Utusan Online - Hiburan |
Saingan hebat Aktor, Aktres Terbaik Posted: Saingan hebat Aktor, Aktres TerbaikOleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
ANUGERAH Skrin 2010 (ASK2010) akan membuka tirainya malam esok (24 Disember). Pasti kini pemerhati dan peminat dunia hiburan tanah air sudah mula meneka serta membuat ramalan siapakah bakal diiktiraf sebagai yang terbaik sekali gus mencatat sejarah baru ASK. Memang tidak dinafikan, 25 buah filem yang layak bertanding dalam ASK2010 semuanya memiliki kehebatan yang tersendiri dalam memikat hati juri. Malah, ada juga sebahagian daripada filem-filem itu pernah diiktiraf di Festival Filem Malaysia (FFM) dan adakah karya mereka itu akan dijulang sekali lagi di pentas yang berbeza pula? Itulah persoalan yang bermain di minda ramai pihak ketika ini. Lebih-lebih lagi, ada juga beberapa nama 'panas' yang dilihat berpotensi untuk dicalonkan. Adakah kontroversi akan tercatat dalam ASK2010? Atau mungkin akan ada kejutan yang pasti membuatkan ramai pihak akan melopong mulut kelak? Semuanya terletak kepada kebijaksanaan panel juri bertauliah yang dilantik untuk memilih pemenang berdasarkan kecemerlangan persembahan para pelakon dalam setiap filem yang dipertandingkan. Kategori Pelakon Lelaki Filem Terbaik untuk tahun ini memang tidak dapat disangkal lagi akan memberikan saingan yang cukup hebat. Dua aktor handalan negara, Afdlin Shauki dan Bront Palarae dilihat sebagai calon utama yang akan memeningkan kepala juri untuk memilih salah satunya sebagai pemenang. Seperti yang diketahui, Afdlin dan Bront masing-masing merupakan pemenang kategori Pelakon Lelaki Terbaik pada FFM22 dan FFM23. Kerana itu, ramai yang mahu melihat sama ada kedua-dua mereka mampu mencipta kejayaan berganda daripada filem lakonan mereka iaitu Papadom dan Belukar. Dalam sejarah ASK, Afdlin bukanlah nama baru kerana sebelum ini dia pernah memenangi Pelakon Lelaki Filem Terbaik menerusi filem Buli pada tahun 2005. Siapa tahu, selepas lima tahun, Afdlin akan kembali merangkul gelaran itu sementelah lakonannya dalam Papadom cukup cemerlang. Penghayatan dan emosi Afdlin sebagai Saadom, seorang bapa yang mengawal ketat pergerakan anaknya telah meninggalkan kesan yang mendalam kepada penonton. Kalau Afdlin tewas di tangan Bront sekali pun, itu bukan satu masalah kerana Afdlin sudah membuktikan dia bukan calang-calang pelakon. Kebarangkalian Bront untuk mengulangi kejayaannya di FFM23 memang besar. Seandainya trofi idaman ramai itu menjadi miliknya malam esok, tidaklah perlu dipertikaikan kerana dia memang layak memenanginya. Kalau ASK2010 mahukan kejutan, nama-nama seperti Aaron Aziz, Farid Kamil dan Brian Goh akan menjadi pilihan mereka untuk diangkat sebagai pemenang. Aaron memang cukup menyerlah dalam filem Evolusi KL Drift 2 dan peluang untuk dia menang juga adalah cerah. Begitu juga dengan Farid yang membawakan watak Kasyah dalam filem Lagenda Budak Setan yang banyak bermain dengan emosi serta mainan dalaman. Biarpun filem Muallaf adalah filem pertamanya, lakonan bersahaja Brian tetap dipuji. Bakat yang digilap oleh mentornya, Allahyarham Yasmin Ahmad telah membuka mata ramai pihak akan kebolehan lakonannya. Seorang lagi aktor, Esma Danial juga tidak wajar dipandang enteng. Siapa tahu lakonannya dalam filem Santau akan memberikannya tuah selepas lebih dua dekad bergelar seorang pelakon. Jika Pelakon Lelaki Filem Terbaik dilihat mampu mencabar kredibiliti juri dalam memilih pemenang yang selayaknya, kategori Pelakon Wanita Filem Terbaik juga tidak kurang hebatnya. Apatah lagi, yang berpotensi semuanya nama-nama besar dan pernah diangkat sebagai Pelakon Wanita Terbaik FFM. Mereka yang dimaksudkan ialah Sharifah Amani, Liyana Jasmay, Maya Karin dan yang terbaru, Lisa Surihani. Daripada empat nama ini, hanya Liyana sahaja yang pernah merasai nikmat kemenangan di ASK tahun lalu apabila dia memenanginya menerusi filem Kami The Movie. Adakah lakonannya sebagai Mia Sara dalam Papadom akan mencatatkan sejarah buat Liyana apabila memenangi trofi ASK untuk tahun kedua berturut-turut? Sharifah Amani yang langsung tidak dipandang oleh panel juri FFM23 mempunyai peluang cerah untuk diangkat sebagai pemenang berdasarkan lakonannya dalam filem Muallaf. Apakah kontroversi akan mengulit diri Lisa sekali lagi seandainya dia dipilih sebagai pemenang seperti mana yang terjadi pada FFM23? Kalau juri merasakan dia berhak untuk memenangi trofi ASK, itu bermakna dia telah memberikan lakonan yang cukup mantap dalam filem Lagenda Budak Setan. Tidak akan adalah lagi kata-kata nakal yang mengatakan kemenangan Lisa hanya berlandaskan paras rupa semata-mata kerana Lisa sudah membuktikan dia memang layak untuk menerimanya. Dua calon lagi iaitu Maya Karin dan Fazura juga mempunyai peluang yang sama rata untuk memenangi Pelakon Wanita Filem Terbaik. Mungkin ramai yang akan bertanya siapakah sebenarnya watak utama dalam Pisau Cukur. Tetapi kata pengarahnya, Bernard Chauly, kedua-duanya adalah setara. Jadi, apakah ASK2010 bakal menyaksikan dua pelakonnya dicalonkan dalam kategori yang sama? Semuanya tidak mustahil kalau difikirkan. Malah, bukan satu kesalahan pun jika Maya dan Fazura disenaraikan. Tidak salah membuat perubahan kerana di Hollywood ia adalah norma dalam acara anugerah mereka. Selebriti terkenal, Daphne Iking juga boleh mencipta kejutan dalam ASK2010. Bukanlah perkara yang mengejutkan seandainya dia dicalonkan sebagai Pelakon Wanita Filem Terbaik. Masih ingat bagaimana Baizura Kahar memenangi kategori ini menerusi filem Sepi dua tahun lalu? Siapa tahu, gelaran Pelakon Harapan Wanita yang dimenanginya pada FFM23 mampu membawa Daphne setapak langkah lagi dalam bidang lakonan. Harus diakui, filem Belukar berjaya menonjolkan bakat Daphne sebagai seorang aktres dan dia memang berpotensi untuk pergi jauh dalam industri. | ||
Rezeki tujuh bulan Raziff, Nadira Posted: Rezeki tujuh bulan Raziff, NadiraOleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA
TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Begitulah yang terjadi kepada Raziff Abd. Rahman (Razif), 26, dan isterinya Alia Nadira Ahmad Zubir (Nadira), 25, apabila menjuarai program realiti Mari Menari malam Sabtu lalu. Pertandingan yang julung kali dibawakan oleh Astro menerusi Astro Ria (saluran 104, Astro) itu, menyaksikan pasangan tersebut memenangi sebuah kondominium mewah, The Haven bernilai hampir RM350,000 yang terletak di Ipoh, Perak. Bukan itu sahaja, pasangan yang baru mendirikan rumahtangga tujuh bulan lalu itu turut dikejutkan oleh pihak Astro apabila menerima hadiah berupa pakej percutian ke Bali, Indonesia tajaan Hard Rock Café, Bali. Dengan jumlah undian sebanyak 52 peratus, pasangan itu berjaya menewaskan pencabar terdekatnya iaitu pasangan Ariz (Fariz Raeza Mohd. Nizam dan isteri, Siti Rasyikah Zolkifli) yang terpaksa akur dengan keputusan yang tidak memihak kepada mereka apabila hanya ketinggalan 4 peratus undian (48 peratus) di belakang pasangan Razif. Mempersembahkan tiga jenis tarian di pentas akhir, dua pasangan lagi yang berentap iaitu pasangan Fahmi dan Zul terpaksa angkat kaki terlebih awal pada separuh masa pertama malam kemuncak itu. Semuanya gara-gara persembahan mereka untuk tarian wajib yang merupakan gabungan tarian hip hop dan kontemporari Melayu gagal menyerlahkan kebolehan mereka. Ini membuka ruang buat pasangan Razif dan pasangan Ariz berentap lebih sengit menerusi tarian latin. Barangkali tuah juga berpihak kepada pasangan Razif kerana mendapat bimbingan daripada penasihat mereka, Lisdawati yang sebelum ini pernah menjuarai rancangan Sehati Berdansa musim kedua. Akur dengan hal tersebut, ketika ditemui pada sidang akhbar sebaik menjuarai Mari Menari jelas Raziff, Lisdawati individu yang banyak menumpahkan nasihat serta tips berguna buat dia dan isteri dalam menangani pelbagai tekanan sekeliling. Dipandu oleh koreografer, Belalang sejak awal penyertaan pasangan tersebut dilihat menguasai pertandingan apabila sering mendapat pujian juri dan undian tertinggi penonton. Malah, sedikit pengetahuan sebagai penari, pasangan yang bekerja di Pak Ngah Productions ini tidak menafikan ia sedikit sebanyak membantu mereka dalam memperolehi undian. "Syukur dengan kemenangan ini. Lisdawati dan Belalang memang telah banyak membantu kami dan segala pahit getir sepanjang menyertai rancangan ini akhirnya terbalas hari ini. "Berbagai-bagai orang kata tentang kami termasuklah mendoakan kami tidak terkena badi seperti Sehati Berdansa. "Apa yang kami harapkan segala yang tidak baik dijauhkan. Malah, pada pertandingan akhir ini kami tidak meletakkan kata-kata itu sebagai penghalang kerana tujuan kami, selangkah kami masuk ke pertandingan ini mestilah buat yang terbaik," kata Razif sambil dipersetujui isterinya. Dalam masa yang sama, Razif memberitahu menyertai pertandingan itu banyak menyedarkan dia dan isterinya tentang erti kesabaran serta tolak ansur dalam mengukuhkan lagi ikatan perkahwinan yang baru berusia tujuh bulan itu. "Saya seorang yang kelam kabut tetapi Raziff lebih bersikap tenang dan mengajar saya untuk bertenang andai berlaku sebarang tekanan sepanjang menyertai Mari Menari. "Jika dia menjadi api saya yang menjadi air dan begitulah sebaliknya. Semenjak berkahwin saya akui saya lebih banyak menjadi air," kata Nadira yang menjalinkan hubungan dengan Raziff selama tiga tahun sebelum mendirikan rumah tangga. Dalam sidang akhbar itu juga, Raziff dan Nadira mengharapkan dengan kemenangan itu akan dapat melangsungkan bakat tarian mereka dalam mana-mana acara selepas ini. Sementara itu, Lisdawati ketika ditemui pula berkata, sumbangannya tidaklah sebesar mana jika hendak dibandingkan dengan usaha serta kerja keras anak-anak buahnya itu. Apa yang dilakukannya hanyalah berkongsi pengalaman serta memberikan tips yang dapat meningkatkan tahap keyakinan mereka. "Memandangkan sebelum ini saya ada pengalaman dalam Sehati Berdansa, daripada situ apa yang saya pelajari dan komen-komen yang saya terima dahulu, saya kumpul dan kongsi bersama pasangan Razif. "Saya juga banyak mengajar mereka bagaimana hendak meraih undian peminat, malah perlu rajin memasuki laman sosial seperti Facebook (FB) dan sebagainya. Begitu juga saya, yang turut mempromosi mereka di laman FB saya. "Daripada apa yang saya lihat, mereka memang rajin berlatih dan di luar jangkaan. Daripada petang membawa ke malam, malah tengah malam mereka masih lagi berlatih. "Mereka ada usaha sendiri untuk buktikan kepada peminat dan ahli keluarga mereka yang saya lihat tidak jemu-jemu hadir setiap minggu untuk memberikan sokongan kepada mereka," kata isteri kepada pelakon Fauzi Nawawi ini tanpa berselindung. Sementara itu, Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi telah mengkhabarkan undian keseluruhan Mari Menari berjaya mengatasi jumlah undian Sehati Berdansa musim pertama dengan lebih 900,000 undian. Jelasnya lagi, angka itu telah memberikan petanda yang cukup positif apabila undian menunjukkan peningkatan sebanyak 20 peratus berbanding pada dua minggu terakhir untuk Sehati Berdansa musim pertama dan kedua. "Dengan perkembangan ini, tidak mustahil untuk kami meneruskan Mari Menari bagi musim kedua pula. Namun, semuanya masih dalam perbincangan dan tunggulah sahaja pengumumannya nanti," ujarnya optimis. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |