Utusan Online - Hiburan |
Posted: Angkatan pemuzik baru LoqueOleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
MEMANG sudah lama menjadi impian Loque untuk menubuhkan sebuah supergroup yang dianggotai oleh bakat-bakat hebat dan pakar dalam muzik masing-masing. Tanpa selindung, Loque mengakui niat itu sudah tertanam di lubuk hatinya ketika masih lagi menganggotai kumpulan Butterfingers yang telah membawa namanya ke mercu. Namun, semuanya itu dipendamkan sahaja kerana dia mahu menumpukan fokus kepada muzik dan perjuangan Butterfingers yang sudah tertubuh hampir 15 tahun itu. Sebaik sahaja Butterfingers mengumumkan 'persaraan' mereka, Loque tidak menunggu lama untuk meneruskan legasi seninya menerusi karakter baru ciptaannya, A.P.I. Biarpun sibuk dengan jenama baru menerusi kumpulannya, Monoloque, namun untuk Loque, dia mahu memberikan santapan baru menerusi A.P.I yang telah meledak dengan lagu mereka, Pelita. Menggabungkan bakat pemuzik handalan dari beberapa kumpulan indie ternama negara, Loque sememangnya cukup teruja dengan penubuhan A.P.I. "Ini sesuatu yang sudah lama saya idamkan dan saya mahu menunjukkan kepada masyarakat bahawa industri seni tempatan sebenarnya mempunyai banyak bakat yang tanpa kita sedari. "Sepanjang empat tahun saya ulang-alik dari Kuala Lumpur ke Boston, Amerika Syarikat, saya sudah mengenal pasti mereka yang benar-benar layak untuk menganggotai supergroup ciptaan saya ini," kata Loque membuka bicaranya pada sesi fotografi yang berlangsung di Sri Pentas, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini. Mereka yang dimaksudkan Loque ialah pemain drum kumpulan One Buck Short iaitu Imran; pemain gitar Estranged, Din Hormatov serta AJ yang merupakan pemain bass dari kumpulan Pop Shuvit. Tidak dilupakan, A.P.I. turut didokong oleh Loque yang memegang pelbagai portfolio iaitu gitaris, pemain piano, penyanyi latar, komposer serta penulis lirik. Tidak cukup dengan nama-nama hebat itu, A.P.I juga dikuatkan lagi dengan gabungan mantap dua vokalis iaitu Noh dari kumpulan Hujan dan Azlan & The Typewriter yang menjadikan A.P.I memiliki keunikan tersendiri. Kesemua hadir pada sesi fotografi yang telah diaturkan itu kecuali Noh dan Azlan & The Typewriter yang mempunyai urusan peribadi yang tidak mampu dielakkan. Ternyata percubaan pertama Loque menerusi A.P.I memang bukan satu kerja yang sia-sia apabila lagu Pelita bukan sahaja menjadi siulan ramai anak muda. Tetapi juga menjadi salah sebuah daripada 14 buah lagu yang berjaya mara ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu Ke-25 (AJL25) yang akan berlangsung Ahad ini (9 Januari). Sehingga ke hari ini, Loque bagaikan terapung di awangan dengan kemaraan lagu Pelita ke pertandingan lagu yang dianggap sebagai cukup berprestij itu. "Mungkin kedengaran agak klise, tetapi, sebagai komposer dan penulis lirik lagu ini, saya memang tidak kisah tentang soal menang atau kalah. "Sebaliknya, untuk tersenarai sebagai salah seorang finalis merupakan satu rahmat besar dan kejayaan terbaik buat saya serta anggota A.P.I yang lain. "Adat pertandingan pasti akan ada menang dan kalah. Seandainya lagu Pelita dijulang sebagai juara, saya benar-benar bersyukur dan akan meneruskan projek A.P.I yang sudah berada dalam minda saya ketika ini," katanya sambil menyimpul senyum penuh makna. Bercerita ringkas tentang lagu Pelita, jelas Loque atau nama sebenarnya Khairil Ridzwan Annuar semuanya bermula ketika Grand Brilliance Sdn. Bhd. (GBSB) memintanya untuk mencipta lagu tema bagi filem Hooperz. Ketika itu, Butterfingers baru sahaja membawa haluan masing-masing dan sudah tertulis rezeki berpihak kepada Loque untuk menggalas tanggungjawab itu. Subjektif Idea untuk mencipta lagu itu timbul pada ketika dia sibuk dengan pengajiannya di Kolej Muzik Berklee, Boston, Amerika Syarikat sekitar empat tahun lalu. "Dalam tempoh itu, saya mencipta melodi dan liriknya tetapi merasakan seperti sesuatu yang tidak kena seandainya saya yang menyanyikannya sendiri. "Lalu, apabila projek A.P.I muncul, pada ketika itulah saya fikir lagu Pelita ini layak untuk dipersembahkan oleh kami. Alhamdulillah, ia diterima dengan baik dan ia cukup menggembirakan saya sebagai komposer