Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Syazwani paling konsistenACARA kemuncak Kamilah Bintang yang berlangsung di Studio Finas, Hulu Kelang, Selangor minggu lalu telah menyaksikan pelajar dari Sekolah Kebangsaan Kampung Tunku, Petaling Jaya, Syazwani Sapari dinobatkan sebagai juara dengan menewaskan lima peserta yang lain. Menyanyikan lagu berjudul Bertamu Di Kalbu nyanyian asal Jaclyn Victor pada acara kemuncak, ternyata Syazwani telah dapat membawakan lagu berkenaan dengan baik. Lebih menarik lagi, nyanyian Syazwani itu juga turut melahirkan rasa kagum buat penyanyi asal lagu berkenaan yang turut diundang khas. Ketika ditanya tentang kemenangan yang diraih itu, Syazwani menjelaskan dia sendiri tidak menyangka untuk muncul sebagai pemenang. Ujarnya, persembahan kelima-lima peserta yang lain juga sangat bagus menyebabkan persaingan menjadi lebih sengit. "Pada mulanya saya memang tidak yakin untuk menang. Namun saya bertekad untuk membuat persembahan yang terbaik dan berpuas hati dengan persembahan pada acara akhir ini biarpun ada peserta lain membuat persembahan yang lebih baik. "Dengan kemenangan ini juga, saya berharap akan dapat lebih banyak peluang untuk menyanyi selepas ini. Namun saya akan tetap mengutamakan pelajaran demi untuk mengejar cita-cita sebagai doktor," ujarnya ketika ditemui selepas berakhir pertandingan tersebut. Kemenangan yang diraih oleh Syazwani itu sebenarnya turut dibantu dengan persembahan konsisten peserta berkenaan pada setiap minggu. Malah, dia juga muncul sebagai juara untuk minggu kelima dan sering berada di kedudukan kedua pada minggu-minggu sebelumnya serta menjadi peserta pilihan untuk menang.
Sementara, jumlah keseluruhan markah yang telah dikumpul oleh Syazwani pula adalah 46.5 dan perbezaan 0.4 markah untuk mengatasi peserta yang muncul naib juara. Dengan kemenangan itu, Syazwani telah berjaya meraih hadiah berupa biasiswa pendidikan sebanyak RM15,000, pakej percutian ke Taman Tema Gold Coast, Australia, komputer riba, iPod shuffle dan dua tiket VIP ke Dewan Filharmonik Petronas. Kamilah Bintang merupakan sebuah pertandingan rancangan realiti TV yang mencungkil bakat nyanyian kanak-kanak dalam bidang nyanyian. Ia turut menampilkan konsep baru bagi rancangan realiti TV apabila tiada penyingkiran di kalangan pesertanya. Untuk memenangi pertandingan ini, kesemua peserta perlu mengumpul mata tertinggi dari minggu pertama hingga kelima sebelum diumumkan sebagai pemenang. Malah, keenam-enam peserta turut mendapat bimbingan dan tunjuk ajar daripada ikon penyanyi tanah air yang cukup terkenal seperti Amy Search, Noh Hujan, Farah Asyikin, Aizat dan Stacy. Menariknya tentang pertandingan ini juga, seorang peserta yang mendapat markah tertinggi pada setiap minggu akan diumumkan sebagai pemenang dan hadiah kemenangan yang bernilai RM10,000 akan diberikan kepada pihak sekolah. Sementara itu, Raja Mohd. Faisal Khairullah Raja Abdul Halim Shah, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Gelang Patah, Johor yang telah muncul sebagai juara sebanyak dua kali iaitu pada minggu pertama dan keempat menduduki tempat kedua dengan jumlah markah keseluruhan 46.1. Bagaimanapun, Faisal yang memilih lagu Salam Terakhir nyanyian allahyarham Sudirman Haji Arshad untuk persembahan pada acara kemuncak tetap menambat hati ketiga-tiga juri dengan lantunan vokal yang begitu memukau. AKSI hebat Farhan di samping gitaris kumpulan Kristal, Rodi. Ketika ditanya apakah perasaannya apabila terpilih untuk menyertai rancangan ini, dia meluahkan rasa gembiranya kerana selain muncul naib juara, melalui pertandingan ini juga dia dapat bertemu dengan artis-artis pujaannya seperti Aizat. "Sebelum ini saya selalu membuat persembahan di sekolah dan majlis kenduri kahwin. Ini merupakan kali pertama saya menyertai pertandingan nyanyian sebesar ini dan saya sangat bersyukur meskipun hanya mendapat tempat kedua," ujarnya yang turut memiliki bakat menari. Muncul sebagai naib juara, Faisal telah berjaya membawa pulang hadiah biasiswa pendidikan sebanyak RM10,000, pakej percutian ke Taman Tema Hong Kong, iPod shuffle dan dua tiket VIP ke Dewan Filharmonik Petronas. Tempat ketiga pula telah dimenangi oleh peserta dari Sekolah Kebangsaan Ahmad, Pekan, Pahang, Muhammad Fathullah Farhan Muhammad Rosdi dengan jumlah markah 43.6. Dia memperolehi hadiah berupa biasiswa pendidikan RM5,000, pakej percutian ke Pulau Sentosa, Singapura, ipod shuffle dan dua tiket VIP ke Dewan Filharmonik Petronas. Lain-lain peserta yang turut bertanding dalam rancangan tersebut seperti Mohammad Aiman Azli Aziz, Dayang Nazillah Awang Astillah dan Qistina Amira Rohaizad. Kritikan membina Tidak dinafikan, persembahan kesemua peserta yang bertanding dalam Kamilah Bintang memang sangat mengagumkan sehingga mendapat pujian daripada tiga orang juri tetap iaitu Aznil Haji Nawawi, Adibah Noor dan Syafizawati Sharif. NORA DANISH (kiri) turut terharu apabila Zoey (kanan) mengumumkan Syazwani sebagai juara Kamilah Bintang. Menurut Aznil, setiap peserta memiliki kelebihan masing-masing dan dilihat mempunyai potensi yang besar untuk menjadi seorang penyanyi sekiranya bakat mereka lebih digilap lagi. Ujarnya, mereka juga memiliki keyakinan diri yang tinggi sehingga persembahan yang ditampilkan juga seakan-akan penyanyi yang bertaraf profesional. "Menariknya tentang rancangan ini, setiap peserta diberi pilihan untuk memilih sendiri lagu yang mereka ingin nyanyikan. Ternyata mereka telah membuat pilihan yang tepat kerana lagu-lagu tersebut memang sesuai dengan mereka. "Mengenai kritikan pula, memandangkan setiap peserta masih lagi di peringkat bawah umur, saya bersama juri-juri yang lain juga tidak boleh memberikan kritikan yang terlalu pedas untuk mengelakkan mereka cepat patah semangat," ujar Aznil. Malah, seorang lagi juri iaitu Adibah Noor turut bersetuju dengan Aznil dan menyatakan bahawa untuk membimbing para peserta mereka tidak boleh terlalu tegas dan perlu banyak bermain dengan psikologi. Kata Adibah, apa yang lebih penting adalah mengelakkan semua peserta tidak cepat putus asa dan sudah menjadi tanggungjawab sebagai juri memberikan komen-komen yang lebih membina supaya mereka lebih bersemangat untuk membuat persembahan. "Secara keseluruhannya, saya sangat berpuas hati dengan persembahan mereka setiap minggu dan saya tidak menafikan persembahan mengagumkan mereka itu juga memang banyak dibantu oleh ikon-ikon penyanyi yang diundang untuk membimbing mereka," ungkap Adibah. Sementara itu, seorang lagi juri iaitu Syafizawati Sharif atau lebih dikenali sebagai cikgu Syafi pula menyatakan kegembiraannya dengan persembahan yang ditampilkan oleh setiap peserta dari minggu pertama sehinggalah pada acara kemuncak. Menurutnya, pada awal persaingan dia melihat rata-rata persembahan peserta agak biasa sahaja. Bagaimanapun, apa yang membanggakan terdapat banyak peningkatan yang telah dilakukan oleh mereka pada setiap minggu. | ||
Posted: Projek 2011 Saif, KareenaMENGECAPI keindahan cinta bersama, Saif dan Kareena dikatakan bakal berkahwin pada tahun 2011. AKTOR terkenal Bollywood, Saif Ali Khan begitu teruja menanti ketibaan Tahun Baru 2011 yang bakal menjelma dua hari lagi. Ini kerana dia bersama teman wanitanya, aktres Kareena Kapoor bakal menyambut hari tersebut dalam suasana sejuk dan bersalji di resort ski Gstaad di Switzerland yang merupakan lokasi percutian kegemaran pasangan tersebut. Saif mahu menikmati percutian sepenuhnya bersama kekasih hatinya itu sebelum kembali sibuk dengan karier lakonannya sepanjang 2011. Perkahwinan Selepas tidak muncul dengan filem-filem baru lakonannya sepanjang 2010, satu demi satu filem lakonannya dijadualkan untuk tayangan 2011 seperti filem Agent Vinod, Aarakshan dan sebuah filem yang belum berjudul gandingannya bersama aktres Deepika Padukone. Menurut Saif yang kali terakhir muncul pada 2009 menerusi filem Kurbaan, wajahnya tidak muncul di layar perak sepanjang 2010 memandangkan dia sangat sibuk menjalani penggambaran filem Agent Vinod yang menggandingkannya dengan Kareena. Filem penuh aksi menyaksikan Saif kembali muncul dalam filem genre tersebut. "Agent Vinod merupakan sebuah filem yang agak mencabar, khususnya dari segi fizikal tetapi ia juga sangat menyeronokkan," ujarnya. Dalam pada itu dia mengakui tetapi menyukai filem genre percintaan. "Saya menggemari filem percintaan, tetapi saya juga penggemar filem aksi. Sebagai aktor, saya mengakui sangat tamak dan begitu berkehendak untuk muncul menerusi kedua-dua genre filem tersebut," katanya. Dalam pada itu, Saif turut mengulas mengenai spekulasi bahawa dia bakal berlakon dalam filem terbitan Vishal Bhardwaj yang kini bekerjasama dengan aktor Shah Rukh Khan. SAIF dan Kareena gemar bercuti di Switzerland yang merupakan lokasi untuk mereka untuk lari seketika dari kesibukan karier mereka sebagai pelakon di Bollywood. "Saya dan Vishal masih dalam rangka untuk menjalinkan kerjasama. Projek yang menggandingkan kami masih diteruskan," jelasnya. Menyentuh pula mengenai spekulasi perkahwinannya dengan Kareena yang dikatakan bakal berlangsung pada 2011, tenang dia menjawab: "Saya dan Kareena sememangnya akan berkahwin suatu hari nanti, tetapi kami belum ada perancangan untuk itu buat masa ini. "Kami akan bersedia untuk berkahwin apabila Kareena bersetuju untuk itu dan kami tidak akan menyembunyikan perkara baik itu daripada pengetahuan pihak media." Salman, Shah Rukh, Imran Khan Sepertimana kekasihnya, Kareena Kapoor juga begitu teruja dengan kemunculan 2011. Ini kerana dia bakal bergandingan dalam filem dengan nama-nama besar Bollywood yang mempunyai nama keluarga Khan, termasuk dengan Saif sendiri. Pada awal 2001, dia bakal memulakan penggambaran fi;em arahan Karan Johar, Short Term Shaadi bersama aktor muda, Imran Khan. Selepas itu, Kareena bakal bergandingan dengan aktor Salman Khan untuk filem adaptasi filem Hollywood, Bodyguard yang bakal diarahkan oleh Atul Agnihotri. Dia juga bakal bergandingan dengan Shah Rukh Khan menerusi filem Ra. One, selain bakal muncul dengan filem Agent Vinod di samping Saif yang juga memiliki nama keluarga Khan! Bukan sahaja gemilang menerusi kemunculan di layar perak, 2011 juga menjanjikan sesuatu yang positif buat dirinya dalam bidang pengiklanan apabila bakal muncul dalam beberapa iklan mega bersama Salman dan Saif. Cuma, dia tidak mempunyai sebarang projek baru bersama seorang lagi aktor Bollywood tersohor dari keluarga Khan iaitu Aamir Khan, tetapi mereka pernah bergandingan menerusi filem pecah panggung 2009, 3 Idiots. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |