Berita Harian: Hip |
Posted: 21 Dec 2010 04:17 PM PST Hip Ning Baizura ADA rasa yang bergolak di sanubari Ning Baizura ketika ini. Dua perkara membuatkan penyanyi itu berada dalam keresahan ketika menanti kehadiran tarikh 31 Disember 2010. Pertama, menunggu kemunculan album terbarunya, Dewa iaitu album ke-11 dalam kerjaya nyanyiannya selama 17 tahun. Debaran kedua pula, membuat persembahan secara eksklusif di CalebritiesClub Soho, Solaris Mont Kiara, Kuala Lumpur pada 31 Disember sempena kemunculan album Dewa. Hampir lebih setahun diperlukan demi merealisasikan album yang memuatkan lapan lagu itu membuatkan pelbagai perancangan ingin disempurnakan bersempena kelahiran Dewa seterusnya berkongsi kegembiraan dengan peminat."Dewa dalam bahasa Sanskrit membawa makna cahaya dan secara tidak langsung, album ini umpama penerang kerjaya nyanyian. "Malahan segala yang terkandung dalam Dewa adalah bayangan diri ini selaku ibu tiri dan isteri seperti mana dalam sebaris lirik ciptaan Ad Samad bagi lagu Ku Bukan Dewa iaitu 'tiada apa yang ingin ku buktikan, aku hanya ingin jadi diriku'. "Tentu saja album ini begitu bererti buat saya apatah lagi berpeluang mencorak sendiri keseluruhan Dewa dengan bantuan Audi Mok selaku penerbit bersama. Setiap dendangan umpama cerita dari bab ke bab fasa kehidupan baru ini," katanya yang turut menghasilkan lirik bagi lagu Propaganda.
Begitu pun tanpa bersandarkan konsep tertentu dengan menjurus kepada pop moden, pemilihan lagu berentak balada, pop, elektro dan dance sengaja disatukan bertepatan kehendak semasa khususnya bagi 'menangkap' perhatian pendengar muda yang rata-rata cenderung terhadap aliran muzik indie. "Sebelum memilih lagu, saya banyak bertanya kepada band popular masa kini termasuk Hujan konsep bagaimana bersesuaian untuk sesebuah album. Saya tidak malu mencungkil pendapat orang muda kerana perlu diakui muzik mereka sedang hangat sekarang. "Boleh diibaratkan album Dewa adalah cabaran yang cukup mengujakan. Sepanjang merakam lagu, ada saja yang kami lakukan untuk mencantikkan melodi dan liriknya. Saya cerewet. Begitu juga Audi Mok hingga ada kalanya satu lagu mengambil masa dua, tiga hari untuk dirakamkan," katanya lagi yang pertama kali menerbitkan album sendiri. Sebagai permulaan, Ning mempertaruhkan single Mama Pama yang nyata memancing perhatian peminat apabila kerap diputarkan di radio dan kini, single keduanya diberi judul Raksasa menjadi sandaran. Malahan, istimewanya, peminat berpeluang muat turun lagu ini percuma menerusi www.ning-baizura.com. Katanya, hingga kini dendangan yang cukup catchy itu sudah lebih 1,000 kali dimuat turun pendengar biarpun ada pihak tertanya-tanya mengapa dia sanggup mempromosikan lagunya sebegitu sedangkan pada masa sama album bakal berada di pasaran. "Biarlah orang berkata apa. Pemberian Raksasa tanpa sebarang caj itu saya anggap hadiah kepada peminat yang menyokong saya selama ini. Bagi saya jika penggemar tetap akan mencari album baru saya sekiranya produk awal yang kita ketengahkan menepati selera mereka," katanya lagi. Konsert mini penutup tirai tahun 2010 MENGENAI perancangan mengadakan persembahan bersempena pelancaran Dewa, akuinya malam tahun baru menjadi pilihan kerana ia bertepatan hari edaran selain petanda kebangkitan semula penyanyi berusia 35 tahun itu menjelang 2011. Katanya, menyedari ramai yang menanti kemunculannya, Konsert Mini Ning Baizura direalisasikan sebagai permulaan promosi bergerak Dewa namun ia masih menyenaraikan lagu popular sejak album pertamanya, Dekat Padamu hingga kini. "Persembahan bermula jam 10 malam itu akan menyenaraikan hampir 20 lagu. Bukan hanya lagu baru, saya sedar ramai masih mahu saya menyampaikan dendangan popular dulu," katanya. Tanpa berselindung, penyanyi berkulit hitam manis itu juga mahu berkongsi berita gembira mengenai penganjuran konsert di Istana Budaya pada 1 dan 2 Julai 2011 yang juga antara impiannya sejak dulu. Mendengarkan lokasi serta perancangan membawa masuk teknologi terkini sistem audio dan visual, sudah terbayang bajet besar yang bakal dilaburkan. Apakah Ning sudah sedia memperuntukkan kos tinggi demi sebuah persembahan gah? "Setiap penyanyi pasti mengimpikan konsert sendiri. Sejak konsert solo terakhir di Stadium Negara pada 1996, saya sudah memasang impian untuk beraksi semula dan tahun depan masa paling tepat melihatkan senario industri muzik semasa. "Kami harap ada syarikat gergasi memberi kepercayaan terhadap penghibur tempatan. Selagi terdaya, Happening (M) Sdn Bhd akan berusaha mencari tabungan dan penaja untuk merealisasikan konsert ini," katanya lagi yang merancang menggunakan iringan orkestra dan instrumen tradisional dalam konsert itu nanti. Nyata, selebriti berjiwa kental itu tetap tabah mengharungi kerjaya dan kehidupannya malah pada saat berdepan dengan pergelutan hak antara dirinya dan bekas pengurus, bermacam agenda dirancang sama ada album, promosi mahu pun konsert kemuncak. Tegasnya, sebagai insan setiap manusia tidak lepas berdepan ujian dan yang berbeza hanya cara menanganinya namun akui Ning, dirinya bertuah dilingkungi keluarga terutama suami serta ibu yang menyuntik semangatnya supaya terus teguh berdiri. "Suami dan ibu pendengar setia cerita saya. Mereka keluarga dan teman setia. Saya bersyukur dilimpahi kebahagiaan ini. Kebiasaannya, jika tertekan kami cuti beramai-ramai, tidak perlu jauh, cukup di dalam negara, asalkan bersama-sama," katanya. Seperti penyanyi lain, Ning yang turut disenaraikan sebagai calon awal Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) tidak sabar menantikan tarikh 3 April ini menantikan hari kemuncak pertandingan yang mengiktiraf karyawan seni bersandarkan undian peminat. "Majlis ini menyemarakkan lagi industri hiburan dan sebagai artis, saya terharu dengan sokongan media dan peminat yang mengiktiraf golongan seni termasuk mereka yang terbabit dalam industri penyiaran dalam sebuah anugerah besar," katanya. INFO NAMA PENUH: Ning Baizura Sheikh Hamzah
|
Jawablah!: Kenali dulu siapa Noh Posted: 21 Dec 2010 03:57 PM PST Hip NOH PEMILIHANNYA sebagai mentor untuk program realiti Mentor musim keempat menjadi bahan pertikaian ramai. Sudahlah pengalaman tidak sehebat mentor lain ditambah dengan sikapnya yang sering menimbulkan kontroversi membuatkan kebanyakan pihak menganggap vokalis kumpulan Hujan, Noh belum layak memikul tanggungjawab itu. Sifat lepas laku, bermulut celupar yang sering dilabelkan ke atasnya itu membuatkan ramai yang berasa sangsi apakah Noh mampu menjadi mentor yang baik. Bagi Noh, walaupun berasakan yang belum layak namun itu tidak bermakna dia tidak mempunyai ilmu untuk dikongsi bersama protegenya.Baginya, kontroversi demi kontroversi yang dilalui adalah pengalaman berharga yang boleh dijadikan panduan oleh bakal protegenya. HIP: Bagaimana persediaan Noh setakat ini sebelum bergelar Mentor? Noh: Saya belum membuat sebarang persediaan khusus kerana memberikan tumpuan untuk Anugerah Juara Lagu dan persiapan untuk majlis
Noh: Kepada yang mahu menjadi protege saya, selain boleh menyanyi, biarlah boleh bermain alat muzik. Tak kiralah alat muzik apa pun. Dan orang itu mestilah juga mempunyai personaliti menarik dan kemas walaupun saya tak macam itu (ketawa). Kalau boleh protege saya itu seorang lelaki tapi kalau ada peserta perempuan yang berminat bolehlah datang menjalani uji bakat. Namun keutamaan adalah untuk peserta lelaki .Ada banyak perancangan yang sudah aturkan untuk bakal protege saya nanti. Antaranya, saya akan memanggil semua anggota Hujan sama-sama membimbingnya. Disebabkan itulah saya mahu mencari mereka yang bukan saja boleh menyanyi tetapi bermain alat muzik. HIP: Tapi ada yang mempertikaikan pemilihan Noh sebagai Mentor. Iyalah, berbanding Erra Fazira, Afdlin Shauki, pengalaman Noh tidak sehebat mereka ditambah sering menimbulkan kontroversi. Noh: Memang akui dari segi pengalaman, saya memang kurang. Saya terkejut apabila TV3 memilih saya untuk jadi Mentor. Namun bila difikirkan tentu ada sebab TV3 berbuat demikian. Biarpun baru lima tahun bergelar penyanyi bersama-sama Hujan tapi pengalaman yang dilalui dan bagaimana survival kami sampai sekarang, itu semua sudah cukup membolehkan kami berkongsi pengalaman dengan bakal protege saya. Bagaimana saya lalui semua kritikan sepanjang karier sebagai anak seni. Semua itu berguna untuk panduan protege saya pada masa akan datang. Bukanlah bermakna jika kita sering dilanda kontroversi, kita tidak berguna dan tidak boleh membimbing orang lain. HIP: Mungkin mereka ragu sifat Noh yang lepas laku dan bermulut celupar itu memberikan contoh yang tidak baik. Noh: Saya tak kisah apa orang nak kata pasal diri saya. Kalau orang tahu dan kenal siapa itu Noh, mereka tidak akan mudah percaya atau termakan kata-kata kononnya saya seorang yang sebegitu. Hanya mereka yang tak ada kerja nak buat saja sanggup buat cerita seperti itu. HIP: Noh juga pernah dikritik kerana sering mengeluarkan kata-kata kesat menerusi lama Twitter. Boleh ulas. Noh: Seperti yang sering dinyatakan dalam laman web rasmi saya, laman sosial seperti Facebook, Twitter adalah laman peribadi saya. Jadi apa yang saya tulis di situ adalah pendapat peribadi saya. Lagipun saya taklah menulis kata-kata kesat yang memaki hamun orang. Kadang-kadang saya tulis itu sebagai luahan rasa tidak puas hati seperti kesesakan lalu lintas dan sebagainya dan bukannya ditujukan kepada mana-mana individu. Sama juga seperti kes 'awak busuk'. Itu kata gurauan dan bukannya saya betul-betul kata dia busuk.
HIP: Jadi Noh sebenarnya memang seorang yang sinis apabila berkata-kata? Noh: Kenali dulu siapa Noh. Kalau isu itu ditanyakan pada kawan-kawan saya, mereka akan menjawab itu hanyalah gurauan semata-mata. Mereka tahu perangai saya yang sebenar. Jadi tak perlulah nak menilai orang jika tak kenal sifat dalamannya. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |