Adsense

Selasa, 21 Disember 2010

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Seksi bertempat

Posted: 20 Dec 2010 05:06 PM PST

Hip

Nana cuba imej baru sesuai dengan konsep single

MAHU memuaskan hati semua orang memang bukan mudah. Justeru, penyanyi Siti Nordiana Alias, 26, atau lebih mesra disapa Nana ini hanya mampu mengambil pendekatan memekakkan saja telinganya.

Penyanyi yang satu ketika dulu cukup popular dengan lagu Bola-Bola Api (duet bersama Achik) ini berkata demikian apabila diminta mengulas isu dirinya muncul berpakaian seksi tatkala menghadiri majlis anugerah anjuran majalah gaya hidup di sebuah kelab terkemuka baru-baru ini. Keberanian ibu kepada Muhammad Rayyan Nakhaie, 2 tahun 9 bulan itu tampil dengan gaun paras peha serta tidak berlengan mencetuskan sedikit kontroversi lantaran dia tidak pernah dilihat seberani itu sepanjang lebih sedekad terbabit dalam dunia seni.

Namun di sebalik kritikan serta tohmahan yang memedihkan telinga, penyanyi berasal dari Negeri Sembilan itu tetap berasakan wujudnya hikmah apabila dirinya menjadi bahan bualan mahupun cemuhan. Sekurang-kurangnya, kata wanita ini sambil menguntumkan senyum, ia menjadi penanda aras bahawa kewujudannya masih lagi disedari peminat.

"Nana hanya bergaya seksi pada malam itu untuk disesuaikan dengan acara. Bagaimanapun, jika Nana hadir menjayakan persembahan atau berjumpa dengan peminat, Nana tidak akan berpakaian begitu kerana ia bukan imej atau diri sebenar Nana.

"Ketika yang sama, Nana juga mengenakan gaya terbabit sekadar mahu mencuba, serta melihat reaksi orang ramai. Sampai bila Nana harus membawakan imej sama? Kebetulan pula, tidak lama lagi Nana bakal muncul dengan single terbaru berjudul Tak Tahan yang berentak alternatif rock ciptaan Adi dari kumpulan 6ixth Sense.
"Kiranya, imej yang Nana bawakan pada majlis anugerah itu sebagai pengenalan untuk konsep urban yang bakal Nana perkenalkan nanti. Nana juga ingin cuba menarik peminat bandar kerana selama ini kebanyakan peminat Nana kononnya adalah dari desa.

"Nana akui, Nana tak boleh memuaskan hati semua orang. Tetapi, seperti Nana katakan tadi, kita perlu berani mencuba. Jika tidak, kita tak tahu sama ada orang ambil peduli hal kita lagi atau tidak. Ternyata dengan apa yang berlaku, Nana sedar yang peminat masih sayangkan Nana," katanya yang meminta supaya status ibu tunggal yang disandang kini tidak dikaitkan dalam soal dia berpakaian.

Karier dulu, jodoh kemudian

TERLANJUR berbicara mengenai status, tentu sekali Hip tidak mahu melepaskan peluang bertanyakan soalan berkisar jodoh. Namun, Nana yang kini sibuk dengan penggambaran drama memberitahu, seboleh-bolehnya dia mahu memberikan tempoh antara tiga hingga empat tahun kepada dirinya sendiri sebelum kembali memikirkan hasrat untuk berumah tangga buat kali kedua.

Perkahwinan pertama dengan pelakon Mohd Faizal Yusup yang dimeterai pada 2006 hanya mampu bertahan tiga tahun apabila secara rasmi pasangan itu memutuskan ikatan pernikahan mereka tahun lalu.

Ujar Nana, dia terlalu muda ketika itu. Mengambil keputusan untuk bernikah pada usia 23 tahun menyebabkan dia terpaksa melepaskan banyak perkara, termasuk cita-cita untuk berjaya sebagai seorang penyanyi.

"Nana berkahwin pada usia yang sangat muda. Selepas berumah tangga, Nana tidak dapat apa yang Nana mahukan. Oleh itu, Nana memerlukan sedikit ruang sebelum kembali memikirkan soal perkahwinan.

"Dalam keadaan sekarang, Nana perlu bekerja kuat, bukan saja untuk diri sendiri tetapi juga untuk anak. Nana mahu berusaha menaikkan kembali nama dan mahu berjaya dalam kerjaya nyanyian," katanya yang sudah pun meninggalkan kerjaya sebagai kaunselor pendidikan di City University College of Science and Technology, di Petaling Jaya, sejak hampir tiga bulan lalu kerana mahu memberikan sepenuh perhatian kepada bidang seni.

Keputusan meninggalkan kerjaya yang sudah stabil terpaksa dibuat penyanyi itu kerana album kompilasinya bakal muncul tidak lama lagi. Dengan kerja tetap, pasti sukar untuk Nana membahagikan masa antara kerja pejabat dan nyanyian, justeru wanita itu terpaksa melepaskan pekerjaan tetap itu semata-mata kerana cinta pada bidang muzik.

"Nana terpaksa berkorban meninggalkan kerjaya yang mempunyai pendapatan tetap kerana album kompilasi Nana akan muncul di pasaran sedikit masa lagi. Nana akui, Nana perlu bekerja lebih keras lagi kerana pendapatan tetap sudah tiada. Namun begitu Nana bersyukur kerana undangan mengadakan persembahan sentiasa diterima.

"Dengan status yang dipegang sekarang, Nana tidak boleh terlalu memilih kerana Nana ada anak yang perlu dibesarkan. Jadi Nana terima apa saja tawaran, termasuklah tawaran berlakon. Contohnya sekarang ini, Nana terpaksa berulang alik ke Johor kerana terbabit dengan sebuah projek telefilem untuk RTM.

"Hendak diikutkan, memanglah sedih kerana terpaksa berjauhan dengan anak, tetapi Nana terpaksa bekerja untuk menambah pendapatan. Jika Nana sibuk dengan kerja, Rayyan akan Nana tinggalkan bersama bapanya ataupun dijaga oleh ibu Nana," katanya.


Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Hidupkan kembali Carta RIM

Posted: 20 Dec 2010 04:54 PM PST

Hip

NORMAN (tiga dari kiri) bersama anggota jawatankuasa baru RIM.

NORMAN (tiga dari kiri) bersama anggota jawatankuasa baru RIM.

AJK baru bakal laksana pelbagai program majukan industri muzik

PELAN Tindakan Pembangunan Industri Muzik yang diwujudkan anggota jawatankuasa (AJK) baru Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), yang dilantik pada September lalu, memperlihatkan kesungguhan persatuan berkenaan dalam memajukan lagi industri muzik tanah air.

Tampuk pimpinan baru yang diterajui Norman Abdul Halim sejak tiga bulan lalu itu memperlihatkan semangat berkobar-kobar AJK persatuan terbabit. Harapannya, semangat anggota jawatankuasa baru itu tidak sekadar hangat-hangat tahi ayam, hanya lantang pada peringkat awal tetapi akhirnya tinggal janji kosong. Ketika yang sama, Norman berani memberikan jaminan semua pelan yang dirancang akan dilaksanakan dengan jayanya memandangkan kesemua perancangan disusun adalah bagi tempoh tiga tahun, sedangkan AJK baru yang dilantik hanya berkuasa untuk tempoh dua tahun.

"Kami berharap semangat yang ditunjukkan pasukan baru ini dapat menjadi satu lonjakan paradigma kepada RIM. Saya sendiri tidaklah berharap untuk terus duduk di kerusi ini selepas tempoh dua tahun. Bagaimanapun, perancangan yang kami buat adalah untuk tempoh yang lebih panjang daripada kontrak kami sendiri.

"Kami berbuat demikian bagi memudahkan pucuk pimpinan baru nanti. Kami tidak mahu mereka terkontang-kanting apabila mengambil alih persatuan ini kelak.
Sekurang-kurangnya dengan perancangan jangka panjang yang kami lakukan, pucuk pimpinan baru nanti tidaklah terpinga-pinga mengenai kontrak dan pencarian penaja. Kami juga tidak mahu RIM dilihat sebagai sebuah persatuan yang cuba menagih simpati," kata Norman.
Pelan tindakan yang diperkenalkan oleh RIM adalah untuk menghidupkan semula Persembahan Carta RIM (RIM Chart Show) yang popular sekitar era 80-an dan 90-an, tetapi dengan diberi nafas baru bagi mengiktiraf jualan muzik digital berlandaskan jualan mingguan 20 lagu digital terlaris di pasaran.

Ia akan dibahagikan kepada empat program yang berlangsung selama setengah jam mengikut empat segmen pasaran iaitu Melayu, Inggeris, Cina dan India.

Persembahan Carta ini akan disertakan dengan temuramah bersama artis, video muzik dan juga liputan pertunjukan. Persembahan Carta yang pertama dalam segmen bahasa Melayu akan diperkenalkan pada April depan.

Forumuzik yang pernah diadakan sekitar 90-an juga akan kembali diwujudkan. Forum tahunan berkenaan bakal menjadi platform kepada penggiat industri seni tanah air mendapatkan pelbagai maklumat berkaitan industri muzik serantau. Selain itu, mereka turut mengundang tokoh dari luar negara untuk berkongsi pengalaman.

Ujar Norman lagi, forum itu juga diharap dapat memberi peluang kepada penggiat industri muzik tanah air berinteraksi serta berbincang masalah yang dihadapi mereka dalam industri muzik.

"Forum ini amat berguna kepada penggiat seni tanah air kerana mereka dapat mengetahui mengenai perkembangan industri muzik serantau. Selain itu, menerusi forum ini, penggiat muzik tanah air dapat menimba ilmu berkaitan peluang perniagaan.

"Artis atau mereka yang terbabit di belakang tabir boleh menjadikan ruang ini untuk meluahkan masalah yang dihadapi mereka, contohnya seperti masalah lagu yang tidak dimainkan oleh stesen radio. Mereka boleh tahu apa kriteria yang diperlukan oleh stesen radio bagi membolehkan lagu mereka diputarkan serta pelbagai lagi dialog lain," kata Norman.

AIM ikut pecahan bahasa

PADA sidang media itu, Norman turut mengumumkan mengenai penganjuran Anugerah Industri Muzik (AIM) yang akan diadakan secara berasingan mengikut bahasa. Pengasingan itu dijangka berkuat kuasa pada 2012 mengikut kategori Melayu, Inggeris, Cina dan India.

Menurutnya, pengasingan itu tidak dinafikan akan menelan belanja lebih tinggi, tetapi ia tidak semestinya diadakan pada skala besar. Kata Normah, AIM pertama pada 1994 dulu pun hanya diadakan di dalam dewan utama hotel.

Dengan adanya pengasingan mengikut bahasa, ia sekurang-kurangnya memberi peluang kepada artis yang popular di luar negara mendapat pengiktirafan serta lebih dikenali di negara sendiri.

"Ramai penyanyi tanah air yang popular di luar negara tetapi kurang mendapat pengiktirafan di negara sendiri. Dengan adanya pengasingan anugerah mengikut bahasa, sekurang-kurangnya peminat dapat memberi lebih fokus kepada artis yang diiktiraf. Apabila semua bahasa dianugerahkan dalam satu majlis serentak, artis yang memperjuangkan produk mereka dalam bahasa lain lazimnya kurang mendapat perhatian.

"Dengan mengecilkan lagi skop anugerah ini, dapatlah peminat mengenali serta memberi lebih fokus kepada penyanyi yang diiktiraf dalam bahasa tertentu. RIM akan cuba menjalinkan kerjasama dengan stesen radio pelbagai bahasa dalam melaksanakan rancangan ini. Contohnya kami mungkin boleh bekerjasama dengan stesen THR Raaga untuk penganjuran AIM dalam bahasa India dan stesen radio bahasa Cina untuk penganjuran anugerah dalam bahasa berkenaan, bagimengenal pasti artis yang berpotensi.

"Memandangkan pertama kali AIM akan diadakan mengikut pecahan bahasa, kami tidak mengharapkan anugerah itu akan diadakan pada skala yang besar. Contohnya AIM yang pertama bermula di hotel saja, tetapi lama kelamaan ia disemai subur sehinggalah berlangsung dengan gah dan gemilang di lokasi lebih berprestij.

"Kami mahu perkara yang sama juga berlaku kepada AIM dalam bahasa lain. Apabila dikaitkan dengan anugerah, tidak semesti kosnya perlu menelan hingga jutaan ringgit. Kita mulakan dengan kecil-kecilan dan perlahan-lahan dikembangkan kepada sebuah acara yang hebat," kata Norman.

Pada majlis itu juga, Norman turut mengumumkan penundaan penganjuran AIM pada tahun depan.

Lazimnya, acara itu berlangsung pada Mei, tetapi pada 2011 ia ditangguh sehingga Oktober. Ia sengaja dilakukan bagi memberikan tempoh lebih panjang kepada penggiat seni untuk menghantar penyertaan mereka.

Tarikh tutup yang sepatutnya berakhir Disember ini bagaimanapun dilanjutkan sehingga 30 Jun depan bagi memastikan anggota RIM yang menerbitkan album baru sepanjang 2010 berpeluang menghantar pencalonan masing-masing.


Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.