Adsense

Selasa, 21 Disember 2010

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Pertemuan sedekad Annette, Hilary Annette, Hilary

Posted:

Pertemuan sedekad Annette, Hilary Annette, Hilary

Pertemuan sedekad Annette, Hilary Annette, Hilary

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my


HEBAT...Annette Bening (kiri) bersama Julianne Moore dalam salah satu babak filem The Kids Are All Right.


APABILA senarai calon akhir anugerah Screen Actors Guild (SAG) diumumkan minggu lalu, kategori Pelakon Wanita Terbaik antara yang paling menarik perhatian ramai.

Biarpun ada yang mengeluh dan merungut kerana ada beberapa nama yang tercicir, tetapi 'perlawanan' tahun ini dianggap cukup menarik apabila memperkatakan tentang kategori itu.

Mana tidaknya. Untuk kali ketiga, dua aktres handalan, Annette Bening dan Hilary Swank dipertemukan sekali lagi dalam kategori yang paling dinanti-nantikan saban tahun itu.

Memang sesuatu yang mengejutkan apabila nama Swank tersenarai kali ini. Ini kerana nama Swank langsung tidak tercalon dalam Golden Globe baru-baru ini sekaligus menimbulkan pertanyaan ramai pihak bagaimana dia boleh membolosi pencalonan SAG.

Sedangkan pada pandangan pengkritik dan pemerhati dunia perfileman Hollywood, lakonan Swank dalam filem Conviction tidak begitu menonjol jika hendak dibandingkan dengan calon-calon lain.

Tidak kurang juga kata-kata nakal yang mengatakan juri SAG sengaja meletakkan nama Swank dalam senarai pencalonan agar Bening berasa gentar.

Apatah lagi, Bening kini disebut-sebut dan diramalkan akan memenangi Pelakon Wanita Terbaik untuk Golden Globe dan juga Screen Actors Guild menerusi lakonannya sebagai seorang lesbian dalam filem The Kids Are All Right.

Mungkin untuk anugerah Golden Globe, peluang Bening untuk memenanginya memang cukup mudah kerana empat calon lain di dalam kategori Pelakon Wanita Muzikal atau Komedi Terbaik dilihat tidak sekuat lakonan Bening.

Jadi, apakah ada harapan untuk Bening memenangi SAG selepas nama Swank juga tersangkut sekali dalam senarai pencalonan.

Sekadar menyegarkan kembali ingatan pembaca dan peminat, Bening dan Swank dipertemukan kali pertama dalam tiga anugerah penting di Hollywood iaitu Golden Globe, SAG dan Oscar pada tahun 2000.

Ketika itu, perhatian semuanya tertumpu kepada Bening yang telah memberikan lakonan mantap dalam filem American Beauty.

Watak Carolyn Burnham yang dilakonkannya dalam filem itu dianggap sebagai kemuncak karier Bening dan melayakkannya dicalonkan untuk Golden Globe dalam kategori Pelakon Wanita Drama Terbaik.

Namun, apabila Swank muncul dengan filem berbajet kecil, Boys Don't Cry, semuanya berubah dan perlahan-lahan perhatian itu dialihkan kepada Swank yang ketika itu namanya kurang popular.

Bening tewas di tangan Swank dalam Golden Globe tetapi rajuk isteri kepada Warren Beaty itu tidak lama apabila dia membuktikan keunggulannya di SAG tidak lama selepas itu.

Ia sekali gus membuatkan ramai yang meramalkan Bening akan membawa pulang Oscar tetapi semuanya meleset.

Swank terus membuktikan kehebatannya apabila Oscar pada tahun itu menjadi hak mutlaknya dan membiarkan Bening pulang dengan penuh kehampaan.

Empat tahun kemudian, dua 'seteru' ini kembali disatukan dalam tiga anugerah yang sama. Bezanya kali ini, Bening dan Swank sama-sama mengungguli Golden Globe.

Bening memenangi anugerah Pelakon Wanita Muzikal atau Komedi Terbaik menerusi lakonannya dalam filem Being Julia manakala Swank pula untuk Pelakon Wanita Drama Terbaik bagi filem Million Dollar Baby.

Sekali lagi, kedua-duanya dicalonkan dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik untuk SAG yang menyaksikan kemenangan berpihak kepada Swank yang sememangnya cukup hebat dalam filem arahan Clint Eastwood itu.

Dengan kejayaan Swank di Golden Globe dan SAG itu, laluannya memang cukup mudah untuk menjulang Oscar keduanya pada tahun itu.

Selepas enam tahun berlalu, Bening dan Swank bertemu untuk kali ketiga apabila masing-masing tersenarai dalam SAG.

Kalau hendak diukur kepada kejayaan kedua-duanya berdasarkan prestasi mereka sepanjang tahun ini, ternyata Bening lebih menyerlah.

Filem The Kids Are All Right yang turut dilakonkan oleh Julianne Moore, Mark Ruffalo, Mia Wasikowska dan Josh Hutcherson itu telah membuktikan Bening bukan calang-calang aktres.

Dicampur dengan pencalonannya di Golden Globe dan SAG sebagai Pelakon Wanita Terbaik, setakat ini Bening telah menerima lebih daripada 10 pencalonan termasuk daripada persatuan pengkritik filem di Amerika Syarikat.

Sedangkan, SAG merupakan satu-satunya pencalonan untuk Swank sebagai Pelakon Wanita Terbaik.

Adakah kejayaan yang diraih Bening untuk filemnya itu dapat dijadikan kayu pengukur untuk namanya tersenarai dan seterusnya memenangi Oscar nanti?

Sukar sekali untuk memberikan jawapan yang tepat kepada persoalan itu. Apabila membicarakan tentang musim anugerah di Hollywood, kejutan boleh berlaku bila-bila masa sahaja.

Calon bukan pilihan (underdog) memang tidak boleh dipandang sebelah mata di Hollywood kerana sejarah sudah pun membuktikan sebelum ini.

Sebagai contoh, pada tahun 2002, aktres veteran, Sissy Spacek dikatakan akan mengungguli kategori Pelakon Wanita Terbaik memandangkan dia telah memenanginya pada Golden Globe menerusi filem In The Bedroom.

Namun, dia tewas di tangan Halle Berry pada SAG yang seterusnya memperlihatkan Berry mencipta kemenangan berganda di pentas Oscar hasil lakonannya dalam filem Monster's Ball.

Jadi, apakah Bening akan berterusan dikecewakan seandainya Swank berjaya meloloskan diri dalam senarai pencalonan Oscar nanti?

Apa-apa pun, ia masih terlalu awal untuk meramalkan siapakah yang akan mara ke pentas Oscar kerana memang banyak calon yang berpotensi untuk disenaraikan.

Untuk SAG, ternyata laluan Swank dan Bening memang tidak mudah kerana mereka berdua perlu berdepan dengan tiga calon lain yang tidak kurang hebatnya.

Mereka yang dimaksudkan ialah Nicole Kidman yang telah memberikan lakonan yang cemerlang dalam filem Rabbit Hole, Jennifer Lawrence (Winter's Bone) dan Natalie Portman (Black Swan).

"Saya benar-benar terkejut dengan pencalonan ini dan ia menunjukkan lakonan saya dalam Conviction tidak dipandang rendah oleh mereka yang setara dengan saya.

"Ada kalanya watak yang dianggap sebagai calon bukan pilihan ini seronok untuk dibawakan kerana ia membawa kita menyelami karakter yang tidak pernah kita bayangkan sebelum ini," ujar Swank ketika memberi komen tentang pencalonannya di SAG.

Untuk melihat senarai penuh pencalonan SAG, bolehlah melayari laman web rasminya, www.sagawards.org.

Anugerah Screen Actors Guild akan berlangsung pada 30 Januari ini di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Giliran muzik dibela

Posted:

Giliran muzik dibela

Giliran muzik dibela

BIDANG muzik di negara ini mungkin boleh dikategorikan sebagai kelas tercorot berbanding bidang-bidang seni yang lain. Kalau dunia perfileman contohnya, sudah lama mendapat pembelaan daripada kerajaan.

Lihat sahaja penubuhan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang telah diwujudkan hampir 30 tahun lalu. Finas ditubuhkan sebagai salah satu agensi di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia (KPKK).

Perbadanan itu telah banyak memberi bantuan dalam usaha membangunkan industri perfileman di negara ini. Antaranya menerusi Skim Pinjaman Filem Cereka (SPFC) berjumlah RM50 juta yang diperuntukkan kepada para penggiatnya tidak lama dulu.

Bidang seperti kraftangan juga sudah lama mendapat pembelaan daripada kerajaan. Buktinya dengan adanya Jabatan Kraftangan Malaysia yang juga terletak di bawah KPKK.

Sedangkan bidang muzik tempatan seperti terkontang-kanting tanpa adanya sebuah agensi khusus di bawah pengawasan kerajaan. Seolah-olah bidang muzik tidak menyumbang kepada perkembangan seni, budaya dan pemikiran masyarakat.

Jika dicongak daripada segi pendapatan industri rakaman tanah air misalnya, ia pernah menjana perolehan lebih RM200 juta setahun. Sebab itulah, sudah lama ada cadangan yang mahukan supaya sebuah jabatan atau perbadanan diwujudkan di bawah KPKK.

Lama juga isu itu ditimbulkan tetapi ia seakan-akan senyap begitu sahaja. Mungkin tidak banyak 'kepentingan' yang boleh dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu daripada bidang itu.

Bagaimanapun, terbaru kementerian terbabit khabarnya sudah berura-ura untuk mewujudkan sebuah jabatan baru yang akan dikenali sebagai Jabatan Muzik Malaysia (JMM).

Bukan setakat itu sahaja, malah KPKK juga kini sedang giat mencari calon untuk jawatan Pengarah di jabatan tersebut. Jawatan ini memang ditunggu-tunggu oleh banyak pihak terutamanya para pemimpin persatuan-persatuan artis.

Difahamkan, antara nama-nama yang timbul bagi mengisi jawatan itu ialah Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez dan komposer Datuk Wah Idris. Tidak pasti sama ada mereka telah ditawarkan di jabatan atau agensi yang ke-19 di bawah KPKK itu ataupun sebaliknya.

Selain itu, Pengarah Muzik RTM, Datuk Mokhzani Ismail pula dikatakan pernah ditawarkan untuk jawatan itu. Namun, beliau telah menolaknya secara baik termasuklah dengan alasan-alasan yang boleh dianggap munasabah.

Mungkin Mokhzani lebih cintakan dunia muzik jazznya dan bergelumang dengan alunan muzik Orkestra RTM di bawah pimpinannya sekarang. Ini kerana, antara tugas awal Pengarah JMM ialah menyatukan kesemua persatuan dan pemuzik di bawah jabatan itu. Ia bukan suatu perkara yang mudah.

Cabaran itu bukan sedikit kerana banyak persatuan seperti Karyawan dan Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Penulis Lirik Tanah Air (Papita) masih dikatakan 'tidak akrab' sehingga kini.

Tidak setakat Mokhzani, Freddie dan Wah, malah konduktor Orkestra Simfoni Kebangsaan, Mustafa Fuzer Nawi juga antara nama yang pernah disebut-sebut untuk menduduki kerusi tersebut.

Kesemua nama terbabit ada yang diterima dan tidak kurang juga yang 'ditendang' begitu sahaja. Ini kerana ada di antara mereka yang mempunyai 'rekod-rekod kurang sedap' didengar sehingga ia telah sampai 'ke telinga' pihak atasan di KPKK.

Daripada sumber-sumber yang boleh dipercayai juga, nama yang paling menjadi bualan hangat dan pilihan bagi jawatan itu ketika ini ialah Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) cawangan negeri Sabah, Sallehuddin Md. Salleh.

Sejauh mana desas-desus tentang kebenaran perkara itu, hanya pihak atasan kementerian terbabit sahaja yang tahu. Apatah lagi, kuasa melantik Pengarah JMM pula terletak atas Menterinya, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

Walau siapa juga yang dilantik sebagai Pengarah JMM, ia tidak penting. Sebaliknya, sejauh mana individu terbabit mampu menyatukan ribuan karyawan muzik tempatan seperti penyanyi, pemuzik, penulis lirik dan penggubah lagu di bawah satu bumbung.

Terlalu banyak isu dan masalah dalam industri muzik seperti perkara-perkara yang terkandung dalam Akta Hakcipta 1987 yang harus dikemaskini serta diperjuangkan oleh bakal Pengarah jabatan baru di KPKK itu kelak.

Malah, yang paling penting Pengarah JMM yang pertama kelak juga haruslah sanggup 'meletakkan' segala instrumens muzik, contohnya jika dia seorang pemuzik bagi memberi tumpuan kepada jawatan tersebut.

Ini kerana jawatan Pengarah JMM juga penuh dengan 'sepak terajang' dan politiknya yang tersendiri, sama seperti kerusi Ketua Pengarah Finas yang sentiasa 'panas' setiap kali tempoh kontraknya tamat.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.