Adsense

Rabu, 29 Disember 2010

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Jangan ditanya lagi

Posted: 28 Dec 2010 03:19 PM PST

Hip

Maya melangkah 2011 penuh harapan selepas melalui banyak episod sedih pada 2010

JIKA diusik soal gosip cinta, Maya Karin sedia berkongsi cerita, atau menangkisnya atau berusaha menjelaskan sebaik mungkin, tetapi apabila menyentuh isu perceraian, wanita yang kembali solo sejak Julai lalu enggan mengubah prinsip membuka mulut mengenai bekas suami.

Biarlah di luar heboh dengan spekulasi perpisahan dengan Steven David Shorthose atau nama Islamnya Muhammad Ali yang dinikahi di Itali pada 14 Ogos 2008, bintang Pontianak Harum Sundal Malam itu lebih senang berdiam diri bagi menjaga hati semua pihak. "Kalau soal kerja dan perkara yang bukan berkaitan isu itu, saya sedia bercakap tetapi apabila menyentuh perpisahan kami, saya sudah menetapkan prinsip untuk terus menutup mulut dan akan menyimpan kisah itu sendiri sampai bila-bila," katanya yang kini hangat digosipkan punya hubungan dengan Yusry Abdul Halim.

Siapa mampu meneka gelodak rasa di sanubari sang selebriti berjiwa kental itu selepas mengharungi alam perkahwinan yang hanya sebentar cuma, seterusnya menyandang gelaran janda yang menjadi momokan buat semua golongan hawa.

Terdiam seketika seperti mahu menyusun kata-kata, dugaan berkenaan akuinya adalah ujian kerana setiap insan pasti melalui masa sukar dan Allah menurunkan dugaan kepada setiap insan dengan cara berlainan. Terpulang bagaimana mahu menghadapinya.

"Dalam diuji, saya semakin mengenal dan menyayangi diri sendiri. Bohong kalau saya katakan situasi sebegitu tidak mengganggu emosi tetapi hidup perlu diteruskan dan saya harus optimis merencana hari depan.
"Tahun 2010 adalah tahun menyedihkan buat saya tetapi saya cuba menghadapinya sebaik mungkin.

"Syukur pelbagai tawaran hadir serentak termasuk teater Natrah membuatkan masa saya sentiasa terisi dengan segala macam aktiviti sekali gus tiada ruang untuk meratapi nasib diri. Saya mahu buka buku baru, lempar jauh segala kesakitan," kata Aktres Wanita Terbaik Asia Pasifik 2006 yang kini dipilih sebagai sebagai duta InnerShine penuh makna.

Apa pun senyuman terukir semula di bibir manisnya apabila ditebak perihal dirinya yang kerap keluar berduaan dengan duda hangat, Yusry Abdul Halim, malahan pernah dilihat menonton wayang bersama di Alamanda, Putrajaya dan terbaru, bergandingan menyaksikan pra-tonton filem Khurafat.

Akui wanita jelita itu, tiada apa perlu disembunyikan kerana rantaian hubungan masih bersandarkan nilai persahabatan sejak digandingkan berdua pada sesi fotografi sebuah majalah sedekad lalu.

Enggan memikirkan mulut orang, figura yang pernah melalui episod kehancuran rumah tangga itu mengakui lebih selesa berkawan dengan pengarah dan pelakon itu yang disifatkan begitu memahami apabila boleh bersembang apa juga topik.

"Tidak salah keluar dengan kawan dan Yusry antara teman yang sama kaki wayang. Seperti mana orang lain, kami turut beratur membeli tiket. Mungkin kebetulan ada yang nampak kami di pusat beli belah Alamanda, Putrajaya minggu lalu ketika mahu menonton Narnia.

"Lagi pun tiada apa yang hendak disorok. Kebetulan lokasi pawagam berdekatan dengan pejabatnya di Cyberjaya, jadi sesekali saya akan ke sana. Kira-kira dua bulan lalu pun kami menonton wayang di tempat sama," katanya ketika ditemui selepas majlis pengumuman dirinya sebagai duta terbaru produk InnerShine Prune Plus.

Nyata aura bahagia yang terserlah sepanjang sesi sembang bersama media pada petang itu selain bahasa tubuh seakan mengiyakan ada sesuatu rasa melingkari perhubungan dua insan terbabit.

Apabila diusik sekali lagi, hanya tawa kecil kedengaran disusuli penafian kerana bagi Maya Karin, masih terlalu awal untuk memikirkan satu perhubungan serius selepas melalui episod perkahwinan yang berakhir dengan penceraian.

Katanya, tidak bermakna keluar bersama sebagai petanda mereka enak diulit tambahan pula selain Yusry, bintang Pontianak Harum Sundal Malam itu turut akrab dengan beberapa aktor lain termasuk Remy Ishak dan Bront Palaire.

"Inilah kehidupan kerana dengan sesiapa pun saya berkawan, ada yang cuba membuat telahan. Mungkin lelaki lain akan takut mendekati saya disebabkan cerita begini. Apa pun persahabatan antara kami ikhlas, jadi tidak perlu sorok-sorok.

"Bukan menidakkan apatah lagi kita tidak tahu apa yang ditentukanNya pada masa depan. Jika dia jodoh saya di kemudian hari, saya terima. Cuma buat masa terdekat ini rasanya tiada sebarang perancangan ke arah itu sama ada dengan dia mahu pun lelaki lain," ulasnya sambil sempat berseloroh.

Terus diasak dengan pelbagai soalan nakal, tidak sekali pun wanita berdarah campuran itu melenting sebaliknya gagah menangkis satu persatu 'serangan' sambil sesekali tawanya memecah keheningan dek usikan berterusan rakan media.

Tetap sibuk seperti biasa

Enggan menoleh ke belakang, kehadiran 2011 diharap membawa sinar dalam kehidupan serta kerjaya selaku pelakon, penyanyi, model dan pengacara malah sebagai isyarat nyanyian masih punya ruang di hatinya, album ketiga bakal menyusul tahun depan.

Mendapat sentuhan Audi Mok selaku komposer, bingkisan yang hampir dua tahun direalisasikan dengan jangkaan memuatkan 10 lagu adalah kepuasan yang sukar digambarkan dengan kata-kata kerana kerja pemilihan dan lagu diperhalusi secara teliti.

"Saya teruja menanti hasilnya apatah lagi ia dihasilkan berperingkat-peringkat tetapi saya puas mendapat kesempatan mencorak album sendiri malah kebanyakan lagu juga disuntik elemen lebih catchy, begitu juga liriknya," kata Maya Karin lagi yang bakal tampil bersama single pertama berjudul Terbang.

Mengenai lakonan pula. selepas tahun yang cukup memeritkan serta dipenuhi jadual kerja yang padat, aktres yang bakal mencecah usia 33 tahun itu disambar Astro Shaw bagi menjalani penggambaran pada Februari depan namun butirannya masih dirahsiakan.

Sementara itu, mengulas mengenai kontrak bersama Nona yang tidak disambung, bintang bermata galak itu tidak menafikan bermacam perkara yang berlaku dalam hidupnya sepanjang 2010 sehingga ada kala menyukarkannya turun ke lokasi sekali gus membuatkannya bersedia melepaskan tanggungjawab mengendalikan program berkenaan.

"Bersama Nona saya belajar banyak perkara baru. Sebagai orang yang diamanahkan mengendalikan sebuah program yang sudah berusia 25 tahun, saya sememangnya sedia menggalas cabaran dan disebabkan itu, saya rela 'melepaskan' Nona dengan hati terbuka," katanya.

Biar apa pun tanggapan terhadap diri serta keupayaannya meningkatkan terus rating rancangan terbabit, akui Maya Karin dirinya sudah melakukan sebaik mungkin demi memastikan penyampaian diterima ramai," kata pelakon yang membintangi filem Cun dan Ombak Rindu itu.

Bingkas beralih soalan bimbang si jelita kehilangan mood gembira, topik menyentuh penyertaannya dalam senarai calon Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-24 boleh dikatakan sejak terjun ke arena seni, nama Maya Karin tidak pernah terlepas.

"Saya terharu dengan sokongan ramai. Menerusi undian secara tidak langsung menunjukkan peminat menyedari hasil kerja kita malah saya juga tidak sabar kerana ada saja kejutan pada majlis pengiktirafan itu terutama bagi persembahan pentas," katanya.

INFO: Maya Karin

  • Maya Karin Roelcke, 27, dilahirkan pada 29 Oktober 1979. Berdarah campuran Jerman-Melayu, ayahnya, Gottfried Roelcke berasal dari Jerman, manakala ibunya, Che Zan, dari Pulau Pinang.
  • Anak sulung daripada tiga beradik ini mengikuti pendidikan terakhirnya di Institut Lim Kok Wing dalam bidang media dan pemasaran.
  • Antara filem lakonan Maya termasuk lah Seri Dewi Malam, Mr Cinderella 2, Tujuh Perhentian, Pontianak Harum Sundal Malam (PHSM), Pontianak Harun Sundal Malam 2 dan terbaru Jari Hantu serta Anak Halal. Pernah merakamkan dua album solo, Maya Karin dan Bukan Qalamaya. Lagu popularnya ialah Erti Cinta.
  • Siri TV yang mengangkat nama Maya sebagai pengacara ialah Wavelength (TV3), Ratu Sehari (Astro Ria), Channel [V] dan Beauty Secret From The East (TV3). Maya turut menjadi model komersial TV. Antaranya Pantene, Wella, Halle, Yishion dan L'Oreal. Maya juga duta syarikat telekomunikasi terkemuka, Celcom selama setahun.
  • Anugerah pertama yang diraih Maya ialah Artis Baru Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2001 (ABPBH01), Pelakon Filem Wanita Popular ABPBH05, Aktres Terbaik Festival Filem Asia Pasifik Ke-49 di Fukuoka, Jepun, Pelakon Terbaik di Festival Filem Seram & Fantasi Estepona 2005 di Sepanyol serta Aktres Filem Pilihan Anugerah Oskar Malaysia Ke-5.

  • Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

    Jawablah! Bukan hilangkan diri

    Posted: 28 Dec 2010 03:01 PM PST

    Hip

    Shahir

    Shahir

    Shahir harap kontroversi tidak jejas peluangnya dalam ABPBH2010

    JUARA Akademi Fantasia musim ke-8, Shahir sudah bikin panas dalam industri hiburan. Bukan disebabkan pencapaian yang membanggakan tetapi suhunya menggelegak apabila dia dikatakan tidak berdisiplin. Bermula dengan membatalkan sesi fotografi mengikut suka hati, meminta bayaran ketika diminta mengadakan fotografi dan yang terbaru, suka menghilangkan diri tanpa dapat dikesan oleh sesiapa.

    Sikap tidak bertanggungjawab itu membuatkan banyak pihak pening termasuk pengurusannya. Khabarnya disebabkan masalah itu, terdengar ura-ura yang kononnya penganjur Anugerah Juara Lagu mahu menggantikannya dengan penyanyi lain. Selepas sekian lama mendiamkan diri, akhirnya Shahir membuat pengakuan kepada Hip bahawa kehilangannya itu bukanlah kerana disengajakan tetapi disebabkan kesakitan yang dialaminya. Malah ketika temubual ini dibuat, Shahir baru saja selesai menjalani pemeriksaan kesihatan. Sambil memohon maaf atas apa yang berlaku, dia mengharapkan penjelasannya kali ini dapat memadamkan semua tuduhan yang tidak berasas sekali gus membersihkan kembali nama dan reputasinya yang sudah tercalar gara-gara gosip liar itu.

    Hip: Ramai yang tertanya-tanya ke mana Shahir menghilang sebelum ini?

    Shahir: Saya tidak hilang. Saya mendiamkan diri kerana pada masa itu berada dalam keadaan amat tertekan. Jiwa saya tak tenang selepas mendapat tahu yang saya mempunyai simptom kanser selepas menjalani pemeriksaan perubatan. Sebelum ini saya pernah dimasukkan ke dalam wad. Selepas menjalani pemeriksaan darah, doktor mengatakan yang saya mempunyai tanda-tanda penyakit kronik. Ketika itulah perasaan saya berperang dengan pelbagai andaian buruk. Saya dikatakan mempunyai potensi untuk mendapat kanser. Sebaik saja dimaklumkan doktor, saya tak tahu nak buat apa. Dalam fikiran hanya terbayang mati saja. Disebabkan itulah saya lebih selesa mendiamkan diri kerana fikiran amat runsing ketika itu. Lebih merisaukan bagaimana jika keluarga saya mendapat tahu perkara ini, terutama bapa saya. Sudahlah dia ada darah tinggi. Bimbang juga jika berita buruk ini membuatkan penyakitnya bertambah teruk. Jadi disebabkan tidak mahu perkara ini kecoh, saya fikir lebih baik saya mendiamkan diri saja dan mencari jalan untuk mengubat penyakit ini.

    Untuk berita lanjut dapatkan akhbar Berita Harian hari ini.


    Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.