Utusan Online - Hiburan |
Angelina Jolie seperti Elizabeth Taylor Posted: Angelina Jolie seperti Elizabeth TaylorOleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
APABILA ditawarkan peluang berlakon dalam filem The Tourist, Johnny Depp tidak perlu menunggu lama kerana dia mempunyai beberapa sebab untuk menerima tawaran itu. Selain daripada jalan cerita yang cukup menarik perhatian, Depp mengakui tarikan utama mengapa dia bersetuju membintangi The Tourist adalah kerana Angelina Jolie. Sementelah The Tourist merupakan filem pertama yang menggandingkan Depp dan Jolie sebagai teraju utama. Biarpun sudah menjadi seorang aktor tersohor dunia, namun, peluang untuk dia bergandingan dengan Jolie tidak pernah kunjung tiba. Secara jujurnya, Depp tidak pernah mengenali Jolie secara personal. Kalau ada pun hanyalah bertegur sapa secara ringkas di majlis formal mahupun anugerah. "Saya memang sudah bertahun-tahun mengenali pasangan Jolie iaitu Brad Pitt yang merupakan salah seorang kawan karib saya. "Begitu juga perkenalan saya dengan bapa Jolie iaitu Jon Voight yang saya kenali sudah cukup lama. "Bayangkan, saya sendiri tidak pernah duduk secara empat mata dengan Jolie dan saya tidak tahu bagaimanakah karakternya yang sebenar. "Saya seorang yang bukan suka menghakimi seseorang tanpa mengenalinya dahulu. Biarpun banyak kisah Jolie yang dipaparkan di media massa, ia sedikit pun tidak berupaya mempengaruhi saya," ujar Depp ketika diminta mengulas tentang Jolie yang memainkan peranan sebagai Elise Clifton-Ward dalam filem The Tourist. Apabila bertemu buat pertama kalinya dengan Jolie pada sesi pra produksi The Tourist, Depp tidak mampu menyembunyikan naluri lelakinya yang cukup kagum dengan keperibadian Jolie. Walaupun secara luaran wanita itu tampak agresif dengan raut wajah yang serius, namun selepas mula mengenali Jolie, Depp dapat menyimpulkan bahawa kekasih Brad Pitt itu sebenarnya seorang yang lucu. "Bayangkan apabila dia masuk sahaja ke dalam set penggambaran, semua orang mengagumi dan 'cair' melihatnya. Begitu juga dengan saya (ketawa). "Dia memang seorang wanita hebat dan saya sendiri tidak pernah menyangka dia begitu melucukan. Memang tanpa ragu, Jolie memiliki rasa humor yang sangat tinggi. "Bukan itu sahaja, saya memang kagum dengan tenaga yang ada dalam dirinya itu yang saya sifatkan sebagai sesuatu yang luar biasa. Tenaganya itu dapat menyamai kuasa yang dimiliki oleh 300 orang! Itu memang gila," kata aktor berusia 47 tahun yang mula mencipta nama menerusi siri televisyen 21 Jump Street sekitar lewat tahun 80-an itu lagi. Serupa Memang tidak habis-habis Depp memuji Jolie yang pada pandangannya merupakan seorang wanita yang menakjubkan. Bukan mahu mengangkat tinggi wanita pujaan ramai lelaki itu, tetapi selepas mengenali Jolie, dia melihat Jolie tidak ubah seperti Elizabeth Taylor yang juga mempunyai perwatakan yang serupa. "Saya bertuah kerana berpeluang mengenali Elizabeth Taylor dan apabila saya fikirkan kembali, saya dapat melihat kedua-dua wanita ini memiliki persamaan dari segi karakter. "Personaliti sebenar mereka akan terserlah apabila saya dapat duduk secara empat mata dengan mereka. Daripada situ, semuanya akan keluar secara automatik dan keserasian serta keselesaan itu timbul untuk berdampingan," ujar Depp yang cukup popular dengan watak Kapten Jack Sparrow menerusi filem trilogi, Pirates of the Caribbean itu lagi. Seperkara lagi yang membuatkan Depp mempunyai rasa hormat terhadap pemenang Oscar itu adalah fokus dan tumpuannya tidak pernah lari biarpun sibuk dengan tugasan hariannya sebagai ibu, aktres dan duta kemanusiaan. "Dalam pada dia sibuk dengan kerjanya sebagai seorang aktres, Jolie masih lagi mampu membesarkan anak-anaknya dengan sempurna. Dia bijak membahagikan masa antara keluarga dan kerjaya selain kerja-kerja kemanusiaan. "Bukan semua mampu dapat melakukan perkara yang serupa seperti Jolie. Saya harus katakan ini juga, sebagai seorang aktres, dia juga cukup hebat dan profesional. Dia tahu apa yang dia lakukan," katanya sambil merujuk kepada profesionalisme Jolie ketika di lokasi The Tourist. Namun, Depp melahirkan rasa kasihannya terhadap Jolie dan Pitt serta anak-anak mereka yang seringkali menjadi mangsa paparazzi. "Memang pelik kehidupan ini bukan? Dan bayangkan apabila kita bangun setiap pagi dan keluar rumah, kita sudah diekori oleh mereka yang bagaikan tidak mengerti apa yang kita mahukan iaitu privasi," luah Depp melahirkan kekesalan terhadap penceroboh seperti paparazzi itu. Sungguhpun begitu, jelas Depp, dia tetap mengagumi kekasihnya, Vanessa Paradis yang merupakan ibu kepada dua orang anaknya iaitu Lily-Rose Melody Depp dan John "Jack" Christopher Depp III masing-masing kini berusia 11 dan lapan tahun. "Dia telah melunaskan tanggungjawabnya dengan baik dan saya bertuah kerana dapat memilikinya sebagai pasangan," katanya ringkas yang sebelum ini pernah menjalinkan hubungan dengan Winona Ryder dan Kate Moss. | ||
Kegembiraan Aznil, keterujaan Nabila Posted: Kegembiraan Aznil, keterujaan NabilaOleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
SEMUANYA terlaksana hanya dengan sebuah topik yang akhirnya memberi peluang sama rata buat semua untuk bertemu dengan seorang figura unggul negara. Kisahnya bermula apabila krew Riuh Pagi Era yang dikendalikan oleh Aznil Nawawi, Ray dan Hanif memberi peluang kepada pendengar radio itu untuk meluahkan impian yang mahu dilaksanakan sebelum tahun 2010 melabuhkan tirainya. Daripada puluhan panggilan dan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang diterima sepanjang dua jam segmen itu bersiaran, impian seorang pendengar bernama Siti Nurshiela Shahidan antara yang paling menarik perhatian Aznil selaku 'kepala' Riuh Pagi Era. Impiannya yang mahu bertemu dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad itu bagi Aznil merupakan satu peluang yang cukup dinanti-nantikan oleh bukan hanya dirinya tetapi juga semua rakyat Malaysia. Malah, Aznil sendiri mengakui dia belum pernah bertemu empat mata dengan negarawan ulung kesayangan ramai itu. Sebelum ini pun, dia hanya bertemu dan menyapa Tun Mahathir di majlis-majlis tertentu sahaja. Lalu, Aznil merasakan ini juga peluang terbaiknya untuk bersua muka dengan Tun Mahathir yang diangkatnya sebagai idola selain memberi peluang kepada pendengar Era FM untuk merealisasikan impiannya. Akhirnya, doa Aznil dimakbulkan Allah SWT dan baru-baru ini, Aznil bersama-sama krew Riuh Pagi Era dan Siti Nurshiela telah berkunjung ke Yayasan Kepimpinan Perdana, di Putrajaya untuk bertemu dengan tokoh yang disanjung tinggi itu. "Apabila mendengar impian yang disuarakan oleh Siti Nurshiela yang mahu bertemu dengan Dr. Mahathir, saya juga berasa gembira dan teruja. Dan, saya juga menganggap ini sebagai satu cabaran. "Cabaran yang saya maksudkan di sini ialah proses yang perlu dilalui sebelum tibanya hari pertemuan dengan Dr. Mahathir. Saya sendiri mahu merasai bagaimanakah perasaan dan barangkali tekanan untuk mengadakan temu janji bersamanya. "Alhamdulillah, saya sendiri tidak menyangka proses berjalan dengan lancar dan dengan bantuan pembantu peribadi Dr. Mahathir, pertemuan kami diatur. Memang kalau boleh, saya mahu masa yang lama untuk saya berbual dengan beliau. "Tetapi, saya sedar, beliau seorang yang cukup sibuk. Jadi, kalau dapat seketika bersamanya pun sudah memadai buat saya," jelas Aznil penuh bersungguh ketika diminta menceritakan detik-detik sebelum pertemuan dengan Dr. Mahathir baru-abru ini. Kagum Memang terpancar jelas kegembiraan yang luar biasa di wajah Aznil yang juga pengacara nombor satu negara itu apabila dapat berbual-bual dan bertanyakan soalan yang sudah lama dipendamkan. Kata Aznil, dia cukup kagum dengan keberanian dan kekuatan daya fikiran Dr. Mahathir yang mampu berfikir jauh ke hadapan. Sebagai seorang selebriti, dia sendiri telah mengamalkan prinsip idolanya itu dalam karier seninya dan memang sudah terang lagi bersuluh, Aznil memang seorang yang berani mengambil risiko dalam setiap keputusannya. Mengambil transisi imejnya sebagai contoh, Aznil sendiri pernah dikritik dan dikecam dengan hebat kerana tampil dengan imej yang dilihat merepek serta tidak menonjolkan personalitinya ketika di awal kemunculannya. "Jadi, apabila Dr. Mahathir berkata setiap keputusan yang diambil itu mempunyai risikonya yang mampu membawa kepada kegagalan dan kerugian, ia menjawab segala persoalan saya selama ini. "Apa sahaja yang beliau lakukan sebelum ini bukannya tidak pernah dikritik tetapi semangat positif yang ada dalam dirinya itu membuatkan ramai yang kagum dan hormat pada dirinya. "Kata beliau lagi, bukan semua yang kita lakukan itu akan mendapat sokongan padu daripada semua pihak. Jadi, kita harus berani mengambil risiko dan membuktikan kepada mereka dengan penuh bersungguh," ujar Aznil panjang lebar. Ketawa Dalam pertemuan yang memakan masa lebih kurang 15 minit itu juga, Aznil sempat mengajukan beberapa soalan yang dikirimkan oleh pendengar setia Era FM di mana jawapan diberikan telah membuat suasana hening di dalam bilik mesyuarat itu dipecahkan dengan hilai tawa mereka yang hadir. Salah satu soalannya adalah tentang lawak jenaka yang baru sahaja didengar oleh Dr. Mahathir. Barangkali ia mungkin dianggap biasa oleh kita sebagai orang biasa. Tetapi, apabila mendengarkan daripada mulut negarawan itu sendiri, ia menjadi sesuatu yang cukup berbeza dan bermakna sekali. "Baru-baru ini, ada seorang kawan saya memberitahu bagaimana nama sejenis kuih itu dinamakan pulut udang sedangkan apabila dia membelinya, tiada pun seekor udang dalam intinya. "Dia juga kata bila dia beli cucur badak, intinya juga tiada daging badak. Jadi bagaimana namanya menjadi cucur badak," kata Aznil mengulang kembali ungkapan Dr. Mahathir yang kemudiannya disambut dengan deraian ketawa tetamunya pada pagi itu. Sempat juga bekas Perdana Menteri itu ditanya tentang pandangannya terhadap Aznil. Berani Ujar beliau secara generik, ketika di zaman pemerintahannya, bidang penyiaran ketika itu masih lagi dibelenggu dengan perasaan malu dan belum bersedia untuk melakukan perubahan drastik untuk pembaharuan. Namun, apabila muncul bakat-bakat baru yang memiliki sentuhan yang segar, ia telah menjadikan dunia penyiaran itu semakin menarik dan berwarna. "Semuanya perlu mempunyai keyakinan diri dalam apa jua yang dilakukan. Tidak dilupakan keberanian untuk terus maju ke depan," kata Dr. Mahathir. Melihat kepada kejayaan sulung team Riuh Pagi Era dalam merealisasikan impian pendengar setianya, duda beranak dua ini tidak menolak kemungkinan akan meneruskan projek ini di masa hadapan. Namun, katanya, hanya impian yang dirasakan munasabah dan praktikal sahaja akan ditunaikan. "Selain Siti Nurshiela, kami menerima banyak permintaan yang mahu impian mereka ditunaikan. "Tidak kurang juga ada yang menyatakan impian untuk bersanding sekali lagi kerana ketika dia bersanding dulu, semuanya tidak berjalan dengan sempurna seperti mana yang diharapkan. "Insya-Allah, kami akan meneruskan projek seperti ini pada bulan Disember setiap tahun," kata Aznil yang kini muncul dengan rancangan Serasi Bersama bersama Sharifah Shahirah. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |