Adsense

Rabu, 15 Disember 2010

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


'Sepatutnya dirahsiakan'

Posted: 14 Dec 2010 03:31 PM PST

Hip

Zizan akui pengurusannya memang meletakkan bayaran RM40,000 untuk berlakon Muzikal Tun Mahathir

HATI mana yang tak terkilan apabila perkara yang sepatutnya sulit dan peribadi diumumkan kepada khalayak. Tak kiralah dalam industri apa pun, soal bayaran biasanya rahsia dan ia tidak patut didedahkan, termasuk kepada media.

Apabila syarikat produksi yang bertanggungjawab mementaskan teater muzikal Tun Mahathir, CTRA Productions memberitahu media bahawa pelakon, Zizan Nin menuntut bayaran RM40,000 sebagai habuan untuk membawakan kembali watak mantan Perdana Menteri Malaysia keempat ketika zaman remaja. Bagi Zizan, tindakan itu sebagai keterlaluan dan tidak profesional. Ketika dihubungi HIP, Zizan yang ketika itu sedang menjalani penggambaran di negeri Pahang menjelaskan, pengurusannya iaitu Aquila Emas Sdn Bhd mempunyai alasan untuk menuntut bayaran sedemikian atas dasar ingin menjaga kebajikan artis yang di berada bawah naungannya.

Katanya, kerana mahu membersihkan kembali reputasinya yang tercalar dan tidak mahu ada pihak lain tersalah tafsir disebabkan pendedahan rumah produksi terbabit, syarikat pengurusannya terpaksa membuat sidang media tergempar untuk menjelaskan situasi sebenar.

HIP: Apa reaksi CTRA Productions selepas Zizan membuat kenyataan balas dalam satu sidang media tergempar Jumaat lalu?

Zizan: Sehingga kini selepas mengadakan sidang media tergempar tempoh hari, tiada maklum balas yang diterima daripada mereka. Tapi tak mengapa. Apa yang kami lakukan adalah untuk memberikan jawapan terhadap dakwaan yang saya menuntut bayaran RM40,000. Kami terpaksa berbuat sebegitu supaya pihak lain tidak menganggap saya terlalu 'demanding'.
HIP: Ada mengatakan pengurusan Zizan menuntut bayaran sebanyak RM40,000 sebenarnya disebabkan mereka tidak mahu Zizan berlakon dalam teater itu. Komen sikit.

Zizan: Sebenarnya segala urusan mengenai bayaran diuruskan oleh pihak pengurusan, iaitu Aquila Emas. Berdasarkan apa yang dimaklumkan oleh pengurus saya, Syarizan, dia memang menuntut bayaran sebegitu kerana kecewa apabila CTRA Productions mahu membayar dalam kadar yang sangat tidak setimpal. Bayangkan, takkan pihak pengurusan saya mahu menerima bayaran yang nilainya lebih rendah daripada bayaran sewaktu pementasan kali pertama. Disebabkan CTRA Productions tidak mahu bertolak ansur dari segi bayaran, jadi pihak pengurusan memang sengaja meletakkan harga sebegitu sebagai isyarat bahawa kami menolak tawaran itu dengan cara yang lebih terhormat.

,b>HIP: Bukannya Zizan sengaja menolak untuk kembali berlakon dalam teater itu yang sebelum ini mendapat kritikan daripada pelbagai pihak?

Zizan: Tugas saya sebagai pelakon dan hanya melakonkan apa yang dikehendaki oleh skrip. Apa saja yang berkaitan dengan produksi, itu bukan urusan saya. Jadi ia tak ada kena-mengena dengan dakwaan kononnya sengaja meletakkan harga tinggi kerana tidak mahu berlakon atas alasan teater itu teruk atau sebagainya. Dalam hal ini, saya lihat segala yang berlaku adalah berpunca daripada sikap tidak profesional mereka yang menunjukkan SMS bayaran itu kepada pihak media. Jika mereka tidak berbuat demikian pasti perkara ini tidak berpanjangan.

HIP: Zizan tak rasa kecewa apabila terlepas peluang untuk berlakon sebagai watak Tun Mahathir sewaktu muda?

Zizan: Tidak. Saya anggap rezeki ada di mana-mana. Selepas cerita yang saya tidak jadi berlakon dalam teater itu disiarkan dalam media, ada banyak pihak menawarkan berlakon dalam produksi mereka. Cuma apa yang membuat saya kecewa adalah apabila pihak produksi terbabit seolah-olah tidak menghargai komitmen yang saya tunjukkan sebelum ini. Tapi tak mengapa, perkara ini tidak menjadikan saya serik untuk berlakon teater pada masa akan datang.

Daripada RM15,000 kepada RM12,000

HIP: Apa yang membuatkan Syarizan mengambil keputusan untuk tidak menerima tawaran itu?

Syarizan: Sebenarnya ada beberapa perkara yang pihak kami tidak puas hati dengan CTRA Productions. Saya ada bertemu dengan penerbitnya, Siti Rohaya Attan atau Kak Roy sebelum ini tapi perbincangan itu hanyalah berkaitan dengan soal jadual Zizan dan tidak menyentuh soal langsung. Bagaimanapun, sehari sebelum sidang media Muzikal Tun Mahathir, saya menerima kiriman SMS daripada Kak Roy yang antara isi kandungannya ialah; "Tahniah! Anda dipilih menjayakan pementasan Muzikal Tun Mahathir musim kedua". Saya ingat kiriman itu dikhususkan kepada ensemble, tetapi rupa-rupanya tidak. Mengapa perlu SMS sebegitu? Entah mengapa, Kak Roy memang suka berurusan secara SMS. Saya tidak tahu apakah kerana dia terlalu sibuk untuk membincangkan perkara ini di telefon? Kemuncak yang membuatkan saya rasa Zizan tidak perlu berlakon dalam teater itu apabila mereka menawarkan bayaran jauh lebih rendah daripada apa yang Zizan peroleh pada pementasan pertama. Saya terkejut apabila Kak Roy mengatakan mereka mahu membayar Zizan sebanyak RM12,000. Nilai itu lebih rendah dari apa yang diperolehnya sebelum ini iaitu RM15,000.

Lebih mengecewakan apabila mereka langsung tidak mahu berbincang soal bayaran. Kalau mereka letak RM20,00 pun saya masih boleh terima. Ini seolah-olah bayaran sebanyak RM12,000 itu muktamad.

Ini adalah pementasan kedua dan saya difahamkan ada banyak penaja. Jadi mengapa mereka perlu berkira dalam soal bayaran? Apabila mereka bertanyakan berapakah bayaran yang saya mahukan, saya terus letak RM40,000 supaya mereka faham yang kami tidak berminat untuk meneruskan kerjasama ini. Itu tidak termasuk soal royalti lain apabila mereka menjual cakera padat yang memuatkan nyanyian Zizan serta gambarnya. Perkara ini turut dipertikaikan Zizan kerana itu adalah haknya sebagai artis.

HIP: Jadi apa tindakan Syarizan selepas ini?

Syarizan: Tiada apa-apa tindakan. Saya sekadar mahu menjelaskan keadaan sebenar. Saya ada terbaca yang pihak berkenaan tidak puas hati apabila kami mendedahkan soal kontrak. Tapi saya buat semua ini hanya selepas mereka sendiri yang tidak profesional dengan mendedahkan soal bayaran kepada media. Pada saya tak perlulah nak bangkitkan soal perjuangan kalau mereka sendiri tidak faham semangat perjuangan yang dimaksudkan oleh Tun sendiri. Saya bertindak sebegini adalah untuk mempertahankan hak artis di bawah naungan saya. Itu saja.


Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Khidmat KP FINAS dilanjutkan

Posted: 14 Dec 2010 03:16 PM PST

Hip

pix_gal0
Menteri mahu tempoh perkhidmatan disambung tiga bulan lagi

KHIDMAT Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Mohd Mahyidin Mustakim yang akan tamat pada bulan ini, akan dilanjutkan selama tiga bulan lagi.

Ini memberi petanda kemungkinan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim masih belum menemui sesuai untuk mengisi jawatan itu sekiranya ia dikosongkan oleh Mohd Mahyidin. Perkhidmatan Mohd Mahyidin sebagai Ketua Pengarah sepatutnya sudah tamat pada Julai lalu, tetapi di atas arahan Dr Rais, tempoh jawatan itu dilanjutkan secara kontrak daripada Ogos sehingga akhir tahun ini.

Dan, dengan perkembangan terbaru ini, Mohd Mahyidin akan terus memegang jawatan Ketua Pengarah FINAS sehingga Mac 2011.

Menurut sumber daripada pejabat kementerian berkenaan, Dr Rais sudah mengarahkan Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Kamaruddin Siaraf untuk menyediakan surat cadangan melanjutkan tempoh perkhidmatan Mohd Mahyidin.

"Menteri yang mahu tempoh perkhidmatan Ketua Pengarah FINAS sekarang dilanjutkan tiga bulan lagi. Bagaimanapun, beliau kemudian mengarahkan KSU menyediakan satu surat yang mencadangkan lanjutan perkhidmatan itu. Menteri hanya menandatangani sahaja.
"Kami tidak pasti samada KSU sudah menyiapkan surat cadangan seperti yang diarahkan oleh menteri," katanya kepada HIP.

Setakat ini, siapa Ketua Pengarah FINAS yang baru masih terus menjadi tanda tanya di kalangan penggiat industri perfileman.

Ahmad Idham adalah antara calon yang dikatakan hampir pasti dipilih untuk berkhidmat sebagai Ketua Pengarah FINAS.

Malahan, difahamkan, surat perlantikan Ahmad Idham untuk memegang jawatan itu sudah dikeluarkan oleh KSU kementerian dan hanya menunggu tanda tangan pengesahan daripada Dr Rais sahaja.

Bagaimanapun, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan yang pada mulanya sudah menyatakan persetujuan dengan perlantikan itu, tiba-tiba dikatakan berubah fikiran menyebabkan kedudukan sebenar siapa penyandang Ketua Pengarah FINAS sehingga sekarang masih tergantung.

Selepas itu, ada ura-ura mengatakan Naib Presiden (Dasar & Strategi Industri Kreatif) Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDec), Ahmad Kamil Othman adalah calon yang disebut-sebut sebagai Ketua Pengarah FINAS yang baru. Namun, Ahmad Kamil dikatakan tidak berminat dengan jawatan kerana mahu menumpukan tugas dan tanggungjawabnya di MDec.

Kedudukan Ketua Pengarah FINAS yang kabur dianggap menyusahkan penggiat industri filem untuk mengetahui hala tuju dan pembangunan filem pada waktu ini.

Seorang penggiat industri perfileman yang aktif ketika diminta mengulas perkara ini mengatakan, secara umumnya, sesiapa pun yang memegang jawatan Ketua Pengarah FINAS akan disambut baik, cuma yang penting ialah bagaimana individu berkenaan dapat menangani pembangunan dan masalah dalam sektor perfileman ini.

"Tidak apalah kalau menteri hendak lanjutkan Mohd Mahyidin selama tiga bulan lagi. Tapi apalah sangat yang boleh dibuat oleh seorang Ketua Pengarah kalau tempoh jawatannya hanya tiga bulan sahaja? Dalam tempoh lanjutan perkhidmatan sebelum ini pun, tidak banyak tugas dan perancangan yang cukup jelas dapat dibuat oleh Ketua Pengarah FINAS sekarang.

"Pada hal, industri filem sekarang ada macam-macam isu yang perlu ditangani dengan lebih tegas, menyeluruh dan berkesan.

"Misalnya, yang terbaru ialah isu duti hiburan. Ini tanggungjawab kementerian dan FINAS. Isu duti hiburan ini perlu diatasi dengan satu pelan tindakan yang serius, teliti dan terancang dan ia mungkin mengambil masa. Siapa lagi yang hendak uruskan kalau bukan FINAS. Tapi masalahnya, kedudukan pegawai nombor satu di FINAS masih terumbang-ambing.

"Sudah tiba masanya Datuk Seri Dr Rais Yatim membuat pertimbangan dan keputusan yang cepat dalam soal perlantikan Ketua Pengarah FINAS yang baru ini," katanya yang aktif mengarah dan menerbitkan filem.


Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.