Adsense

Rabu, 15 Disember 2010

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Mila uji kehebatan

Posted:

Mila uji kehebatan

Mila uji kehebatan

Oleh IKHWAN IDERIS
ikhwan.ideris@kosmo.com.my



LAMBAKAN penyanyi baru dan program realiti berkonsepkan pertandingan nyanyian menyebabkan cabaran survival dalam industri seni suara tanah air semakin sukar.

Tidak terkecuali bintang-bintang daripada program realiti Akademi Fantasia (AF) yang satu ketika dulu pernah mencetuskan fenomena dalam dunia hiburan tanah air.

Sinaran bintang-bintang graduan AF ini dilihat mulai pudar, malah sesetengah pelajarnya hilang begitu sahaja dalam dunia seni. Sepi tanpa berita.

Pemilik nama Nursyarmilla Jirin atau mesra disapa Mila merupakan bekas graduan AF yang masih menyengat tuahnya berlatarkan karakter comel keanak-anakkan yang digemari lapisan umur.

Kini Mila dilihat tidak lagi bergantung harap kepada populariti semata-mata bahkan memaksa dirinya untuk berdiri sama tinggi, duduk sama rendah bersama anak seni yang lain.

Juara AF5 itu juga telah mula melebarkan sayapnya ke luar negara dengan menyertai beberapa pertandingan nyanyian di peringkat antarabangsa.

Khabar yang bertiup mengatakan penyanyi berumur 23 tahun itu kini sepi buat seketika ternyata bukan satu kata yang logik untuk diterima akal.

Penyanyi kecil molek itu sebenarnya sedang sibuk dengan pelbagai program yang telah diatur buatnya dan membuat dirinya akur untuk merehatkan diri dalam pentas lakonan.


ZUHARI IBRAHIM bakal bertindak sebagai pengarah persembahan dan membantu Mila menjayakan Konsert Rhythyms kelak.


11 Disember lalu adalah tarikh ujian hebat sebagai seorang penyanyi kerana berjaya meletakkan dirinya dalam pertandingan akhir Open Mic UK di Manchester, United Kingdom.

Mila menyatakan bahawa penyertaan dalam pertandingan itu adalah hasil usahanya sendiri, dengan bantuan tenaga kerjanya yang tidak henti membantunya dalam apa jua keadaan sekalipun.

"Seorang kawan yang Mila kenal sewaktu mewakili Malaysia ke Festival Muzik Pop Antarabangsa Discovery Ke-17 di Bulgaria dulu yang memberitahu Mila berkenaan pertandingan tersebut.

"Pertandingan akhir tersebut merupakan peringkat seterusnya setelah Mila berjaya melepasi peringkat kelayakan di Newcastle Oktober lalu.

"Kalau ada rezeki, Insya-Allah Mila akan melayakkan diri ke Grand Finale di O2, London pada tahun hadapan," katanya ketika menghadiri sidang akhbar untuk Konsert Rhythyms di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic) baru-baru ini.

Album baru

Menurutnya, di Grand Finale itu, banyak label rakaman dan agensi yang akan turun menyaksikan pertandingan itu.

"Saya membuat keputusan untuk menyertai pertandingan tersebut kerana mahu mengembangkan bakat, mencari peluang baru dan melihat keadaan pasaran di luar negara" jelasnya.


MILA dipilih oleh pihak Matic berdasarkan imej yang bersih dan contoh yang baik untuk dipamerkan kepada pelancong kelak.


Bakal tampil dengan album keduanya hujung tahun ini, buah tangan terbaru tersebut akan memuatkan 10 buah lagu iaitu lima lagu baru dan selebihnya merupakan lagu-lagu lama yang diberikan nafas baru.

"Setakat ini, hanya sebuah lagu lagi yang belum dirakamkan. Kalau boleh ia akan dilancarkan pada Disember ini atau selewat-lewatnya awal tahun hadapan.

"Album ini berkonsepkan pop dan ada juga lagu-lagu berentak balada," katanya.

Mila mendedahkan barisan komposer yang terlibat dalam pembikinan album terbarunya itu yang terdiri daripada nama besar dalam lapangan muzik iaitu Ajai dan Aidit Alfian.

"Album ini sangat istimewa buat Mila kerana inilah kali pertama Mila terlibat seratus peratus dalam pembikinan album, daripada pemilihan lagu hinggalah ke konsep album itu sendiri," ucap pelantun Jika Kau Ubah Fikiran itu dengan senyuman.

Mengupas keputusan berehat daripada pentas lakonan, Mila jujur mengakui jadual nyanyiannya yang padat menyukarkan Mila untuk melapangkan waktu serta komitmen buat profesion keduanya itu.

"Ruang untuk berlakon sangat tipis, Mila tidak mahu terlalu terkejar-kejar dan kelihatan tamak dalam pengagihan kerjaya.

"Jika Mila sibuk menyanyi, takut nanti tidak dapat memenuhi jadual untuk penggambaran dan akan menimbulkan masalah serta menyusahkan ramai pihak.

"Mila akan berhenti berlakon sekejap, tapi kalau Mila dapat tawaran yang baik selepas ini, Insya Allah Mila akan pertimbangkan," katanya.

Konsert Rhythms

Mila turut mencanangkan warta penglibatannya dengan Konsert Rhythyms yang dianjurkan Matic di Dewan Tunku Abdul Rahman, Jalan Ampang pada 17 hingga 19 Disember ini.

Konsert yang diilhamkan oleh Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen itu bertujuan memberi maklumat kepada orang ramai dan pelancong asing tentang destinasi-destinasi pelancongan yang ada di negara ini.

Konsert tersebut akan memaparkan ekspedisi penerokaan pelancongan tempatan dengan membawa pelbagai tema seperti homestay, taman, seni kontemporari dan festival makanan.

Ia akan disampaikan dalam bentuk pementasan muzikal dan Mila akan memainkan peranan sebagai pelancong dan akan berkongsi kisah pelancongannya bersama audiens yang hadir.


PEMENTASAN berbentuk muzikal bakal dipersembahkan oleh Mila dan para penari Matic pada tanggal 17 hingga 19 Disember ini.


Pengarah Matic, Datin Zaitun Mohd Ali berkata, Mila dipilih berdasarkan imej yang bersih dan contoh yang baik untuk ditonjolkan kepada pelancong-pelancong asing.

"Mila akan memegang peranan sebagai tunjang utama, di mana dia akan bertindak sebagai pelancong dan bercerita mengenai pelancongannya dalam bahasa Inggeris.

"Persembahan selama 45 minit itu akan melibatkan tarian, visual, muzik, nyanyian dan kesan khas. Orang ramai yang berminat boleh mendapatkan tiket secara percuma di Matic," katanya.

Sementara itu, Mila menjelaskan dia sangat berbesar hati kerana diberi kepercayaan untuk turut serta menjayakan konsert tersebut.

"Sebelum ini, Kementerian Pelancongan banyak menyokong artis tempatan untuk membuat persembahan di luar negara.

"Konsert ini turut bertindak sebagai satu mesej dan maklumat kepada pelancong asing yang tidak mempunyai pengetahuan tentang destinasi pelancongan di Malaysia," katanya.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

'Pendatang haram' Jack Dzull

Posted:

'Pendatang haram' Jack Dzull

'Pendatang haram' Jack Dzull

Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM


JACK DZULL muncul dengan album mini berjudul Jack Dzull Rahsiaku yang mengandungi enam buah lagu.


KARIER nyanyiannya mula bertapak apabila menerima tawaran daripada Syarikat Ahmad Taufik, Kampung Baru, Kuala Lumpur awal tahun 80an.

Bukan syarikat yang gah dan terkemuka tetapi sebuah syarikat pembekal alat-alat muzik untuk majlis kenduri kahwin.

Namun, Dzulkifli Jalil, 50, anak kelahiran Klang, Selangor tetap tegar dengan keputusannya untuk melibatkan diri secara serius dalam dunia nyanyian.

Dia akhirnya berjaya merealisasikan impian menjadi seorang penyanyi professional pada awal tahun 80-an selain menubuhkan sebuah kumpulan bernama Headlights.

Sebagai vokalis utama dengan menggunakan nama Jack Dzull - nama yang dipilih daripada drama popular tahun 70-an lakonan Telly Savalas, kumpulan itu hanya sempat hadir dengan sebuah album bertajuk Halilintar.

Kecewa dan bergelumang masalah peribadi, Dzull mengambil keputusan berhijrah ke Indonesia pada tahun 1986.

Di rantau orang, Dzull menyanyi di kelab malam dan Tahiti Lounge di Jakarta menjadi medan ujian pertamanya.

Beliau pernah memasuki pertandingan nyanyian pada 1987 terbitan TVRI Senayan 'Wajah Baru' dan berjaya meraih tempat kedua.

Undangan nyanyian

Sejak itu, karier nyanyiannya mula berkembang dengan memperoleh undangan nyanyian di Jakarta, Bandung dan Jogjakarta, Indonesia diiringi grup Pamber Brothers sebelum mengambil keputusan pulang ke Malaysia pada 1990.

"Sebenarnya, saya ke Indonesia tanpa memberitahu keluarga. Saya sebenarnya terkilan kerana kurang mendapat tempat dalam industri hiburan tempatan.

"Saya yakin ke Indonesia dengan bantuan seorang rakan di sana," katanya membuka cerita.

"Saya juga menyertai pertandingan nyanyian dan mendapat tempat kedua. Tetapi saya sebenarnya ke Indonesia tanpa visa yang sah.

"Visa saya hanya terhad untuk tiga bulan tetapi saya menetap di sana hampir lima tahun. Saya juga menyamar menjadi seorang warga Indonesia untuk memasuki pertandingan nyanyian tersebut," ujarnya yang mula berhadapan masalah selepas dikesan tinggal melebihi tempoh.

"Pihak imigresen Indonesia mula cuba menangkap saya dan mengarahkan saya pulang. Tetapi saya berjaya menyembunyikan diri.

"Semasa itu, hidup semakin sukar sehingga saya pernah diugut dengan pisau diletakkan di leher. Selepas itu saya mengambil keputusan untuk pulang ke tanah air," katanya.

Dzull bersyukur kerana pada tahun 1996, dia telah dipilih oleh Omar Taib selaku Pengarah Muzik Istana Budaya sebagai pemuzik Kombo Kompleks Budaya Negara (Istana Budaya) dan membuat persembahan di Britain, Iran dan Pakistan.

"Saya mengumpul modal dan pada tahun 2008 saya menerbitkan sendiri album single berjudul Andai Kekasih yang berkonsepkan keroncong pop dengan gabungan muzik oleh Mohar (Mohram)," katanya.

Kerana ingin menyesuaikan diri dengan trend muzik kini Dzull merakamkan sebuah lagi lagu berjudul Jack Dzull 'Rahsiaku' yang berkonsepkan genre ska, diiringi kumpulan Gerhana Ska Cinta.

"Selain menghidupkan lagu-lagu etnik Melayu berkonsepkan keroncong saya memasukkan elemen pop dalam lagu untuk lebih segar dan kontemporari.

"Semoga ramai yang mendapat menerima kemunculan saya kembali kerana dunia hiburan ibarat darah daging saya yang telah diceburi selama lebih 30 tahun," katanya penuh pengharapan.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.