Adsense

Isnin, 23 Mei 2011

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Kongsi sasar RM10j

Posted:

Kongsi sasar RM10j

Kongsi sasar RM10j

Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my
Gambar HAFIZ JOHARI


SALAH satu adegan penggambaran Kongsi yang merupakan filem kedua arahan Farid Kamil (bertopi).


SYARIKAT produksi MIG Productions sentiasa berusaha mempertingkatkan jumlah kutipan tiket setiap filem terbitan mereka sekali gus memecahkan rekod kutipan sedia ada.

Jika sebelum ini Ngangkung merupakan filem tempatan yang paling tinggi kutipan tiketnya iaitu RM8.4 juta namun syarikat produksi milik bukan bumiputra itu masih belum berpuas hati.

Ini kerana menerusi filem terbaru MIG berjudul Kongsi, penerbitnya David Teo mensasarkan kutipan sebanyak RM10 juta selepas ia ditayangkan sejak 12 Mei lalu di seluruh negara.

Menurut penerbit yang berasal dari Segamat, Johor itu, dia optimis filem kedua arahan Farid Kamil tersebut mampu mencapai sasaran berdasarkan strategi-strategi yang telah diaturnya.

"Untuk filem Kongsi ia ditayangkan di hampir 100 pawagam besar dan kecil di seluruh negara. Ini merupakan jumlah tayangan yang paling besar dalam sejarah tayangan filem terbitan MIG.

"Selain menjalankan penyelidikan dan pembangunan, kami juga telah menyiarkan sedutan filem ini di YouTube di mana sehingga kini hampir 900,000 orang menontonnya.

"Dengan iklan yang turut disiarkan di akhbar berbahasa Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil saya yakin lebih ramai penonton akan menyaksikannya," ujarnya selepas pratonton Kongsi baru-baru ini.

Pada pratonton di pawagam Cathay, Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor itu, David juga yakin dengan tarikan-tarikan terutama adegan-adegan cemas dalam filem itu.

Jelasnya, antara yang menarik ialah adegan kejar mengejar antara kereta peronda polis dengan pelakon utama Kongsi, Shahiezy Sam yang mana kenderaan yang terbabit, musnah sama sekali.

"Ini adalah filem terbitan MIG yang paling mahal iaitu berjumlah RM2.5 juta. Sebuah kereta jenis Proton Waja juga musnah sewaktu penggambaran filem ini.

"Saya anggap filem ini tarafnya seperti filem Hollywood biarpun menggunakan bajet yang boleh dianggap kecil. Sewaktu proses adunan diadakan di Siam Lab, Bangkok, Thailand, ramai yang terkejut.

"Mereka kata Kongsi sepatutnya mencecah puluhan juta ringgit berdasarkan kualiti dan adegan-adegan yang dipaparkan. Sebab itu sasaran RM10 juta itu realistik," ujarnya.

Sementara itu, selaku pengarah Kongsi, Farid Kamil berpuas hati kerana kebanyakan permintaannya untuk menjayakan filem itu dipenuhi oleh pihak penerbit.

Namun, pada masa sama semua itu belum mampu memuaskan hatinya sebagai pengarah kerana masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki dalam filem tersebut.

"Memang ada kekurangan dalam filem itu tetapi saya tidak mahu sebutkannya di sini. Saya nampak kelemahan itu pun selepas filem itu berjaya disiapkan penggambarannya.

"Ini kerana, saya mahu simpan kelemahan-kelemahan itu untuk saya pelajari sendiri untuk filem-filem arahan saya yang seterusnya kelak," komennya.

Bagaimanapun, Shahiezy Sam yang melakonkan watak utama sebagai Temulak dalam Kongsi pula berasa puas kerana kebanyakan adegan lagak ngeri dalam filem itu dilakukannya sendiri.

Malah, dia begitu teruja melakonkan watak itu yang juga memerlukannya menuturkan dialog dalam dialek Kelantan dan Siam di mana ia yang julung-julung kali dilakonkannya.

"Hampir 80 peratus adegan lasak dalam filem ini saya melakonkan sendiri. Malah, saya juga terpaksa berlatih untuk melakonkan adegan pertarungan.

"Walaupun saya tidak pernah bergaduh tetapi saya puas dapat melakonkan adegan-adegan seperti itu. Cuma saya lebih banyak belajar dialog dalam dialek Kelantan dan Siam," jelasnya.

Kongsi mengisahkan tentang Temulak seorang lelaki dari Selatan Thailand yang dihantar ke Kuala Lumpur bagi mengkucar-kacirkan kumpulan-kumpulan samseng di situ.

Selain Shahiezy Sam, filem itu turut dilakonkan oleh Norliana Samsudin, Putri Mardiana, Shafie Jaafar, Bront Palarae, Chew Kin Wah, Verasingam dan Azad Jazmin.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Marcell lelaki bertuah

Posted:

Marcell lelaki bertuah

Marcell lelaki bertuah

Oleh KHADIJAH IBRAHIM
khadijah.ibrahim@utusan.com.my
Gambar FAUZI BAHARUDIN

KEGEMBIRAAN jelas terpancar di wajah penyanyi dari seberang, Marcell apabila bercerita tentang dua permata hatinya, Keenan Avalokita Kirana, 7, dan Edga Ian Cook, 4.

Keenan adalah anaknya hasil perkahwinannya dahulu dengan pencipta lagu dan penulis, Dewi 'Dee' Lestari.

Manakala Edga ialah anak tirinya kerana isterinya sekarang, Rima Melati Adams, pernah berkahwin sebelum ini.

Marcell dan Rima berkahwin pada 28 Januari 2009 di Kampung Gelam, Singapura.

Penyanyi yang nama sebenarnya Marcellius Kirana Hamonangan Siahaan, 33, berkata, walaupun kedua-dua anaknya tidak tinggal bersamanya, namun hubungan mereka tetap berjalan lancar.

"Kalau bosan, saya akan mendengar pesanan suara Edga yang cuba menghafal rukun negara Singapura. Sungguh lucu bunyinya dan saya akan ketawa seorang diri.

"Keenan semakin membesar dan banyak kerenah sehingga tidak terlayan kemahuannya. Apa pun, saya seorang lelaki paling bertuah kerana mempunyai dua anak yang keletah dan isteri penyayang," ceritanya ketika berkunjung ke Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur kerana mempromosikan album keempatnya, Marcell...And the story continues.

Perkahwinan Marcell dan Rima masih belum dikurniakan cahaya mata. Justeru, katanya, beliau dan Rima merancang menimang cahaya mata tahun depan kerana masing-masing sibuk dengan kerjaya.

Oleh itu, cerita Marcell, buat masa sekarang, 'anak' yang menemaninya di rumah adalah seekor kucing terbuang yang dibelanya sejak dua tahun lalu.

Menurut penyanyi itu lagi, beliau adalah orang yang tidak suka kucing namun sebaik ternampak kucing itu ketika makan di tepi jalan dengan Rima, hatinya tersentuh dan membawa binatang itu pulang.

"Kucing itu diberi nama John. Kalau di Singapura kucing itu dipanggil Ah Chor dan kadang-kadang, dipanggil Chandro," katanya yang gemar menanam pokok bunga gara-gara terikut dengan minat Rima.

Marcell memberitahu rakan-rakan wartawan yang isterinya sekarang terikat dengan projek drama bersiri (sinetron) Arti Sahabat di TV Indosiar dan sebagai hos rancangan masakan di siaran Trans TV.

"Sekarang ini kami seperti pasangan kekasih, hari-hari bercinta. Malah kami saling meluahkan rasa cinta dalam Twitter.

"Rupa-rupanya tanpa kami sedari, ada seorang sahabat, Mhala dari kumpulan Numata yang tertarik dengan bait-bait cinta kami.

"Mhala terus menghasilkan lagu khas untuk isteri saya iaitu Melati dan liriknya menggambarkan perasaan saya untuknya," akui Marcell jujur.

Jelasnya, walaupun berbeza keyakinan (agama) namun ia bukan penghalang untuk mereka melayari rumah tangga seperti pasangan lain.

Malah, Marcell turut menyuarakan rasa hatinya tentang pengalaman yang dialaminya itu menerusi lagu Peri Cintaku yang menceritakan tentang perbezaan anutan agamanya dengan Rima.

"Lagu itu sengaja dicipta kerana saya ingin memberitahu orang ramai di luar sana bahawa fenomena itu berlaku sekarang ini tanpa ada resolusi.

"Terpulang kepada individu untuk menilainya kerana bagi saya yang terjebak dalam fenomena itu, memang rasa sakit hati. Bagi saya, biar apa

keyakinan, setiap insan memerlukan cinta kerana rasa cinta itu tidak dapat ditolak," katanya.

Menurut penyanyi yang pernah berduet dengan Shanty menerusi lagu Hanya Memuji, apa yang dicari olehnya adalah kebahagiaan dan dalam rumah tangganya dengan Rima, sikap toleransi paling diutamakan.

Pemain drum Konspirasi

Selain muncul solo menerusi album Marcell (2003), Marcell: Repackage (2004), Denganmu (2006), Hidup (2008) dan Marcell...And the stroy continues, penyanyi itu juga mempunyai kumpulan muzik, Konspirasi.

Menurut Marcell, dalam Konspirasi, beliau tidak menjadi penyanyi utama sebaliknya sebagai pemain drum.

"Tidak lama lagi kami akan tampil dengan album pertama yang berkonsep alternatif grunge. Muziknya berbeza sekali dengan penampilan saya ketika solo. Untuk permulaan, Konspirasi akan muncul dengan single pertama, Melawan Rotasi," jelasnya.

Katanya, Konspirasi ditubuh sejak 2009 bersama tiga rakannya, Edwin Syarif, yang juga merupakan gitaris band Cokelat, Candra 'Che' Johan, vokalis dari kumpulan grunge Cupumanik serta Romy Sophiaan, pemain bass kumpulan rock "The Acid" yang merupakan anak kepada allahyarham aktor Sophan Sophiaan dan Widyawati.

Bakal menjadi peguam

Kesibukan melayari kerjaya seni tidak menghalang penyanyi itu untuk meneruskan hasratnya menjadi seorang peguam.

Bekas penuntut undang-undang di Universiti Katolik Parahyangan, Bandung itu juga sibuk membuat persiapan untuk menduduki peperiksaan seperti Sijil Amalan Guaman (CLP).

"Saya perlu menduduki peperiksaan itu November tahun ini. Kalau lulus, saya layak untuk mempraktik sebagai peguam.

"Walaupun lambat lagi tapi peperiksaan itu amat susah kerana ada rakan-rakan saya menduduki peperiksaan itu sampai tiga kali, tetap gagal," katanya yang kini bukan lagi bernaung di bawah syarikat rakaman Warner Music Indonesia sebaliknya sebagai artis E-motion Entertainment.

Sejak Marcell bergabung dengan syarikat itu tahun lalu, beliau telah mengeluarkan dua single, Takkan Terganti dan Peri Cintaku.

Sisa Semalam merupakan single ketiga dan ia adalah lagu saduran yang pernah dipopularkan oleh Java Jive.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.