berbakat besar yang pertama kali dipertemukan iaitu Dafi dan Ana Raffali. Baik Dafi yang melakonkan watak Rahman yang dipanggil Ray mahupun Ana sebagai Rosnaini (Ros), kedua-duanya mengandaikan peluang beraksi dalam teater muzikal sentuhan pengarah Lokman Ghani berjudul Kenangan Mengusik Jiwa... 60-an (KMJ), sebagai satu ruang memperkenalkan sisi lain dalam diri masing-masing.
"Selepas membaca skripnya, melihat konsep dan mengamati tugasan keseluruhan, KMJ mampu menonjolkan bakat yang ada dalam diri saya. Plot ceritanya serta pembangunan watak yang disuntik menerusi KMJ begitu kemas dan tersusun. Menariknya, ia tidak hanya fokus kepada lakonan kami semata-mata, sebaliknya yang lebih menarik perhatian adalah rangkaian lagu 60-an yang dinyanyikan bersama penyanyi terkenal. "Saya yakin KMJ bakal memberikan sesuatu yang berbeza buat peminat teater muzikal. Penonton akan dihiburkan dengan konsep lakonan yang menyentuh emosi, tarian dan nyanyian," katanya. Melihat perjalanan seni Ana yang mendadak naik selepas dinobatkan juara pada Anugerah Juara Lagu Ke-25 lalu, terlintas pula persoalan mengenai jadual seninya yang mungkin terganggu kerana memberi laluan kepada KMJ sepanjang lebih tiga bulan ini. "Alhamdulillah pihak produksi sangat fleksibel dan memahami yang dua teraju utamanya adalah penyanyi. Sejak awal lagi ketika menandatangani kontrak, mereka sudah menjanjikan yang kami masih boleh mengambil sebarang undangan persembahan kalau tidak mengganggu perjalanan pementasan. Lantas saya masih berpeluang untuk memenuhi setiap undangan terutama yang diadakan pada hujung minggu," katanya. Sempat berkongsi watak Ros, Ana berkata, Ros anak orang kaya namun sentiasa kering dalam erti kasih sayang disebabkan kesibukan keluarganya. Namun selepas bertemu Ray di kolej, dia menemui kebebasan sebenar dan mula mengenal erti cinta. Selain Dafi dan Ana, KMJ turut menampilkan pelakon lain termasuk juara program Pilih Kasih, Iqbal Mazlan, Saida AF, Baby Erin, Arja Lee dan beberapa pelakon lain. Malah, penghibur veteran era 60-an seperti Datuk Ahmad Jais, L Ramlee, A Rahman Onn, Fatimah M Amin, A Halim, Hussein Ismail, J Sham dan A Romzi turut diundang bagi memeriahkan lagi KMJ. Meskipun plot ceritanya agak klise seperti yang pernah kita lihat dalam filem Antara Dua Darjat, Ibu Mertuaku dan Jimi Asmara, kisah percintaan dua darjat dan halangan keluarga yang tidak mahu hubungan itu diteruskan tetap disukai masyarakat. Pastinya, kelainan teater ini pada garapan pengarahan serta sentuhan elemen muzikal oleh pengarahnya. Pemegang watak Ray, Dafi sebelum ini pernah membintangi filem Sayang U Can Dance dan drama siri muzikal, Hotel Mania. Dia menyifatkan watak Ray sebagai seorang yang daif dan jujur yang kemudian berdepan dengan kemelut cinta dua darjat. "Pengalaman terbabit dalam drama muzikal dan keyakinan sebagai penyanyi selepas lebih lima tahun bukan satu jaminan yang memberi kelebihan buat saya. Teater sangat mencabar kerana kita kena beraksi secara langsung. Macam-macam boleh berlaku di atas pentas. "Watak Ray dan KMJ memang baru buat saya namun alhamdulillah dengan kelas latihan yang diberikan untuk semua pelakon sejak dua bulan lalu, saya yakin kami boleh merealisasikan apa yang menjadi imaginasi pengarah. Malah, semua pelakon dan tenaga produksi sudah menjadi seperti sebuah keluarga selepas berbulan-bulan berkampung bersama. "Mungkin itu juga adalah kekuatan sebenar yang membantu mengindahkan lagi perjalanan KMJ," katanya. Meninjau kerjaya Dafi atau nama sebenar, Gadaffi Ismail Sabri ini, ia berjalan lancar walaupun tidak dinobatkan sebagai juara program realiti TV, Akademi Fantasia 5. Baik dalam lapangan nyanyian mahupun lakonan, penyanyi berusia 23 tahun yang pernah popular menerusi