Berita Harian: Hip |
Posted: 05 Dec 2010 04:11 PM PST Hip Amber Chia kongsi petua selepas lahirkan anak sulungKEHADIRANNYA ke majlis pelancaran aksesori rantai tangan jenama Pandora yang berlangsung di pusat beli-belah Bangsar Village 2, pagi Khamis lalu mencuri tumpuan ramai. Mana tidaknya, hanya selepas sebulan melahirkan cahaya mata lelaki yang diberi nama Ashton Wong, supermodel ini sudah berjaya mengembalikan bentuk badannya yang asal. Malah, wajahnya tampak berseri-seri, begitu juga naluri keibuan yang semakin terserlah. Tentunya ramai yang tertanya-tanya, apakah rahsia Amber Chia sehinggakan tubuhnya yang baru-baru ini berisi kerana berbadan dua itu kini kembali langsing dan lebih bergaya. Bersembang dengan Amber sejurus acara itu berakhir, model serta pelakon ini tidak lokek berkongsi petua. Katanya, selain mendapatkan khidmat pakar daripada pusat pelangsingan badan, dia juga begitu menjaga dan berhati-hati dalam soal pemakanan harian."Sewaktu berpantang, saya lebih banyak makan roti dan lebihkan sayur-sayuran. Walaupun ramai yang menyarankan dalam masa berpantang ini saya mengambil lebih banyak karbohidrat, tapi saya cuba mengelaknya. "Ditambah rawatan selepas bersalin di sebuah pusat pelangsingan badan yang menaja saya sewaktu saya hamil lagi, impian untuk kembali kurus tercapai," katanya dalam nada teruja. Bukan saja soal pemakanan yang diberikan perhatian, malah Amber juga mengamalkan pemberian susu badan kepada bayi sulungnya itu sebagai satu cara untuk mengurangkan berat badan. Walaupun kehidupannya agak moden, namun kata personaliti ini, dia masih mengikut pantang larang yang diamalkan oleh masyarakat Cina. "Sepanjang berpantang, saya dijaga oleh ibu dan juga ibu mentua. Jadi secara tidak langsung, ada juga pantang larang yang saya harus ikuti. Antaranya saya dilarang untuk memuji anak sendiri sebagai seorang budak yang bijak atau kacak kerana tidak mahu apabila dia besar nanti, ia tidak berlaku seperti yang diharapkan. "Saya tidak kisah untuk mematuhi semua pantang larang itu asalkan ia membawa kebaikan dalam kehidupan kami sekeluarga," ujarnya. Bercerita mengenai buah hati pengarang jantungnya, Amber bersyukur kerana Ashton bukanlah seorang bayi yang cerewet atau banyak kerenah. "Ashton bayi yang baik dan senang untuk dijaga. Dia hanya akan menangis apabila lapar dan sewaktu lampin dipakainya basah. "Saya juga kini berasa seperti seorang ibu yang cukup profesional. Jika satu ketika dulu saya tidak tahu pun bagaimana hendak menukar lampin bayi, tapi kini saya sudah pakar malah cukup seronok melakukan semua tugas berkenaan," katanya sambil menguntumkan senyuman. Tak sanggup berjauhan SEBELUM berumah tangga dan mempunyai anak, tidak dinafikan, Amber memang seorang yang cukup aktif. Demi tuntutan kerjaya sebagai seorang model, dia sanggup terbang walau ke mana saja. Pendek kata, jarang sekali Amber melekat di rumah. Namun sejak kehadiran Ashton, Amber akui dia agak keberatan untuk meninggalkan anaknya bagi tempoh yang lama. "Keluar bekerja sekejap saja pun saya sudah merinduinya, inikan pula bila saya terpaksa berjauhan dengannya kerana ke luar negara. Jadi, walaupun ada tawaran sedemikian, saya terpaksa menolaknya kerana tak sanggup untuk berpisah lama-lama dengannya," kata Amber. Ditanya apakah dia akan memberikan restu seandainya suatu hari nanti Ashton memilih untuk cenderung dalam bidang seni dan mengikut jejak langkahnya, Amber berkata dia tetap menyokong apa saja kehendak buah hatinya itu. "Tapi saya lihat Ashton memang suka apabila ada orang mengambil gambarnya. Mungkin disebabkan sejak saya hamil lagi, saya tidak henti-henti menjalani sesi fotografi, maka secara tidak langsung minat untuk bergambar wujud dalam dirinya. Kalau betul dia mahu cenderung dalam bidang seni dan menjadi model, saya akan memberikan sepenuh galakan. "Begitu juga jika dia lebih berminat dalam bidang perniagaan atau bidang lain, sebagai ibu, saya tetap akan menyokong apa saja kehendaknya asalkan ia memberi kebaikan pada masa depannya," kata wanita yang turut bergelar pelakon ini. Terdahulu, Amber bersama tiga selebriti lain, Sazzy Falak, Julia Ziegler dan Daphne Iking, dipilih untuk menggayakan rantai tangan Pandora yang dipasarkan secara eksklusif oleh pengeluar barang kemas terkemuka, Habib Jewels. Majlis pelancaran disempurnakan isteri Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, Tengku Datin Seri Marsilla Tengku Abdullah. |
Posted: 05 Dec 2010 03:48 PM PST Hip Saluran AlHijrah tampil konsep, program berbezaSTESEN televisyen berkonsep keislaman, AlHijrah, yang memulakan siaran pada 1 November lalu akan memperluaskan lagi siarannya pada 7 Disember ini apabila ia dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Pada sidang media mengenai pengumuman pelancaran stesen berkenaan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom turut memaklumkan pengurusan stesen berkenaan kini dalam perbincangan dengan Astro untuk membolehkan AlHijrah turut disenaraikan dalam perkhidmatannya. Katanya, jika perbincangan itu berjalan lancar, pelanggan Astro boleh menikmati program siaran saluran AlHijrah pada selewat-lewatnya tahun depan. Bagaimanapun, AlHijrah sedang memohon supaya disegerakan proses berkenaan berikutan permintaan tinggi daripada penonton."Kami menerima banyak pertanyaan daripada orang ramai yang ternanti-nantikan saluran AlHijrah di Astro. Kami memang sedang memohon daripada pihak terbabit supaya perkhidmatan itu disegerakan, memandangkan Astro berkata ia hanya akan dimulakan tahun depan," katanya. Stesen yang dilancarkan pada 1 November lalu dengan kos permulaan sebanyak RM30 juta akan dilancarkan secara rasmi oleh Najib di Pusat Penyiaran Digital TV Alhijrah, jam 8 malam. Tarikh berkenaan dipilih bersempena dengan sambutan Maal Hijrah yang mempunyai kaitan dengan nama saluran itu sendiri. Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TV berkenaan, Bukhari Che Muda, menangkis tanggapan stesen itu meniru konsep sebuah lagi saluran keislaman, Oasis, yang terlebih dulu menemui penonton tanah air. "Kami tidak melihat AlHijrah mempunyai persamaan dengan mana-mana stesen yang ada sekarang termasuklah stesen milik Astro. AlHijrah mempunyai konsepnya yang tersendiri kerana kami mengemukakan program berbentuk Islam sepenuhnya. "Kandungan yang ditawarkan juga jelas sekali berbeza, tidak terhad kepada ceramah, kapsul, azan ataupun zikir semata-mata. Sebaliknya konsep Islam diterapkan kepada pelbagai jenis program yang kami tawarkan, termasuklah program masakan dan tidak ketinggalan animasi," katanya. Menurut Bukhari, animasi ialah segmen penting yang perlu ada pada setiap stesen televisyen. Cuma bezanya, animasi yang diketengahkan oleh AlHijrah berkonsep keislaman. Antara animasi yang akan diperkenalkan pula berjudul Pada Suatu Masa terbitan Les Copaque. Selain itu mereka juga akan membeli beberapa animasi daripada negara Arab. "Tidak ketinggalan juga program hiburan berkonsepkan keislaman, yang akan turut diperkenalkan di stesen kami," kata Bukhari. Beberapa program terbitan dalaman yang akan diperkenalkan bermula bulan ini dibahagikan kepada beberapa kategori. Rancangan berbentuk majalah akan mengetengahkan program Majalah Islam yang memaparkan kisah mengenai masyarakat Islam, alam persekitaran, lokasi dan isu semasa dari perspektif Islam. Nota Al Zahra pula akan menonjolkan topik kewanitaan sama ada secara perseorangan atau kumpulan yang memperkatakan mengenai kejayaan serta kepakaran yang dikuasai golongan wanita. Menu Alam pula akan membawa penonton ke seluruh pelusuk negara, dalam mencari masakan Melayu. Rancangan ini akan menyajikan banyak hidangan masyarakat Melayu, di samping menyingkap destinasi tarikan pelancong. Manakala Ejen Halal ialah sebuah program kerjasama dengan bahagian halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang akan memberi informasi kepada penonton mengenai produk halal serta syarat untuk mendapatkan sijil pengesahan daripada pihak berkuasa. AlHijrah juga akan memaparkan rancangan berbentuk bual bicara seperti Bicara dan Assalamualaikum. Tidak ketinggalan, penonton akan disajikan dengan berita semasa menerusi Berita AlHijrah. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |