Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Padi sahabat Upin, IpinLUNCUR bicara Fadly, vokalis Padi dalam senyum berbunga kepuasan. Menjelaskan tugas lagu Sahabat Selamanya, lagu tersebut dianggap salah satu alternatif damai dua negara. Petahnya terkandung isi, umpama padi yang sedang menunduk ke bumi. "Kami percaya bahawa setiap lagu itu mempunyai kakinya sendiri. "Tinggal dia sendiri untuk berjalan dan melangkah hingga terhenti. Begitu juga perjalanan lagu Sahabat Selamanya yang dibikin atas dasar tanggungjawab terhadap kanak-kanak dan jambatan kepada dua buah negara, Malaysia dan Indonesia." Medium yang dicapai oleh grup yang ditubuhkan pada tahun 1997 ini tepat dengan profesionalisme mereka. Tidak perlu berkata-kata panjang penuh khutbah untuk menyampaikan mesej pengamanan. Cukup dengan sebuah lagu dengan melodi pantas menangkap telinga bersalut lirik yang cukup jelas, Padi memikul tugasan tersendiri melalui Sahabat Selamanya. Grup Padi mengenggam tampuk serpihan tanggungjawab, memberi cahaya dan menerobos gelap yang pernah terjadi antara jalinan persahabatan hubungan Malaysia dan Indonesia. Isu tarian pendet dan pulau mengeruhkan suasana dan menjadi titik kepada permusuhan yang sewajarnya tidak perlu terjadi. Memahami dunia kanak-kanak Berlandaskan populariti karakter animasi Upin dan Ipin yang popular di Malaysia dan Indonesia, lagu Sahabat Selamanya menjadi tiket perdamaian. PADI memiliki nama besar di Indonesia, namun mereka tidak meninggi diri dan tiada halangan untuk bekerja sama dengan karakter animasi popular Malaysia, Upin dan Ipin. Bukan hanya fenomena di tanah kelahiran sendiri, Upin dan Ipin menjadi idola buat kanak-kanak di Indonesia bahkan kekaguman buat anak pencipta lagu tersebut, Fadly atau nama sebenarnya Andi Fadly Arifuddin. "Proses penulisan lirik ini sederhana dengan saya membayangkan dunia anak-anak yang tidak pernah ada permusuhan. "Malah anak-anak itu punya dunia sendiri, anak-anak itu punya dunia bermain dan tidak pernah mahu terjebak dalam pergaduhan. "Ternyata mereka benar-benar menghargai erti sahabat. Itu inti kepada penulisan lagu tersebut,"jelasnya yang semakin jelak melihat anak-anak kecil menyanyikan lagu dewasa yang berisi mesej cinta dan kecurangan. Menganggap ini sebuah tanggungjawab dalam menyampaikan pesan, Fadly mengambil inisiatif menyiapkan lagu tersebut dalam durasi 10 hari selepas didesak anaknya yang juga peminat karakter animasi tersebut. "Lagu ini untuk perdamaian. Juga sebuah lagu yang mencerminkan tanggungjawab kami dalam memperbanyakkan lagi lagu-lagu kanak-kanak. "Mereka tidak sepatutnya hanya pandai menyanyikan lagu yang berunsur cinta, curang atau teman satu malam. "Malah kami, Padi berasa bertuah dipilih menyanyikan sebuah lagu yang dibikin sebagai usaha meredakan ketegangan dua negara yang berjiran," senyumnya lagi dalam susun atur kata menjelaskan misi serampang dua mata Sahabat Selamanya. Menjambat salam ukhuwah penuh ikhlas, Padi menampilkan dua personelnya, Fadly dan Rindra dalam acara pelancaran lagu tersebut di pejabat Les' Copaque, Shah Alam minggu lalu. Dihambat kesibukan peribadi, dua anggota yang merupakan vokalis dan pemain bass ini menjadi wakil kepada kumpulan Padi yang terkenal dengan lagu Kasih Tak Sampai dan Menanti Sebuah Jawaban. Sembilan buah lagu Bukan pertama kali menulis lagu yang menjurus kepada anak-anak. Sebelum ini Fadly pernah menulis lagu Cahaya Mata dan Piyu, sang gitaris pernah membikin lagu Harmony yang merupakan dedikasi kepada anak-anak, teduhan jiwa mereka. Perjuangan ini bakal diteruskan dengan penghasilan sembilan buah lagu lagi untuk melengkap sebuah album kanak-kanak yang bakal diterbitkan oleh Sony Music. KOLABORASI dua negara. Dari kiri, Upin, Fadly, Rindra dan Ipin teruja menjalinkan kerjasama yang erat. "Itu cabaran terbaru kami. Untuk menyiapkan sembilan buah lagu lagi buat penghayatan kanak-kanak bertemakan cerita Upin dan Ipin yang mempunyai pesan terkandung etika dan moral. "Itu tugas kita sebagai manusia dan orang tua. Ternyata salah satu hutang kami atas tugasan itu sudah dilunasi dan cuma perlu menyiapkan sebahagian lagi," ujar Rindra menyatakan sebuah kolaborasi murni antara Padi, Sony Music dan Les Copaque. "Masih dalam proses awal pembikinan lagu. Paling sukar ialah untuk berbicara dalam bahasa kanak-kanak agar mereka memahami isi yang mahu disampaikan. "Setiap hari mereka melihat keajaiban, bertemu suatu perkara baru yang bagi kita adalah perkara biasa. Itu juga satu cabaran," ujar Fadly yang sudah bergiat dengan lagu kanak-kanak sejak tiga tahun lalu. "Ini adalah sebahagian mimpi Padi yang belum terlaksana. Kita teruja mahu merealisasikan mimpi ini. Mahu jadi seperti The Beatles, Coldplay dan Weezer yang pernah menulis lagu kanak-kanak. Ini bukan satu hal yang aneh," Rindra menjelaskan sudut pandangnya. Berdiam bukan bubar Seakan sepi sebentar berita tentang grup yang digawangi Fadly, Piyu, Ari, Rindra dan Yoyo ini daripada telinga peminat di Malaysia. Kali terakhir mereka mendatangi Kuala Lumpur untuk Pesta Malam Indonesia setahun yang lalu. Kali terakhir juga mereka menghadiahkan buah tangan berisi 10 lagu melalui album Tak Hanya Diam pada penghujung tahun 2007. Diam tak diam, dua tahun masa yang lama untuk dinanti untuk mereka keluar dengan halwa telinga baru. Salam kerinduan dibalas dengan single Terbakar Cemburu tetapi mereka kembali seakan memeluk tubuh berdiam diri dengan hambatan tugasan masing-masing. "Sekarang Padi senyap selama enam bulan. Masing-masing sibuk dengan hal sendiri. Dalam masa yang sama kami turut mengumpulkan material untuk album selanjutnya," terang Fadly seraya mengingatkan kembali resam grup ini yang hanya muncul dengan album baru pada setiap dua tahun. "Tiada istilah bubar. Padi akan muncul dengan album baru dalam jangka dua tahun dan kemudian diam lagi," terang Rindra. Seraya mengingatkan kembali pada tahun 1999, Padi melancarkan album perdana Lain Dunia yang penuh peluru berupa lagu-lagu hit, Begitu Indah, Mahadewi dan Sobat. KOMBINASI Padi bersama Upin dan Ipin pasti menjadi berita gembira buat peminat-peminat mereka. Berikutnya Padi yang muncul konsisten melepaskan album-album yang padat mutu seperti Sesuatu yang Tertunda (2001), Save My Soul (2003), Padi (2004) dan Tak Hanya Diam (2007). Tegas dengan prinsip dan resam ciptaan mereka, yang jelas setiap hasil penciptaan grup ini menjadi penantian peminat-peminat mereka yang digelar Sobatpadi. Bukan durasi berdiam diri yang dipersoalkan, cuma kerinduan menyedut udara segar ritma mereka yang mahu diubatkan. | ||
Jim Carrey tidak kisah turun harga Posted: Jim Carrey tidak kisah turun harga
MESKIPUN pernah meraih bayaran mencecah AS$20 juta (RM64 juta) untuk sebuah filem lakonannya, namun pelakon Jim Carrey tidak kisah bayaran lakonannya dikurangkan semata-mata mahu berlakon filem I Love You Phillip Morris. Dalam filem yang diangkat berdasarkan sebuah kisah benar itu, dia memegang watak sebagai Steven Jay Russell seorang penipu yang telah dipenjara dan kemudian jatuh cinta kepada rakan sepenjaranya, Phillip Morris yang dilakonkan oleh Ewan McGregor. Jim bersetuju untuk berlakon dalam filem yang hanya menelan belanja sekitar RM45 juta itu kerana tertarik dengan jalan cerita dalam filem tersebut dan tidak kisah menerima bayaran rendah. "Saya langsung tidak pernah memikirkan tentang soal bayaran. Saya bersetuju untuk berlakon dalam filem ini kerana ia sebuah cerita yang cukup menarik dan suka dengan watak sebagai Steven Jay Russell. "Lagipun, apa yang dipaparkan dalam cerita berkenaan adalah mengenai kisah cinta sesama jenis yang cukup unik dan saya sendiri telah berjaya menjiwai watak tersebut dengan baik," ujarnya. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |