Adsense

Jumaat, 31 Disember 2010

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Maher mungkir janji?

Posted: 30 Dec 2010 02:28 PM PST

Hip

Penyanyi kelahiran Lubnan anggap Malaysia sudah jadi rumah kedua

SEJAK namanya mendaki puncak populariti, penyanyi kelahiran Lubnan ini tak henti-henti dilanda dugaan. Dengan imej bersih yang dibawanya ditambah lagu bercorak keislaman yang disajikan kepada peminat membuatkan banyak mata yang memerhati.

Dan disebabkan itu maka si empunya diri terpaksa berhati-hati mengatur langkah.Namun dalam sentiasa berjaga-jaga itu, timbul juga cerita kurang enak mengenai penyanyi ini. Khabarnya, penyanyi yang terkenal dengan lagu Insya-Allah, mungkir janji apabila gagal menghadirkan diri dalam sebuah program bual bicara terbitan TV9, Nasi Lemak Kopi O yang bersiaran Ahad lalu.
Maher dikatakan tidak muncul sehinggalah program itu selesai walaupun dikatakan sudah berjanji untuk menyertai program itu. Bukan itu saja, dakwaan lain yang kedengaran adalah Maher juga dilabelkan sebagai seorang yang lebih memandang kepada wang atau keuntungan apabila memilih untuk membuat persembahan di Malaysia.

Bayangkan dalam masa tidak sampai dua bulan, penyanyi dan juga komposer sensasi kembali ke sini untuk mengadakan persembahan. Apakah Malaysia menjadi lubuk duit buat Maher sehinggakan dia kerap datang ke sini? Dan penganjuran sebuah lagi konsertnya yang bakal diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam Februari depan seolah-olah mengukuhkan lagi dakwaan itu.

Apakah benar Maher kini sudah berubah sikap disebabkan populariti yang dikecapinya ketika ini? Apakah kata-katanya sebelum ini yang ingin menyebarkan mesej positif kepada penggemarnya sekadar sebuah retorik semata-mata?
Bertemu penyanyi ini ketika dia mengadakan sidang akhbar untuk mengumumkan konsert Maher Zain Live In Concert 2011 di Menara Kuala Lumpur, petang Rabu lalu, memberi peluang kepada pihak media mendengar sendiri jawapan yang dikeluarkan daripada bibirnya itu.

Sebagai seorang yang percaya kepada segala takdir dan ketentuan tuhan, Maher begitu tenang berdepan dengan soalan panas yang diajukan media terhadapnya. Tidak sedikit pun riak wajahnya berubah. Malah, segaris senyuman terus terukir di wajahnya.

"Berkenaan soal tidak hadir untuk program terbitan TV9 itu apa yang boleh saya katakan, ia adalah masalah komunikasi serta silap faham antara stesen televisyen dan pihak pengurusan.

"Bagaimanapun, pihak kami sudah pun bertemu dengan mereka dan saya anggap perkara ini sudah selesai. Tidak timbul soal tidak berdisiplin ataupun saya berubah sikap dalam hal ini," katanya menjelaskan keadaan sebenar.

Mengenai dakwaan bermata duitan kerana kerap membuat persembahan di Malaysia, Maher sekali lagi menafikan tuduhan nakal itu.

"Semua dakwaan itu tidak benar. Mungkin orang menganggap apa yang saya katakan ini hanya alasan saja. Saya boleh menipu anda dan peminat dengan mengatakan saya tidak seperti yang didakwa, tetapi saya tidak boleh menipu Tuhan. Saya tidak pernah menggunakan populariti saya untuk mengejar kebendaan.

"Seperti yang saya katakan sebelum ini, apa yang saya lakukan ini adalah kerana begitu minat dengan dunia nyanyian dan kekerapan datang ke Malaysia kerana negara ini umpama rumah kedua saya. Saya seronok dengan situasi di sini serta layanan yang diberikan peminat. Jika tidak, masakan hampir 900 ribu peminat dalam senarai Facebook saya kebanyakannya dari Malaysia.

"Mereka ikhlas meminati saya dan apa saya dapati, mereka ini juga turut mempertahankan hasil karya saya. Malah dalam Facebook saya, mereka sentiasa mengemaskini data atau apa-apa saja berita mengenai album saya. Contohnya jika ada album saya dicetak rompak, mereka akan memaklumkannya kepada saya menerusi Facebook," katanya yang mempunyai 1.6 juta peminat dalam laman sosialnya itu.

Selain popular di laman sosial, Maher juga berada dalam carta teratas dalam enjin pencarian Google. Mengulas perkara itu, Maher berkata apa yang berlaku itu adalah satu rahmat daripada tuhan.

"Saya bersyukur dengan apa yang dikurniakan tuhan terhadap saya. Jika itu membuktikan saya popular, saya amat bersyukur atas segala rahmat Tuhan ke atas saya selama ini," ujarnya ringkas.

Konsert dua malam berturut-turut

MAHER akan kembali dengan Maher Zain Live In Concert 2011 yang dijadualkan berlangsung pada di Stadium Malawayi, Shah Alam apda 25 dan 26 Februari depan.
Mengulas konsertnya itu, Maher enggan bercerita dengan lebih lanjut dan lebih selesa menjadikan ia satu kejutan kepada peminat tegarnya.

"Saya akan menyanyi semua lagu popular termasuk lagu baru yang akan dimuatkan dalam album kedua. Nyanyian saya juga akan diiringi pemuzik dari Malaysia dan Mesir. Selain itu saya juga akan mengundang penyanyi popular dari negara lain seperti Mesus Kurtis dari Macedonia, Irfan Makki dari Kanada dan kumpulan Inteam.

"Jika dalam showcase sebelum ini tidak banyak berkomunikasi dengan peminat. Jadi dalam konsert akan datang nanti, saya lebih banyak berinteraksi dengan mereka. Saya tidak sabar beraksi di Stadium Malawati selama dua malam berturut-turut," katanya yang juga sedang sibuk mencari material untuk album keduanya.

Sementara itu, wakil penganjur, Muhammad Hazamin Harun dari Inteam Records menjelaskan tujuan mereka mengadakan persembahan dua malam berturut-turut itu adalah untuk memberi peluang kepada peminat Maher di Pantai Timur sama-sama menyaksikan konsert itu.

"Tarikh 25 Februari itu dipilih untuk memudahkan peminat Maher di Pantai Timur yang bercuti pada hari Jumaat dan Sabtu untuk sama-sama memeriahkan konsert itu. Manakala 26hb adalah peminat yang bercuti pada hari Sabtu dan Ahad.
"Harga tiket adalah dalam anggaran RM50 hingga RM290. Untuk maklumat lanjut mengenai penjualan tiket, bolehlah melayari laman web www.inteam.com.my," katanya.


Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Di mana tudung Lydiawati?

Posted: 30 Dec 2010 02:12 PM PST

Hip

Lydiawati

Lydiawati

Pelakon ini mengenakan skaf jaring penuhi tawaran berlakon

KELIBAT Lydiawati yang tampil dengan skaf jaring rona putih dan bergaya ranggi dengan seluar jeans ketika menghadiri majlis sidang media pelancaran drama Ustaz Amirul, mengundang perhatian.

Penampilan pelakon berusia 47 tahun itu kelihatan berbeza benar dengan gayanya sebelum ini yang bertudung litup. Serta merta pelbagai soalan menerjah di benar fikiran, malah tidak sabar rasanya untuk dilontarkan kepada pelakon yang pernah digandingkan dengan Rosyam Nor dalam filem Suami, Isteri dan .... itu. Ke manakah pergi tudungnya? Adakah Lydiawati atau nama sebenarnya Salina Zaimon mengubah penampilan akibat kegagalan rumah tangga dengan lelaki bergelar datuk kira-kira setahun lalu.

Dengan penuh hati-hati, ayat disusun agar pelakon ini tidak tersinggung. Kebimbangan segera pudar apabila ibu kepada dua cahaya mata itu menjawab pertanyaan yang dilontarkan dengan senyuman.

Dia berpakaian sedemikian kerana membawa karakter ibu kepada pelakon Shaheizy Sam untuk filem terbaru arahan Ahmad Idham berjudul 8 Jam yang kini sedang rancak menjalani penggambaran di Chow Kit.

Malah ketika di temu bual ini, dia bersama seorang lagi pelakon wanita yang juga sudah lama berkecimpung dalam dunia lakonan iaitu Kuna terus bergegas ke lokasi penggambaran.
Katanya, apa saja yang ingin diperkatakan orang terhadap dirinya, itu hak masing-masing. Yang penting, Tuhan mengetahui niatnya.

"Saya tidak peduli apa pun yang orang ingin perkataan mengenai penampilan saya. Bagi saya, hati budi manusia tidak seharusnya diukur dari penampilan seseorang kerana pokok pangkal adalah hati kita. Terpulanglah apa orang nak cakap, yang penting saya tahu apa yang saya buat dan tuhan juga tahu saya lakukan semua ini kerana mencari rezeki yang halal.

"Sebagai manusia kita tidak boleh cepat menilai kerana tentu ada sebab kenapa seseorang itu buat sesuatu. Ketika filem ini ditawarkan kepada saya, Ahmad Idham bertanya terlebih dulu sama ada saya sanggup ubah penampilan atau tidak. Bagi saya ia tidak mendatangkan masalah kerana saya buat disebabkan kerja.

"Saya bergaya begini bukan disebabkan kegagalan rumah tangga kerana gaya ini hanyalah untuk sementara waktu. Selepas ini saya akan kembali dengan imej dulu, mengikut trend semasa," kata Lydiawati yang turut memegang watak seorang ibu dalam drama bersiri Ustaz Amirul yang akan menemui penonton pada 7 Januari depan.

Seiring usianya, aktres yang hampir empat tahun menyepi dari sebarang aktiviti seni ini berkata, dia harus akur dengan watak-watak yang diberikan memandangkan usianya kini tidak lagi muda.

Katanya, dia menerima apa saja tawaran asalkan mendatang rezeki supaya dapat membesarkan dua cahaya mata yang sedang membesar iaitu Nor Munira, 25 , dan Puteri Batrisya, 8 tahun.

Sebelum ini dia terpaksa membataskan aktiviti seninya kerana anak-anak masih kecil. Oleh kerana anak sulungnya kini boleh diharapkan, Lydiawati berasa lebih lega untuk keluar mencari rezeki.

"Saya tidak pernah berhenti berlakon tetapi hanya berehat seketika kerana ketika itu anak-anak masih kecil. Selain membesarkan anak-anak, saya juga berehat kerana menuntut ilmu. Sebagai manusia, saya juga ada kekurangan. Sepanjang empat tahun berehat saya gunakan kesempatan itu mengikuti kelas pengajian al-Quran bersama dengan anak-anak sekali.

"Disebabkan anak-anak sudah boleh berdikari, saya kembali aktif sejak hujung tahun lalu. Setakat ini alhamdulillah, rezeki belum pernah putus. bagaimanapun, pada usia begini saya mengakui tidak boleh terlalu memilih. Lagipun pada usia sekarang, hanya watak ibu saja yang sesuai untuk saya," katanya yang mengakui gembira dengan kehidupan dilalui sekarang.


Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.