Adsense

Rabu, 24 November 2010

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Almy Nadia Banyak Makan Hati

Posted: 24 Nov 2010 09:14 PM PST

Dunia selebriti bukanlah seindah yang dikhabarkan. Kisah peribadi menjadi tatapan dan dikongsi bersama sehingga kadang kala timbul isu mengaibkan.

Percintaan dan perceraian adalah perkara normal yang kerap ditimbulkan, malah kadang kala gosip panas lebih kerap menghias kerjaya berbanding bakat yang ada. Adakah ini menguntungkan atau sebaliknya?

Begitu juga halnya dengan aktres Almy Nadia. Kisah percintaannya dengan Fizz Fairuz lebih menjadi buruan media dan terbentang luas untuk diteroka peminat daripada kisah karier lakonannya.

Mengakui perkara tersebut membebankan, apatah lagi gosip pasal mereka putus cinta seringkali kedengaran.

"Kami berdua masih bersama. Gosip putus cinta itu tak benar. Janganlah hanya kerana saya tak hadir ke majlis harijadi Fizz, timbul cerita kami sudah berpisah.

"Masing-masing sedang sibuk mencari rezeki, cuma setakat ini tak ada lagi perancangan untuk ke alam perkahwinan. Mungkin apabila nama kami sudah cukup kukuh, baru nampak arah tuju yang sebenar.

"Waktu awal percintaan dulu, kami pernah bincangkan soal kahwin tapi bila melihat banyak cerita rakan artis yang bercerai, saya jadi takut," ujar Almy yang bakal muncul dalam drama Dia Atilia di saluran Astro Prima bermula 30 November ini.

Mahu cari kejujuran

Baginya kejujuran merupakan kunci utama kepada kebahagiaan berpasangan. Namun ujian seringkali menimpa sehingga hubungan yang terbina selama lima tahun goyah dan hampir musnah.

"Berita orang ketiga dalam hubungan kami memang perkara biasa sehinggakan saya malas nak fikirkan hal cinta lagi. Kami tak tetapkan had untuk berkawan dengan sesiapa, cuma yang penting mesti jujur dan setia.
"Buat atau keluarlah dengan sesiapa pun, namun haruslah beritahu saya dulu, tak mahulah cerita itu datang dari mulut orang lain sebab kadang kala orang suka menokok tambah untuk hangatkan keadaan.

"Lagipun Fizz selalu diganggu dan sebab itu keluar cerita pasal orang ketiga dalam hubungan kami. Memang saya banyak makan hati dan pernah juga saya putuskan hubungan dengan dunia luar untuk dapatkan ketenangan. Fizz tak sukakan pergaduhan dan dia tak suka memujuk, so saya banyak diam sebab tak mahu burukkan keadaan. Tapi selalunya kalau dia buat hal, dia akan datang meminta maaf.

"Memang diakui dulu saya seorang yang pencemburu, namun saya harus buang perasaan ini jauh-jauh kerana kerja kami memerlukan komunikasi dengan pihak lain. Memang kami sudah bersama lima tahun, namun hubungan ini belum cukup kukuh untuk ke jenjang pelamin," katanya.

Tiada Masalah Dengan Fasha Sanda

Almy bakal muncul dalam drama di Astro Prima berjudul Dia Atilia bersama gandingan Fasha Sanda dan Zamarul Hisham. Almy membawakan watak Hani, isteri kepada Faizal (Zamarul Hisham) yang terbunuh dalam kemalangan semasa cuba menyelamatkan anaknya.

"Kes bergaduh dengan Fasha sudah lama dan ia berlaku sebelum shooting Dia Atilia. Apa yang lepas biarkan berlalu, saya tak suka simpan memori buruk.

"Sebelum ini saya dengar pelbagai cerita buruk mengenai Fasha, namun setelah mengenalinya di set, saya tak takut lagi berlakon dengannya. Saya tiada masalah dengannya. Fasha ni kalau orang tak kacau dia, dia pun tak kacau orang," ujarnya.

Drama ini diinspirasikan daripada filem Bollywood, Kuch Kuch Hota Hai di mana Faizal akan bertemu semula dengan sahabat lamanya, Dia Atilia lakonan Fasha Sanda. Dia Atilia akab disiarkan bermula 30 November ini pada setiap Selasa pada jam 9.00 malam.

Zamarul Hisham Rakam Isteri Bersalin

Posted: 24 Nov 2010 09:11 PM PST

Teruja dengan kelahiran orang baru dalam keluarganya, Zamarul Hisham mengorbankan masa dan tenaga demi keselesaan isteri dan anaknya. Bersyukur segalanya berjalan lancar tanpa sebarang dugaan, aktor popular ini mengakui pengalaman baru ini memberi kekuatan kepada kebahagiaan rumahtangga yang dibina bersama isteri tercinta, Diana Rafar.

"Anak saya lahir pada 29 Oktober lalu pada jam 2.31 petang dengan cara normal dan ketika itu hari Jumaat. Bersyukur semuanya dipermudahkan kerana saya sempat menunaikan solat Jumaat dan kembali ke hospital melihat Diana bersalin.

"Waktu itu saya rakam proses bersalin dan terpaksa buat lawak bodoh untuk kurangkan kesakitan Diana. Kami memilih nama Kashfi Haiqal yang bermakna Pembuka Pintu Hati.

"Semenjak jadi bapa, memang tak cukup tidur. Patutlah kawan-kawan saya cakap 'welcome to the club tak cukup tidur' waktu Diana mengandung. Kashfi selalu meragam dan berjaga malam, menjadi tugas saya menjaganya sebab Diana masih lagi berpantang. Segala rutin harian juga saya ambil alih seperti basuh baju dan kemas rumah.

"Saya ambil cuti sebulan untuk jaga Diana. Kami tak mahu ambil pembantu sebab asyik timbulkan masalah," ujarnya yang mempunyai dua anak, Izzat Haiqal, 11, dan Iqmal Haiqal, 8, hasil perkahwinan terdahulu.



Suka Tipu Umur

Apabila usia makin meningkat, menjadi kebiasaan untuk tidak mendedahkan umur sebenar kerana bimbang usia yang semakin lanjut. Namun berbeza pula dengan Zamarul, lebih suka menambah satu angka pada usia sebenarnya.

"Sebenarnya saya bukan menipu. Umur saya sekarang 39 tahun tapi saya lebih selesa beritahu 40 tahun. Sebabnya orang selalu cakap live begins at 40 so saya nak cepat-cepat rasa bagaimana perasaan itu. Saya cuma nak buat persediaan menuju ke arah itu lebih awal," katanya sambil ketawa.

Penat Berlakon

Pada usia yang semakin meningkat, Zamarul mengakui dirinya sudah tidak mampu untuk berlakon. Namun itu bukanlah dia menarik diri daripada industri yang sudah sebati dengan diri.

"Kadang kala saya terpaksa berlakon jadi muda remaja yang masih belajar di kolej, memang susah sebab saya bukan muda lagi untuk bawakan karektor itu. Jadi pelakon memang letih dan selalu kena rehat sebab kami banyak bermain dengan emosi dan otak.

"Saya dah tak larat nak berlakon lagi, kalau boleh saya nak direct drama sendiri pada masa akan datang," katanya yang menggemari lakonan Shah Rukh Khan.

Bilik terapi untuk kanak-kanak istimewa

Posted: 24 Nov 2010 09:10 PM PST


Zuhaimi Abdul Hamid menyerahkan replika cek kepada Norani Mohd. Hashim.


Procter & Gamble Malaysia (P&G) melalui program tanggungjawab sosial korporatnya yang dikenali sebagai Open Minds, baru-baru ini menyampaikan sumbangan bernilai RM300,000 kepada Yayasan Kebajikan Negara (YKN). Ia sebagai memenuhi ikrarnya untuk menyumbang sejumlah RM1 juta yang dibuat sempena meraikan ulang tahun ke-10 program tersebut.

Dana tersebut digunakan untuk membina 40 bilik terapi di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di seluruh Malaysia.

Sumbangan disampaikan oleh Ketua Hal Ehwal Luar P&G, Zulhaimi Abdul Hamid kepada Pengarah di Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya (JPOKU), Norani Mohd. Hashim.

Menurut Norani, bilik terapi pelbagai pancaindera tersebut dibina di setiap negeri untuk memastikan kanak-kanak istimewa dapat menerima layanan dan manfaat yang sama, tidak kira di mana dan apa juga latarbelakang mereka.

Setiap bilik tersebut diubahsuai secara spesifik untuk membolehkan ransangan i terhadap deria penglihatan, bunyi dan tekstur disampaikan secara berkesan kepada kanak-kanak yang mempunyai kecacatan deria-deria tersebut.

"Dengan semua kemudahan ini di PDK, kanak-kanak istimewa dapat memanfaatkannya bagi membantu perkembangan pembelajaran mereka.

"Semua ini dilakukan di bawah pengawasan pelatih-pelatih, iaitu individu-individu yang dilatih khas untuk menjaga dan mengambil berat tentang kebajikan kanak-kanak ini," katanya.

Norani berkata, usaha-usaha baik P&G itu akan terus memberi kebaikan kepada lebih ramai kanak-kanak istimewa pada masa akan datang.

"Kami berasa gembira kerana menerima sokongan daripada organisasi korporat seperti P&G yang berkongsi misi yang sama, iaitu meningkatkan kualiti hidup kanak-kanak istimewa," katanya

Program P&G Open Minds merupakan sebahagian daripada matlamat korporat syarikat itu yang memberi fokus terhadap usaha-usaha kemanusiaan.

Kepekaan gender pelajar

Posted: 24 Nov 2010 09:09 PM PST


Para pelajar tekun mendengar ceramai yang disampaikan Suzanna Ghazali.


JIKA ditanya kepada anda apakah perbezaan di antara gender dan jantina, mampukah anda memberikan jawapan yang tepat?

Sedar atau tidak, kebanyakan orang mungkin termasuk diri anda menganggap gender dan jantina membawa maksud yang sama.

Namun,perkataan gender dan jantina mempunyai definisi serta huraian yang berbeza.

Gender adalah persepsi, pandangan, gambaran, perlakuan atau tindak tanduk seseorang yang terhasil daripada proses sosialisasi iaitu pergaulan dalam sesebuah masyarakat yang membezakan peranan, tanggungjawab serta pengagihan hak antara lelaki dan perempuan.

Maka, gender tidak ditentukan secara biologi, berbeza daripada sudut budaya dan boleh berubah mengikut masa, tempat, dasar, polisi serta kuota.

Jantina pula bermaksud perbezaan di antara lelaki dan perempuan daripada segi luaran serta dalaman tubuh seperti rupa paras, bentuk badan, kromosom dan hormon. Ia ditentukan secara biologi dan tidak boleh berubah.

Pemahaman yang kurang mengenai apa itu jantina dan gender mampu melahirkan masyarakat yang tidak stabil, tiada kerjasama dan menindas.

Keadaan itu juga akan mewujudkan sebuah masyarakat yang mempunyai pelbagai andaian yang menunjukkan lelaki paling layak menguasai banyak aspek utama kehidupan berdasarkan fizikal, menyebabkan kepentingan perempuan sering dinafikan.

Andaian itu termasuk semua kerja berat sepatutnya dilakukan lelaki, ketua rumah tangga hanya lelaki dan kerja yang melibatkan kuasa dan sumber kewangan adalah tugasan lelaki.

Selain itu, ketua persidangan mestilah lelaki serta memasak dan mengemas rumah bukan tanggungjawab lelaki.

Justeru, bagi melahirkan masyarakat yang mempunyai pengetahuan terperinci mengenai kesaksamaan gender, Pejabat Pembangunan Wanita Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menganjurkan Seminar Kepekaan Gender kepada pelajar sekolah, baru-baru ini.

Pengarahnya, Norhafiza Halim Faisal berkata, seminar itu bagi meningkatkan pengetahuan dan kefahaman peserta mengenai kepentingan kepekaan gender.

Katanya, ia juga bertujuan menyebarkan maklumat berhubung kesaksamaan gender kepada pelajar sekolah.

"Bak kata pepatah, melentur buluh biar dari rebungnya. Maka kami memilih menganjurkan seminar ini kepada pelajar sekolah kerana golongan berkenaan bakal menjadi pemimpin negara dan masyarakat.

"Seminar dengan tajuk ini adalah pertama kali dianjurkan. Biasanya ia dilancarkan di peringkat kebangsaan, jadi untuk kali ini, kami mensasarkan pelajar sekolah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Seminar Kepekaan Gender di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Tembak, Jalan Semarak, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Seminar hampir empat jam yang dianjurkan dengan kerjasama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) itu disertai 200 pelajar sekolah berkenaan.

Pada seminar itu, dua penceramah iaitu Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie, Suzanna Ghazali dan Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Selangor, Shaiful Azli Jamaludin dijemput memberi penjelasan berhubung isu kepekaan gender.

Kedua-dua penceramah itu mengetengahkan pelbagai maklumat berkaitan isu kepekaan gender termasuk tanggungjawab, peranan serta hak setiap wanita dan lelaki dalam mana-mana status yang dipegang mereka.

Norhafiza memberitahu, kegagalan seseorang untuk memahami isu kepekaan gender boleh menyebabkan kepincangan bukan sahaja sesama individu tetapi juga dalam sesebuah keluarga dan masyarakat apabila wujudnya diskriminasi daripada kaum lelaki terhadap wanita.

Kebiasaannya, seseorang yang tidak memahami isu kepekaan gender juga akan menafikan kepentingan atau potensi wanita dalam sesuatu bidang terutamanya bidang pekerjaan.

Sebenarnya, kedua-dua, lelaki atau wanita memerlukan antara satu sama lain untuk bekerjasama mengukuh dan memantapkan kehidupan diri, keluarga serta negara.

Artritis turut serang kanak-kanak

Posted: 24 Nov 2010 09:08 PM PST


Keadaan lutut seorang kanak-kanak berusia enam tahun yang bengkak dan bengkok kerana masalah artritis. - Gambar hiasan


PENYAKIT artritis di kalangan kanak-kanak jarang diketahui ramai kerana radang sendi yang menyebabkan kemerahan, bengkak dan kesakitan berpanjangan itu lazimnya dikaitkan dengan golongan berusia.

Presiden Persatuan Artritis Malaysia, Dr. Amir Azlan Zain berkata, serangan artritis sebenarnya boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tidak kira kanak-kanak ataupun golongan dewasa.

Katanya, sebagaimana dideritai oleh orang tua, penyakit artritis yang menyerang kanak-kanak dan golongan muda turut menjejaskan kualiti kehidupan harian mereka.

''Artritis adalah gangguan pada sistem ketahanan badan yang berfungsi melindungi badan daripada jangkitan penyakit.

"Bagaimanapun bagi penghidap artritis sistem ini menyebabkan masalah kesihatan, terutama pada sendi,'' katanya ketika ditemui di kliniknya baru-baru ini.

Menurutnya, terdapat beberapa jenis artritis di kalangan kanak-kanak dan ia sukar dikesan kerana sesetengahnya tidak menunjukkan simptom yang jelas.

''Radang sendi kanak-kanak lebih dikenali sebagai Juvenile Idiopathic Arthritis (JIA) dan boleh menyerang seawal umur enam tahun hingga remaja berusia 17 tahun.

"Malah jenis serangan JIA juga berbeza antara individu dan ia berkait rapat dengan faktor umur," katanya.

Beliau yang juga Perunding Rheumatologi di Pusat Perubatan Sunway menjelaskan, kesan terhadap JIA bergantung kepada sistem imunisasi kanak-kanak tersebut.

''Ada sesetengah kes yang akan sembuh sepenuhnya apabila meningkat usia 15 tahun ke atas.

"Bagaimanapun ada juga kes yang sekadar mampu bertahan sahaja,'' ujarnya.

Dr. Amir berkata, sebenarnya artritis bukan penyakit luar biasa, ia berlaku pada nisbah satu bagi 1,000 orang di seluruh dunia.

Dari segi jantina katanya, kanak-kanak perempuan mempunyai risiko yang lebih tinggi berbanding kanak-kanak lelaki.

Secara umumnya kira-kira 70 peratus pesakit JIA adalah kanak-kanak perempuan yang berumur antara dua hingga enam tahun.

Ditanya mengenai jenis serangan JIA, Dr. Amir memberitahu, ia ditentukan melalui jumlah sendi yang terbabit.

Katanya, terdapat lebih 100 jenis artritis termasuklah osteoartritis, artritis reumatoid, ankylosing spondylitis dan sebagainya.

Bagaimanapun artritis jenis oligoartritis adalah yang paling lazim dihidapi di kalangan kanak-kanak di bawah umur lima tahun dan serangan biasanya tertumpu pada lutut dan buku lali.

''Ini adalah serangan artritis paling ringan. Tetapi ia memberi kesan jangka panjang, terutama pada mata hingga boleh menyebabkan buta jika tidak dikesan pada peringkat awal.

''Oleh itu, rawatan awal penting dalam mengurangkan risiko penyakit itu berterusan,'' tegasnya.

Katanya, ibu bapa juga perlu peka terhadap perubahan pada anak kecil terutama bagi JIA yang tidak menunjukkan kesan ketara.

Tanpa rawatan dan pengesanan awal JIA boleh membantutkan tumbesaran kanak-kanak.

Ditanya mengenai rawatan yang boleh diberikan, Dr. Amir berkata, terdapat beberapa kaedah untuk merawat JIA, antaranya penggunaan ubat seperti antiradang bukan steroid (NSAIDs) untuk mengurangkan kesakitan, kejang dan bengkak yang perlu diambil secara teratur.

Selain itu, penghidap JIA digalakkan menjalani fisioterapi dan senaman bagi mengurangkan rasa sakit, sekali gus membantu pesakit menjalani kehidupan seharian yang lebih bertenaga.

''Oleh itu, ibu bapa disarankan untuk mengambil tindakan yang serius dengan melakukan pemeriksaan doktor sekiranya mendapati anak mereka ada simptom-simptom berkenan," katanya.

Misi kasih sayang Wanita Ikon 2008

Posted: 24 Nov 2010 09:07 PM PST


Azlina Che Abdullah dan suami, Stapa Omar bersama Skuad Prihatin Pewanis dan wakil majalah Wanita bergambar dengan penduduk kampung ketika misi kasih sayang membantu mangsa banjir di Kedah dan Perlis.


Tiada siapa dapat menilai erti kasih sayang secara keseluruhan kerana ia amat subjektif. Kasih sayang tidak boleh dipegang tetapi boleh dirasakan oleh mereka yang menghargai dan memberinya.

Pengorbanan juga termasuk dalam cantuman antara kasih dan sayang. Sesiapa sahaja sanggup berkorban kerana orang yang mereka hormat demi kasih dan sayang.

Namun tidak semudah itu menyalurkan kasih sayang kepada sesama insan bimbang disalah erti oleh orang yang empunya diri mahupun mereka yang memerhati.

Pun begitu, erti kasih sayang yang ingin saya luahkan adalah tentang kasih sayang berlandaskan rasa tanggungjawab sesama manusia, bukan kerana cinta mahupun taat setia.

Kasih sayang yang lahir atas kesedaran dan keinsafan menjadi hamba Allah SWT yang tidak sempurna tetapi diberi akal untuk menilai kebaikan dan keburukan sesama manusia.

Akal untuk saling menghulur dan memberi, bantu-membantu, bertanya khabar dan mengorbankan kudrat serta masa untuk memastikan mereka yang ditimpa musibah akan berkurangan rasa hiba dan sedih.

Itulah misi yang telah kami lakukan minggu lalu di negeri Perlis Indera Kayangan dan Kedah Darul Aman.

Perancangan yang diatur oleh Wanita Ikon 2008, Majalah Wanita, Datuk Azlina Che Abdullah dan suaminya Datuk Stapa Omar selaku Pengerusi Yayasan Kaseh DCL serta dibantu oleh Persatuan Wanita Islam Malaysia (Pewanis) nyata membuahkan hasil yang amat baik.

Bersama tiga buah kenderaan pacuan empat roda dan sebuah lori kecil sarat dengan barang-barang makanan dan keperluan harian, rombongan misi kasih sayang dibawakan oleh Skuad Prihatin Pewanis dan majalah Wanita bergerak ke Perlis.

Seawal tujuh pagi 18 November 2010, rombongan menuju ke Kampung Panggas, Chuping, Perlis, kawasan paling teruk dilanda banjir. Masih berbekas sisa-sisa barang yang dibawa arus deras semasa banjir melanda. Sofa, peti sejuk, dapur, tilam, karpet, dan lain-lain tersadai di tepi jalan.

Saya perhatikan sebahagian penduduk giat membasuh peralatan yang rosak dengan harapan ia mungkin dapat digunakan lagi. Dalam hati timbul rasa sedih dan sayu bercampur belas kasihan. Terasa ingin membantu namun saya masih ada tanggungjawab yang menunggu.

Tiba di Surau Kampung Panggas, saya menyertai kaum wanitanya yang sibuk membuat persiapan memasak, mengupas bawang, halia, lengkuas sementara lelakinya pula dengan tugas masing-masing menaikkan khemah, menyusun kerusi meja, memasak nasi dan melapah empat ekor lembu yang telah disumbangkan oleh Azlina dan suami untuk ibadah korban penduduk setempat.

Dua ekor lembu dilapah dan dimasak. Dua ekor lagi diagih-agihkan kepada hampir 100 buah rumah sekitar kawasan tersebut.

Azlina dan suami serta rombongan Pewanis turut sama membantu apa yang patut. Dua jam kemudian kari daging, sup tulang, air asam dan daging rebus siap untuk dijamah. Bersama hampir 100 penduduk kampung kami menjamu selera dalam suasana yang amat sentimental. Saya tidak tahu bagaimana hendak bercerita, yang nyata air mata saya bergenang melihat mereka makan dengan begitu berselera sekali.

Banyak yang boleh dikongsi tentang musibah yang berlaku. Sedih hati saya apabila dihampiri seorang makcik warga emas berusia lewat 70-an. Mak Cik Ku Chah Ku Mat menceritakan tentang semua barang dalam rumahnya telah dihanyutkan air.

"Takdak apa yang boleh makcik pakai lagi dalam rumah. Semua rosak teruk. Nak mesyin cabai pun tak boleh dah... cerek kena ayak. Televisyen masuk ayak... macam mana nak buat nak?" soalnya sambil memegang tangan saya.

Saya hilang kata-kata. Memandang wajahnya saya teringatkan wajah mak di rumah yang baru juga ditimpa musibah. Saya katakan kepadanya supaya bersabar dan berdoa, insya-Allah Allah akan bagi balik apa yang dia telah hilang.

Sambil memeluknya dan bersalaman saya menghulurkan sumbangan ikhlas tidak seberapa sambil memberitahunya supaya menggunakan wang itu untuk membeli keperluan harian. Saya lihat air matanya bergenang.

Selesai makan Azlina menyerahkan sumbangan Yayasan Kaseh DCL berupa produk makanan dan minuman serta wang tunai kepada penduduk yang ditimba musibah sekitar kawasan tersebut.

Rombongan sempat juga melawat 10 buah rumah warga emas, Orang Kurang Upaya dan mereka yang sakit kronik di kampung berkenaan, antaranya rumah Zaleha Abdullah, 58, yang lumpuh sebelah badan sejak setahun yang lalu. Ketika berpelukan dengan Azlina, Zaleha menangis teresak-esak menyebabkan semua yang ada di situ turut mengalirkan air mata. Doa saya semoga mereka tabah menghadapi ujian Allah dan cepat sembuh.

Esoknya, Jumaat, 19 November 2010, kira-kira pukul 9 pagi rombongan sudah berada di Surau Tengku Dakirah, Taman Sri Indah, Mergong Kedah untuk menyerahkan sumbangan kepada Datuk Paduka Ahmad Bashah Hanipah, dan mengorbankan dua ekor lembu. Kami dijamu nasi lemak dan kuih tradisional Kedah serta kopi O.

Selesai urusan penyerahan sumbangan, rombongan bergegas pula ke Kampung Melele, Mukim Ah, Kodiang, Kedah. Perjalanan yang mengambil masa setengah jam dalam panas terik tidak terasa apabila disambut oleh penduduk kampung yang begitu teruja menunggu ketibaan kami.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO Kedah, Datuk Maznah Hamid menyambut rombongan dengan penuh mesra. Laksa Kedah, kuih muih, emping bercampur kelapa menjadi hidangan sebelum dijamu nasi berlauk daging korban.

Di hadapan rumah Che Lian, wakil penduduk kampung yang sudi menawar diri menjadi tuan rumah majlis tersebut, berlonggok-longgok barang bantuan disusun. Semuanya ada, daripada makanan, minuman, selimut, beg sekolah dan sebagainya hasil sumbangan pelbagai pihak. Ketika kami sampai, penduduk kampung sibuk memasak daging korban yang telah disumbangkan oleh Azlina dan Yayasan Kasih DCL.

Suasananya amat meriah dengan beberapa penduduk mengambil kesempatan berkongsi cerita sedih mereka ditimpa musibah. Ada yang menangis ada yang berhiba namun mereka masih mampu ketawa kala kami semua bersalaman semasa sumbangan diberikan kepada mereka.

Meninggalkan Kampung Melele, Azlina berjanji akan datang lagi untuk memberi sumbangan peralatan menulis sebelum musim persekolahan 2011 bermula.

Alhamdulillah, hajat tertunai sudah, mereka yang memerlukan sudah dibantu dan kami berdoa semoga kehidupan mereka akan kembali pulih seperti sebelumnya.

Satu perkara yang saya nampak, penduduk yang terlibat dengan banjir ini harus bangkit dan berusaha memulakan hidup baru dengan semangat dan kekuatan. Sumbangan dari pihak tertentu tidak dapat mengembalikan apa yang mereka telah hilang tetapi ia sekadar membantu meringankan beban mereka.

Selebihnya terletak kepada diri mereka sendiri - berusaha untuk menilai diri dan merenung kenapa musibah itu terjadi dan berazam untuk menjadi yang lebih baik.

Tuhan menguji hamba-Nya yang Dia tahu boleh menerima dan memikul dugaan tersebut bukan menangisi dan menyalahkan takdir.

Terima kasih kepada semua yang menyambut rombongan kami terutama YB Mansor Jusoh, Dun Chuping dan penduduk Kampung Panggas, Datuk Paduka Ahmad Bashah Hanipah, dan Datuk Maznah Hamid.

Sekalung terima kasih daripada saya kepada Wanita Ikon 2008 dan suami serta Pewanis yang tidak jemu-jemu berbuat amal dan bekerjasama dengan Wanita. Kepada pertubuhan wanita lain yang teringin membantu, jemputlah ke negeri Kedah dan Perlis, kunjungan anda menggembirakan mereka.

Semoga usaha murni seperti ini akan diberkati Allah SWT dan dilimpahkan hidayah-Nya di dunia dan akhirat. Amin!

Bekas guru cemerlang dirai dalam Majlis Jasamu Dikenang

Posted: 24 Nov 2010 09:06 PM PST


HUSSAIN Awang (empat dari kanan) bersama Burhan Ramli (dua dari kanan) dan sebahagian guru cemerlang pada Majlis Jasamu Dikenang di Kota Bharu, kelmarin.


KOTA BHARU 24 Nov. - Seorang guru cemerlang tidak pernah mengenal erti berputus asa dan penat-lelah dalam menabur bakti mendidik anak bangsa menjadi seorang yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Guru cemerlang sanggup berkorban apa sahaja, masa hatta wang ringgit bagi melaksanakan pelbagai program demi memastikan anak didiknya beroleh kejayaan.

Komitmen tinggi guru cemerlang inilah yang menyaksikan ramai pelajar di Kelantan mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan utama setiap tahun, sehingga membolehkan pelajar terbabit melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, kadangkala mengatasi guru mereka sendiri.

Menyedari sumbangan besar guru-guru cemerlang ini, maka Majlis Guru Cemerlang Kelantan (MGCK) mengambil pendekatan proaktif dengan menganjurkan Majlis Jasamu Dikenang sebagai menghargai jasa guru-guru terbabit yang telah menamatkan perkhidmatan secara rasmi, dekat sini semalam.

Pengerusi MGCK Sesi 2010/2011, Burhan Ramli berkata, majlis itu julung-julung kalinya bagi meraikan 12 orang guru cemerlang yang bersara pada tahun ini.

Pada majlis tersebut, guru-guru tersebut menerima anugerah daripada Pengarah Pelajaran Negeri, Hussain Awang.

Guru-guru itu antaranya Sowi Ahmad bekas guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mulong, Abd. Rahim Abd.Kadir (SMK Zainab 2), Nawi Ismail (SMK) Mahmud Mahyiddin, Nordin Mohamad (SMK Pangkal Kalong), Mat Yusoff Mohd. Noor, Sekolah Kebangsaan (SK) Perupok, Maznah Ramli (SK Badak), Maimunah Said (SK Padang Garong), Rahmah Yusoff (SK Tengku Indera Petra), Puziah Ahmad(SK Panji), Mat Salleh dari Sekolah Menengah (SM) Teknik Pengkalan Chepa) dan Abdullah Ismail (SM) Sains Machang.

Terowong, jambatan tonjol keunikan PLBE

Posted: 24 Nov 2010 09:05 PM PST


Terowong larut antara terowong kereta api elektrik yang pertama di negara ini.


SATU ketika dahulu kereta api merupakan pengangkutan utama penduduk negara ini. Ia satu-satu jalan perhubungan yang lancar dan selesa dari utara ke selatan dan ke pantai timur semenanjung.

Tetapi apabila Lebuhraya Utara Selatan wujud, penggunaan kereta dan bas menjadi lebih cepat dan mudah. Berkereta dari utara ke selatan tanah air menjadi lebih senang.

Kehadiran lebuh raya itu hampir menjadikan khidmat kereta api sebagai satu nostalgia jika langkah-langkah membaiki perkhidmatannya tidak dilakukan segera.

Bayangkan jika menaiki kereta api ke Butterworth masa yang diambil hampir 10 jam. Tetapi dengan bas hanya kira-kira empat jam.

Sebab itu apabila kerajaan mengumumkan projek menaik taraf perkhidmatan kereta api terutama melalui pembinaan landasan berkembar ia dilihat mampu menjadikan ia pengangkutan pilihan.

Ini terbukti melalui khidmat kereta api elektrik (ETS) Kuala Lumpur-Ipoh yang pantas dan selesa.

Perjalanan dari ibu negara ke Ipoh menggunakan ETS hanya mengambil masa dua jam sahaja.

Untuk 'memanjangkan' khidmat yang pantas dan selesa ini hingga ke utara tanah air, Projek Landasan Berkembar Elektrik (PLBE) antara Ipoh dan Padang Besar kini sedang giat dalam pembinaan.

Selain bakal menyediakan satu sistem pengangkutan rel yang canggih, projek itu turut menampilkan penggunaan teknologi terkini yang ada antaranya pertama kali digunakan di negara ini.

Bagi syarikat yang bertanggungjawab membina landasan berkembar itu, MMC-Gamuda Joint Venture (MGJV), mereka bukan sekadar membina satu kemudahan asas. Tetapi melalui projek itu mereka mahu menjadikan pengalaman berkereta api pada masa depan lebih menarik dan selesa.

Sebab itu, ia menampilkan beberapa ciri kejuruteraan yang ada antaranya belum pernah digunakan di negara ini.

Apabila siap, landasan sepanjang 329 kilometer dari Ipoh ke Padang Besar itu bakal menjadi tanda aras baru dalam penyediaan kemudahan rangkaian pengangkutan awam moden di negara ini.

Antara aspek yang bakal menjadi tarikan ialah pembinaan Terowong Berkembar Berapit di Taiping, Perak.

Ia merupakan terowong kereta api terpanjang di Asia Tenggara iaitu sejauh 3.3 kilometer dengan ketinggian dan lebarnya masing-masing sembilan meter.

Terowong itu dilengkapkan dengan sembilan laluan keluar untuk tujuan penyenggaraan dan keselamatan.

Kejayaan pembinaan terowong berkenaan cukup penting kepada MGJV kerana ia merupakan fasa yang paling mencabar dan rumit untuk keseluruhan projek tersebut.

"Pembinaan Terowong Berkembar Berapit ini membabitkan banyak cabaran seperti menggali terowong di bawah pergerakan lalu lintas Lebuhraya Utara Selatan dan Jalan Persekutuan," kata Pengarah Eksekutif MGJV, Ir. Azmi Mat Nor.

Katanya, ia juga membabitkan pengalihan pergerakan lalu lintas kira-kira 1.5 kilometer.

Kini Terowong Berkembar Berapit itu merupakan antara hasil kejuruteraan yang menjadi mercu tanda projek PLBE kerana reka bentuk dan kaedah pembinaan yang unik.

Satu lagi terowong yang dibina dalam projek itu ialah Terowong Larut.

Ia merupakan terowong kereta api elektrik yang pertama di negara ini.

Ini merupakan ciri-ciri kejuruteraan unik pada PLBE yang turut membuktikan keupayaan syarikat pembinaan tempatan.

Penjagaan pokok dokong

Posted: 24 Nov 2010 09:04 PM PST


Terdapat tiga jenis dokong yang berbeza dari segi kualiti buah iaitu dokong kering, dokong air dan dokong biji.


Dokong tergolong dalam famili Meliaceae dan nama saintifiknya ialah Lansium domesticum corr.

Pokok dokong boleh mengeluarkan hasil selepas tujuh tahun ditanam dan kebiasaannya pengeluaran buah tidak menentu memandangkan ia bergantung kepada cuaca semasa dan kesuburan pokok dan tanah.

Pokok dokong boleh hidup dengan baik di tanah lanar sungai dan tanah lom berpasir yang mempunyai saliran yang baik dan tidak bertakung.

Terdapat tiga jenis dokong yang berbeza dari segi kualiti buah iaitu dokong kering, dokong air dan dokong biji. Antara perbezaan yang boleh dilihat dari fizikal buah adalah seperti yang berikut:

Dokong kering

Isi buah mempunyai rasa yang sangat manis, kulit tidak bergetah dan kandungan biji yang kurang.

Kandungan air yang kurang dan mempunyai pasaran yang baik dan ekonomik.

Dokong air

Isi buah kurang manis jika dibandingkan dengan isi buah dokong kering. Kulitnya nipis dan mempunyai getah pada kulitnya apabila dikupas. Kandungan air dalam buah jenis ini adalah tinggi. Ia tidak mempunyai nilai ekonomik di pasaran.

Dokong biji

Isinya sangat nipis, tidak berair dan rasanya masam-masam manis. Kulitnya lebih tebal dari dokong kering dan dokong air dan tidak bergetah.

Setiap ulas mengandungi satu biji benih yang besar. Tiada pasaran tetapi biji benih digunakan sebagai pokok penanti.

Komita tembusi pasaran Australia

Posted: 24 Nov 2010 09:03 PM PST


Ahli-Ahli usahawan Komita dan agensi kerajaan lain di hadapan Pavilion Jim Webster, lokasi karnival.


UMUM mengetahui, Australia sebuah negara yang cukup terkenal dengan peraturan dan undang-undang ketatnya terhadap sebarang produk makanan dari luar untuk memasuki negara tersebut.

Mereka yang ingin membawa masuk bahan makanan walaupun dalam kuantiti yang kecil sekalipun ke negara itu sama ada jalan laut atau udara akan berhadapan pelbagai soalan pihak kastam negara itu, dan jika jawapan yang diberi tidak memuaskan, makanan itu akan terus di'tongsampah'kan tanpa banyak soal.

Bagaimanapun, usaha Konsortium Usahawan Makanan dan Industri Asas Tani Sdn. Bhd. (Komita) yang diketuai oleh pengerusi eksekutifnya, Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohammed membawa masuk pelbagai jenis produk makanan tempatan ke negara itu untuk penganjuran 1Malaysia Best Carnival di Perth baru-baru ini, adalah sesuatu yang membanggakan setelah berjaya menembusi 'tembok tebal' pihak kuarantin negara itu.

Ia boleh dianggap sebagai langkah pertama untuk konsortium itu melebarkan tapaknya ke negara itu melalui pintu masuk Perth.

Selepas berhadapan dengan pelbagai kerenah dari aspek kawalan dan proses kuarantin makanan negara itu serta pemeriksaan ketat yang agak 'cerewet' yang terpaksa dilalui oleh Komita, akhirnya karnival itu berjaya dilaksanakan.

Ini bermakna produk makanan ringkas, sejuk/beku dan halal tempatan yang dibawa masuk Komita untuk menyertai karnival itu diiktiraf dan diakui kebersihan dari segi kualitinya oleh pihak berkuasa negara itu.

Karnival yang disertai oleh 32 usahawan Melayu itu mempamerkan pelbagai jenis produk makanan ringkas sejuk/beku, kering dan halal mereka.

Malah, sepanjang karnival itu, terdapat di kalangan usahawan terbabit turut mengadakan kerjasama dengan pihak-pihak pengusaha di negara itu dalam merancang dari segi pemasaran dan pengedaran beberapa produk makanan.

Malah, para pengusaha negara itu juga banyak bertanyakan pelbagai soalan dan maklumat terhadap produk makanan Malaysia.

Selain mendapat sambutan rakyat Malaysia yang menetap di Perth, karnival itu turut dihadiri oleh rakyat negara itu sendiri yang ingin merasai dan menikmati pelbagai jenis makanan yang turut disajikan untuk para pengunjung.

Karnival yang diadakan di Pavilion Jim Webster, Claremont itu, mendapat sambutan hangat, apatah lagi, terdapat produk-produk makanan yang habis dijual pada hari pertama sepanjang tiga hari karnival itu berlangsung.

Kehangatan karnival itu turut diserikan dengan kehadiran Datuk Bandar Claremont, Jock Barker dan juga konsulat Jeneral Malaysia di Perth, Hamidah Ashari yang bersama-sama melancarkan perasmian karnival tersebut.

Di samping merasai pelbagai jenis makanan yang dimasak oleh Cef Liza Zainol yang dibawa khas ke karnival itu, para pengunjung tertarik dengan keenakan produk makanan yang pertama kali diperkenalkan kepada mereka.

Kehadiran produk-produk makanan dari Malaysia itu juga sememangnya dinanti-nantikan khususnya oleh masyarakat Islam di Perth kerana kesukaran mendapatkan produk halal di negara ini.

Antara produk makanan popular yang mendapat sambutan 'hangat' pada karnival itu ialah murtabak raja tuna berperisan nanas salsa keluaran Muslim Best, popiah, jus asam jawa asli, serunding ayam dan ikan.

Selain itu, pelbagai jenis sos dan minuman ringan, biskut, kerepek pisang dan ubi, keropok lekor, otak-otak, karipap yang kesemuanya sudah siap dibungkus, serta minyak soya jenama Saji keluaran Delima Oil Sdn. Bhd. anak syarikat Felda.

Selain ahli Komita, usahawan-usahawan dan wakil di bawah agensi-agensi kerajaan seperti Bahagian Pembangunan Usahawan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan Felda turut menyertai karnival tersebut.

Mencari ketenangan di Spa D’aura

Posted: 24 Nov 2010 09:02 PM PST


Pelbagai jenis urutan boleh diperoleh di Spa D`Aura.


DINA Abu Bakar, 29, mendakwa spa miliknya, D'Aura Spa merupakan salah satu daripada spa terbesar di Malaysia. Mungkin juga ada benarnya kerana spa yang terletak di Plaza South City, Seri Kembangan itu meliputi keluasan kira-kira 4,900 meter persegi dan merupakan spa bertaraf lima bintang.

Ia menyediakan 20 bilik rawatan di dengan setiap memiliki rekaan yang berbeza.

D' Aura Spa menyediakan bermacam-macam jenis rawatan yang diperlukan oleh pelanggan bagi ketenangan mental dan fizikal.

Di antara jenis rawatan yang boleh diperoleh di sini ialah urutan aroma terapi, urutan Bali, urutan tradisional, skrub, masker badan, tangas, rawatan muka, kuku tangan dan kaki, rawatan rambut, pakej pengantin, resdung dan banyak lagi.

''Pelanggan yang datang untuk mendapatkan rawatan pasti merasai ketenangan kerana rawatan dilakukan oleh kakitangan yang berpengalaman dalam bilik yang dilengkapi dengan alunan muzik perlahan, bunyi aliran air yang mendamaikan dengan cahaya lampu yang samar-samar,'' kata Dina yang ditemui di spa tersebut baru-baru ini.

Spa yang baru setahun dibuka itu memilih konsep Bali dan kontemporari.

Pertama kali datang pengunjung mungkin tidak melihat keistimewaannya.

Namun apabila dibawa ke tingkat bawah spa di mana terletak kesemua bilik rawatan, baru dapat dilihat keunikannya.

Bahagian tengah ruang spa terdapat kafe dengan susunan meja dan kerusi rotan yang nampak eksklusif.

Menurut Dina, biasanya selepas rawatan, pelanggan pasti akan berasa lapar.

Justeru itu, D' Aura Spa terfikir untuk menyediakan kafe di mana pelanggan boleh menikmati makanan ringan untuk mengalas perut seperti minuman kopi, teh, roti bakar, telur setengah masak dan sebagainya.

''Spa ini boleh dikatakan sebagai spa kesihatan sehenti dengan pelbagai jenis rawatan. Melihat pada sambutan yang diberikan oleh pelanggan, selepas ini saya bercadang untuk membuka butik dan kedai andaman di sini,'' ujar Dina yang berpengalaman empat tahun menguruskan perniagaan spa.

Kata Dina, dia memilih perniagaan spa kerana memahami ramai penghuni kota yang sering menghadapi tekanan dengan persekitaran yang sibuk dan bising.

''Minda dan fizikal yang tidak dijaga akan menjadikan wajah dan tubuh nampak tua daripada usia sebenar. Jadi demi kesihatan dan kecantikan, seseorang itu perlu mendapatkan rawatan di spa untuk mengembalikan kecergasan tubuh.

''Harga yang dikenakan bagi setiap jenis rawatan adalah amat berpatutan dengan rawatan bertaraf eksekutif. Kami mempunyai ramai pelanggan tempatan dan tidak kurang juga pelanggan bangsa asing.

''Bagi pakej yang berharga RM138, pelanggan boleh mendapatkan rawatan termasuk sauna, jakuzi, mandi wap, urutan badan, snek dan minuman,'' jelas Dina.

Dina berkata, selain pelanggan yang datang sendirian untuk rawatan, Spa D'Aura turut menyediakan rawatan bagi pasangan suami isteri.

Beliau turut menawarkan kursus mengenai pengurusan dan rawatan spa kepada mereka yang berminat.

Belanja besar rawat diabetes

Posted: 24 Nov 2010 09:02 PM PST


Pemeriksaan darah dilakukan untuk mengetahui kandungan gula. - Gambar hiasan


MUNGKIN ramai yang tidak tahu bahawa hampir 1.2 juta rakyat Malaysia menghidap penyakit kencing manis atau diabetes. Angka itu adalah hasil kaji selidik Sindrom Metabolik Malaysia 2008.

Kajian tersebut telah dijalankan ke atas rakyat Malaysia bagi melihat kadar penyebarluasan penyakit Diabetes Mellitus Jenis 2.

Hasil kaji selidik itu juga telah menemui satu fakta yang mengejutkan iaitu 22 peratus daripada rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas didapati menghidap penyakit ini.

Lebih membimbangkan, kesemua mereka tidak menyedari hakikat yang mereka menghidap diabetes.

Peningkatan kadar itu dipercayai berpunca daripada kes obesiti yang semakin meningkat di kalangan rakyat negara ini ekoran amalan gaya hidup tidak sihat.

Dengan purata umur penghidap diabetes Jenis 2 semakin menurun, ini membawa maksud bahawa kini lebih ramai rakyat Malaysia terdedah kepada risiko yang menjerumuskan mereka kepada penyakit lain seperti arteri koronari, strok, buta dan kegagalan ginjal.

Justeru Pakar Perunding Kanan Endokrinologi Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Prof. Datuk Wan Mohamad Wan Bebakar menyarankan agar setiap warga Malaysia berumur 30 tahun ke atas menjalani ujian untuk mengesan diabetes dalam usaha untuk mengekang penyebarannya.

"Peningkatan penyakit diabetes bagi 20 tahun kebelakangan ini sungguh mengejutkan.

"Keadaan ini mungkin berlaku apabila didapati lebih 50 peratus daripada rakyat Malaysia berdepan dengan masalah pengawalan berat badan yang menjadi faktor penyumbang kepada jangkitan diabetes.

"Beban sosioekonomi akibat penyakit ini kepada kerajaan dan juga rakyat boleh menjadi tidak terkawal jika kita tidak mencuba untuk menanganinya. Tindakan agresif perlu dimulakan seberapa segera," katanya ketika berucap pada satu bengkel anjuran Invida sempena Hari Diabetes Sedunia di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Lebih malang kata Wan Mohamad, rakyat Malaysia juga tidak bersungguh-sungguh dalam pengurusan diabetes, dengan kadar 80 peratus penghidap menunjukkan kadar kawalan glukos yang lemah dan tidak mematuhi prosedur rawatan yang ditetapkan.

Secara umumnya , terdapat dua kategori utama diabetes iaitu Jenis 1, yang biasanya berlaku kepada kanak-kanak dan remaja di mana pesakit bergantung kepada suntikan insulin sepanjang hayat kerana tubuh gagal menghasilkan insulin.

Bagi diabetes Jenis 2 pula, ia biasanya berlaku selepas usia 30 tahun dan jenis ini paling banyak dihidapi tanpa disedari sehinggalah pesakit dirawat akibat komplikasi penyakit tersebut.

Diabetes jenis ini juga dianggap sebagai kecelaruan metabolik akibat daripada ketidakupayaan tubuh menghasilkan insulin yang mencukupi atau insulin tersebut tidak boleh berfungsi.

Tahap insulin yang rendah menghalang tubuh daripada menukarkan glukos kepada glikogen (sumber tenaga seakan kanji yang disimpan di dalam hati) yang mengakibatkan proses pembuangan lebihan glukos dari dalam darah menjadi sukar atau tidak berfungsi.

Kandungan glukos yang tinggi dalam darah jika tidak dikawal boleh membawa kepada komplikasi serius sehingga membawa kematian.

"Sebab itu mengurus dan mengawal paras glukos merupakan matlamat utama dalam merawat pesakit diabetes," katanya

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Endokrin dan Metabolik Malaysia, Prof. Nor Azmi Kamaruddin berkata, selalunya diabetes Jenis 2 boleh dikawal melalui diet pemakanan dan senaman saja.

Kadang-kadang itu tidak mencukupi dan memerlukan sama ada ubat-ubatan atau suntikan insulin.

Namun katanya, kajian yang dijalankan pada tahun 2006 menunjukkan 92 peratus pesakit diabetes Jenis 2 menolak insulin. Sel tubuh mereka tidak dapat menggunakan insulin dengan baik.

Setakat ini, antara kumpulan ubat-ubatan yang memberi tumpuan dengan penolakan insulin ialah Thiazolidinediones (TZD).

Menurutnya, TZD bertindak meningkatkan sensitiviti insulin pada tisu, meningkatkan fungsi sel beta, dan menurunkan pengeluaran glukos oleh hati.

Begitupun baru-baru ini tercetus isu tentang sejenis TZD, rosiglitazone yang dikaitkan dengan peningkatan risiko serangan jantung, telah menimbulkan kebimbangan dan kekeliruan di kalangan pesakit.

Namun, penting untuk diingatkan bahawa isu tersebut tidak melibatkan kesemua ubat-ubatan di dalam kelas yang sama.

Walaupun ubat-ubatan ini berada di dalam kelas yang sama dan mempunyai fungsi yang sama, mereka mempunyai kesan yang berbeza kerana struktur kimia masing-masing yang unik.

Walaupun rosiglitazone telah dihadkan penggunaannya oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) dan Kesatuan Perubatan Eropah, masih ada pilihan rawatan lain dalam kelas Thiazolidinediones seperti pioglitazone (Actos).

Pioglitazone berkesan dalam mengurangkan penolakan insulin dan membolehkan kawalan kadar glukos berterusan.

Keputusan kajian menunjukkan bahawa kawalan glukos dan tekanan darah yang baik dapat menjurus ke arah penurunan komplikasi akibat diabetes yang sangat ketara.

Platelet agen kecantikan

Posted: 24 Nov 2010 09:01 PM PST


DUNIA perubatan mendapati PRP berkesan untuk merawat masalah sendi.


TENTU ramai masih ingat kisah Raja Bersiong. Bayam bercampur darah menyebabkan hidangan yang dinikmatinya terasa lebih enak. Akibatnya Raja Bersiong ketagihan darah sehingga sanggup berlaku zalim mengorbankan rakyatnya. Gara-gara menghirup gulai bayam bercampur darah, dia ditumbuhi siong.

Biarpun tidak dapat dipastikan sejauh mana kebenaran kisah seorang raja ketagihan gulai bayam berdarah itu namun tentu ada jawapan mengapa hidangan tersebut begitu enak.

Mungkin kerana rasa manis darah atau kandungan darah yang kaya dengan sel-sel hidup menyebabkan rasa gulai bayam berbeza dengan hidangan biasa.

Justeru tidak hairanlah penemuan terkini dunia perubatan dan kecantikan menyaksikan penggunaan darah sebagai alternatif semulajadi untuk meremajakan kulit dan mencantikkan penampilan diri seperti mana Botox.

Teknik Platelet Rich Plasma (PRP) yang juga dikenali sebagai Vampire Filler itu semakin mendapat tempat dalam dunia perubatan kecantikan. Bukan itu saja, PRP turut diamalkan untuk mempercepatkan penyembuhan luka dan mengatasi pelbagai masalah kesihatan yang lain.

Tentu menarik menyelongkar kaedah terbaru yang turut tidak ketinggalan diamalkan di negara ini.

Pelopor penggunaan PRP dalam rawatan kecantikan, Dr. Julio F. Gallo merumuskan bahawa teknik terbaru itu sama seperti penggunaan filler kosmetik yang disuntik ke muka pesakit.

''Prosedur ini digelar vampire filler kerana kami menggunakan darah anda sendiri,'' kata Dr. Gallo yang berkhidmat dengan Institut Pengurusan Usia dan Intervensi di Miami.

Pengamal perubatan yang turut mendalami bidang kesihatan kecantikan Dr. Rushmini Maris Ismail ketika ditanya rawatan terkini itu menarik perhatian mengenai fungsi serta kandungan darah itu sendiri. Menurut beliau, darah terbina daripada sel sel hidup. Katanya, terdapt empat sel utama yang membina darah iaitu:

1) Sel darah merah

2) Sel darah putih

3) Platelet

4) Plasma darah

Setiap sel, kata beliau, mempunyai fungsi tersendiri dan merupakan struktur yang amat penting dalam perjalanan dan fungsi tubuh seorang manusia.

Sel darah merah, menurut Dr. Rushmini, berfungsi membawa oksigen ke seluruh tubuh manakala sel darah putih pula merupakan sel hidup yang membantu melawan penyakit. Sel pula darah putih sangat aktif melawan bakteria dengan cara mengepung dan menelannya. Ia juga berupaya merembeskan bahan kimia tertentu bagi memusnahkan bakteria.

Ditanya tentang platelet, Dr. Rushmini memberitahu, ia berupa sel-sel kecil dan paling seni yang penting bagi pembekuan darah. Selain itu platelet turut mengeluarkan beberapa faktor lain yang penting bagi keperluan manusia.

''Apabila darah tidak cukup platelet sebagaimana terjadi kepada pesakit yang diserang denggi maka perdarahan akan berlaku.

''Maka jelaslah kepada kita bahawa platelet juga mempunyai kepentingan dalam penyembuhan,'' katanya.

Menurut beliau, sifat platelet yang sebegitu telah lama dikaji oleh para saintis. Pada peringkat awalnya penggunaan platelet sebagai agen penyembuhan digunakan oleh sekumpulan pakar pembedahan pergigian 20 tahun lalu di Eropah. Oleh kerana kejayaan yang lihat sangat memberangsangkan maka pakar-pakar tulang turut menggunakannya bagi menyembuhkan tendon yang terkoyak.

Katanya, dalam bidang esthetik teknik tersebut turut digunakan melibatkan penggunaan plasma yang kaya dengan platelet. Ini kerana platelet adalah partikel kecil dalam darah yang mempunyai nilai estetik yang tinggi.

Platlet mengandungi:

1. Hormon Tumbesaran atau Growth Hormones (GH) dan sitokin (cytokines). GH yang terlibat pada darah adalah:

Faktor rangsangan pertumbuhan kulit atau Epidermal Growth Factor (EGF).

Fungsi GH antara lainnya adalah:

* Merangsang penyembuhan

sel-sel

* Merangsang pembaharuan

sel-sel

* Meningkatkan keupayaan sel

bagi bermetabolik.

* Mengubah GF Beta yang merangsang pembentukan kolagen yang merupakan matriks kulit kita. Ia bertindak sebagai pemenuh ruang di mana sel-sel saling bertautan. Ia juga memberi keanjalan kepada kulit. Apabila usia meningkat sudah tentu keupayaan kulit seseorang mengeluarkan kolagen akan berkurangan dan kulit mula tampak mengecut. Kehadiran platelet mampu membuatkan seseorang tampak lebih muda semula.

Merangsang angiogenesis.

Angiogenesis bermaksud pembentukan salur-salur darah baru. Apabila salur-salur darah kecil (kapilari) tidak dapat dihasilkan maka luka akan lambat sembuh. Hal ini terjadi kepada pesakit kencing manis sehingga menyebabkan luka lambat sembuh. Justeru aplikasi PRP dikatakan dapat membantu dan digunakan oleh para doktor bagi proses penyembuhan dalam kes-kes yang teruk.

Pelbagai manfaat PRP

Posted: 24 Nov 2010 09:00 PM PST


PROSEDUR PRP juga digunakan untuk merawat luka akibat diabetes.


1) Rejuvenasi kulit
PRP digunakan bagi rejuvenasi kulit muka dan badan. Sebulan selepas suntikan PRP kulit akan lebih segar dan tampak lebih anjal berbanding sebelumnya. Kaedah ini sesuai bagi mereka yang berusia 40 tahun ke atas kerana pada peringkat ini kulit mula mengalami kesan penuaan. Hormon yang berkurangan turut memburukkan keadaan menyebabkan seseorang tampak tua dan kaedah PRP mengembalikan semula keremajaan kulit seseorang.

2) Mengurangkan parut

Bagi yang mempunyai parut terutamanya parut jerawat pada muka kaedah ini adalah baik sekali. Kebiasaannya doktor akan menggabungkan rawatan PRP dengan kaedah laser yang boleh membantu mendapatkan kesan maksimum. Pada mulanya wajah dibersihkan dan dipancarkan dengan laser. Selepas itu PRP dimasukkan ke bawah kulit. Keseluruhan prosedur akan mengambil masa 40 minit. Dalam tempoh tiga minggu barulah kita akan dapat merasa perubahan yang ketara.

3) Menghilangkan pigmentasi

Pigmentasi adalah cabaran terbesar bagi doktor dan pakar kecantikan. Pigmentasi terhasil disebabkan oleh gangguan pada sistem melanocyte kulit kita. Apabila melanocyte menjadi aktif ia mengeluarkan banyak pigmen yang dinamakan melanin. Melanin yang banyak dan berkelompok menyebabkan kulit tampak hitam dan kusam. PRP membantu menstabilkan aktiviti melanocyte. Ia membuatkan masalah pigmentasi menjadi terkawal.

4) Garis dan lekuk pada wajah

PRP juga boleh bertindak sebagai natural filler yang berupaya mengisi ruang pada garis dan lekuk di wajah kita. Untuk itu PRP akan diaktifkan dengan campuran kalsium sehingga berubah bentuk menjadi filler semulajadi. Filler bererti bahan atau matrik kulit yang mengisi wajah. Penuaan membuatkan garisan pada wajah menjadi ketara. Garis-garis ini akan membuatkan wajah tampak murung. Garisan di antara kening misalnya menjadikan kita tampak seolah-olah sedang memikirkan sesuatu.

4) Alopecia

Alopecia bermaksud kepala botak yang berkait rapat dengan factor usia dan juga hormon pada badan. Seseorang yang mengalami alopecia sukar sembuh disebabkan hormon dan faktor-faktor pertumbuhan yang kurang. Kehadiran PRP membuatkan rambut mula tumbuh kembali.

5) Ulser diabetes

Apabila seseorang mengidap kencing manis atau diabetes, dia akan mudah mendapat luka dan luka yang terjadi juga lambat sembuh. Ini kerana pada sel sel terdapat kurang faktor rangsangan sel endotelium yang mustahak bagi merangsang penyembuhan luka. Oleh kerana pesakit kencing manis mempunyai kadar gula yang tinggi di dalam tubuhnya maka kuman juga mudah menyerang. Apabila terkena jangkitan kuman maka luka makin menjadi teruk. Antibiotik sangat mustahak bagi membunuh kuman dan pembersihan setiap hari perlu dibuat. Laser boleh digunakan untuk membunuh kuman di dalam luka. Apabila kuman sudah mati luka tidak akan berbau lagi dan PRP boleh digunakan bagi merangsang penyembuhan.

Untuk maklumat lanjut mengenai rawatan PRP boleh hubungi Marissa Esthetic, No. 26, Jalan 4, Semenyih Sentral, 43500 Semenyih, Selangor. Tel: 03-87234808, 013-2448484 atau layari www.marissa-esthetic.com.

Hapuskan kulit kusam

Posted: 24 Nov 2010 09:00 PM PST

"SAYA tidak yakin dengan penampilan diri. Setiap masa saya perlu menggunakan bedak dan mekap jika tidak kulit tampak kusam. Kesan parut lama juga kelihatan.

''Apabila memakai bedak pula tak sampai dua jam bedak akan tertanggal. Akibatnya terpaksa touch up semula bedak setiap beberapa jam. Hal ini menjadikan saya berasa rendah diri.

Ada tak cara untuk saya mendapatkan kulit yang sekata dan tampak hebat biarpun tanpa solekan?" tanya Suriati.

Tidak dapat dinafikan faktor kecantikan kulit dan tubuh badan amat penting bagi wanita. Seseorang wanita yang memiliki kulit halus dan susuk tubuh menarik lebih berkeyakinan meningkatkan keterampilan sekali gus menjadikannya anggun dan berpersonaliti. Kulit yang segar dan berseri pasti menawan sesiapa sahaja yang memandang. Seri wajah tidak bergantung kepada warna kulit. Mereka yang berkulit gelap atau sawo matang juga tampil cantik berseri jika kulitnya segar dan bersih.

Kecantikan perlu dijaga dan dipupuk. Sejak zaman dahulu lagi petua petua kecantikan dibisikkan ke telinga anak-anak gadis. Arang di dapur dijadikan pemutih gigi, beras yang direndam dilumur ke muka menjadikan wajah bersih dan berseri. Putih telur pula dijadikan masker yang membuang noda pada kulit sekali gus menegangkan kulit kita.

Kulit kusam terjadi disebabkan oleh masalah sel-sel kulit yang bercampur-campur. Sel kulit yang mati dan sel baru saling bercampur menyebabkan kulit tampak gelap dan bernoda. Pertumbuhan sel-sel juga lambat dan sel-sel baru kurang berkembang. Ini menyebabkan kulit tampak pudar.

Kulit sebegini sering mendapat white heads iaitu pengumpulan lemak dalam pori-pori kulit. Lemak ini berasal dari kelenjar sebum atau kelenjar minyak yang terlalu aktif. Oleh kerana pengeluaran lemak terlalu banyak maka kulit jadi berminyak dan memudahkan jerawat tumbuh. Begitu juga dengn noda hitam akibat sel-sel sebum dan bulu roma yang bercampur. Noda hitam yang banyak menyebabkan warna kulit menjadi tidak sekata. Kulit tampak kotor meskipun telah dicuci.

Satu lagi masalah yang menjadikan kulit tampak kusam ialah kesan parut lama. Apabila kulit berparut akibat daripada jerawat ataupun masalah lain maka kesan kehitaman mula terlihat. Mencuci muka sahaja tidak boleh membantu mengatasinya. Jika seseorang wanita itu bekerja di lapangan atau selalu terdedah kepada sinaran matahari, kulit akan menjadi lebih kasar, pigmentasi dan cepat berkedut. Ini kerana sinaran matahari boleh menyebabkan berlakunya pigmentasi. Pigmentasi akan menyebabkan kita kelihatan lebih tua. Sinaran UVA dan UVB juga menyebabkan kulit cepat kehilangan kolagen. Kolagen pada kulit tidak boleh diganti dengan menyapu kolagen pada kulit atau dengan mengambil kolagen dari pemakanan. Oleh itu kita kena menjaga kulit daripada kehilangan kolagen dengan melindunginya daripada dirosakkan oleh sinaran matahari. Apabila kulit kehilangan banyak kolagen, maka berlakulah kedut-kedut di muka. Ini menyebabkan kita kelihatan lebih tua daripada usia sebenar.

Satu lagi sebab utama yang menjadikan kulit tampak kusam adalah penggunaan produk kecantikan yang tinggi bahan kimia. Apabila sel kulit rosak ia menjadi kusam. Pemakainya tidak boleh berhenti menggunakan produk itu selama-lamanya. Kulit menjadi "ketagih" kepada bahan kimia itu. Tanpanya ia layu dan menjadi gelap.

Jenis jenis kulit

Kebiasaannya kulit kita adalah jenis campuran. Namun untuk memudahkan kita memahami ragam kulit, saya akan mengkelaskannya kepada beberapa jenis.

Kulit normal

Kulit yang segar dan kelihatan kemerahan. Pori-porinya kecil dan kelihatan segar.

Kulit jenis ini tidak banyak masalah.

Kulit kering

kulit jenis ini sering kering dan kadang kala pecah di bibir dan pipi. Pori-pori tidak kelihatan memandangkan kelenjar sebaceous yang menghasilkan kelembapan kulit tidak banyak. Justeru ia memerlukan krim dan bantuan untuk melembapkannya.

Kulit berminyak

Kulit kasar dan berkilat. Kelenjar sebaceous terlalu aktif dan pori-pori kelihatan besar. Kulit jenis ini memerlukan penjagaan rapi. Ia mudah berjerawat .

Kulit kombinasi

Kebanyakan kita memiliki kulit kombinasi. Bahagian tengah muka, dahi, hidung dan dagu berminyak dan tampak kasar manakala bahagian lain akan kelihatan halus dan licin.

Pixel Laser

Pada masa kini teknologi laser digunakan dengan meluas bagi meningkatkan kecantikan kulit. Laser pixel laser merangsang kulit dan mengelakkan masalah kulit kusam. Apabila pixel dibuat, pancaran laser yang menusuk kulit akan mengeluarkan sel-sel mati dan meningkatkan aktiviti sel-sel baru. Ini membolehkan sel lama dikeluarkan dan aktiviti penggantian kulit akan lancar. Dengan ini kita akan mendapat sel-sel baru yang lebih baik. Laser juga mengecilkan kelenjar sebum. Apabila minyak kurang keluar maka wajah tampak lebih sekata dan lebih berseri. Begitu juga dengan white head. Penggunaan laser menghapuskan white head akibat dari minyak yang banyak. Bagi saya penggunaan laser yang berkualiti adalah sangat mustahak bagi menghasilkan kesan yang diingini. Laser ada pelbagai jenis dan setiap satunya amat spesifik tindakannya. Laser jenis pixel bertindak menghapuskan jenis parut berlubang dan membuang sel-sel mati yang melekat pada kulit. Justeru itu ia amat sesuai bagi rawatan kulit kusam. Pixel sesuai bagi semua jenis kulit.

Selepas rawatan laser dijalankan amat mustahak bagi kita menjaga kulit agar tidak terkena pancaran matahari selama seminggu. Pada waktu ini amat penting sekali bagi kita menggunakan pelindung cahaya matahari yang baik dan krim pelembap yang disyorkan oleh doktor. Sekiranya langkah-langkah ini diikuti kita pasti mendapat hasil yang sangat baik dan kulit yang benar-benar halus dan mulus.

Kulit yang halus mudah diuruskan. Ia sukar berjerawat berbanding kulit yang kasar. Ini kerana kelenjar minyaknya adalah sekata dan tidak berlebihan. Ia juga tampak sempurna apabila disapu bedak atau mekap. Pori-porinya yang kecil membuatkan sapuan mekap sempurna dan sama rata.

Apabila berbedak dan bermekap ia mampu menyimpan bedak dan mekap jauh lebih lama. Ini membuatkan anda kelihatan segar dan berseri sepanjang hari. Mereka yang berkulit halus juga tidak berasa ragu untuk tampil tanpa mekap. Ini kerana kulit yang cantik dan licin akan tetap menarik meskipun tiada sebarang solekan dikenakan.

Bagi anda yang bermasalah kulit kasar dan ingin mengubah strukturnya menjadi lebih baik anda bolehkah mencuba kaedah ini kerana rawatan laser yang tepat sangat bermanafaat kepada kulit kita.

Herba rangsang detoksifikasi

Posted: 24 Nov 2010 08:57 PM PST

SAYA mudah rasa letih dan lesu sejak kebelakangan ini walaupun saya cuba mendapatkan tidur yang lebih baik. Ada yang berpendapat agar saya memulakan program detoks untuk mengurangkan pengumpulan toksik tubuh dan membantu mengembalikan kesihatan. Adakah ia membantu saya?

Jawapan,

Mungkin saranan yang paling kerap didengar untuk mengekalkan kesihatan adalah makan secara sihat dan seimbang serta kekalkan amalan gaya hidup aktif, iaitu bersenam. Sebenarnya saranan ini masih praktikal, berkesan dan tidak memerlukan kos yang tinggi.

Tabiat pemakanan yang tidak sihat, sama ada pengambilan makanan proses atau segera yang tinggi, makan secara berlebihan mahupun mengabaikan kandungan zat yang diperlukan oleh tubuh. Amalan pemakanan menjadi antara penyumbang terbesar kepada pelbagai masalah kesihatan. Mengawal pengambilan makanan sebenarnya menjadi satu cabaran bagi kita, namun harus diingat bahawa kesederhanaan merupakan kunci penting. Makan secara berlebihan boleh menyebabkan masalah tidak hadam, pedih ulu hati, kembung, ketidakselesaan perut, sembelit, peningkatan berat badan, keletihan dan pelbagai lagi.

Bagaimanapun, detoks sebenarnya bukan hanya tertumpu kepada sistem pencernaan ataupun usus, tetapi hati juga perlu diberi perhatian. Penyingkiran toksin daripada hati juga penting memandangkan ia memainkan peranan penting dalam pelbagai fungsi seperti menapis atau membersihkan darah, menyimpan vitamin, mineral, gula, lemak dan nutrien-nutrien lain, mengawal hormon, berperanan dalam penghadaman lemak dan pelbagai lagi.

Apabila hati terlalu dibebankan, sama ada akibat pemakanan, gaya hidup ataupun faktor persekitaran, maka fungsinya boleh terjejas dan seseorang itu mula mengalami ketidakselesaan. Nafas berbau atau bau badan, masalah kulit, lingkaran hitam bawah mata, kelesuan merupakan antara beberapa contoh lazim. Masalah penghadaman lemak pula boleh menjurus kepada simptom-simptom seperti tidak hadam, refluks, kekurangan vitamin larut lemak, intolerans terhadap makanan berlemak, loya dan muntah, kembung dan juga sembelit.

Memandangkan hati merupakan organ pembersih yang sangat penting, ia tidak terlepas daripada menerima kesan akibat pendedahan kepada bahan berbahaya.

Dalam usaha menyokong fungsi hati, milk thistle merupakan antara herba yang paling banyak dicadangkan dan dengan itu ia dikenali sebagai tonik hati. Penyingkiran toksik daripada hati merupakan proses yang penting sama ada sebagai pencegahan mahupun menyokong rawatan sedia ada. Dengan itu pengambilan milk thistle sesuai untuk merangsang penyingkiran bahan toksik berbahaya atau detoksifikasi hati.

Komponen aktif dalam herba milk thistle seperti silymarin didapati membantu menstabilkan membran sel, dan dengan itu mencegah kimia berbahaya daripada memasuki sel-sel dan menyingkirkannya sebelum ia mendatangkan kerosakan. Selain itu, silibin juga bertindak sebagai anti oksida untuk melawan radikal bebas, meningkatkan aktiviti superokside dismutase dan glutathione peroksidase dalam sel. Ini juga penting kerana glutathion merupakan enzim anti oksida utama tubuh yang memperbaiki detoksifikasi hati dengan melekat pada toksin serta meneutralkan kesan berbahayanya.

Minum air secukupnya, makan secara seimbang yang merangkumi buahan dan sayuran yang berserat tinggi bukan sahaja bermanfaat untuk membantu menyingkirkan bahan kumuh secara normal, tetapi nutriennya juga mampu membantu menyubur dan memulih kesihatan tubuh.

Kemudahan kelas pertama di kem PLKN

Posted: 24 Nov 2010 08:57 PM PST


Pusat sumber yang menempatkan kemudahan Internet, perpustakaan dan barang-barang berkaitan PLKN untuk kemudahan pelatih.


MENDENGAR sahaja Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) akan mengambil pelatih baru, pasti ada ibu bapa yang tidak lena tidur memikirkan nasib anak yang bakal dihantar ke kem-kem latihan.

Kebanyakan ibu bapa masih mempunyai stigma kem PLKN yang dibina tidak selamat kerana lokasinya jauh dan ada antaranya terletak di kawasan pedalaman.

Namun hakikat sebenarnya adalah berbeza. Kesemua kem terlibat mempunyai kemudahan asas lengkap dan telah dibina dengan mengambil kira soal keselamatan dan keselesaan.

Selain itu, pengasingan kemudahan antara jantina turut dititikberatkan di setiap kem supaya kawalan dan pemantauan dapat dilakukan dengan mudah.

Sehubungan itu, Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat PLKN, Leftenan Kolonel Mohd. Razak Omar berkata, pembinaan kemudahan latihan yang selamat dan mengikut spesifikasi terutamanya untuk aktiviti fizikal merupakan aspek penting.

Ia bagi mewujudkan keyakinan bukan sahaja di kalangan pelatih tetapi juga ibu bapa.

"Pihak pengurusan PLKN memandang serius aspek keselamatan dalam setiap aktiviti fizikal terutamanya yang berkaitan aktiviti air, jadi setiap prasarana tersebut akan sentiasa dipantau bagi menjamin keadaan setiap peserta," jelasnya.

Menurut beliau, setiap pengusaha kem juga perlu mematuhi prosedur ketat dalam penyediaan kemudahan sepanjang program PLKN dijalankan supaya setiap pelatih mendapat keselesaan dan kemudahan kelas pertama.

"Bekalan air bersih, elektrik, asrama dan tempat latihan merupakan perkara asas yang wajib dipatuhi untuk membolehkan setiap kem beroperasi," tegasnya.

Tambah Mohd. Razak, sepanjang berada dalam program tersebut juga, pelatih akan didedahkan dengan empat modul latihan yang direka khusus untuk menanamkan perasaan cintakan Negara dan memupuk semangat 1Malaysia.

"Modul tersebut adalah modul fizikal, kenegaraan, pembinaan fizikal dan khidmat komuniti yang akan diadunkan agar setiap pelatih dapat membina jati diri dan perpaduan antara kaum," katanya.

Sementara itu, pengusaha kem PLKN Junako Park, Sibu, Khiu Siong Hii berkata, kreativiti untuk mewujudkan kemudahan tambahan adalah penting agar peserta dan jurulatih gembira dan tidak bosan.

"Di sini kami turut membina sebuah kolam renang sedalam dua meter sebagai prasarana tambahan supaya pelatih mempunyai keyakinan dalam air. Di samping itu, beberapa rumah atas pokok juga dibina untuk mereka bersantai," katanya.

Beliau menambah, bagi mewujudkan persekitaran membaca dan membudayakan ilmu di kalangan warga PLKN, sebuah pusat sumber turut dibina dan ditempatkan di kawasan yang mudah untuk dilawati.

"Pusat sumber di sini turut dilengkapi komputer dan Internet, perpustakaan mini serta artikel-artikel berkenaan PLKN dari siri satu hingga sekarang turut dikumpulkan untuk dijadikan rujukan," jelasnya.

Kem yang mula beroperasi pada 2004 itu dan berkeluasan 123 hektar turut merangkumi pejabat urusan, klinik, surau, bilik kuliah, dewan makan serta pelbagai kemudahan lain seperti padang bola, padang kawad, kolam, kediaman jurulatih dan pelatih.

Jenayah komersial cabaran Rohaimi

Posted: 24 Nov 2010 08:56 PM PST


BERSAMA pegawai-pegawai kanan semasa bertugas di Maktab PDRM Cheras pada tahun 2006.


SELARAS dengan perkembangan pesat teknologi di seluruh dunia, pelbagai bentuk jenayah kini muncul selain jenayah kekerasan yang sering kita baca di dada-dada akhbar.

Jenayah kini bukan hanya tertumpu kepada pembunuhan, rogol mahupun rompakan, malah ia kini turut membabitkan jenayah kolar putih yang terancang tanpa kekerasan, sejajar dengan berkembangnya bidang teknologi maklumat (IT).

Bagi memastikan jenayah era baru ini ditangani sebaik mungkin, Polis Diraja Malaysia (PDRM) meletakkan kepercayaan terhadap pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) untuk memastikan penjenayah dalam bidang ini dibanteras dan dipatahkan.

Tugas mengetuai pasukan JSJK, sama ada di peringkat Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, kontinjen mahupun daerah sememangnya berat kerana ia menuntut kepakaran seseorang anggota dan pegawai bagi mengesan dan mengenalpasti bentuk jenayah komersial, melebihi kemahiran penjenayah.

Itulah yang dialami Asisten Komisioner Rohaimi Md. Isa selepas diberi tanggungjawab sebagai Ketua Penolong Pengarah (Operasi) di JSJK Bukit Aman sejak tahun 2007.

Beliau mengakui sentiasa berhadapan dengan pelbagai cabaran baru dalam menangani jenayah komersial yang sentiasa berubah corak dan trend mengikut perkembangan arus perdana.

Menurutnya berbeza dengan jabatan jenayah lain, fungsi utama JSJK adalah menjalankan penyiasatan, menangkap, dan mendakwa penjenayah kolar putih.

Katanya, ini termasuk membanteras jenayah penipuan, pecah amanah dan pemalsuan siber sama ada kegiatan itu dilakukan oleh orang perseorangan mahupun secara sindiket.

"Jenayah komersial lebih bersifat global. Ia tidak melibatkan keganasan atau kecederaan fizikal tetapi lebih kepada taktik penipuan secara terancang yang harus ditangani dengan teknik yang bijak dan berkesan.

"Memandangkan jenayah komersial melibatkan kaedah yang pelbagai, PDRM iaitu JSJK perlu mempunyai perancangan yang tersusun bagi memastikan kita berjaya membanteras jenayah ini," katanya kepada Gaya Polis baru-baru ini.

Menurutnya lagi, perkembangan jenayah komersial banyak dipengaruhi perubahan teknologi moden, justeru, setiap anggota dan pegawai perlu sentiasa peka dan mengambil tahu trend-trend terbaru yang menjadi strategi penjenayah.

"Jenayah komersial masa kini berbeza dengan masa lalu di mana kini banyak cara yang boleh dilakukan penjenayah untuk mengumpan mangsanya sama ada secara terbuka mahupun di alam maya.

"Justeru, perkembangan semasa berkaitan teknologi dan multinasional perlu dikuasai bagi menyelongkar kegiatan jenayah tersebut," ujarnya.

Sehubungan itu, bagi memantapkan JSJK pada masa kini, tumpuan diberikan di bahagian operasi selain turut mempertingkatkan bahagian siasatan dan jenayah siber yang diketuai pengarah yang baru iaitu Datuk Wira Syed Ismail Syed Azizan.

Katanya, JSJK terdiri daripada beberapa bahagian antaranya risikan, operasi, siasatan jenayah siber dan multimedia, pemalsuan, kewangan dan korporat.

"Di setiap bahagian mempunyai peranan tertentu bagi memastikan setiap visi jabatan dapat dilaksanakan," katanya lagi.

Ditanya mengenai pengalaman beliau mengendalikan kes jenayah komersial, Rohaimi yang berusia 45 tahun berkata, penipuan peraduan melalui sistem pesanan ringkas (SMS) antara kes terbesar yang pernah dikendalikannya.

"Kira-kira lima bulan lalu, kami berjaya menahan seramai 26 warga asing yang bergiat aktif menjalankan kegiatan peraduan SMS yang menawarkan pelbagai hadiah menarik di sekitar Tawau, Sabah.

"Selama dua bulan risikan dilakukan sebelum berjaya memberkas kesemua suspek dalam operasi yang dinamakan sebagai 'Ops Pipit'," katanya.

Tambahnya, dalam 'Ops Serama' pula, pihaknya berjaya melumpuhkan satu sindiket yang menjalankan skim pemasaran pelbagai peringkat (MLM) berasaskan sistem piramid.

"Sindiket tersebut dipercayai terlibat dalam skim pelaburan haram yang ditumpaskan di Bandar Sunway Piramid pada 6 Ogos lalu," katanya.

Keletah Liyana pikat IB

Posted: 24 Nov 2010 08:55 PM PST


KELETAH dan personaliti Liyana Jasmay berjaya memikat Istana Budaya apabila terpilih menerajui teater muzikal kanak-kanak, Siti Di Alam Fantasi.


TEATER kanak-kanak, Siti Di Alam Fantasi (SDAF) pernah mencetus fenomena luar biasa ketika dipentaskan kali kedua di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) pada tahun 2000.

Mempertaruhkan penyanyi dan pelakon popular, Amy Mastura sebagai teraju utama teater arahan Aminah Raphor itu, SDAF berjaya mencatatkan penjualan tiket sehingga menjadi salah sebuah persembahan yang cukup laris ketika itu.

Dengan garapan cerita yang mirip kepada kisah Alice In Wonderland, tidak hairanlah mengapa SDAF dengan pantas menjadi pujaan kanak-kanak.

Malah, populariti SDAF juga dilangsungkan ke dalam medium televisyen yang pernah ditayangkan di RTM selepas pementasan di IB.

Kini, selepas sedekad, SDAF kembali ke pentas IB dengan pendekatan serta sentuhan baru yang menyaksikan pelakon dan penyanyi remaja, Liyana Jasmay menerajui teater muzikal kanak-kanak itu.

Sememangnya keletah dan personaliti Liyana yang sentiasa riang itu berjaya menambat hati IB yang tidak menunggu lama untuk melamar artis berusia 22 tahun itu membintangi SDAF.

Ketua Pengarah IB, Mohamed Juhari Shaarani memberitahu, pihaknya yakin dengan kemampuan Liyana yang memerankan watak Siti dalam teater itu dalam menarik perhatian kanak-kanak menontonnya kelak.

Kata Mohamed Juhari, ketika IB mahu mementaskan kembali SDAF, pihaknya memang mahukan seorang pelakon yang mampu membawakan watak itu dan memiliki kriteria watak Siti itu sendiri.

"Lalu, apabila menghadiri sidang akhbar pengumuman teater Natrah musim kedua tempoh hari, entah bagaimana ada kuasa magnet yang membuat saya terpaku melihat keletah Liyana.

"Liuk tubuhnya dan gayanya yang manja itu membuatkan saya 'jatuh hati' kepada Liyana dan saya tidak menunggu lama untuk melamarnya sejurus tamat sidang akhbar itu," ceritanya pada sidang akhbar SDAF baru-baru ini.

Namun, jawapan yang diberikan oleh Liyana menerusi ibunya, Habsah Simpon pada awalnya membuatkan Mohamed Juhari sedikit gusar.

Jika mengikut perancangan awal, Liyana sudah terikat dengan sebuah projek khas sepanjang bulan Disember iaitu tarikh yang sama dengan pementasan SDAF.

"Mungkin sudah jodoh Liyana dengan IB, jawapan yang saya terima adalah positif lalu membuatkan saya teruja untuk melihat hasil SDAF yang baru ini," jelas Mohamed Juhari atau mesra disapa Abang Joe di kalangan pihak media.

Selain Liyana, dua pelakon yang sudah mengesahkan penglibatan mereka untuk teater ini ialah Vanidah Imran dan Ebby Yus yang akan membawakan watak Ratu Labah-Labah dan Mamat.

Selebihnya, ia akan dibarisi oleh pelakon kanak-kanak yang pasti akan menggamatkan Panggung Sari kelak dengan keletah serta gelagat comel mereka.

Memang agak mengejutkan apabila pementasan SDAF dilakukan pada saat-saat akhir memandangkan slot pada bulan Disember sepatutnya menjadi milik Budak Kampung the Musical.

Namun, atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, muzikal terbitan Tall Order Productions milik Hans Isaac itu ditunda kepada bulan Mac tahun depan.

Kerana itu, pihak IB berada dalam keadaan sedikit kelam-kabut untuk mencari pengganti bagi mengisi slot itu dan daripada situ tercetuslah idea untuk mementaskan SDAF.

Pementasan SDAF juga adalah untuk mengisi slot teater kanak-kanak yang diadaptasi daripada cerita legenda mahupun mitos antarabangsa dalam acuan tempatan.

Semuanya adalah gabungan idea yang dicetuskan oleh IB di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan sejak tahun 2007.

Antara teater kanak-kanak di bawah slot itu yang sudah dipentaskan adalah Ali Baba dengan 40 Penyamun (2007), Aladdin (2008) dan Sinbad (2009).

Bagi Aminah pula, dia sememangnya teruja untuk mengarahkan SDAF ini kerana mahu melihat hasilnya di atas pentas kelak.

Selepas 10 tahun, Aminah tidak menafikan cabaran yang harus dipikulnya sebagai pengarah dalam mengarahkan SDAF versi baru ini.

"Kali ini semuanya akan kelihatan lebih segar dan baru seiring dengan perkembangan semasa. Kami akan memastikan SDAF yang baru ini akan menjadi sebuah tontonan yang menghiburkan seisi keluarga.

"Jalan ceritanya juga akan diolah dan kami akan menitik beratkan aspek visual, warna dan rekaan set kerana faktor inilah yang cepat menangkap mata kanak-kanak.

"Barisan pelakon kanak-kanak juga sudah disenaraikan. Cuma, kini kami sedang mencari pelakon yang sesuai untuk membawakan watak Pokok. Semuanya akan diumumkan dalam sidang media kedua tidak lama lagi," kata Aminah yang juga pengarah filem kontroversi, Lu Pikirlah Sendiri de Movie.

Liyana yang anggun mengenakan gaun pendek berwarna fuchsia pada sidang akhbar itu menyatakan perasaan terharu apabila dipilih membintangi SDAF.

Sementelah memang sudah lama dia mengidamkan untuk beraksi dalam sebuah pementasan teater muzikal bagi meluaskan lagi skop lakonannya.

"Saya juga merupakan seorang peminat setia watak-watak puteri dalam filem animasi Disney dan apabila diberi peluang membawakan watak seperti itu, sudah pasti ia merupakan satu penghormatan buat saya.

"Untuk itu, saya membuat rujukan dengan menonton pementasan seperti itu di YouTube. Saya juga berharap tidak akan ada yang cuba membandingkan saya dengan Amy Mastura kerana ia merupakan zaman yang berbeza.

"Saya akan membawa watak ini dengan cara saya sendiri dan saya berharap penonton akan terhibur menontonnya kelak," katanya yang memulakan latihan untuk SDAF berselang-seli dengan waktu pementasan Natrah nanti.

Nadia kembali menyanyi

Posted: 24 Nov 2010 08:52 PM PST


NADIA AQILAH


TIDAK ramai yang sedar si gadis lincah ini mula muncul dalam industri seni sebagai seorang penyanyi. Apa yang lebih menyerlah tentang pemilik nama Nadia Aqilah ini ialah dunia lakonannya di stesen-stesen televisyen.

Nadia dikenali dengan watak-watak antagonis dan lakonannya benar-benar menjadi sehingga membuatkan penonton meluat dan benci dengan wataknya yang menyakitkan hati.

Antara lakonannya yang diingati ialah sebagai Chika dalam drama bersiri popular Tari Tirana dan dalam drama Sindarella pula sebagai Puteri Rania.

Hakikatnya, Nadia memulakan kariernya sebagai penyanyi pada tahun 2007 bersama kumpulan trio anak gadis yang digelar Luscious.

Bersama dua orang rakannya, Luscious menyerlah menerusi rancangan realiti Gangstarz dan merupakan satu-satunya kumpulan wanita yang berjaya mara ke suku akhir pertandingan itu.

Boleh menyanyi dan pandai menari, tetapi entah bagaimana bakatnya dalam lakonan lebih menyerlah sehingga mereka yang sedar kewujudan Nadia sebagai seorang penyanyi hampir melupai bakatnya itu.

Kini, setelah hampir tiga tahun, akhirnya Nadia memberanikan diri untuk kembali ke cinta asalnya iaitu dunia nyanyian.

Tidak lagi bertiga, kini Nadia tampil solo dengan sebuah album yang memuatkan 10 buah lagu, tujuh buah lagu berbahasa Inggeris dan tiga buah lagu berbahasa Malaysia yang akan dipasarkan pada hujung tahun ini.

Mempertaruhkan single sulungnya, D.I.V.A. yang dicipta oleh Daniel Veerapendan dan Nadia sendiri serta lirik oleh Bahri Uma, Nadia optimis dengan pemilihan konsep lagunya ini dan enggan berpatah balik.

"Setakat ini, mereka yang mendengar lagu D.I.V.A. ini memberikan komen yang positif kerana iramanya yang rancak dan lain dari yang lain," ulasnya.

Sejak kecil lagi, dia menyimpan hasrat menjadi penyanyi tetapi entah bagaimana, bidang lakonan lebih menyerlahkan namanya.

"Mungkin semuanya bermula apabila saya terlibat dengan teater seperti Puteri Gunung Ledang dan Muzikal P. Ramlee. Dari situ saya mula jatuh cinta dengan dunia lakonan," katanya mengenai pengalaman manis di pentas teater.

Susulan daripada situ, dia menerima tawaran berlakon daripada Lakefront Records Sdn. Bhd.

Tawaran itu membuatkan Nadia nekad untuk berehat dari berlakon buat sementara waktu dan fokus dengan cita-cita asalnya.

"Bukan tidak mahu menerbitkan album sendiri dalam tempoh tiga tahun ini seperti ramai penyanyi lain lakukan, tetapi saya tidak seberapa berkeyakinan pada ketika itu.

"Bagaimanapun, saya tidak pernah berputus asa dengan muzik kerana ia adalah jiwa saya. Saya harap orang ramai dapat menerima Nadia Aqilah sebagai seorang penyanyi," ujarnya pada satu pertemuan dengan Hits baru-baru ini.

Kata Nadia, keputusannya untuk bergerak solo bukanlah kerana ada persengketaan dengan dua orang lagi rakan baiknya di dalam Lusciuos iaitu Inaz dan Ruzana.

Masih bersahabat baik, ujar Nadia masing-masing kini mempunyai haluan hidup sendiri dan dia pula tetap mahu meneruskan cita-cita asalnya.

Doktor kena caj mahal

Posted: 24 Nov 2010 08:50 PM PST

BEBERAPA keratan akhbar laporan caj perubatan mahal dan  tidak munasabah.
BEBERAPA keratan akhbar laporan caj perubatan mahal dan tidak munasabah.
Pengamal perubatan terkejut bil dikenakan hospital swasta tinggi

KUALA LUMPUR: Seorang doktor yang berpengalaman 25 tahun mendakwa turut menjadi mangsa caj tinggi dan tidak munasabah sebuah hospital swasta di ibu negara, selain meminta bayaran tambahan ketika disorong ke bilik Pengimejan Resonans Magnetik (MRI).

Beliau dari Petaling Jaya, mendapatkan rawatan di hospital swasta itu pada 12 November lalu selepas sebulan mengalami sakit di kedua-dua buku lali menyebabkannya tidak dapat berdiri atau duduk dalam tempoh lama.

Pantang dicabar

Posted: 24 Nov 2010 08:47 PM PST

  • Foto

  • Foto

Bintang Appalam perbaiki penguasaan bahasa Tamil selepas dikritik

PADA awal pembabitannya dalam industri drama Tamil, Raja Ilya dapat berasakan dia berdepan cabaran yang bukan kecil. Dirinya bukan sekadar pelakon yang pada dasarnya berbangsa Melayu, malah penguasaannya terhadap bahasa Tamil itu sendiri membuatkan wanita cantik ini dikritik.

Namun, sudah menjadi sifat semula jadi Ilya untuk bingkas bangkit sebaik saja cabaran diterima, terutama dalam soal kerja. Menyedari kejanggalan yang dirasakan rakan seperjuangan dalam industri seni Tamil negara ini, dia cuba memperbaiki situasi terbabit dengan mendalami bahasa berkenaan, demi membolehkan dirinya diterima lebih baik lagi di kalangan penggiat seni India."Pada mulanya, tentulah agak janggal untuk mereka melihat seorang pelakon Melayu melakonkan watak gadis India. Kejanggalan itu sendiri dapat saya rasakan sama. Namun, syukurlah selepas beberapa ketika, mereka mula menerima saya seadanya.
"Saya sendiri mula mengikuti kelas bahasa Tamil, sebaik saja selesai menjalani penggambaran filem Appalam arahan Afdlin Shauki. Selama sebulan lebih saya menajamkan penguasaan saya terhadap bahasa berkenaan. Saya beruntung kerana selain menghadiri kelas, saya mempunyai rakan India yang sudi menghulurkan bantuan dalam proses berkenaan," katanya.

Appalam ialah filem bahasa Tamil keluaran Tayangan Unggul yang dihasilkan berdasarkan filem Melayu popular arahan pengarah sama, Papadom (2009). Selain Ilya, turut menjayakan filem terbabit ialah Jaclyn Victor, Gana, Sharifah Amani dan Afdlin sendiri. Ia menemui penonton seluruh negara mulai hari ini.

Filem terbabit dikatakan filem bahasa Tamil pertama dihasilkan dalam bentuk 35 mm selepas 24 tahun, menggunakan belanja sekitar RM1.5 juta. Menurut bekas pramugari Penerbangan Malaysia ini, dia dapat berasakan adanya peningkatan dalam penguasaan bahasa Tamilnya selepas mengikuti kelas terbabit.

"Paling tidak, kini saya lebih yakin untuk terus beraksi dalam drama mahupun filem bahasa Tamil," katanya yang tidak lekang dengan senyuman, sewaktu berkunjung ke Balai Berita, baru-baru ini.
Mula berlakon sekitar 2005, namanya mula dikredit dalam drama bahasa Tamil hasil usaha pengarah Along Kamarudin. Sejak itu, satu demi persatu tawaran membabitkan diri dalam produk berbahasa itu diterima olehnya, termasuk Appalam, filem digital I Know What You Did Last Deepavali dan drama bersiri Anjali.

Wanita berdarah campuran Melayu-Malayalam ini mengaku, tekadnya untuk menguasai bahasa itu timbul setelah dirinya dikritik. Ilya nekad membuktikan, dirinya setanding pelakon India yang lain. Nyata sekali, sikap pantang dicabar memberikan impak positif pada pelakon berusia 25 tahun ini.

Berasa cukup bertuah apabila diterima beraksi dalam Appalam, bagaimanapun Ilya mendedahkan, seperti mana pelakon lain, dia juga menghadiri sesi uji bakat sebelum ditawarkan watak utama yang pernah dilakonkan Liyana Jasmay, dalam filem terbabit. Nyata, segala ciri yang diingini Afdlin untuk watak utama filem itu ada pada diri wanita ini.

"Walaupun saya melakonkan watak yang pernah dipegang oleh Liyana dalam versi Melayunya, namun saya tidak menjadikan watak lakonannya dulu sebagai rujukan untuk filem ini. Afdlin sendiri tidak mahu saya berbuat demikian, kerana Appalam ialah filem Tamil. Sebagai Shruti, saya ialah gadis India yang mempunyai perwatakannya sendiri. Kedua-duanya mempunyai budaya hidup yang berbeza.

"Untungnya, apabila saya mempunyai ramai kawan keturunan India. Justeru, saya banyak memerhati dan mempelajari cara dan gaya mereka, demi menjayakan watak Shruti," ujarnya yang mengaku seronok bekerja bersama Afdlin.

Kata pelakon yang tidak berniat untuk bersaing, sebaliknya ingin berkongsi bakat dimiliki, Appalam juga dianggap Afdlin sebagai produk yang lebih baik.
Pengarah itu, menurutnya, kini mampu memperbaiki kelemahan yang dirasakan wujud dalam filem Papadom menerusi filem bahasa Tamil ini. Penceritaan dan rakaman filem itu diperkemaskan lagi, yang membuatkan dirinya berasa cukup beruntung apabila sama-sama terbabit dalam projek ini.

Bakal gegar Bollywood

LANGKAH Raja Ilya dalam lakonan semakin panjang apabila dia menerima tawaran membintangi sebuah filem usaha sama Malaysia-India berjudul Love Is Blind. Ketika ini, projek yang bakal menggandingkannya dengan Ravi Kishen sebagai teraju utama itu hanya menunggu waktu untuk memulakan penggambaran.

"Antara lain, filem ini berkisar kepada pertemuan dua insan cacat penglihatan. Seorang dari Malaysia dan seorang lagi dari India. Walaupun tidak mempunyai daya penglihatan, namun ia tidak menghalang kedua-dua insan istimewa ini untuk saling jatuh cinta," kata Ilya sememangnya menggemari filem dari Mumbai dan Kolkata.

Katanya, sebanyak 40 peratus daripada penggambaran filem itu akan dilakukan di negara ini, manakala selebihnya di India.

"Dengar khabar, babak nyanyian pula akan dilakukan Moscow, Russia," katanya sambil menghadiahkan senyuman penuh bermakna.

Pelakon yang terpilih sebagai penceramah pada sebuah simposium antarabangsa remaja anjuran United Nation Tedx Youth pada 20 November lalu di ibu kota turut mendedahkan, dia cukup mengagumi pelakon berasal dari Ipoh, Datuk Michelle Yeoh.

Jika rezeki menyebelahi dirinya, dia juga ingin muncul sebagai bintang antarabangsa disegani sebagaimana bekas ratu cantik terbabit. Baginya, Michelle mewakili wanita moden yang cekal, berbakat, serta mampu mengharumkan nama negara.

Begitupun, sebagai penggemar filem Hindi, dia juga mengaku amat menggemari pelakon India bernama Shriya Saran, yang bukan saja dikenali di India Utara, malah turut dihormati peminat di kawasan selatan negara itu.

Tetak bapa kekasih

Posted: 24 Nov 2010 08:46 PM PST

AMPANG: Hanya kerana hubungan cinta dihalang, seorang lelaki menetak bapa kekasihnya menggunakan parang di depan rumah mangsa di Jalan Wawasan, Bandar Baru Ampang, di sini.

Kejadian kira-kira jam 6 petang Isnin lalu berlaku ketika mangsa yang berusia 40 tahun dan bekerja sebagai buruh baru pulang dari pasar malam tidak jauh dari rumahnya dengan menunggang motosikal.

Suspek dipercayai mengenali anak mangsa yang berusia belasan tahun sejak beberapa bulan lalu, tetapi mangsa dipercayai tidak merestui hubungan itu kerana suspek seorang warga asing.

Menurut sumber polis, sebaik mangsa turun dari motosikalnya, suspek yang menyorokkan parang di belakang badannya memanggil lelaki itu, tetapi ia tidak diendahkan."Mangsa yang tidak mengesyaki sesuatu masuk ke rumah dan ketika itu, suspek menyerang dan menetak kepala serta badan mangsa sebelum melarikan diri.


"Anak saudara mangsa yang berusia 14 tahun dan berada di rumah itu menjerit kerana terkejut dengan tindakan suspek," katanya.

Menurutnya, dalam kekecohan itu, mangsa terjatuh berlumuran darah sebelum dia dibantu jiran yang keluar melihat apa yang berlaku selepas terdengar jeritan meminta tolong.

"Mangsa yang parah dibawa anak saudaranya itu ke Hospital Ampang dan pemeriksaan mendapati tulang pinggulnya patah akibat ditetak suspek.

"Berikutan itu, mangsa membuat laporan polis dan susulan itu, seorang lelaki berusia 20-an yang juga warga Filipina ditahan," katanya.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, suspek menyerang dan menetak mangsa kerana tidak puas hati selepas hubungan cinta dia dan anak gadis mangsa tidak direstui.

"Mungkin kerana berang tindakan mangsa yang menghalang cinta mereka membuatkan suspek sanggup menyerang dan menetak mangsa," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan mengesahkan kejadian terbabit.

Katanya, berikutan laporan mangsa, polis menahan seorang lelaki berusia 20-an yang juga warga Filipina beberapa jam kemudian dan merampas sebilah parang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan," katanya.

Serumah bersama 24 kambing

Posted: 24 Nov 2010 08:44 PM PST

SERONOK...Wahid melihat kambing yang dipelihara di rumahnya sejak 10 tahun lalu.
SERONOK...Wahid melihat kambing yang dipelihara di rumahnya sejak 10 tahun lalu.

LEDANG: Walaupun tinggal sebumbung dengan 24 kambing milik mereka di Pekan Rawang di sini, sejak 10 tahun lalu, Wahid Husin, 58, dan isteri, Ijah Jaafar, 40, tidak menganggap bau serta kesesakan di dalam rumah kerana kehadiran ternakan berkenaan mengganggu mereka sebaliknya menambahkan lagi keceriaan.

Mereka yang mendakwa sudah biasa hidup sebumbung dengan haiwan terbabit malah tidak sanggup membiarkan ternakan itu tinggal di luar.

"Ada rakan serta jiran mengesyorkan kami melepaskan kambing itu ke luar rumah tetapi kami bimbang hilang dicuri atau mengganggu ketenteraman penduduk," katanya, semalam.

Wahid yang mendakwa tidak cukup modal membina kandang kambing berkata, sudah lama dia merancang membina kandang berkenaan tetapi hasrat sering terbantut kerana ada lagi perkara penting perlu dilakukan dengan wang yang ada.Bagaimanapun, Wahid tetap berharap impiannya untuk mempunyai kandang kambing terlaksana.


Menurut Wahid, pada mulanya dia hanya membela dua kambing sebagai haiwan peliharaan tetapi lama-kelamaan membiak hingga mencecah 24 ekor.

"Semua ini bermula selepas saya mengambil keputusan berhenti kerja di sebuah kilang perabot berhampiran dan membela kambing bagi mengisi masa lapang.

"Tidak pula saya jangka kambing dulunya hanya dua ekor kini membiak sebanyak sekarang menyebabkan rumah kami sesak," katanya.

Pasangan yang masih tiada cahaya mata itu amat menyayangi kambing berkenaan sehingga tidak sanggup menjualnya kepada orang ramai.

Rentung genggam kabel

Posted: 24 Nov 2010 08:42 PM PST

HAMPIR PUTUS...sebahagian penebat kabel elektrik terkoyak dipercayai dipotong mangsa.
HAMPIR PUTUS...sebahagian penebat kabel elektrik terkoyak dipercayai dipotong mangsa.

KOTA KINABALU: Seorang lelaki yang cuba mencuri kabel elektrik berhampiran Kondominium Marina Court di sini, ditemui rentung dalam keadaan terlentang dengan tangannya masih menggenggam kabel yang hampir terputus, semalam.

Difahamkan, lelaki berusia 23 tahun itu mati dipercayai akibat terkena renjatan elektrik berkuasa 11,000 volt (kV) beberapa hari lalu sebelum ditemui pengawal keselamatan yang terhidu bau busuk di sekitar kawasan itu, kira-kira jam 7.30 pagi.

Sebelum itu, pengawal terbabit memeriksa kawasan berkenaan selepas dimaklumkan mengenai bau busuk oleh orang ramai yang lalu-lalang di kawasan berkenaan.

Ketika memeriksa di satu kawasan parit, pengawal itu terkejut melihat tubuh manusia terlentang dengan berpakaian gelap dipercayai terbakar sebelum memaklumkannya kepada polis.Polis yang tiba beberapa minit kemudian terpaksa mendapatkan bantuan anggota bomba dan penyelamat bagi mengeluarkan mayat berikutan keadaan parit yang menyalurkan paip air bawah tanah itu agak sempit.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Ahmad Sofi Zakaria berkata, polis yang menerima panggilan orang ramai bergegas ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan.

"Sebaik tiba, polis menemui satu mayat rentung dalam keadaan terlentang.

"Oleh kerana kabel elektrik masih berfungsi, polis terpaksa meminta bantuan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) untuk mematikan bekalan bagi membolehkan anggota bomba membawa keluar mayat terbabit," katanya.

Menurutnya, mayat mangsa ditemui dalam keadaan masih lengkap berpakaian dan polis menolak sebarang unsur jenayah.

"Mangsa mati akibat terkena renjatan elektrik berdasarkan keadaan mangsa yang memegang kabel yang hampir terputus.

"Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat mangsa dibawa ke di Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk dibedah siasat," katanya.