Adsense

Rabu, 24 November 2010

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Pedihnya masih terasa

Posted: 23 Nov 2010 02:36 PM PST

Hip

pix_gal0
Rasa terkilan belum terubat buatkan Almy Nadia berubah angin

BARU hendak bernafas, Almy Nadia sudah disergah dengan tuduhan kurang menjaga disiplin apabila kelibatnya tidak kelihatan dalam promosi sebuah filem hingga membuatkan pelakon muda itu serik untuk menjayakan produksi layar perak, sebaliknya lebih selesa membintangi drama.

Biar episod berkenaan sudah beberapa bulan berlalu, pedihnya masih terasa sampai kini apabila dirinya dicop dengan pelbagai gelaran apatah lagi sebelum itu beberapa kali jadual promosi filem terbabit ditunda, dengan tarikh terakhir yang sukar dipenuhi kerana mempunyai komitmen lain.

Pada hari kejadian saya berada di Melaka menjayakan sebuah telefilem yang persetujui sejak awal tahun, selepas melihat kerja itu tidak mengganggu jadual promosi filem. Pasal filem pula, saya sebenarnya tidak apa-apa masalah pun. Cuma apabila sudah beberapa kali promosi ditunda, akhirnya ia bertembung dengan jadual penggambaran saya.
Bukan saya tidak bertanya bila promosi hendak dilakukan tetapi mereka tidak memberi jawapan. Selama ini pun saya beri kerjasama, cuma sebagai pelakon sepenuh masa, saya perlu cari makan. Apakah saya perlu menunggu sedangkan mereka sendiri tidak pasti tarikhnya? katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Dia Atilia.

Dia Atilia adalah drama terbaru Almy. Menerusi kisah yang mengambil inspirasi dari filem Kuch Kuch Ho Ta Hai (KKHTH), Almy membawakan watak sebagai isteri Faizal (lakonan Zamarul Hisham) bernama Hani yang mati kemalangan hingga membuatkan suaminya hidup bersama kenangan abadi.

Selain Zamarul Hisham, drama 26 episod yang bakal disiarkan menerusi Astro PRIMA bermula 30 November ini turut membariskan Fasha Sandha sebagai Atilia, Mahmud Ali Basha, Liza Abdullah, Roy Azman, Jasmin Hamid dan Shaharuddin Thamby.
Enggan terus memanjangkan gundah, gadis yang baru mencecah usia 24 tahun itu bersyukur dengan tawaran berlakon yang tidak putus, malah yakin keputusan menyepikan diri seketika di layar perak mempunyai hikmah apabila waktu itu dapat digunakan untuk mempertajamkan skil lakonannya.

Akuinya, biar sudah bertahun bertatih membina nama dengan mencuba segala watak, masih banyak yang perlu dipelajari dan diperhalusi malah sebagai pelakon muda inilah masanya untuk memperbaiki segala kekurangan atau menyerlahkan kebolehan.

Memang saya sudah banyak berlakon filem tetapi mungkin watak yang diterima tidak cukup kuat untuk membuatkan penonton melihat keberkesanannya. Sudah tiba waktunya saya kembali menumpukan semula perhatian terhadap kerja saya dalam drama atau telefilem.

Namun bukan bermakna menerusi filem kita tidak boleh belajar. Cuma apabila terbabit dalam drama bersiri ia menghimpunkan lebih ramai pelakon, termasuk orang lama yang boleh kita minta pendapat manakala tempoh penggambaran pula panjang sekali gus memesrakan setiap tenaga kerja, katanya lagi.

Kembali kepada Dia Atilia, kekasih kepada Fizz Fairuz itu turut berbesar hati apabila bergandingan dengan nama besar termasuk Fasha Sandha menjayakan drama yang menjalani penggambaran awal tahun lalu sekali pun pernah bertebaran desas desus mengatakan hubungan mereka berdua agak tegang disebabkan isu Tizz Zakiah.

Biarlah pihak lelaki buat keputusan

Biarpun ia berlaku selepas penggambaran selesai, sepanjang menjayakan lebih empat telefilem dengan Fasha masing-masing tidak berdepan masalah malah masih boleh bertegur sapa apabila bertemu di luar atau di set penggambaran.

Biarlah kita tutup buku lama. Setakat ini pun saya tiada masalah dengan Fasha.
Di set, dia jenis yang komited dengan kerjanya dan tidak mengganggu orang lain. Apa yang boleh saya katakan, hubungan kami seperti teman lain, tetap berborak, katanya sambil tersenyum manis.

Begitu pun, tatkala menyentuh soalan lazim - hubungan dengan si jantung hati -, gadis bertubuh langsing itu agak keberatan membongkar kisah percintaan yang dirasakan terlalu heboh diperkatakan ramai sedangkan hala tuju mereka masih samar.

Lima tahun menyulam cinta adalah tempoh yang panjang untuk mengenali sisi sang kekasih namun jodoh belum kunjung tiba tetapi akui Almy, hubungan mereka masih kukuh walau pancaroba datang silih berganti dan tangisan ada kalanya menjadi peneman setia.

Tidak manis jika gadis yang membicarakan soal kahwin. Saya tahu Fizz ada menyatakan sudah sedia bergelar suami tetapi di pihak saya, setakat ini belum ada yang datang merisik atau menghantar cincin dan jika masanya tiba nanti, akan saya kongsi berita gembira itu dengan semua, ujarnya penuh teka teki.

Tanpa berselindung, Almy mengakui dirinya sudah puas berendam air mata dan makan hati dengan seribu macam gelora yang menjengah namun selagi mampu, mereka berusaha mengukuhkan hubungan berlandaskan kejujuran, keikhlasan dan kesetiaan.

Memang ada orang ketiga, keempat tetapi selagi kami yakin terhadap hubungan ini, segala yang hadir mampu diusir cuma biarlah kami mengukuhkan nama dulu kerana saya masih baru bertatih manakala Fizz juga perlu bekerja keras tambahan pula masing-masing punya tanggungjawab terhadap keluarga, ulasnya ringkas.


Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Bukan mudah kekal cantik

Posted: 23 Nov 2010 02:31 PM PST

Hip

Tidak setakat mahu langsing, kesihatan dan kecergasan juga perlu diutama

JANGAN diukur pada usia tetapi lihat saja pada penampilan pengacara program TV ini. Walaupun di atas kertas, usianya sudah mencecah angka 40-an namun dari segi penampilan fizikal, dia masih tetap kekal langsing dan jelita. Siapa kata apabila wanita sudah berusia dan anak-anak semakin membesar, mereka tidak perlu bersusah payah menjaga kecantikan diri.

Bagi Azizah Ariffin, semakin usia meningkat, bukan saja soal kecantikan yang diambil berat tetapi dari kesihatan juga harus diambil kira. Apatah lagi menggalas tugas sebagai pengacara program TV yang berbentuk kewanitaan pastinya soal penjagaan diri perlu diutamakan. Sudah tentu imej dan personaliti harus diambil kira.

Kesungguhan Azizah untuk mengembalikan bentuk badannya ke asal semakin membuak-buak apabila berat badannya semakin meningkat. Sebelum ini berat badan mencecah sehingga 60 kilogram dan itu membimbangkan saya. Maklum sajalah, apabila bekerja di kaca televisyen, ia akan membuatkan tubuh kita kelihatan lebih besar.

Jadi, untuk mengatasinya, saya lebih banyak mengamalkan senaman. Bukan saja mahu kelihatan cantik tapi juga mahu menjaga kesihatan dan kecergasan.
Peningkatan usia bukanlah alasan untuk kita biarkan saja tubuh badan membesar tetapi juga kerana mahu mengelakkan diserang pelbagai penyakit, katanya Azizah yang memang prihatin dalam bab menjaga kesihatan ini.

Bagi wanita yang sudah berkahwin, tentunya salah satu faktor mengapa mereka beriya-iya menguruskan badan pastinya ada kaitan dengan kehendak suami, Aziah menafikan perkara itu.
Suami tidak kisah sebenarnya. Pun begitu, itu bukanlah alasan untuk membiarkan tubuh saya begitu saja. Saya perlu mendapatkan tubuh badan yang ideal iaitu 51 kilogram. Memang banyak yang harus saya kurangkan dan saya kena bekerja keras untuk itu, kata wanita berusia 42 tahun ini yang semakin berseri-seri selepas mengenakan tudung.

Ibarat pucuk dicita ulam mendatang, ketika dia sedang bergelut untuk mendapatkan kembali tubuh yang asal, tiba-tiba datang tawaran dari pihak SlimWorld untuk melantiknya sebagai duta produk terbabit dan menjadikan dirinya sebaris dengan empat selebriti wanita popular lain iaitu Ziana Zain, Erra Fazira, Wardina Saffiyah Fadhlullah dan juga Lisdawati.

Tak sangka mereka mahu melantik saya menjadi salah seorang daripada duta produk mereka. Dalam usia seperti ini nampaknya masih laku. Selepas enam bulan menggunakan produk mereka dan melihat hasilnya, barulah hari ini mereka mengumumkan pelantikan saya itu, katanya yang mewakili wanita berusia yang ingin melangsingkan tubuh mereka.

Katanya, masalah utama yang melanda wanita berusia selalunya membabitkan masalah pinggul dan untuk itu dia perlu menjalani pelbagai program yang sudah diatur oleh pihak berkenaan.

Banyak program yang saya perlu lakukan antaranya, sistem kawalan badan, dan juga berlari di atas treadmill selama 40 minit. Semua itu dilakukan untuk membakar lemak di badan. Alhamdulillah saya dapat rasa perbezaannya, katanya.

Sebati dengan program kewanitaan

ENAM tahun mengemudikan program bual bicara wanita, ibu kepada tiga cahaya mata ini nampaknya semakin sebati dengan program berbentuk kewanitaan itu.
Bukan saja berdiri di depan kamera dan menjadi perantara tetapi Azizah juga bertindak sebagai penerbit program itu.

Saya adalah pengacara paling kanan dalam program itu. Jadi, tugas saya selain terbabit di belakang tabir, saya juga banyak membantu penyampai baru bagaimana menjadi pengacara yang baik. Setakat ini saya berpuas hati dengan kebanyakan mereka yang bukan saja petah berkata-kata di depan TV tetapi juga mempunyai kemahiran dalam menulis skrip.

Apabila pengacara sendiri keluar membuat liputan, menulis skrip, bahan yang mereka paparkan kepada penonton itu akan dapat difahami dengan lebih berkesan, katanya yang turut menjadi penerbit program bercorak kekeluargaan yang disiarkan di saluran TV9 berjudul Semanis Kurma.

Ditanya apakah ada perancangan untuk dia menerbitkan atau mengacarakan program baru, anak kelahiran Ayer Itam, Pulau Pinang ini berkata buat masa ini tumpuannya hanyalah kepada dua program itu saja.

Azizah ditemui ketika menghadiri majlis Slim World Gala Dinner and Dance With Stars yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka baru-baru ini.

Tetamu yang hadir turut dihiburkan dengan persembahan nyanyian oleh Erra Fazira dan Ziana Zain.Lisdawati pula menunjukkan kehebatannya dengan menari latin bersama koreografer terkenal, Sazlan. Manakala Azizah dan Wardina pula bertindak sebagai pengacara.


Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.