serta penulis liriknya," cerita Loque yang berusia 32 tahun itu panjang lebar. Saat diminta untuk menceritakan tentang keunikan lagu Pelita itu, jawapan Loque disulami dengan ketawa kecil. Katanya, dia sendiri sukar untuk memberi jawapan kepada persoalan itu kerana baginya, kehebatan dan keistimewaan sesebuah lagu itu adalah subjektif. Penilaian orang adalah berbeza dan bukan semua suka atau minat dengan lagu yang kita hasilkan. Kalau ditanya kepada saya, lagu Pelita merupakan sebuah lagu yang cukup ringkas tetapi pantas menangkap halwa telinga. "Liriknya juga tidak kompleks dan rumit kerana jalan ceritanya cukup mudah difahami. Justeru, terpulang kepada individu itu sendiri untuk menilai karya itu daripada kaca mata mereka sendiri," ujar Loque yang akan muncul dengan album pertama bersama Monoloque, Hikayat Halimunan Abad Ke-21 tidak berapa lama lagi. Ketika diminta pandangannya terhadap AJL yang sudah memasuki usia suku abad, Loque memberitahu dia cukup kagum dengan penganjuran anugerah yang diwujudkan khusus untuk mengiktiraf komposer dan penulis lirik tempatan itu. Pada hematnya, AJL telah memperlihatkan evolusi muzik yang sangat ketara dan apa yang dapat dilihat sekarang ini adalah kebangkitan anak-anak muda menerusi karya ciptaan mereka sendiri. "Kalau diperhatikan, lagu-lagu ciptaan komposer terdahulu kebanyakannya dinyanyikan oleh penyanyi yang dipilih. Tetapi, sekarang kita sendiri dapat melihat transisi muzik tempatan apabila lagu itu dinyanyikan sendiri oleh komposer. "Ia sekali gus memberikan gambaran yang cukup positif bahawa perkembangan industri muzik hari ini yang kian pesat membangun," ujarnya sambil menitipkan pesanan buat komposer muda agar jangan sesekali meminggirkan aspek kualiti. Seperkara yang cukup menarik perhatian dan barangkali menjadi tandatanya ramai peminat muzik tempatan adalah maksud di sebalik akronim A.P.I itu yang sehingga kini tidak pernah terjelas. Ada yang beranggapan A.P.I membawa maksud Angkatan Pemuzik Indie dan ketika ditanya kebenaran di sebaliknya, Loque enggan mengulas lanjut. "Pada awalnya, saya mahu menamakan kumpulan ini sebagai Gangga Negara agar ia kedengaran klasik tetapi apabila difikirkan maksudnya, saya rasa ia tidak sesuai. "Lalu, nama A.P.I timbul dan saya tidak akan menjelaskan maksudnya kerana inilah strategi saya untuk A.P.I. Biarlah orang ramai membuat andaian sendiri dan sampai satu ketika, mereka akan tahu maksudnya nanti," katanya lagi. Sebagaimana artis dan komposer lain, Loque juga pernah memasang impian untuk beraksi di pentas AJL ketika menontonnya menerusi televisyen saban tahun. Mengenai persembahan pada malam AJL25 nanti, Loque hanya memberitahu mereka akan tampil dengan sebuah persembahan menarik yang mampu memukau audiens kelak. | ||
Posted: Juara Lagu Ke-25 milik siapa?Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL LAGU Drama King persembahan Meet Uncle Hussain dan Black juga berpotensi untuk memenangi AJL25. DEBARAN semakin kencang dan kehangatannya kian dirasai apabila hanya tinggal tiga hari sahaja lagi Anugerah Juara Lagu Ke-25 (AJL25) akan menjadi medan pertempuran karyawan seni tanah air. Tepat pukul 9 malam tanggal 9 Januari ini (Ahad), panggung Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur akan dibuka dengan menyaksikan pertarungan sengit 14 buah lagu yang bertanding tahun ini. Seperti mana tahun-tahun sebelum ini, AJL25 juga memperlihatkan saingan yang tidak kurang hebatnya menerusi 14 buah karya anak tempatan bagi merebut gelaran utama yakni Juara Lagu Ke-25. Sudah menjadi resmi AJL setiap tahun, ramalan dan teka-teki pasti akan menjadi topik hangat pencinta muzik tempatan untuk melihat lagu manakah yang paling layak diangkat sebagai juara. Hits juga tidak mahu ketinggalan menghangatkan sambutan AJL yang akan memulakan siarannya tidak kurang daripada 72 jam dari sekarang. Ingin ditegaskan di sini, tulisan ini hanyalah sekadar ramalan dan tidak langsung akan mempengaruhi keputusan juri yang pastinya kini sedang pening kepala menilai sekali gus membuat keputusan muktamadnya. Lagu berhantu Tahun lalu memperlihatkan keunggulan gandingan komposer dan penulis lirik terkenal, Pete Teo dan Amran Omar dijulang sebagai juara menerusi lagu Pergi nyanyian Aizat. Manakala naib juara pula menjadi milik lagu Dan Sebenarnya karya sepenuhnya oleh Yuna sementara gabungan Audi Mok dan Faizal Tahir pula memenangi tempat ketiga untuk lagu Bencinta. Untuk tahun ini, karya manakah yang akan mengikut jejak langkah lagu Pergi dan 23 buah lagu lain yang pernah dinobatkan dengan gelaran Juara Lagu. Nama yang paling hangat diperkatakan dan berpotensi besar untuk menjulang kejuaraan tahun ini adalah lagu Selamat Malam nyanyian Faizal Tahir. Sedari awal lagi, lagu berhantu ini sudah dicanang dan menjadi calon utama untuk mengungguli AJL25. Bukan kerana populariti Faizal tetapi Selamat Malam merupakan sebuah lagu yang cukup segala rencah. Melodi, lirik dan susunan muzik untuk lagu Selamat Malam yang cukup segar serta bertenaga memungkinkan ia untuk bergelar juara. Jika rezeki tidak berpihak kepada Selamat Malam sekali pun, siapa tahu Faizal masih lagi boleh tersenyum puas seandainya pihak juri merasakan lagu Hanyut juga hasil karyanya bersama Audi layak untuk menduduki tangga teratas AJL25. Namun, siapa tahu, rezeki berganda untuk Faizal dan Audi sekiranya lagu Selamat Malam dan Hanyut mampu menduduki dua posisi dalam tiga tempat yang disediakan. Mustahil? Mengapa tidak kerana sejarah sudah pun membuktikan sebelum ini AJL yang pertama di mana dua buah lagu ciptaan Manan Ngah dipilih untuk menduduki posisi juara dan naib juara. Dua lagu yang dipertandingkan pada tahun 1986 itu adalah Sekadar Di Pinggiran dan Aku Kehilanganmu kedua-duanya nyanyian Francissca Peter. Jadi, tidak mustahil untuk Audi dan Faizal mengulangi kejayaan 24 tahun lalu. Seandainya itu berlaku, tidak perlulah membuat bising atau mencetuskan kontroversi kerana juri lebih bijak membuat keputusan. Atau mungkinkah tahun ini akan menyaksikan kumpulan indie popular, Meet Uncle Hussain (MUH) akan kembali menjulang kejuaraan menerusi lagu Drama King. Memang tidak mustahil kalau Drama King dijulang sebagai juara kerana keunikan dan keistimewaan lagu itu yang cukup menarik perhatian. Ditambah dengan kemantapan vokal Black yang menambahkan merit untuk lagu itu dinobatkan sebagai Juara Lagu Ke-25. Namun, usah dipandang enteng kepada lagu-lagu lain seperti Cinta Sempurna ciptaan sepenuhnya oleh Yuna, Ekstravaganza (Bunkface), Pelita (A.P.I) dan Mencari Konklusi (Hujan) yang mampu mencipta kejutan pada malam AJL25. Keempat-empat lagu ini berdiri atas landasan yang tersendiri dan memiliki kekuatan serta keseimbangan komposisi serta liriknya. Begitu juga dengan lagu-lagu yang mendapat perhatian meluas di corong radio seperti Noktah Cinta (Hafiz), Sofea Jane (Black) dan Ku Ada Kamu (Adira) juga mempunyai peluang untuk duduk dengan selesa di tiga tempat teratas. Selain itu, kategori Vokal Terbaik juga tidak kurang hebatnya. Nama-nama seperti Faizal, Black dan Hafiz merupakan mereka yang dilihat akan memberikan persembahan terbaik menerusi lagu yang disampaikan. Tidak mustahil Black menjulang kategori ini untuk dua tahun berturut-turut kerana kehebatan vokalnya memang sudah terbukti satu dalam sejuta. Kalau juri mencari kelainan tahun ini, mungkin kumpulan A.P.I menerusi gandingan vokal Azlan & The Typewriter dan vokalis kumpulan Hujan iaitu Noh mempunyai peluang memenangi Vokal Terbaik. Mengapa tidak? Kerana sebelum ini pun paduan suara Jaclyn Victor dan Lah Ahmad juga pernah memenangi kategori Vokal Terbaik pada tahun 2007. Kalau Adira memberikan persembahan terbaik dengan mengawal gaya nyanyiannya agar kedengaran lebih sedap didengar untuk lagu Ku Ada Kamu, gelaran Vokal Terbaik AJL25 juga boleh menjadi miliknya. Mungkin juga gelaran itu akan berpindah milik kepada Yuna dan Ana Raffali yang memiliki gaya nyanyian tersendiri. AJL25 yang dihoskan oleh Faizal Ismail, Cheryl Samad dan Ally Iskandar itu akan menyaksikan persembahan pembukaan oleh Francissca Peter, Nash dan M. Nasir yang pernah memenangi AJL sebelum ini. Khusus untuk penonton setia mereka, TV3 akan menampilkan tiga penyanyi wanita unggul negara iaitu Datuk Sharifah Aini, Ziana Zain dan Datuk Siti Nurhaliza menerusi sebuah persembahan istimewa untuk segmen interlud. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |