Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Pelakon kuasa luar biasaPERBUALAN dua pasang aktor dan aktres ini lebih mengarahkan kepada bau-bau keterujaan mencuba sebuah pengalaman baru. Jelas keintiman yang dibina dalam sebuah produksi terhambat ke lokasi luar kerana keserasian berada dalam sebuah produksi yang menyenangkan. Ainul Aishah, Isma Hanum, Fairil Emran dan Azma Yusoof galak bercerita peranan masing-masing dalam siri baru saluran 8TV yang diarahkan oleh sutradara James Lee dengan tajuk Butterfly S. Berbezanya siri telefilem ini kerana ia menekankan aspek kuasa luar biasa atau super power yang dimiliki oleh pemegang watak- watak dalam telefilem tersebut. Malah, telefilem yang bakal disiarkan pada 26 Disember dan sambungannya pada 2 Januari ini akan dipersembahkan 100 peratus dalam bahasa Inggeris. Para pelakon telefilem urban ini berkongsi cerita perihal kuasa luar biasa mereka yang diserap dalam karakter masing-masing. Ainul sukar berdialog Inggeris Kalau mengikut fokus dan keutamaan untuk tahun 2010, Ainul Aishah yang mesra dipanggil Ain sebenarnya lebih memberatkan bidang nyanyian.
Hadir dengan single perdana bertajuk The Old Him, gadis berusia 25 tahun ini yakin dia mampu menjadi penyanyi yang baik dengan dorongan dan sokongan rakan-rakan serta para peminat. Namun, rezeki lakonan Ainul masih bergolek menuju dirinya. Sedang berada di lokasi filem Untuk 3 Hari arahan Afdlin Shauki, Ainul sempat melapangkan masa menghadiri penggambaran promosi telefilem Butterrly S ini di pejabat 8TV. "Ini merupakan kali kedua saya bekerja dengan James Lee selepas filem Histeria. Saya gemar bekerjasama dengan James kerana dia tidak pernah menyusahkan para pelakonnya. "Malah boleh saya katakan, James tidak akan membuatkan pelakon-pelakonnya tertekan sewaktu penggambara," ujar pelakon kelahiran Pulau Pinang ini. "Jujur saya katakan bahawa sukar untuk saya berdialog bahasa Inggeris dalam telefilem ini. Saya mengambil masa dua ke tiga hari untuk membiasakan diri. Saya tidak biasa berdialog dalam bahasa Inggeris. "Berbeza apabila kita bercakap dan berdialog. Tapi saya anggap sebagai cabaran dan selesa selepas beberapa hari penggambaran," tutur Ainul yang risaukan aspek sebutan bahasa yang salah. "Seronok membawakan watak Dira. Dia merupakan individu yang mendapat tahu tentang kuasa istimewa yang wujud dalam diri manusia di sekelilingnya.
"Dira mempunyai kuasa dapat melihat masa hadapan dan tahu apa akan berlaku kelak. Dari situ dia mula menjalankan penyiasatan tentang kuasa tersebut dan beberapa kes bunuh yang terjadi," ujar Ainul yang menerangkan bahawa lambang rama-rama di badan pemilik kuasa istimewa merupakan terjemahan kepada tajuk yang dipilih oleh James Lee dalam telefilem ini. "Saya juga perlu melakonkan adegan lompat dan terbang. Sedikit memenatkan kerana harus 'terbang' daripada pagi ke pagi," rungutnya manja. Isma Hanum tidak mati Pertama kali muncul di kaca televisyen mempersembahkan bakat lakonannya, gadis berusia 25 tahun ini diberikan watak hantu. Drama Ghost yang dipertontonkan melalui saluran 8TV memperkenalkan Isma Hanum, seorang lagi bakat baru yang sedang mahu mempertontonkan bakat yang menjalar dalam dirinya. "Saya banyak belajar daripada siri Ghost. Terutamanya daripada aspek efek istimewa. Penggunaan taktik yang simple dengan bajet yang rendah membuahkan sebuah kreativiti yang baik daripada pengarah seninya. "Begitu juga yang saya nampak dalam telefilem Butterfly S yang diarahkan James Lee ini," ujar Isma yang dahulunya dikenali dengan nama Hanum, gara-gara karakternya dalam Ghost. Ketawa mendahului perbualan yang seterusnya,"Kalau dulu dalam siri Ghost, saya bawakan watak hantu gothik tetapi kali ini saya tidak mati lagi." "Saya bawakan watak Erma, kawan baik Dira lakonan Ainul. Berlainan dengan watak Hanum dulu, kali ini penonton boleh menyaksikan saya dalam karakter yang blur dan feminin," ujarnya yang mahu kepelbagaian watak hadir dalam portfolio lakonannya kelak dan tiada kuasa istimewa dalam telefilem ini. Gadis berusia 25 tahun yang mengambil kelas analisis skrip serta persembahan di KLPac turut menceritakan pengalaman perdananya berada di bawah pengarahan James Lee.
"Sebelum ini saya memang banyak dengar cerita tentang dia. Gembira dapat berada di bawah arahannya dan saya dapati James merupakan seorang pengarah yang memberi kebebasan buat pelakon di set," ujarnya. "Lebih menyenangkan kerja saya lagi apabila berada di lokasi yang semua pelakonnya sangat bekerjasama dan tiada perangai diva,"ujarnya jujur dan agak selektif kerana hanya mahukan projek yang boleh membantu kariernya ke depan dan bukannya semakin merosot. Fairil Emran yang antagonis Entah apa sebabnya tetapi jejaka yang satu ini sering diberikan watak antagonis dalam siri lakonannya. Fairil Emran kelahiran Pulau Pinang ini tersenyum seraya mengiyakan situasi tersebut. "Entah kenapa saya sering diberikan watak antagonis?" soalnya kembali. Isma yang berada di depannya mencelah. "Pendapatnya, faktor badan Fairil yang tegap mungkin pendorong situasi berulang berkenaan. "Dalam telefilem ini, saya membawakan watak Nordin yang merupakan pelajar senior di kolej kami. Sekali lagi antagonis dan mempunyai kuasa tersendiri iaitu mampu bertukar menjadi orang lain," ujar Fairil yang turut berlakon dalam filem Hanyut arahan U-Wei. "Terdapat satu adegan terbang yang memberi saya pengalaman untuk melakonkan aksi lagak ngeri. Agak menakutkan dan memberi saya rasa lonjakan adrenalin sewaktu melakonkan aksi tersebut. Tapi saya berbangga kerana dapat melakonkannya sendiri walau pun lenguh-lenguh kerana digantung," katanya yang berpuas hati setelah melihat semula aksinya dalam trailer Butterfly S ini di laman Youtube. Sewaktu diminta memberikan pendapat tentang penggunaan efek istimewa di Malaysia, Fairil yang mempunyai rumah produksi ini memberi pendapat positif. "Saya rasa penggunaan efek khas atau istimewa di Malaysia sedang berkembang dan meningkat. "Kita melakukan dengan bajet yang rendah namun hasilnya tidaklah mengecewakan. Mencapai matlamat," ujar Fairil yang menganggap lakonan adalah satu hobi dan bukan pekerjaan seriusnya buat masa ini. Azma dapat watak idaman Mampu membaca fikiran manusia, Azma Yusoof dalam karakter Razin dapat melakukan kuasa istimewa tersebut ketika menyentuh manusia yang berhampiran dengannya.
"Saya merupakan peminat komik dan filem X-Men. Sudah tentu saya teruja untuk berlakon dalam sebuah produksi yang mempunyai unsur-unsur kuasa semulajadi yang istimewa. "Ini watak yang saya idamkan dan peluang keemasan dalam hidup saya," ujar Azma. "Jangan bandingkan dengan filem atau drama Hollywood. Sebuah telefilem dengan efek istimewa sahaja sudah menunjukkan kita ada percubaan yang baik dalam melakukan perubahan. "Kita sebenarnya mampu untuk berbuat demikian tetapi hanya ada kekangan bajet. "Tetapi ini menunjukkan produksi kita tidak ketinggalan dalam aspek efek istimewa," ujar graduan Universiti Multimedia, Cyberjaya ini. "Saya gemuruh kerana bagi saya adalah satu tugasan yang berat untuk membawakan karakter yang mempunyai aksi lagak ngeri. "Yang paling sukar juga adalah untuk membuatkan karakter saya itu dipercayai dan tidak berlebih-lebihan. "Saya juga turut teruja kerana dapat bekerja di bawah arahan James Lee untuk kali kedua. "Saya sememangnya sukakan ideologinya dan arah tuju yang dibawanya. Sebagai seorang yang turut duduk di kerusi pengarah, banyak yang saya boleh pelajari daripada James," ujarnya yang pertama kali bekerjasama dengan James Lee melalui siri Biar Putih Tulang, Jangan Putih Mata bersama Zahiril Adzim. | ||||||||
Posted: Teluskah Anugerah Skrin 2010?Oleh SOFIATUL SHIMA WAN CHIK
PERSOALAN yang timbul di benak para pemerhati festival dan acara penganugerahan berlagu lagi. Kali ini pemerhatian difokuskan pula kepada Anugerah Skrin 2010 yang diharapkan dapat menyembuhkan rawan dan luka yang terpalit selepas Festival Filem Malaysia Ke-23 yang berlalu dengan pelbagai rasa. Sebuah penganugerahan terakhir untuk tahun 2010. Bakal berlangsung Jumaat ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, pentas anugerah sebegini menjadi medan percaturan bakat anak- anak seni yang muncul dengan produk masing-masing. Lebih tepat lagi jika dikatakan bahawa suntikan tuah sebenarnya menjadi salah satu faktor bagi mana-mana anak seni pulang menggenggam anugerah sesudah semuanya mempersembahkan kualiti sehabis baik. Sudah tentunya, nominasi dan pemenang bagi anugerah paling dinanti seperti aktor, aktres terbaik filem dan drama serta anugerah drama dan filem terbaik sudah menjadi perdebatan dengan hujah pemilihan masing-masing. Tahun ini bakal menyaksikan drama seperti Taubat Nasuha, Sebelum Akhirat, Antara Garisan, Dalil Cinta, Kaki, Perempuan dan Lillahi Ta'ala bertanding di bawah payung Drama Terbaik Anugerah Skrin 2010. Terbaik antara terbaik Para pelakon dengan nama menggegarkan seperti Sheila Rusly (Taubat Nasuha), Lisdawati (Sebelum Akhirat), Ellie Suriati (Kaki), Dira Abu Zahar (Perempuan), Noor Khiriah (Antara Garisan) dan Sharifah Amani (Dalil Cinta) sudah mempamerkan kredibiliti mereka memegang tampuk pelakon wanita terbaik. Siapa agaknya yang bakal menempatkan diri dalam sejarah terbaik antara terbaik tersebut? Mampukah pula Zulhuzaimy yang muncul dengan drama Dendam Seorang Perempuan muncul sebagai Pelakon Drama Terbaik Anugerah Skrin 2010? Atau lebih layak gelaran itu diberikan kepada Roslan Salleh atau arwah Yalal Chin yang muncul melalui drama Bagaikan Sumayyah? Atau juga, masih relevankah Rosyam Nor yang mempersembahkan peranan lelaki panas baran menerusi Kaki (siaran RTM) mampu menarik perhatian juri meletakkan dia sebagai Pelakon Drama Terbaik tahun ini? Merenung perjalanan drama bersiri yang semakin meningkat kualiti daripada sudut standard dan bilangan penonton, beberapa drama rantaian terbaik mendapat perhatian ramai. Dapatkah drama Nur Kasih dengan barisan pelakon baru dan handal Fizz Fairuz, Remy Ishak dan Tiz Zakiyah menggondol anugerah Drama Rantaian Terbaik? Atau faktor komersial itu boleh ditepis dengan drama-drama lain seperti Adamaya, Ghost, Tari Tirana mahupun Halimah Jongang? Pemilihan tepat Tiada lain yang diharapkan dalam sebuah penganugerahan sebegini sebenarnya. Sebuah pemilihan yang tepat tanpa faktor-faktor anasir luar diharapkan menjadi garisan buat juri dalam memilih pemegang anugerah yang paling tepat. Menyorot trend penganugerahan trofi bagi kategori Drama Terbaik mahupun Pelakon Lelaki atau Pelakon Wanita Terbaik untuk tahun-tahun terdahulu, karya yang bersandarkan kritik sosial serta kejahilan kemasyarakatan yang akan secara semula jadi menjadi fokus juri.
Sebagai contoh paling hampir, keberkesanan judul Lorong Neraka arahan Erma Fatima yang berkisarkan kehidupan daif komuniti terpencil di Lorong Haji Taib telah mengangkat naskhah itu sebagai Drama Terbaik Anugerah Skrin 2009 termasuk menyapu beberapa kategori utama seperti Pengarah Terbaik Drama (Erma Fatima), Pelakon Wanita Terbaik Drama (Rosnah Mat Aris), Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama (Norish Ismail) dan Lakon TV Terbaik (Erma Fatima). Persoalannya mahukah penganjur tahun ini sekali lagi merelakan karya yang tersiar dari stesen televisyen lain untuk diangkat sebagai kebanggaan Anugerah Skrin 2010. Sebagai pemerhati, penulis percaya kepada kemampuan calon TV1, Perempuan dan Kaki untuk mara sebagai pesaing hebat kepada calon drama yang tersiar dalam slot Cerekarama seperti yang menjadi sebutan. Bertemakan glamor, malam penganugerahan yang memilih 'wajah baru' TV3, Vanidah Imran sebagai pengacara bersama dengan Awal Ashaari, Anugerah Skrin 2010 diharap benar menjadi anugerah penghabisan 2010 yang bermaruah. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |