Utusan Online - Hiburan |
Krismas paling bahagia buat Mariah Posted: Krismas paling bahagia buat MariahOleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
PENYANYI tersohor dunia ini mempunyai alasan yang begitu kukuh untuk meraikan kedatangan Hari Krismas yang akan disambut esok dengan penuh kegirangan. Buat pertama kalinya dalam hidup Mariah Carey, 40, dia menyambut perayaan yang cukup dinanti-nantikan itu dengan tiga orang yang cukup penting dalam hidupnya masa ini. Mereka yang dimaksudkan ialah suaminya, Nick Cannon dan juga anak kembar hasil perkahwinan Carey dan Cannon yang sedang dikandungnya sekarang. "Belum pernah saya rasa teruja sebegini untuk menyambut Krismas dan inilah permulaan buat saya untuk merasai nikmat hari bahagia ini sebagai seorang ibu. "Saya harus akui sebelum saya bergelar seorang isteri, sering sahaja saya menyambut Krismas sama ada keseorangan mahupun bersama teman-teman lain. "Kalau tidak dengan mereka sekali pun, saya akan menghabiskan masa dengan ibu saya. Sememangnya Krismas memberikan semangat luar biasa sejak kecil lagi. "Namun, tahun ini ia cukup berbeza sekali. Saya sendiri sudah tidak sabar lagi untuk membesarkan anak-anak saya bersama suami dalam suasana yang cukup harmoni," luah Carey dalam nada yang cukup teruja. Sememangnya berita kehamilan telah menjadi tajuk panas beberapa bulan kebelakangan ini dan pihak media di Hollywood menjangkakan ia akan berlarutan sekurangkurangnya untuk setahun lagi. Sejak hari pertama dia mengandung sehingga dia melahirkan bayi-bayinya kelak, Carey akan meraih perhatian yang cukup meluas nanti. Tidak terhenti setakat itu, semua mata juga akan tertumpu kepadanya selepas bersalin nanti kerana mahu melihat sama ada Carey mampu memiliki bentuk badan yang seksi seperti mana ibu-ibu glamor lain. Carey dan Cannon mendirikan rumah tangga pada 30 April 2008 di sebuah vila peribadi milik Carey yang terletak di Bahamas. Sebelum ini, Carey pernah berkahwin dengan Tommy Mottola pada tahun 1993 namun ikatan itu tidak mampu kekal lama. Masing-masing sepakat untuk bercerai pada tahun 1997 dan membawa haluan sendiri. Bermula daripada situ, Carey telah menjadi seorang janda seksi dan menjalinkan hubungan dengan beberapa orang artis antaranya Luis Miguel dan Eminem. Sejak menjadi seorang isteri kata Carey, dia merasakan hidupnya cukup lengkap dan bahagia bersama Cannon yang berjaya menjalankan tugasnya sebagai seorang suami dengan baik. Matang Biarpun suaminya itu 10 tahun jauh lebih muda daripadanya, Carey tidak melihatnya sebagai satu masalah besar kerana Cannon seorang yang matang untuk usianya. "Saya harus akui untuk memiliki anak tidak pernah ada dalam agenda saya. Suami saya juga faham dengan situasi saya dan tidak pernah memaksa jika itu bukan kemahuan saya. "Barangkali inilah yang dikatakan anugerah Tuhan. Sebaik sahaja saya disahkan mengandung, Cannon merupakan orang yang paling gembira dan air matanya membuatkan saya sedar dia memang mahukan ini (anak). "Saya bersyukur kerana sepanjang kehamilan ini, dia setia bersama saya dan sama-sama mahu melalui proses ini bersama saya. "Saya mahu anak-anak saya hidup dalam sebuah keluarga yang normal dengan adanya seorang ibu dan ayah yang sama-sama menjalani hidup dengan penuh kasih sayang," ujarnya yang akan melahirkan anak sulungnya itu sekitar bulan Mac atau April depan. Bimbang Carey juga mengakui dia memang tidak mahu menghebahkan berita kehamilan itu kepada umum kerana bimbang sesuatu yang tidak baik akan terjadi. Bukan mahu bersikap skeptikal tetapi dia tidak mahu mengalami keguguran sekali lagi seperti mana yang terjadi di awal perkahwinannya bersama Cannon. "Jadi, apabila mengandung sekali lagi, ia membuatkan saya sedikit bimbang dan tidak mahu terlalu berasa gembira dengan berlebih-lebihan. Kata orang, let it go with the flow. "Tetapi nampaknya, berita ini tidak mampu disembunyikan lagi dan saya gembira serta bersyukur di atas doa dan ucapan yang diterima daripada teman, keluarga dan juga peminat," kata Carey yang berhubung dengan peminatnya menerusi Twitter. Dalam masa yang sama, penghibur yang cukup masyhur dengan lagu Butterfly dan Hero itu menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan dia telah menggunakan kaedah persenyawaan tabung uji (IVF). Sehingga ada yang mengatakan Carey telah berkunjung ke klinik yang sama dikunjungi oleh pasangan Jennifer Lopez dan Marc Anthony untuk mengandung dan seterusnya mendapat anak kembar. "Semua itu tidak benar kerana saya mengandung dengan cara yang normal," katanya ringkas. Tetap sibuk dengan agenda Walaupun sedang hamil, namun itu bukan satu halangan untuk Carey meneruskan agenda seninya biarpun dalam musim perayaan. Seiring dengan sambutan Hari Krismas, jadual Carey terus padat dengan pelbagai program yang perlu dipenuhi dan dia menyifatkannya sebagai rezeki anak kembarnya. Berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini, tahun ini memperlihatkan Carey terlibat dengan rakaman program untuk siaran televisyen sempena Krismas sehingga tidak menang tangan dibuatnya. Antara momen terbaiknya sebelum menjelangnya Krismas apabila berpeluang mengadakan persembahan bersama Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama dan isterinya, Michelle. "Memang kalian akan melihat wajah saya di berbagai-bagai saluran sehingga anda sendiri akan berasa bosan dengan saya (ketawa). "Setiap program yang saya sertai semuanya mempunyai pendekatan yang berbeza dan apa yang paling menggembirakan saya apabila dapat berduet dengan ibu saya, Patricia untuk sebuah lagu Krismas. "Tetapi suami saya nampaknya tidak menjadi begitu realistik apabila dia mahu saya berehat dan enggan saya bekerja keras sepanjang saya mengandung (ketawa). "Semua itu akan saya lakukan apabila semuanya selesai kerana saya akan berehat panjang sementara menunggu detik kelahiran nanti," kata Carey yang terpaksa melupakan niatnya untuk bercuti dan bermain ski di Colorado tetapi sebaliknya akan menghabiskan masa di Utah. Namun, jelas Carey, biarpun akan berehat panjang, dalam tempoh itu dia akan terus mencari ilham untuk menulis lagu. "Saya percaya dalam proses menjadi seorang ibu, ia dapat memberikan inspirasi untuk saya menghasilkan lagu-lagu yang indah dan beraspirasi tinggi," jelasnya dalam nada bersungguh. | ||
Posted: ASK2010 menghampiri kemuncakOleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
DEBARAN kian dirasai dan terasa pantas masa berlalu apabila Anugerah Skrin 2010 (ASK2010) telah pun menuju ke destinasinya. Malam ini, ASK2010 akan mencatatkan satu lagi sejarah dalam direktori penganjuran anugerah yang dianggap cukup berprestij itu. Ramai yang sudah mula berteka-teki dan membuat andaian siapakah yang akan naik ke pentas untuk menerima trofi yang menjadi idaman karyawan seni tempatan itu. Malah, peminat hiburan sendiri turut merasai debaran itu dan sudah tidak sabar lagi untuk melihat mereka yang bertuah akan menjulang kejuaraan pada malam ini. Selama empat hari berturut-turut, Hits telah membawa pembaca setia melihat barisan pelakon yang berpotensi besar akan dicalonkan sekali gus memenangi trofi ASK. Sebagai penutup, hari ini Hits akan meramal mereka dilihat mampu menerobosi senarai pencalonan dalam empat kategori utama yang menjadi perhatian saban tahun. Ia termasuklah Pengarah Drama Terbaik, Pengarah Filem Terbaik, Drama Terbaik dan Filem Terbaik. Untuk kategori Drama Terbaik, antara calon-calon yang dilihat layak untuk menduduki senarai lima terbaik adalah Sebelum Akhirat, Antara Garisan, Dalil Cinta, Kaki, Perempuan dan Taubat Nasuha. Kalau disebut tentang drama, genre drama berat sering kali menjadi perhatian kerana mesej dan jalan cerita yang cukup menarik. Tahun lalu, drama Tersasar Di Jalanmu yang mempunyai plot cerita yang cukup berat menjadi pilihan juri sehingga mampu menang besar pada ASK2009. Seperti mana kata pihak penganjur, mereka sendiri tidak pernah meletakkan sebarang kriteria tertentu dalam memilih pemenangnya. Semuanya terserah kepada pihak juri untuk menilai dengan bijak setiap karya yang dipertandingkan. Memang tidak dinafikan, genre drama berat memiliki kriteria yang lengkap untuk memenangi kategori Drama Terbaik tetapi persoalannya, dari sudut apakah penilaian itu dilakukan? Sudah tentu daripada deretan senarai drama yang dicalonkan, pasti ia akan menyukarkan pihak juri untuk menilai karya yang boleh dianggap sebagai terbaik. Dalam konteks ini, drama yang dipilih itu haruslah memiliki kelainan serta pembaharuan serta berani menampilkan sesuatu isu yang mungkin tidak pernah difikirkan sebelum ini. Untuk tahun ini, Sebelum Akhirat, Antara Garisan, Kaki dan Taubat Nasuha mempunyai potensi untuk diangkat sebagai pemenang. Keempat-empat drama ini walaupun dikategorikan sebagai drama berat tetapi pendekatan masing-masing semuanya berbeza dan mempunyai sentuhan tersendiri. Namun, usah dipandang sebelah mata kepada drama komedi seperti Dalil Cinta yang juga berpeluang meraih gelaran Drama Terbaik. Jika drama-drama tersebut mampu disenaraikan sebagai Drama Terbaik, tidak mustahil sang sutradara yang mengarahkannya juga dapat dicalonkan sebagai Pengarah Terbaik. Nama-nama seperti Murali Abdullah, Shahrul Ezad, Azman Yahya atau Jinggo, Khairul Anuar Othman dan Heykal Hanifah antara yang dilihat mampu menduduki senarai itu dengan selesa. Murali misalnya, pernah memenanginya dua tahun lalu menerusi drama Suara Saleha yang juga diangkat sebagai Drama Terbaik. Adakah dia mampu mengulangi kejayaan serupa untuk Sebelum Akhirat tahun ini? Atau mungkin rezeki akan berpihak kepada Shahrul Ezad yang cukup cemerlang menerusi drama Antara Garisan? Siapa tahu Jinggo juga mampu menjulang trofi Pengarah Drama Terbaik untuk drama Taubat Nasuha selepas memenanginya tiga tahun lalu bagi drama Sebuah Ijtihad. Apakah mungkin drama Kaki arahan Khairul Anuar Othman mampu memikat juri sekali gus mencatatkan nama pengarah muda itu sebaris dengan pengarah handalan yang pernah memenanginya sebelum ini. Beralih kepada Pengarah Filem Terbaik pula, ia juga merupakan kategori yang cukup menarik untuk diperkatakan kerana ia bakal memperlihatkan saingan hebat. Antara nama yang meraih perhatian tahun ini ialah Allahyarham Yasmin Ahmad, Afdlin Shauki, Shamsul Yusof dan Bernard Chauly. Melihat kepada trek rekod Afdlin, pengarah kreatif itu pernah memenangi kategori ini selama dua tahun berturut-turut iaitu pada 2005 dan 2006 menerusi filem Buli dan Buli Balik. Adakah Papadom akan memberikan Afdlin trofi ketiganya? Mungkin ya, mungkin tidak kerana Afdlin perlu sedar saingannya memang bukan calang-calang. Lebih-lebih lagi nama Yasmin dilihat sebagai calon utama untuk memenanginya menerusi filem Muallaf. Pastinya, anugerah Pengarah Terbaik yang baru sahaja dimenanginya di Festival Filem Asia Pasifik Ke-54 baru-baru ini menambahkan merit kepadanya untuk dijulang sebagai Pengarah Filem Terbaik ASK2010. Tidak mustahil juga trofi itu diberikan kepada Shamsul Yusof yang diangkat sebagai Pengarah Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-23 menerusi filem Evolusi KL Drift 2. Kalau dia menang sekali lagi, itu tandanya, dia memang hebat sebagai seorang pengarah dan usahlah dipertikaikan lagi keputusan itu kerana dia membuktikan dia memang benar-benar layak. Siapa tahu, gelaran Pengarah Filem Terbaik juga mampu berpindah tangan kepada Bernard Chauly yang cukup tajam menghasilkan filem Pisau Cukur. Untuk meramalkan Filem Terbaik juga memang bukan mudah kerana daripada 25 buah filem yang tersenarai, tidak semuanya layak untuk dikategorikan sebagai yang terbaik. Daripada jumlah itu, Hits telah mengenal pasti lima filem yang dikira mencapai tahap kualiti dan piawaian untuk bergelar Filem Terbaik iaitu Muallaf, Evolusi KL Drift 2, Setem, Pisau Cukur dan Papadom. Siapa tahu rezeki akan berpihak kepada Muallaf yang dari awal sudah ditendang daripada disenaraikan sebagai calon Filem Terbaik FFM23 hanya kerana masalah bahasa. Nasib baik ASK tidak mengamalkan prinsip yang sama kerana bagi pihak penganjur, asalkan sesebuah karya itu berkualiti dan ada pembaharuan, itulah yang layak untuk bergelar terbaik. Saingan terdekat Muallaf sudah pasti filem Papadom yang cukup kuat mesej dan nilai kasih sayang dalam filem tersebut. Jika bukan dua filem ini menjadi pilihan juri, Pisau Cukur dan Setem juga memang layak untuk memenangi Filem Terbaik kerana sentuhan komedinya yang cukup mahal dan tidak semurah filem komedi lain. Untuk peminat hiburan tanah air, pastikan anda tidak melepaskan peluang menonton siaran langsung Anugerah Skrin 2010. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |