Adsense

Rabu, 24 November 2010

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Warna hidup Umie Aida

Posted:

Warna hidup Umie Aida

Warna hidup Umie Aida

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar IZHAM JAAFAR


HEBAT... Aksi Umie Aida sebagai Che Aminah dalam pementasan teater Natrah tahun lalu.


MELIHAT Datin Paduka Umi Khalsum Rahmad Ali menyarungkan busana indah rekaan Salikin Sidek pada sesi fotografi tengah hari itu, terpancar jelas identiti wanita Melayu klasik yang selama ini dilabelkan kepadanya.

Memang sengaja mahu aktres ternama yang terkenal dengan nama komersial, Umie Aida ini berpakaian tradisional dalam sesi fotografi kali ini. Semuanya kerana mahu memberi kelainan untuk sesi fotografi.

Untungnya Umie, dia memiliki raut wajah wanita Melayu sejati yang jarang ada pada aktres lain. Lalu saya bertanya kepadanya, "Untung awak ya. Dikurniakan dengan paras rupa yang begitu klasik."

"Syukur Alhamdulillah. Semuanya rezeki Allah. Kerana itu jugalah, banyak watak dan naskhah yang saya dapat selama 15 tahun menjadi anak seni semuanya adalah yang baik-baik.

"Kata mereka, wajah saya ini tidak boleh bawa watak jahat. Tetapi sebagai seorang aktres, saya perlu keluar dari kepompong dan mencuba watak yang berbeza. Hasilnya, saya dapat apa yang saya mahukan apabila diberi peluang membawakan watak antagonis dalam beberapa buah drama," jawab Umie sambil tersenyum.

Cerita Umie sebelum bergelar aktres seperti hari ini cukup menarik. Mula menempa nama menerusi filem Memory arahan Datuk Rosnani Jamil, Umie sebetulnya menjadi bidan terjun dalam filem yang diterbitkan pada tahun 1991.

Katanya, watak dalam filem itu sepatutnya menjadi milik kakaknya, Erma Fatima tetapi kerana sebab-sebab tertentu, Erma tidak dapat membawa watak tersebut lalu nama Umie dicadangkan kepada Rosnani.

"Saya memang tidak sukakan bidang lakonan dan ia bukan sesuatu yang cukup saya suka. Perlu menunggu dan berada di lokasi dalam tempoh yang cukup lama, itu bukan diri saya.

"Ketika itu saya lebih minat menyanyi dan pernah menyertai beberapa pertandingan. Tetapi, kata orang tak kenal, maka tak cinta. Lama-kelamaan, saya menjadi yakin dengan diri untuk terus menjadikan bidang ini sebagai periuk nasi saya," jelas Umie yang pernah merakamkan dua buah album, Redup Kerinduan dan Cinta Kita.

Tanpa selindung, Umie mengakui, di awal kemunculannya sebagai pelakon, dia rimas dan kurang selesa apabila sering dibandingkan dengan Erma. Lebih membuatkannya 'geram', apabila dia didawka menumpang populariti Erma yang ketika itu sangat masyhur.

Lalu, Umie tekad dan terus mara dengan mencari peluang untuk menonjolkan bakatnya terutama dalam drama televisyen yang akhirnya menyaksikan kemampuan sebenar dirinya sebagai anak wayang.

Drama-drama seperti Selamat Hari Jadi Su, Hartini dan Surah Terakhir merupakan antara lakonan Umie yang cukup hebat dan membuka mata ramai penerbit dan pengarah.

"Sejak itu, orang tidak lagi membandingkan saya dengan Erma. Saya mula berdiri atas nama saya sendiri dan dipercayai oleh penerbit untuk menerajui drama.

"Syukur Alhamdulillah juga apabila sepanjang 15 tahun dalam industri, saya kerap diberikan watak dan naskhah yang bagus sehinggakan saya tidak mampu untuk menolaknya.

"Tetapi, sekarang, dengan status saya sebagai seorang isteri, saya perlu menjadi lebih selektif jika mahu berlakon dalam mana-mana drama. Terus-terang saya katakan di sini, tawaran berlakon drama bersiri akan saya tolak mentah-mentah walaupun watak dan skripnya bagus.

"Dalam usia begini, tenaga saya sudah tidak sama lagi ketika zaman remaja yang boleh saya lakukan semuanya. Saya hanya akan menimbangkan untuk telemovie sahaja kerana masa penggambaran tidak lama. Kini, fokus kehidupan saya sudah berubah," ujarnya yang pernah membintangi drama bersiri Romeo & Juliet serta Salam Taj Mahal.

Merumus perjalanan karier seninya, wanita berusia 37 tahun ini menyifatkannya, sebagai satu perjalanan yang cukup indah dan penuh warna-warni.

Katanya, dalam menyelusuri laluan seni itu, banyak pengalaman diperolehnya yang telah membuka mata dan mindanya mengenai erti kehidupan serta menjadikannya seorang yang cukup matang.

"Saya banyak belajar daripada watak-watak yang saya lakonkan sepanjang bergelar pelakon. Daripada situ, saya sedar kita tidak akan bertemu dengan pelbagai karakter manusia jika kita tidak kenal dan menyelami hati mereka.

"Mungkin ini dikatakan rahmat buat saya yang tidak sukakan dunia lakonan ini pada mulanya," kata isteri kepada usahawan terkenal, Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan ini dengan maksud yang mendalam.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Keletah Liyana pikat IB

Posted:

Keletah Liyana pikat IB

Keletah Liyana pikat IB

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar RASHID MAHFOF


KELETAH dan personaliti Liyana Jasmay berjaya memikat Istana Budaya apabila terpilih menerajui teater muzikal kanak-kanak, Siti Di Alam Fantasi.


TEATER kanak-kanak, Siti Di Alam Fantasi (SDAF) pernah mencetus fenomena luar biasa ketika dipentaskan kali kedua di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) pada tahun 2000.

Mempertaruhkan penyanyi dan pelakon popular, Amy Mastura sebagai teraju utama teater arahan Aminah Raphor itu, SDAF berjaya mencatatkan penjualan tiket sehingga menjadi salah sebuah persembahan yang cukup laris ketika itu.

Dengan garapan cerita yang mirip kepada kisah Alice In Wonderland, tidak hairanlah mengapa SDAF dengan pantas menjadi pujaan kanak-kanak.

Malah, populariti SDAF juga dilangsungkan ke dalam medium televisyen yang pernah ditayangkan di RTM selepas pementasan di IB.

Kini, selepas sedekad, SDAF kembali ke pentas IB dengan pendekatan serta sentuhan baru yang menyaksikan pelakon dan penyanyi remaja, Liyana Jasmay menerajui teater muzikal kanak-kanak itu.

Sememangnya keletah dan personaliti Liyana yang sentiasa riang itu berjaya menambat hati IB yang tidak menunggu lama untuk melamar artis berusia 22 tahun itu membintangi SDAF.

Ketua Pengarah IB, Mohamed Juhari Shaarani memberitahu, pihaknya yakin dengan kemampuan Liyana yang memerankan watak Siti dalam teater itu dalam menarik perhatian kanak-kanak menontonnya kelak.

Kata Mohamed Juhari, ketika IB mahu mementaskan kembali SDAF, pihaknya memang mahukan seorang pelakon yang mampu membawakan watak itu dan memiliki kriteria watak Siti itu sendiri.

"Lalu, apabila menghadiri sidang akhbar pengumuman teater Natrah musim kedua tempoh hari, entah bagaimana ada kuasa magnet yang membuat saya terpaku melihat keletah Liyana.

"Liuk tubuhnya dan gayanya yang manja itu membuatkan saya 'jatuh hati' kepada Liyana dan saya tidak menunggu lama untuk melamarnya sejurus tamat sidang akhbar itu," ceritanya pada sidang akhbar SDAF baru-baru ini.

Namun, jawapan yang diberikan oleh Liyana menerusi ibunya, Habsah Simpon pada awalnya membuatkan Mohamed Juhari sedikit gusar.

Jika mengikut perancangan awal, Liyana sudah terikat dengan sebuah projek khas sepanjang bulan Disember iaitu tarikh yang sama dengan pementasan SDAF.

"Mungkin sudah jodoh Liyana dengan IB, jawapan yang saya terima adalah positif lalu membuatkan saya teruja untuk melihat hasil SDAF yang baru ini," jelas Mohamed Juhari atau mesra disapa Abang Joe di kalangan pihak media.

Selain Liyana, dua pelakon yang sudah mengesahkan penglibatan mereka untuk teater ini ialah Vanidah Imran dan Ebby Yus yang akan membawakan watak Ratu Labah-Labah dan Mamat.

Selebihnya, ia akan dibarisi oleh pelakon kanak-kanak yang pasti akan menggamatkan Panggung Sari kelak dengan keletah serta gelagat comel mereka.

Memang agak mengejutkan apabila pementasan SDAF dilakukan pada saat-saat akhir memandangkan slot pada bulan Disember sepatutnya menjadi milik Budak Kampung the Musical.

Namun, atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, muzikal terbitan Tall Order Productions milik Hans Isaac itu ditunda kepada bulan Mac tahun depan.

Kerana itu, pihak IB berada dalam keadaan sedikit kelam-kabut untuk mencari pengganti bagi mengisi slot itu dan daripada situ tercetuslah idea untuk mementaskan SDAF.

Pementasan SDAF juga adalah untuk mengisi slot teater kanak-kanak yang diadaptasi daripada cerita legenda mahupun mitos antarabangsa dalam acuan tempatan.

Semuanya adalah gabungan idea yang dicetuskan oleh IB di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan sejak tahun 2007.

Antara teater kanak-kanak di bawah slot itu yang sudah dipentaskan adalah Ali Baba dengan 40 Penyamun (2007), Aladdin (2008) dan Sinbad (2009).

Bagi Aminah pula, dia sememangnya teruja untuk mengarahkan SDAF ini kerana mahu melihat hasilnya di atas pentas kelak.

Selepas 10 tahun, Aminah tidak menafikan cabaran yang harus dipikulnya sebagai pengarah dalam mengarahkan SDAF versi baru ini.

"Kali ini semuanya akan kelihatan lebih segar dan baru seiring dengan perkembangan semasa. Kami akan memastikan SDAF yang baru ini akan menjadi sebuah tontonan yang menghiburkan seisi keluarga.

"Jalan ceritanya juga akan diolah dan kami akan menitik beratkan aspek visual, warna dan rekaan set kerana faktor inilah yang cepat menangkap mata kanak-kanak.

"Barisan pelakon kanak-kanak juga sudah disenaraikan. Cuma, kini kami sedang mencari pelakon yang sesuai untuk membawakan watak Pokok. Semuanya akan diumumkan dalam sidang media kedua tidak lama lagi," kata Aminah yang juga pengarah filem kontroversi, Lu Pikirlah Sendiri de Movie.

Liyana yang anggun mengenakan gaun pendek berwarna fuchsia pada sidang akhbar itu menyatakan perasaan terharu apabila dipilih membintangi SDAF.

Sementelah memang sudah lama dia mengidamkan untuk beraksi dalam sebuah pementasan teater muzikal bagi meluaskan lagi skop lakonannya.

"Saya juga merupakan seorang peminat setia watak-watak puteri dalam filem animasi Disney dan apabila diberi peluang membawakan watak seperti itu, sudah pasti ia merupakan satu penghormatan buat saya.

"Untuk itu, saya membuat rujukan dengan menonton pementasan seperti itu di YouTube. Saya juga berharap tidak akan ada yang cuba membandingkan saya dengan Amy Mastura kerana ia merupakan zaman yang berbeza.

"Saya akan membawa watak ini dengan cara saya sendiri dan saya berharap penonton akan terhibur menontonnya kelak," katanya yang memulakan latihan untuk SDAF berselang-seli dengan waktu pementasan Natrah nanti.

Bagi mereka yang mahu menonton SDAF bermula 22 hingga 31 Disember ini, bolehlah mendapatkan tiket-tiket berharga RM30, RM50 dan RM150 yang sudah pun mula dijual.

Pembelian dan tempahan boleh dilakukan dengan melayari laman web www.ticket2u.biz atau menghubungi talian 03-4149 8600/03-4026 5558.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.