lagu Bila Terasa Rindu ini mengandaikan segala-galanya adalah rezeki. "Memang saya bersyukur dengan segala perjalanan kerjaya saya. Undangan nyanyian selalu ada dan tawaran berlakon juga tidak henti datang. Semua ini bukanlah datang bergolek, sebaliknya berlandaskan kerja keras. "Sekarang pun saya sedang sibuk mempromosikan lagu Euphoria yang ke udara di carta radio tempatan. Jika tiada sebarang halangan, album penuh saya akan diterbitkan selewat-lewatnya Oktober depan. Malah, saya juga baru dipilih menjadi Duta Bank Rakyat untuk tempoh setahun, selain dilantik menjadi juri bagi karnival Idola Buah Hati Fruitale 2 bersama Marsha Londoh. "Tahun 2011 adalah peluang untuk saya mencari jalan kembali ke landasan yang betul sebagai penyanyi. Saya akui tahun lalu saya padat dengan undangan berlakon dan kali ini sebaik habis KMJ, saya akan kembali ke studio untuk proses rakaman dan meletak sepenuh fokus kepada lapangan seni suara semula," katanya yang bakal menari dan menyanyi tiga lagu termasuk I Wanna Hold Your Hand. KMJ akan mula dipentaskan di IB dari 27 Mei hingga 5 Jun ini setiap hari jam 8.30 malam serta pertunjukan sebelah petang, jam 3 petang pada Sabtu dan Ahad. PROFIL Nama Penuh: Gadaffi Ismail Sabri PROFIL Nama Penuh: Ana Nur Hidayah Mohd Raffali |
Belasungkawa Seniwati Mahyon Ismail: Berlakon ke akhir hayat Posted: 22 May 2011 09:40 AM PDT DUNIA hiburan khususnya gelanggang lakonan melihat gugurnya sebutir lagi bintang yang bergemerlapan di angkasa seni apabila Seniwati Mahyon Ismail, 69, menyahut panggilan Ilahi kelmarin jam 12.30 tengah hari di Hospital Ampang Puteri, Selangor. Ini bermakna keluarga Allahyarham benar-benar merasai satu lagi kehilangan selepas suami arwah, pelakon dan pengarah Allahyarham Hussein Abu Hassan lebih dulu meninggal dunia pada 27 November 2007.
Kini hanya anak-anak pasangan veteran itu mewarisi perjuangan seni mereka terutama Faizal, Dilla dan Fairuz. Keluarga seni itu boleh dianggap cukup unik seperti keluarga seni terkenal, Ahmad Daud dan Saadiah serta Aziz Jaafar dan Normadiah yang sudah kembali ke rahmatullah. Ramai juga tahu Mahyon juga ibu saudara kepada pelakon Rosyam Nor.
Minggu lalu, dunia seni negara dikejutkan dengan pemergian penyanyi Datin Orchid Abdullah dan penulis veteran, Aimi Jarr. Kini kematian mengejut Mahyon atau nama sebenarnya, Mayayun Ismail pula mengundang rasa sedih keluarga, rakan dan peminat. Mahyon yang dilahirkan di Tanjong Karang, Selangor mula berlakon sejak era 1960-an lagi. Malah, jiwa anak seninya begitu kental kerana dia tetap berlakon sehingga ke akhir hayat. Kata anaknya, pelakon terkenal Faizal Hussein, minggu lalu, ibunya sempat berlakon dalam drama terakhirnya, Serapah Darah Bulan Madu terbitan Skop Productions. Ketika berlakon, ibunya sudah mengadu demam, tetapi tidak menjadikannya sebagai alasan untuk tidak hadir penggambaran. Mahyon yang turut menghidap penyakit kencing manis sudah lama dinasihati anak-anaknya itu agar berehat daripada dunia seni, tetapi kecintaannya pada bidang lakonan masih kuat. Mahyon adalah anak kedua daripada tujuh beradik. Beliau pernah berlakon dalam 15 filem dan membintangi lebih 200 drama. Beliau seangkatan Sofia Ibrahim dan Noor Azizah, digilap bakatnya di Studio Merdeka, Hulu Klang. Bakatnya dalam bidang lakonan mula terserlah dalam filem Tun Teja arahan Datuk C Krishnan pada 1961 sebelum diambil Tan Sri P Ramlee memegang watak Nora dalam filem Nasib Do Re Mi pada 1966. Mahyon berkahwin dengan Hussein Abu Hassan pada 1961 selepas pertemuan mereka ketika bekerjasama dalam filem Tun Teja. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga anak berbakat iaitu Fadilla, 48, Fairuz, 46, dan Faizal, 44.
|
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |