Adsense

Khamis, 6 Januari 2011

macam macam hiburan terkini

macam macam hiburan terkini


Cerita ditaja semua dusta - Shahir

Posted: 05 Jan 2011 04:06 PM PST


BEBERAPA bulan kebelakangan ini, memang heboh dan kecoh industri hiburan tanah air apabila juara Akademi Fantasia musim kelapan (AF8), Shahir dikatakan sudah mula berani menunjukkan belangnya.

Shahir telah dilabel sebagai seorang artis yang tidak berdisiplin gara-gara kerap menghilangkan diri pada saat-saat akhir dalam mana-mana majlis yang membabitkan penyertaannya.

Tidak cukup dengan itu, anak jati Perak Darul Ridzuan ini juga mula buat hal dengan pihak media apabila didakwa gemar membatalkan temu janji pada saat akhir.

Tidak cukup dengan itu, Shahir juga kononnya bagaikan kaduk naik junjung apabila dikatakan sudah pandai meminta bayaran jika mahukan dirinya muncul dalam mana-mana penerbitan.

Memang tindakan Shahir itu cukup berani untuk artis yang tidak sampai setahun berkecimpung dalam lapangan seni. Sedangkan artis senior ternama tidak pernah berbuat demikian.

Apa sudah jadi sebenarnya dengan Shahir? Benarkah dia sudah menjadi seorang yang lupa daratan?

Bukan hanya kisah masalah disiplinnya yang dijaja di media massa sehingga menyebabkan peminat setianya tidak tenteram, tetapi ada lagi kisah

hangat yang diperkatakan tentang anak muda ini.

Bayangkan, tidak sampai setahun menjadi artis, Shahir sudah mampu memandu kereta mahal dan mewah serta mendiami rumah banglo yang dikatakan bernilai lebih RM1 juta.

Kalau fikir secara logik, mana mungkin dan memang mustahil untuk artis baru dan mentah seperti Shahir untuk memiliki kemewahan seperti itu.

Kalau ada yang mampu sekali pun, barangkali hanya akan dapat dimiliki oleh sesetengah artis popular mungkin dalam tempoh tiga hingga tujuh tahun menjadi anak seni.

Jadi, adakah benar Shahir dibela dan ditaja oleh seseorang sehingga mampu hidup dalam kemewahan sebegitu rupa?

Persoalan demi persoalan mula timbul dan untuk mendapatkan penjelasan dari mulut Shahir sendiri memang sukar dalam tempoh 'kehilangannya' beberapa bulan kebelakangan ini.

Menyedari dia tidak lagi mampu bersembunyi atau meyimpan rahsia yang dipendam itu, Shahir bingkas bangkit dan tampil ke depan untuk menjernihkan keadaan sebelum menjadi lebih keruh seperti Sungai Gombak.

Tidak berasas

Begitu juga dengan kisah hidupnya ditaja oleh seorang yang berpangkat VIP gara-gara memandu kereta mewah dan tinggal di banglo yang tersergam indah.

Tidak langsung meninggikan suaranya atau menunjukkan reaksi tidak selesa tatkala diajukan dengan soalan panas itu, Shahir memberikan justifikasi terhadap cerita yang disifatkannya tidak berasas itu.

Walhal kata Shahir, kereta dan banglo yang diperkatakan ramai itu sebenarnya milik keluarga angkatnya yang mempunyai hubungan rapat dengan keluarganya di Kampar, Perak.

"Jujurnya, kisah saya ditaja itu tidak benar sama sekali. Saya tahu semuanya bermula selepas kereta saya mengalami kemalangan dan kemudiannya saya memandu pula kereta BMW.

"Jadi, semua itu adalah milik keluarga angkat saya. Kebetulan ketika kereta saya rosak teruk, ibu angkat saya membenarkan saya menggunakan kereta barunya itu kerana hadiah kereta sewaktu menang AF8 masih belum diterima.

"Begitu juga kisah tentang rumah banglo, semuanya dusta kerana di situlah tempat saya menumpang teduh. Keluarga saya di Perak memang tahu dan kenal rapat dengan keluarga angkat saya itu.

"Tiada lebih yang saya minta agar semua kisah dusta ini tidak lagi dibangkitkan kerana ia memang tidak benar sama sekali. Kini, saya sudah menggunakan kereta kemenangan saya sebagai Juara AF8 iaitu Peugeot 207," katanya sambil tersenyum menampakkan barisan giginya yang tersusun rapi selepas membuka pendakap giginya pada November lalu.

Harapan

Dengan penuh harapan yang tinggi menggunung, Shahir mengharapkan tahun 2011 akan memberi sinar baru yang terus menerangi perjalanannya sepanjang tahun ini.

Malah, Shahir juga cukup sedar jika bukan kerana peminat dan pihak media, tidak mungkin dia terus berdiri teguh di persada seni tanah air untuk menjadi seorang penyanyi yang disegani ramai.

"Saya harap dengan penjelasan saya ini akan dapat memberi gambaran sebenar kepada masyarakat apa sebenarnya yang berlaku dalam kehidupan saya kebelakangan ini.

"Tiada apa yang merisaukan saya kerana hanya saya dan Allah SWT sahaja yang tahu apa yang berlaku. Saya juga sedar sampai bila harus saya mendiamkan diri kerana saya perlu tampil untuk menjelaskan perkara sebenar.

"Istilah menyesal juga tidak ada dalam kamus hidup saya kerana saya bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan. Saya akan menyesal kalau tiada kerja untuk saya lakukan lagi selepas ini," ujar Shahir dalam nada yang cukup optimis.

Mahathir Rasa Janggal Ditemu Bual Siti Nurhaliza

Posted: 05 Jan 2011 03:58 PM PST


PETALING JAYA: Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, 86, berasa janggal ketika ditemu bual penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin, 31, pada rakaman program bual bicara yang berjudul Siti, di studio Filem Negara Malaysia, di sini, Rabu.

Menurut Mahathir, kejanggalan itu disebabkan beliau sering menyaksikan persembahan nyanyian Siti dan apabila penyanyi itu menemu bualnya, beliau berasa sedikit pelik.

"Saya selalu dengar Siti menyanyi dan terasa ganjil pula bila saya ditemu bual. Walaupun pertama kali menjadi pengacara, dia agak cekap dan mahir dalam persediaan menyediakan soalan.

"Dia juga lancar dalam berdialog, jadi saya rasa tenang ketika ditemu bual," katanya selepas ditemu ramah oleh Siti pada rakaman program Siti.

Rancangan temu bual ini akan bersiaran bermula 12 Februari 2011 menerusi Astro Ria, pukul 9 malam selama sejam. Ia terbitkan sebanyak 13 episod oleh Global Station Sdn Bhd.

Dalam pada itu, Mahathir juga memuji program itu selain berkeinginan memanggil beliau sebagai tetamu undangan yang dapat mendengar pengalaman hidupnya untuk dikongsi.

"Bagi saya, program ini merupakan salah satu cara untuk saya sebarkan pengalaman dan pada masa yang sama saya dapat menceritakan apa yang patut diberitahu kepada umum.


"Pendapat-pendapat yang diberikan itu mungkin berguna kepada mereka," katanya yang ingin hadir untuk menyaksikan pementasan teater muzikal Tun Mahathir yang akan berlangsung hujung Januari ini.

Sementara itu jelas Siti pula, dia tidak sangka Mahathir sudi menerima jemputannya sebagai tetamu undangan untuk program itu.

Baginya, pengendalian program temu bual itu merupakan fasa baru buat dirinya sebagai seorang pengacara.

Tambah pula, program yang bukan sekadar hiburan semata-mata itu turut menguji dirinya menjadi seorang pengacara yang cekap dalam menyediakan soalan-soalan berbentuk ilmiah.

"Sebelum ini memang saya tidak bersedia bila banyak produksi menawarkan saya menjadi pengacara program, tapi kini saya sudah bersedia dan bersiap sedia untuk bersaing dengan pengacara-pengacara profesional yang ada.

"Pengendalian program bual bicara ini ternyata satu pengalaman yang sangat berguna buat saya. ia agak berbeza kerjanya berbanding menjadi seorang penyanyi. Malah saya turut turun padang untuk melakukan penggambaran.

"Rasa macam nak pecah kepala kerana saya perlu menggunakan bahasa-bahasa yang sesuai ketika bercakap. Ada kalanya saya perlu formal dan ada kalanya santai.

"Memang agak penat mengendalikan program ini, tapi ia ternyata berbaloi kerana pada masa yang sama juga saya turut menimba ilmu dan pengalaman," katanya yang menjadikan pengacara Hollywood popular, Oprah, sebagai inspirasinya.

Iqram Cari Calon Isteri Sehingga 29 September

Posted: 05 Jan 2011 03:56 PM PST


PETALING JAYA: Pelakon Iqram Dinzly (gambar), memberi tempoh kepada keluarganya sehingga 29 September ini untuk mencari seorang wanita sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-30 sebelum memutuskan untuk berumah tangga.

Jelas Iqram, jika sehingga tarikh itu dia tidak berjumpa dengan mana-mana wanita yang dimaksudkan, dia akan menyerahkan kepada ibu dan keluarganya untuk mencari calon pilihan mereka.

"Saya akan masuk umur yang ke 30 pada tahun ini dan sememangnya saya mahu kahwin. Jadi, saya dah beritahu ibu yang saya akan cari calon isteri pada tahun ini juga.

"Kalau ditakdirkan tak ada mana-mana wanita yang sesuai menjadi isteri saya, saya serahkan kepada ibu untuk membuat pilihan," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini, Rabu.

Iqram berkata, dia percaya kepada doa dan juga restu ibu walaupun ada kemungkinan calon pilihan itu bukan ciri-ciri wanita yang diidamkannya.

Jelas Iqram lagi, ibunya sudah mempunyai calon iaitu anak kepada kenalan ahli keluarga mereka tetapi Iqram masih belum membuat keputusan mengenai cadangan itu.

"Ibu ada beritahu saya nak jodohkan saya dengan seseorang tetapi saya tak bagi lagi jawapan. Biarlah sehingga tiba pada tarikh ulang tahun hari lahir saya," katanya.

Tambah Iqram, ketika usia sedang menuju ke angka 30 tahun, dia mula merasakan sesuatu tentang masa depannya termasuk untuk mempunyai anak serta keluarga.

Tidak menafikan perasaan bimbang itu sadang menghantui diri, Iqram sedang bekerja kuat mengumpul kekayaan.

"Saya sedang memikirkan macam mana untuk meneruskan kehidupan pada masa akan datang. Takkan nak harapkan rezeki dalam bidang lakonan semata-mata? Jadi, buat masa ini saya juga merancang untuk membuka perniagaan," katanya,

Ditanya mengenai perkembangan terbaru, Iqram memberitahu dia baru tamat penggambaran drama Wangian Firduasi iaitu kisah mengenai seorang pelajar cerdik yang mengambil jalan singkat untuk menyelesaikan masalah.

Iqram juga sedang sibuk dengan penggambaran drama Jiman dan bergandingan dengan pelakon Fryusdi Ramli iaitu sebuah drama yang berkisah mengenai kehidupan orang kurang upaya (OKU).

Sementara itu Iqram juga turut bercadang mengerjakan ibadat haji selepas dua kali mengerjakan umrah.

Ning Baizura Sudah Rasa Terpinggir

Posted: 05 Jan 2011 03:55 PM PST


PETALING JAYA: Penyanyi Ning Baizura Sheikh Hamzah, 35, kecewa penyanyi yang berpengalaman sepertinya kurang diberi perhatian oleh sebahagian penganjur-penganjur konsert.

Menurut Ning, ramai penyanyi yang sudah lebih 15 tahun bertapak dalam industri nyanyian merungut apabila penyanyi-penyanyi baru diberi perhatian lebih dalam pemilihan artis bagi sesebuah acara hiburan.

"Memang diakui, penyanyi-penyanyi yang sudah berpengalaman akan merungut hal-hal seperti ini sedangkan mereka mampu memberikan mutu persembahan yang hebat.

"Begitu juga dengan saya yang sudah 17 tahun dalam industri muzik, saya kecewa bila publisiti lebih diberikan kepada penyanyi-penyanyi baru. Faktor-faktor ini membuatkan penyanyi seperti kami tiada penaja.

"Bagaimanapun saya tidak salahkan penyanyi-penyanyi baru kerana kebanyakan mereka juga berbakat," katanya pada selepas persembahan konsert mini Ning yang diadakan di Celebrities Club, Solaris Mont Kiara, baru-baru ini.

Tambah Ning, memandangkan industri muzik didominasi oleh golong anak muda, Ning mengambil langkah dengan mengubah sedikit konsep nyanyian soprano yang sering ditampilkan sebelum ini kepada muzik yang lebih sesuai pada masa kini.

"Walaupun kecewa kerana kurang diberi publisiti atau perhatian, saya tidak akan duduk diam. Sebaliknya saya akan mengolah semula konsep muzik yang ditonjolkan sebelum ini.


Ning tetap memiliki vokal yang mantap setiap kali membuat persembahan.
"Memang dari segi persembahan untuk majlis-majlis korporat saya tidak ada sebarang masalah, tapi saya juga mahu berhubungan dengan orang ramai menerusi konsert yang dianjurkan.

"Justeru itu saya akan tampil lebih muda untuk menarik peminat-peminat remaja pula dengan menampilkan sebuah album baru, Dewa, yang akan keluar di pasaran hujung bulan ini.

"Walau bagaimanapun, saya memerlukan sebuah strategi pemasaran yang bagus untuk memberi publisiti kepada diri serta album baru saya. Cuma masalahnya sekarang ialah untuk mendapatkan penaja," ujarnya yang akan mengadakan konsert jelajah mini tidak lama lagi sebelum sampai ke konsert kemuncaknya yang akan diadakan pada Julai ini di Istana Budaya.

Sementara itu, mengenai Dewa yang bermaksud 'cahaya' dalam bahasa sanskrit itu, ia diterbitkan oleh Ning bersama komposer Audi Mok menampilkan sebanyak lapan buah lagu dengan kos lebih daripada RM100,000.

Lagu-lagu yang berkonsep balada, pop, elektro dan dance itu merupakan perubahan ketara Ning sepanjang 17 tahun bergelar penyanyi.

Kata Ning, dia berharap agar peminat muzik tempatan dapat menerima album Dewa kerana keterampilan muzik nyanyian Ning yang tidak menggunakan suara sopranonya.

Antara lagu-lagu yang sudah pun dikeudarakan di radio ialah Mama Papa dan Raksasa.

Selain itu album Dewa turut menampilkan tujuh lagu lain seperti Sampai, Bila, Pencarian, Alhamdulillah, Supernova, Propagandamu dan Aku Bukan Dewa.

Suami Terkejut Lisdawati Masuk Hospital Akibat Jangkitan Usus

Posted: 05 Jan 2011 03:54 PM PST


PETALING JAYA: Aktor Fauzi Nawawi terkejut apabila isterinya Lisdawati merahsiakan tentang berita dimasukkan ke hospital ekoran jangkitan usus.

Kata Fauzi, dia hanya dimaklumkan oleh Lisdawati tentang perkara itu selepas isterinya ditahan di Hospital Pakar Al-Islam, Kampung Baru, malam Selasa.

Fauzi yang baru pulang dari Kedah kerana terlibat dengan penggambaran drama sebelum ini berkata, isterinya mengadu tentang sakit kepala dan pernah pitam sejak minggu lalu namun tidak menjangka keadaan itu akan melarat sehingga terpaksa ditahan di wad.

"Saya hanya dimaklumkan oleh Lisda pada malam semalam (Selasa) tentang perkara itu. Kebetulan pula saya berada di Kedah sehingga kelmarin kerana terlibat dengan penggambaran.

"Apabila pulang ke Kuala Lumpur, saya terkejut apabila dia memberitahu sudah ditahan di hospital kerana jangkitan usus," katanya yang dihubungi mStar Online, Rabu.

Tambah pemenang anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Drama di Anugerah Skrin 2010 itu, Lisdawati sengaja merahsiakan berita kejadian berkenaan agar tidak mengganggu tumpuannya di lokasi penggambaran.

"Dia masuk hospital pada pukul 3 petang semalam dan tidak memberitahu saya kerana tidak mahu mengganggu jadual penggambaran saya.

"Memang Lisda ada mengadu tentang keadaannya yang kerap pitam dan hilang selera makan sejak minggu lalu tapi saya sangka keadaannya tidak serius.

"Namun, apabila keadaan itu berlanjutan sehingga minggu ini, dia pergi mendapatkan rawatan di Hospital Pakar Al-Islam, Kampung Baru dan terus ditahan sejak Selasa lalu," katanya.

Mengenai perkembangan terkini Lisdawati, Fauzi mengesahkan isterinya kini berada dalam keadaan stabil tetapi masih lagi ditahan di hospital memandangkan doktor perlu memantau keadaannya.

"Menurut doktor, punca sebenar Lisda mendapat jangkitan tersebut mungkin disebabkan oleh faktor pemakanan yang tidak seimbang atau keracunan makanan.

"Lisda sepatutnya dibenarkan keluar dari hospital pada hari ini (Rabu) tetapi doktor masih menahannya bagi memantau perkembangan semasa.

"Bagaimanapun, dia berada dalam keadaan stabil dan cuma memerlukan rehat yang secukupnya buat masa ini," kata aktor yang kini sibuk di lokasi penggambaran drama Yang Terpuji.