Adsense

Selasa, 21 Disember 2010

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Kami bukan bergaduh - Ahmad Dhani

Posted:

Kami bukan bergaduh - Ahmad Dhani

Kami bukan bergaduh - Ahmad Dhani

Oleh HARYATI KARIM



SELEPAS khabar angin Once atau nama sebenarnya Elfonda Mekel mahu keluar daripada band terkenal Indonesia, Dewa 19, tiada satu pengesahan yang dibuat oleh ketua band tersebut, Ahmad Dhani dan mana-mana anggota Dewa 19 di Indonesia.

Sebaliknya, Ahmad Dhani lebih senang untuk mengumumkan berita pengunduran vokalisnya itu secara eksklusif kepada media Malaysia.

Dia yang ditemui pada Konsert Ria anjuran Astro di Shah Alam, Ahad lepas mengakui Once telah pun menghantar surat pengunduran diri seminggu lalu.

Bagaimanapun, belum ada sebarang mesyuarat berhubung hal itu antara Dhani dan anggota Dewa 19 yang lain iaitu Andra Junaidi (gitar), Yuke Sampurna (bass) dan Agung Yudha (drum).

"Kami semua sudah menerima surat pengunduran daripada Once tetapi belum mesyuarat tentang hal itu. Ini kali pertama saya berbicara mengenai hal ini, media Indonesia juga belum tahu," ujarnya.


AHMAD DHANI menegaskan tidak akan memujuk Once untuk menarik kembali keputusannya keluar dari Dewa 19.


Disoal mengenai perasaannya saat menerima surat pengunduran daripada Once memandangkan sudah 12 tahun mereka bersama dalam Dewa 19. Jawab Dhani: "Saat berpisah dengan bekas isteri pun saya tidak sedih, inikan pula dengan Once.

"Mahu tidak mahu kami semua harus menerima keputusannya itu dan hadapi dengan senyuman. Dia undur diri kerana dia sudah bosan dengan Dewa. Lagipun, dia sukses sebagai penyanyi solo."

Ditebak lagi soalan, mungkinkah pengunduran Once berpunca daripada perselisihan faham, Dhani bagaimanapun menafikannya tetapi mengaku yang dia dan Once sudah tidak bercakap antara satu sama lain sejak bulan Ogos lalu.

"Tidak ada sebarang perselisihan faham, semuanya baik-baik saja. Saya dan Once sudah tidak bercakap sejak bulan Ogos, jika ada persembahan dia di sudut lain, kami semua di sudut yang lain, cuma bersatu ketika membuat persembahan.

"Persembahan terakhir Dewa 19 bersama Once adalah ulang tahun stesen televisyen, SCTV. Selepas itu kami tidak bertemu atau berbicara lagi," kata Dhani yang merupakan pemilik Republik Cinta Management yang dinaungi oleh Dewa 19.

Tambah Dhani, dia sedar dengan pengunduran Once pastinya ramai peminat yang akan kecewa kerana vokalis bersuara lantang itu sudah cukup sinonim dengan Dewa 19.

"Pasti ada yang kecewa tetapi sekarang ini setiap anggota Dewa 19 sudah ada band di luar mereka sendiri, seperti Andra. Pendapatan terbesarnya adalah menerusi band Andra & The Backbone bukannya bersama Dewa, saya juga sekarang sudah bersama band TRIAD jadi, band Dewa 19 bukan lagi band utama setiap anggota Dewa, Dewa 19 akan menjadi band sampingan kami saja," ungkapnya.


DEWA 19 meraih musim gemilang ketika dibarisi (dari kiri), Yuke, Andra, Dhani, Once dan Al.


Cari pengganti Once

Ramai yang tertanya-tanya, jika tanpa Once bagaimana dengan nasib Dewa 19 kelak? Mungkinkah posisi vokalis akan diisi oleh Dhani sendiri memandangkan dia juga boleh menyanyi atau pun memanggil semula bekas vokalis Dewa terdahulu iaitu Ari Lasso?

"Tidak, saya tidak akan berada di posisi vokalis. Memang saya boleh menyanyi tetapi vokal saya tidak tinggi, saya suka penyanyi Dewa 19 mempunyai vokal yang tinggi, baru sedap lagunya.

"Sekarang dalam perancangan, saya akan mencari vokalis baru yang lebih muda. Saya tidak akan panggil semula Ari Lasso atau cuba memujuk Once untuk tarik balik surat pengunduran dirinya," tegas Dhani.

Beritahu Dhani tentang perancangannya mencari vokalis baru Dewa 19, dia telah berbincang dengan pihak stesen televisyen di Indonesia untuk mengadakan program mencari bakat seperti sebuah program realiti.

"Saya telah berbincang dengan pihak stesen televisyen tetapi belum ada keputusan yang muktamad. Apa yang pasti, saya akan adakan sesi uji bakat. Jangka waktu untuk saya bertemu pengganti Once, mungkin mengambil masa setahun.


TIDAK hanya mengadakan konsert di Malaysia baru-baru ini, Ahmad Dhani turut memberikan berita eksklusif tentang pengunduran Once dari Dewa 19 kepada pihak media Malaysia.


"Selepas bertemu dengan vokalis yang benar-benar cocok dengan semua anggota Dewa 19, baru saya boleh merancang perjalanan Dewa 19. Setakat hari ini, saya sudah ada beberapa lagu untuk Dewa 19 tetapi belum ada vokalisnya," tuturnya yang kini sibuk dengan band barunya TRIAD yang membawa maksud The Rock Indonesia Ahmad Dhani.

Dalam rakaman Konsert Ria 2010 yang berlangsung di i-City di Shah Alam itu, Dhani bersama TRIAD sempat menghiburkan penonton setia Astro dengan lagu Madu 3, Sedang Ingin Bercinta, Makhluk Tuhan Paling Seksi dan Pangeran Cinta, Selir Hati dan Aku Cinta Kau.

Bukan itu sahaja, Dhani juga berkolaborasi di atas pentas bersama band The Lucky Laki yang dianggotai oleh tiga anak lelakinya Ahmad Al Gazali,13, El Jalaluddin Rumi, 11, dan Ahmad Abdul Qodir Jaelani, 10, dengan lagu Munajat Cinta.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Harapan baru

Posted:

Harapan baru <i>Mentor 5</i>

Harapan baru Mentor 5


BARISAN Mentor 5 terdiri daripada (dari kiri) Noh Hujan, Afdlin Shauki, Erra Fazira, Rahim Maarof dan Edry Abd. Halim.


MENTOR bakal memasuki musim kelima. Selepas kejayaan musim keempat program realiti TV terbitan TV3 itu dengan purata jumlah peratusan penonton mencecah hampir 2.9 juta setiap minggu, para peminat mengharapkan sesuatu yang lebih baik untuk Mentor musim kelima nanti.

Segala harapan dan jangkaan itu tentunya perlu digalas oleh pihak produksi dan mentor-mentor yang terpilih untuk menjayakan program realiti televisyen terbitan TV3 ini.

Bagaimanapun, penerbit eksekutif Mentor 5, Muhammad Sufian Isa memilih untuk tidak memperkenalkan sebarang perubahan drastik bagi memastikan rating Mentor terus naik, sebaliknya memilih untuk mengekalkan konsep Mentor yang sedia ada.

Menurutnya, kekuatan yang ada pada program Mentor adalah ia menampilkan mentor-mentor yang berlainan pada setiap musim.

"Setiap mentor akan mengetengahkan cara pembelajaran yang tersendiri dan berbeza dengan mentor-mentor sebelumnya.

"Inilah kelainan kelebihan Mentor yang yang akan ditonjolkan pada penonton dan perkara ini tidak ada dalam program-program lain," katanya pada satu sidang media Mentor 5 yang diadakan di Sri Pentas, Bandar Utama baru-baru ini.

Barisan mentor yang akan bersaing sesama sendiri sepanjang Mentor musim kelima ini terdiri daripada gandingan muka-muka baru dan lama, iaitu Datuk Sharifah Aini, Afdlin Shauki, Noh Hujan, Rahim Maarof, Edry Abd. Halim dan Erra Fazira.

Usaha keras

Menurut Sufian, pihaknya sangat berkeyakinan dengan barisan mentor untuk musim kelima ini dan usaha keras pihaknya, Mentor 5 mampu melahirkan penyanyi-penyanyi berbakat untuk industri seni suara tanah air.

Sufian juga menjelaskan kelonggaran kepada mentor untuk menukar protégé mereka masih dikekalkan untuk musim terbaru ini, tetapi hanya untuk sebelum pertandingan bermula.

"Pemilihan semasa uji bakat sangat penting, mentor mesti menilai peserta bukan hanya sekadar mutu nyanyian, tetapi juga bagaimana cara mereka berinteraksi dan tahap kerja keras mereka, supaya tidak timbul masalah di kemudian hari," katanya yang bertindak sebagai penerbit Mentor sejak musim pertama lagi.

Pihak produksi Mentor 5 turut mengekalkan format undian seperti mana Mentor musim kedua, ketiga dan keempat di mana 50 peratus daripada undi datang daripada juri profesional, 30 peratus daripada khidmat pesanan ringkas (SMS) dan 20 peratus lagi adalah hasil undian juri awam di studio.

Menurutnya, itu merupakan format penjurian terbaik yang boleh diusahakan pihaknya.

"Kami memberikan 20 peratus kepada juri awam di studio kerana bagi kami, mereka adalah golongan semi profesional, yang mana mereka terdiri daripada pelajar jurusan muzik, wartawan dan penerbit rancangan hiburan televisyen.

"Penjurian mentor mewakili semua lapisan masyarakat, daripada golongan profesional sehingga orang awam.

"Kami berharap format undian berkenaan boleh melahirkan keputusan yang tepat, seperti Mentor musim ketiga dan keempat, kita nampak juara adalah yang terbaik di kalangan protégé lain," katanya.

Bakat berkualiti

Menariknya, barisan mentor kali ini tidak pula terlalu memilih ciri-ciri spesifik untuk menjadi protege di bawah jagaan mereka seperti mencari seorang lelaki atau perempuan, sebaliknya memberi peluang kepada semua orang yang memenuhi syarat-syarat kelayakan untuk mencuba nasib.

Rata-rata mereka berpendapat untuk mencari bakat yang betul-betul berkualiti, ruang dan peluang kepada orang ramai untuk mencuba wajar dibuka seluas-luasnya.

Salah seorang mentor, Afdlin Shauki berkata, dia memang bercita-cita untuk berkongsi pengalaman tentang baik buruk dunia hiburan dengan orang lain.

"Dahulu, saya juga mempunyai guru seperti Roslan Aziz, Zainal Abidin dan Sheila Majid.

"Ini merupakan perjalanan semula jadi. Tak rugi untuk kita berkongsi pengalaman bagi kemajuan industri," ujarnya.

Individu yang berminat untuk menjadi protege kepada penyanyi idola masing-masing berpeluang untuk menjalani sesi uji bakat untuk Mentor 5 bermula 18 Disember sehingga 30 Januari, 2011 dengan syarat mereka mestilah warganegara Malaysia dan berumur antara 18 hingga 25 tahun.

Sedikit kelainan ditawarkan untuk Mentor kali ini yang mana sedikit kelonggaran diberikan kepada mereka yang tinggal jauh dari lokasi sesi uji bakat dan tidak dapat menghadirinya.

Mereka boleh menghantar demo nyanyian masing-masing kepada www.tv3.com.my/mentor5 sebelum 10 Januari 2011 dan pihak produksi akan menghubungi peserta untuk datang ke uji bakat pada waktu dan tarikh yang ditetapkan untuk demo yang terpilih. - IKHWAN IDERIS

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.