Berita Harian: Hip |
Posted: 22 Dec 2010 02:31 PM PST Hip BIAR sudah hampir tiga tahun berlalu, pengalaman meredah ombak di tengah gelora lautan hanya berbekalkan pendayung sambil membawa bayi berusia setahun tidak mungkin dapat dilupakan Eja apatah lagi sejurus selepas itu siren tsunami kedengaran memecah kesunyian malam. Babak yang memerlukan Sutera menyabung nyawa membawa anak kecil semata-mata mahu memastikan suaminya, Harun ada di kelong, nyata cukup menguji aktres bernama Siti Shahrizah Saifuddin, apatah lagi dia tidak mempunyai kemahiran berenang sekiranya berlaku apa-apa kejadian tidak diingini. Apa pun, sepenuh jiwa diberikan terhadap Janin, filem yang memerlukannya mencabar diri melakukan segala aksi yang tidak pernah terfikir dek akal hingga sampai ke satu tahap Eja berasakan kepuasan yang tidak mungkin dapat ditukar dengan limpahan wang ringgit. "Saya hanya berdoa dan bertawakal kerana babak Sutera cuba mengintip pergerakan suami di kelong. Ini kerana Sutera termakan hasutan jiran, mengatakan suaminya membuat hubungan sulit dengan wanita lain."Bayangkan dengan ketakutan peristiwa tsunami dan membawa bayi yang tidak mengerti apa-apa. Saya hanya menyerahkan segala-galanya kepada Allah. Syukur dalam tempoh hampir sejam di dalam sampan, babak itu dapat disempurnakan walaupun selepas itu siren berbunyi menandakan amaran bahaya," katanya mengimbas memori lalu. Selain Eja dan Hairie Othman, filem arahan Yeop Hitler Zami yang mula ditayangkan hari ini (23 Disember) turut membariskan Ainurizam Ainuddin sebagai Khir dan pelakon kanak-kanak yang juga anak bongsu pengarah, Nur Allisyah, yang ketika itu berusia lapan tahun. Filem Janin berkisar mengenai toyol bernama Esah yang menimbulkan kekecohan di sebuah kampung apabila sering mencuri duit dan barangan berharga penduduk setempat.
Seakan-akan ada pertalian antara Esah dengan Sutera, akhirnya seorang ustaz tampil membantu penduduk kampung menyelesaikan kemelut mereka namun bersama syarat tertentu iaitu hanya Sutera mampu menamatkan amukan toyol berkenaan. Antara barisan tunjang lain yang memperkukuhkan filem terbitan Primeworks Studios Sdn Bhd itu adalah Sherry Merlis, Zami Ismail, Kismah Johar, Zulkifli Md Zain, Rashidah Jaafar, Ghazali Abu Noh, Kuswadinata dan Alanaaz Jahan. Eja mengakui dia cerewet memilih skrip dan watak, tetapi Janin dianggap naskah yang baik apabila merangkumi segala aspek diingini penonton kerana sarat dengan drama, mainan perasaan serta dipenuhi elemen kekeluargaan. "Apabila pertama kali membawa skrip bulu roma saya meremang. Itu petanda filem itu memang tepat untuk saya dan tanpa berfikir panjang menerima watak Sutera kerana berasakan ia punya roh dan jiwa. Nyata naluri saya memang benar. "Banyak dugaan lain kerana kebanyakan penggambaran adegan dibuat pada tengah malam, di tengah hutan serta perlu memahami keletihan pelakon kecil. Saya sendiri pernah menangis apabila berasakan tidak dapat memberikan seperti yang saya kehendaki," katanya. Menurutnya, dia juga kagum dengan semangat Allisyah yang terpaksa mengenakan sarung getah dan disolek berjam-jam untuk menampakkan karektor sebagai toyol kerana bukan calang-calang pelakon sanggup berbuat demikian. "Anak kecil punya ragam tersendiri. Kita perlu memahami karenah mereka. Selain bayi, kami berbesar hati dapat menimba pengalaman bersama Esah. Walaupun baru pertama kali beraksi, dia mudah dibentuk, cuma dengan kostum sarat begitu, sesiapa pun pasti kurang selesa. "Alhamdulillah, penggambaran yang dijalankan sepanjang bulan puasa hingga selepas Aidilfitri itu dapat disempurnakan malah saya tidak sabar melihat hasilnya," kata Eja lagi yang bersetuju memenuhi tawaran berlakon pada Ramadan semata-mata demi Janin. Soal keserasian bersama Hairie selaku regu utama, pengalaman aktor itu sudah cukup untuk menghidupkan lagi watak mereka apatah lagi kredibiliti hero Leftenan Adnan sudah diketahui umum sekali gus menyerlahkan lagi 1001 sebab mengapa filem Janin wajar ditonton. Selain Janin, lakonan duta produk kecantikan dan pelangsingan badan Bio Essence itu juga boleh diikuti di kaca televisyen iaitu drama bersiri 26 episod, Aku Bukan Mariam selain sebuah lagi kisah seram membabitkan 13 episod, Mantera Anjasmoro. |
Posted: 22 Dec 2010 02:29 PM PST Hip Vanidah tidak mahu sia-siakan peluang menjadi pengacara program NonaVANIDAH Imran tidak menyangka berpeluang menerajui program Nona selepas hampir dua dekad melayari kerjaya seni sekali gus membuatkan model, pengacara dan pelakon itu tidak berfikir panjang merebut tawaran yang hadir. Bersama kesungguhan dan hasrat meneruskan legasi pengacara yang lebih dulu mengendalikan program kekeluargaan itu seperti Christine Ling, Ezzah Aziz Fauzi dan Normala Shamsuddin, Vanidah atau Vee dengan berbekalkan ilmu dan pengalaman lalu. "Memang saya pernah memasang angan-angan menjadi pengacara Nona. Apabila ia jadi kenyataan, amanah ini tidak disia-siakan. "Ia mengujakan namun rasa gementar juga bercampur baur, sama ada mampu atau tidak untuk menggalas kepercayaan penonton."Inilah yang dinamakan cabaran dan jika sebelum ini saya berani berdepan dengan apa jua cabaran, mengapa tidak yang satu ini," katanya selepas sesi memperkenalkan Pelakon Wanita Terbaik sebagai pengacara baru program berusia 25 tahun itu. Sambil belayar membelah tasik Putrajaya, majlis serba santai di dalam perut Cruise yang lebih menjurus kepada usaha merapatkan hubungan antara produksi Nona, hos dan media itu seakan-akan ruang mengenali sisi ibu kepada dua cahaya mata itu dengan lebih akrab. Biar bibir wanita yang sentiasa terukir dengan senyuman, akuinya saat mula menjejakkan kaki ke set rakaman timbul rasa gentar seolah-olah ia pengalaman pertama di hadapan kamera.
"Seperti berlakon, mengacara, menari atau memperaga, saya begitu teliti. Itulah yang saya terapkan dalam Nona," kata isteri Rashidi Ishak ini yang sudah menyelesaikan lima episod terawal Nona. Menurutnya lagi, setiap perkara yang berlaku ada hikmahnya begitu juga dengan saat tawaran ini menjengah kira-kira dua bulan lalu apabila dia sengaja melapangkan jadual beberapa bulan untuk memberi tumpuan terhadap pelajaran kerana sejak setahun lalu, dia menyambung pengajian peringkat ijazah secara separuh masa. "Saya sudah lama tidak terima tawaran berlakon kerana sibuk belajar. Sebagai ibu berkerjaya dan belajar, saya perlu bahagikan masa dengan bijak," ulasnya yang sedia menerima kritikan demi memantapkan diri. Tidak mahu menjadikan bebanan tugasan kuliah sebagai alasan culas untuk turun padang, Vee berkata, jika diperlukan sejujurnya dia sedia menjelajah bersama krew bagi membolehkannya terbabit secara langsung dalam program itu. Rating Nona masih tinggi Pengurus Penerbitan Program Wanita dan Projek Khas TV3, Siti Hatija Yusof berkata karisma, aura serta kebijaksanaan wanita berusia 37 tahun itu menepati kehendak penonton setia Nona yang mahu mengangkat nilai keperibadian wanita wanita Melayu. "Tinjauan dan pendapat ramai diambil kira untuk menilai kriteria pengacara yang dirasakan bertepatan dengan program ini dan daripada maklum balas, mereka mahu hos yang serba boleh, berlatar belakang sempurna dan mempunyai karakter tersendiri. "Uji bakat masih dijalankan dan kami yakin Vanidah pilihan tepat, malah personaliti meyakinkan di sebalik kelembutannya menonjolkan sisi pengacara yang kami cari selama ini tanpa perlu membayangi sesiapa pun," akuinya lagi. Begitupun, pemilihan Vee tiada kaitan dengan dakwaan kononnya rating Nona di bawah kelolaan Maya Karin sebagai hos jatuh merudum sebaliknya ia sekadar memberi kelainan. Ini kerana rancangan itu masih mengumpul purata 1.5 juta penonton pada setiap episod. "Maya Karin masih ada tarikan. Cuma mungkin jangkaan untuk menarik lebih ramai penonton terlalu tinggi selain dikatakan lebih urban. "Segala perubahan ini tidak lakukan sesuka hati kerana penonton masih mempunyai suara mengeluarkan pendapat. Daripada tinjauan juga, ramai menyukai konsep asal Nona sebagai program untuk semua jantina yang kekal dengan citra kemelayuan," katanya. Nona disiarkan di TV3 setiap Ahad, jam 2 petang. Antara segmen menarik bagi program yang akan memulakan siaran musim baru bermula 2 Januari adalah Fesyen, Perkahwinan dan Kecantikan yang begitu sinonim dengan Nona manakala beberapa segmen baru turut diperkenalkan seperti Rahsia Lelaki, Masakan dan Koleksi Kegemaran. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |