Adsense

Khamis, 6 Januari 2011

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Ingin lupa kisah lama

Posted: 05 Jan 2011 05:35 AM PST

MENDEKATI pelakon jelita, Julia Ziegler, persepsi ramai terhadap karakter hantu yang dibawanya sebelum ini cukup menebal.

Menerusi filem Jangan Tegur arahan Pierre Andre yang ditayangkan dua tahun lalu, lakonan Julia dalam filem itu menjadi bualan peminat hinggakan ada yang menganggap dia sememangnya sesuai dengan penampilan sebagai hantu.


Akui pelakon kacukan darah Jerman, Amerika, Melayu dan Jawa ini, dia tidak menafikan watak hantu begitu sinonim dengan kehadirannya dalam bidang lakonan.

Berbanding dua filem lakonan awalnya iaitu Kayangan dan Cicakman 2: Planet Hitam, dia mula dikenali selepas membintangi Jangan Tegur.

Nyata filem terbitan MIG Productions Sdn Bhd itu bukan saja memberi banyak pengalaman kepadanya mendalami lakonan, malah kontroversi turut terpalit dengan bekas kekasih, Pierre Andre.


Namun itu semua episod lama yang kepadanya tidak perlu diungkit semula. Sesuai dengan semangat 2011, Julia berazam terus maju dengan gagah.


Katanya, dia kini masih sibuk dengan penggambaran drama baru, Biar Rindu Berlalu arahan Feroz Khan yang turut dijayakan pelakon berpengalaman seperti Azhar Sulaiman, Nanu Baharudin dan Nabila Huda. Dia membawa watak Marlina dan penggambaran masih berjalan sejak November lalu.

"Menariknya, dalam drama ini saya membawakan karakter perempuan psiko yang obses terhadap tunang sendiri lakonan Elyas Abdullah. Apa yang berlaku, dia seolah terlalu cemburu dan sering mengikut ke mana saja tunangnya pergi.


"Sebenarnya, ini bukan pertama kali saya membawa watak psiko. Sebelum ini, saya pernah melakonkan watak yang taksub terhadap kecantikan dan bersikap materialistik.

"Saya percaya ramai pelakon yang mahukan watak antagonis sebegini yang dikatakan memberi banyak cabaran. Berbanding pelakon lain, perjalanan karier lakon saya bermula sebaliknya.


"Saya mula berlakon dengan watak antagonis dulu sebelum diberi watak baik. Pada saya, membawa watak sebegini tidak bosan. Apa yang penting, saya harus bijak mempelbagaikan corak lakon agar penonton suka.

"Memberi cabaran, saya juga akan membawakan watak terencat akal dalam satu drama baru yang dijangka memulakan penggambaran pada Mac nanti.


"Sepanjang menjadi pelakon, saya berasakan pengalaman makin meluas apabila diberi peluang membawa watak berbeza termasuk pernah menjadi pesakit HIV dalam drama sebelum ini dan buta menerusi filem baru, Toyol Nakal arahan Zek Lokman," katanya.


Bercerita filem baru, Julia sebenarnya masih menunggu lima filem lakonannya ditayangkan termasuk Crazy Krazy Krezy, Bisikan Suaka, Ombak Rindu dan Dari Kerana Mata.


Menerusi Crazy Krazy Krezy yang menyaksikan kerjasama produksi tempatan, Astro Shaw dengan produksi Indonesia, filem ini yang menampilkan tiga hero dan tiga heroin sudah ditayangkan di sana tahun lalu.

Katanya, pengalaman yang ditimba cukup seronok dan berharga apabila terbabit dengan kelas lakon dan paling mencabar, melontar dialog bahasa Indonesia.

Filem ini dijayakan pelakon popular lain seperti Tora Sudiro, Vincent Rompies, Sigi Wimala, Sissy Priscillia dan Pierre Andre.


"Saya masih dalam perbincangan membintangi satu filem bercorak aksi yang dijangka penggambaran pada Jun nanti. Menerusi filem ini, saya boleh katakan saya bersedia menjadi pelakon aksi.

"Begitu juga, saya memainkan watak utama bersama Aaron Aziz menerusi filem Bisikan Suaka arahan Darmawati bersama Pierre. Filem seram ini memperlihatkan saya membawa watak yang ada kelebihan deria keenam, melihat benda halus.


"Dalam Toyol Nakal pula saya membawa watak pembantu manakala Ombak Rindu, saya melakonkan peranan perampas suami orang.


"Berbeza dengan filem komedi, Dari Kerana Mata arahan Melissa Saila, saya tampil menjadi doktor sakit jiwa. Walaupun saya kerap dikaitkan dengan filem hantu, saya tidak boleh jangka kerana itu adalah rezeki.


"Sebolehnya, saya mahu mencuba pelbagai watak selain hantu selepas ini. Ini penting dalam mencabar diri dan mengembang pengalaman lebih luas," katanya.

Berdepan cabaran dan tekanan sebagai anak seni, Julia akui masalah peribadi mahupun kontroversi memang sukar dielakkan.

Pertengahan dua tahun lalu, Julia heboh jadi bualan ramai peminat apabila dikatakan membawa diri ke Georgia, Amerika Syarikat.


Katanya, dia ke sana selama lima bulan sebenarnya memang atas tujuan bercuti di rumah keluarganya dan secara kebetulan, terbabit dengan masalah peribadi membabitkan Pierre dengan produser, David Teo.


Namun Julia tidak mahu lagi membuka diari lama sebaliknya mahu terus melangkah ke depan.

Katanya, dia berazam menggandakan usaha untuk berjaya dalam kerjaya. Malah, dia juga mempunyai impian membabitkan diri dalam bidang perniagaan suatu hari nanti.


"Bagi saya, setiap hari adalah hari baru yang memberikan bermacam peluang dan kejayaan. Saya juga tidak mahu terlalu bergantung pada lakonan sebagai periuk nasi.


"Pelakon sepatutnya memberi fokus pada bidang lain yang difikirkan boleh mengubah kehidupan agar lebih berjaya. Mungkin siapa sangka, saya mampu menjadi ahli perniagaan yang berjaya.


"Buat masa ini, saya mahu memberi fokus pada karier dulu dan jika ada jodoh, saya tetap akan menamatkan zaman bujang," katanya.

>PROFIL
NAMA: Julia Bob Fauzi Ziegler
NAMA KOMERSIAL: Julia Ziegler
TARIKH LAHIR: 21 Mei 1984
USIA: 26 tahun
ASAL: Ampang, Selangor
STATUS: Bujang
KERJAYA: Pelakon
PENDIDIKAN: Pengajian Asas Arkitek dari Savannah College of Art & Design, Georgia, Amerika Syarikat
FILEM: Kayangan, Cuci The Movie, Cicakman 2, Jangan Tegur, Crazy Krazy Krezy, Momok The Movie, Bisikan Suaka, Toyol Nakal, Crayon, Ombak Rindu dan Dari Kerana Mata
DRAMA: Noraishah, Aku Untuk Mu, Susuk, Bisikan Hati dan Cinta & Keadilan, Juanna, Fatimah Juling, Pelakon Ekstra, Pemandu Jelita, Tudung Ekspres, Oh Fatimah dan Biar Rindu Berlalu
PROGRAM: Ketuk Ketuk Ramadan (RTM) dan Kampung Prima: Babak 105 (Astro Prima)

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

David Teo sasar RM10j

Posted: 05 Jan 2011 05:26 AM PST

ENAM hari tayangan di pawagam, filem seram Damping Malam arahan Ahmad Idham Ahmad Nadzri berjaya mencatat kutipan sebanyak RM1.1 juta.

Malah, David Teo selaku penerbit filem itu nyata berpuas hati dengan kutipan diraih setakat ini.


David bersandarkan alasan sesi persekolahan sudah bermula memaklumkan jumlah kutipan sebanyak itu boleh diterimanya. Katanya kurang satu minggu, sudah capai kutipan RM1 juta, ia petanda yang baik dan mampu mencecah sasaran ditetapkan.

"Saya mensasarkan kutipan keseluruhan filem Damping Malam boleh mencecah lebih RM2 juta hingga RM3 juta. Ini kerana, saya yakin masih ada penonton akan ke pawagam menyaksikannya. Justeru, bagi saya ia bukan perkara yang mustahil.


"Selain itu, kutipan filem Aku Masih Dara pun tak kurang hebatnya apabila sebanyak RM2,3 juta sudah diraih. Bahkan, tayangannya masih ada lagi di pawagam. Begitu juga dengan filem Ngangkung yang sudah enam minggu tayangan di pawagam tempatan.


"Fenomena Ngangkung yang belum berakhir hingga kini sudah mencatat kutipan sebanyak RM8.4 juta. Justeru, saya sangat berpuas hati dengan pencapaian filem terbitan MIG Productions Sdn Bhd (MIG)," katanya yang dihubungi Harian Metro, semalam.

Damping Malam mengetengahkan Ahmad Idham yang kembali semula ke pentas lakonan dengan watak Wadi bergandingan dengan Amy Mastura (Ku Khalira), Erynne Erynna (Nuraiza), Azizah Mahzan (Umi Siah) dan Eizlan Yusof.


Untuk sesi tayangan 2011, MIG akan membuka tirai dengan penayangan filem Kembar Siang lakonan pasangan kekasih, Kamal Adli dan Intan Ladyana yang diarahkan Profesor Hatta Azad Khan pada 24 Februari depan. Ia diikuti filem Kongsi.

Menurut David, ikutkan perancangannya beliau mahu dalam sebulan dua filem terbitan syarikatnya ditayangkan di pawagam. Namun, apa boleh buat kerana beliau tidak mendapat surat tarikh wajib tayang daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).


"Saya harus menghormati keputusan Finas itu. Saya tidak dapat tarikh tayangan kerana banyak filem menunggu giliran untuk masuk panggung. Apapun, saya teruja menunggu filem Kongsi lakonan Farid Kamil dan Shaheizy Sam tidak lama lagi.


"Bagi dua filem ini, saya mensasarkan Kembar Siang mengumpul sebanyak RM2 juta hingga RM3 juta. Manakala, filem Kongsi pula saya sangat yakin boleh mencapai kutipan pecah panggung sebanyak RM10 juta. Trailer Kongsi kini boleh ditonton di You Tube," katanya.


Tak gusar berhadapan saingan filem lain, David tetap dengan impiannya untuk menerbitkan 20 filem tahun ini. Bersandarkan kredibiliti dirinya dan kejayaan sudah diraih MIG setakat ini, matlamat David itu semestinya akan jadi kenyataan.


Sementara itu, produksi Tayangan Unggul Sdn Bhd (TUSB) menutup tirai 2010 dengan kejayaan cemerlang menerusi filem Hantu Kak Limah Balik Rumah arahan Mamat Khalid yang berjaya mencipta kejutan dengan kutipan melebihi RM7 juta sehingga kelmarin.


Hantu Kak Limah Balik Rumah yang juga sekuel filem Zombie Kampung Pisang bergenre komedi seram dibintangi Awie sebagai Usin serta pelakon lain seperti Awie, Ummi Nazeera, Delimawati, Zami Ismail, Shy8, Johan Raja Lawak, Avaa Vanja dan Nadia Mustafar.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.