Adsense

Rabu, 24 November 2010

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Mahu gadis penenang jiwa

Posted: 23 Nov 2010 06:17 AM PST

PEMBABITANNYA dalam lakonan bukan baru, malah mula menceburi dunia seni sejak usia kanak-kanak dan bakatnya diiktiraf dengan Anugerah Skrin 1998 menerusi lakonan berkesannya dalam Pa'e.

Mungkin impak besar lakonannya dalam Pa'e membuatkan produser tidak berani mengambilnya berlakon hingga kerjaya seninya sepi seketika lalu mencuba nasib dalam nyanyian dan kembali berlakon pada 2003.

Ternyata selepas 12 tahun menjadi perhatian melalui lakonannya di televisyen, putaran roda kehidupan Shaheizy Abdul Samad atau Shaheizy Sam, 28, kembali di atas apabila namanya kini berada di puncak.

Semuanya kerana filem Adnan Sempit yang ditayangkan di pawagam Januari lalu.

Kesan daripada populariti itu juga turut menjebakkan dirinya dengan kontroversi apabila anak bujang dramatis Khaty Fudziah ini dikatakan artis yang ditangkap kerana kesalahan dadah sebagaimana dilaporkan dalam akhbar, baru-baru ini.

Sedangkan selama ini hidupnya aman tanpa dikaitkan dengan sebarang gosip atau kontroversi.

Kata Sam, memang ramai bertanya kesahihan berita itu kerana klu yang dinyatakan dalam berita itu banyak menyangkut dirinya hingga begitu menyakinkan orang yang membacanya.

Antaranya, pelakon yang baru menang Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23), berlakon dalam Evolusi KL Drift dan pernah menganggotai satu kumpulan penyanyi.

"Saya bukanlah artis yang ditangkap itu dan mungkin perkara ini timbul apabila klu yang diberikan banyak menyangkut diri saya kerana saya baru saja menang Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di FFM23 melalui filem Evolusi KL Drift 2 dan pernah mempunyai kumpulan muzik MOB pada 1999.

"Rimas juga apabila terpaksa memberi penjelasan seperti ini, tapi saya tidak marah. Bagi saya semua ini hanya salah faham kerana salah informasi. Apa yang penting, saya bukanlah orang dimaksudkan," katanya.

Anak bongsu dari lima beradik ini mengakui harga yang harus dibayar apabila diri dikenali ramai, tetapi apa yang penting baginya ialah menjaga diri dan kekalkan disiplin untuk hasilkan kerja yang terbaik.

"Ramai yang kata nama saya kini berada di puncak, tetapi saya tidak rasa perubahan besar dalam diri saya kerana saya sudah lama berlakon dan ia sudah menjadi makanan harian saya.

"Tapi mungkin perubahan ketara yang berlaku pada saya kini ialah tahap keyakinan diri. Dulu saya agak pemalu hingga segan untuk bercampur dengan pelakon lain atau berbual dengan wartawan, tetapi kini saya sudah berani berbuat demikian.

"Saya juga sedar pentingnya publisiti untuk dikenali ramai dan bukan hanya memberi lakonan yang baik untuk kepuasan diri dan penonton," katanya.

Selepas Adnan Sempit yang mencatat kutipan RM7.8 juta, kini nasibnya dipertaruhkan pula melalui filem Ngangkung yang akan mula ditayangkan di pawagam esok (25 November).

Malah, kejayaan Adnan Sempit menyebabkan dirinya menjadi pilihan MIG Production untuk membintangi Ngangkung arahan Ismail Bob Hashim, Kongsi (Farid Kamil) dan Sekali Lagi (Hashim Rejab).

Kata Sam, setiap filem dibintangi mempunyai keistimewaan dengan watak berbeza. Dalam Ngangkung, masih dengan elemen komedi, tetapi kali ini komedi seram berbanding Adnan Sempit (aksi komedi) manakala Kongsi watak ganas sebagai pembunuh upahan manakala Sekali Lagi, lelaki terencat akal yang mengalami penyakit sindrom Down.

Sam yang kini sibuk dengan promosi Ngangkung mengakui penonton pastinya akan membandingkan lakonannya dalam Adnan Sempit kerana watak itu sudah sinonim dengan dirinya.

Bagaimanapun sebagai pelakon, kata Sam, dia ingin tampil berbeza dan versatil setiap kali muncul di pawagam.

"Saya suka bereksperimetasi dengan diri untuk watak berbeza setiap kali terima tawaran. Itulah cabaran sebagai pelakon supaya tampil berbeza dan waktu sama tetap disukai.

"Sudah menjadi lumrah, orang suka label pelakon dengan watak tertentu hingga ada pelakon yang sukar hendak lari dari watak sama.

"Dalam hal ini, produser perlu berani memberi kepercayaan kepada pelakon untuk mencuba pelbagai watak. Pelakon pula perlu menyakinkan produser yang mereka boleh buat," katanya.

Mewarisi bakat lakonan ibunya, Sam bangga kerana adik-beradiknya yang lain turut menceburi dunia seni apabila kakaknya, Zizie Ezette mula berlakon ketika usia 14 tahun begitu juga Samzy Fuzette manakala Ahmad Shah Al-Jeffry (Jeff) lebih dikenali sebagai penyanyi dengan menganggotai kumpulan A To Z. Hanya kakak sulung, Jozieta Ronalie tidak berminat dengan dunia seni.

Mahu gadis lembut yang sejukkan jiwa raga
BERCAKAP soal teman hidup, Sam yang tinggal bersama ibunya mengakui tiada masa mencari teman wanita kerana masanya banyak dihabiskan di rumah membuat persediaan menjayakan watak ditawarkan.

Katanya, dia juga tiada masa melepak dengan kawan-kawan di luar dan mungkin kerana itu tidak banyak peluang untuknya mengenali gadis untuk dijadikan seseorang yang istimewa.

Malah, ibunya juga tidak pernah mendesaknya untuk mempunyai keluarga.

"Buat masa ini, tiada seseorang yang istimewa di hati saya dan saya juga belum fikir soal kahwin. Saya mahu bekerja keras supaya kehidupan lebih stabil termasuklah dari segi kewangan.

"Dari segi gadis impian, saya inginkan seseorang yang boleh layan kerenah saya dan faham kerja saya. Orangnya mestilah lemah-lembut dan bukan jenis huru-hara dan paling penting, tidak suka mendesak.

"Hidup saya banyak berfikir dan sentiasa dalam keadaan stres, jadi saya mengharapkan kekasih atau isteri yang mampu memberi ketenangan kepada saya. Kalau berkawan dengan orang yang suka mendesak atau huru-hara, alamat tunggang terbaliklah dunia saya nanti," katanya.

Sam mengakui jarang dikaitkan dengan artis wanita yang pernah digandingkan dengannya mungkin kerana dirinya dilihat tidak serius.

Katanya, hidupnya kini kerja dan kerja.

Walaupun penggambaran sesuatu filem atau drama selesai, tidak bermakna kerjanya juga selesai.

"Mungkin kerja di lokasi sudah selesai, tetapi saya akan sentiasa perbaiki lakonan dan mendalami ilmu lakonan melalui pelbagai cara termasuklah pembacaan dan menonton video.

"Sebelum memulakan penggambaran untuk projek baru, saya akan kaji dulu watak diberikan dan fikir bagaimana saya mahu mencorakkan lakonan supaya tidak sama berbanding lakonan dalam filem atau drama sebelum ini.

"Itu sebabnya saya hanya ambil satu tawaran dalam satu masa kerana perlu masa untuk mengkaji dan mencari kelainan.

"Saya juga percaya kalau banyak berlakon filem, tidak bagus kerana orang akan jemu. Tapi saya percaya kalau setiap kali keluar filem dengan watak berbeza, orang akan tengok," katanya.

Sebelum diberi watak utama dalam Adnan Sempit terbitan MIG Productions Sdn Bhd, Sam turut menbintangi filem MIG sebagai pelakon pembantu seperti Syurga Cinta dan Jangan Pandang Belakang Congkak.

Selepas Adnan Sempit, Sam berlakon dalam tiga filem MIG dan kini bersedia untuk memulakan penggambaran bersama produksi Red Communication Sdn Bhd pada penghujung Disember ini.

Kata Sam, dia juga ingin menimba pengalaman bekerja dengan pengarah seperti Kabir Bhatia, Osman Ali, Mamat Khalid dan Afdlin Shauki.

Sam juga dua kali bekerja dengan Shamsul Yusof yang menang Pengarah Terbaik di FFM23, untuk Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam (2009) dan Evolusi KL Drift 2 (2010).

>PROFIL:
NAMA SEBENAR: Shaheizy Abdul Samad
TARIKH LAHIR: 4 September 1982
ASAL: Kuala Lumpur
KELUARGA: Anak bongsu dari lima beradik
IBU: Khaty Fudziah
BAPA: Abdul Samad Jaaman
FILEM: Sama Tapi Tak Serupa (1995), Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam (2009), Syurga Cinta, Jangan Pandang Belakang Congkak, Adnan Sempit (2010), Niyang Rapik, Evolusi KL Drift 2, Ngangkung, Kongsi, Sekali Lagi
Pencapaian: Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (FFM23)

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Terbit drama berkualiti

Posted: 23 Nov 2010 05:56 AM PST

SEPANJANG aktif bersama Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Datuk Mustapha Maarof berjuang membantu ahli dengan mendapatkan slot menerbitkan program untuk Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Bagaimanapun kini, bekas Presiden Seniman itu aktif menggerakkan syarikat produksinya, Warna Motion Pictures & Marketing Sdn Bhd (Warna) menghasilkan karya berkualiti untuk memartabatkan lagi industri seni tanah air.

Mustapha yang juga Pengarah Urusan Warna menegaskan, sebagai penerbit dia akan pastikan semua projek drama terbitan syarikatnya mendapat skrip yang bagus, selaras dengan seruan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim meminta penerbit drama tempatan mementingkan kualiti drama dihasilkan.

"Saya bersyukur kerana Warna diberi peluang menerbitkan drama untuk RTM yang dikenali kerana membuat bayaran paling tinggi dari semua stesen lain di negara ini.


"Namun, saya akui tidak mudah untuk mencari pengarah dan penulis skrip yang bagus ketika ini tapi ia memang tanggungjawab kita kepada negara.

"Sebagai penerbit, saya mementingkan karya berkualiti untuk memberi kepuasan kepada penonton.

"Penerbit juga perlu menghasilkan drama berkonsep 1Malaysia seperti seruan kerajaan. Kita tidak hanya fokus pada penerbitan drama Melayu sebaliknya boleh menghasilkan drama Cina, India dan sebagainya," katanya ketika ditemui di majlis pelancaran drama bersiri Pak Kaduk, baru-baru ini.

Kata Mustapha, Warna sudah terbabit dalam penerbitan selama 28 tahun dan banyak menerbitkan projek dokumentari, iklan dan video korporat. Kini Warna ada tujuh projek baru yang sudah siap. Antaranya drama bersiri 13 episod, Pak Kaduk yang akan bersiaran di TV2.

Senator Tan Sri Dr Jins Shamsudin turut menjadi penerbit drama ini dan ia dilancarkan dalam satu majlis yang dihadiri Timbalan Ketua Pengarah (Penyiaran Strategik) RTM, Datuk Norhayati Ismail.

Kata Mustapha, Pak Kaduk adalah drama berkualiti terbaru terbitan syarikatnya dan idea menghasilkan cerita ini tercetus menerusi pemerhatian di sekeliling.

"Cerita ini diberikan judul Pak Kaduk sebagai simbolik kisah Pak Kaduk yang menjadi bualan masyarakat sejak dulu. Mungkin ramai yang tidak tahu ada ramai`pak kaduk' dalam masyarakat kita hari ini. Adakah kita mahu kisah pak kaduk yang tergadai kampungnya itu berulang dalam dunia korporat kita sekarang," katanya.

Mustapha juga mengakui drama bersiri Pak Kaduk adalah drama paling mencabar yang diterbitkan syarikatnya setakat ini. Penggambaran mengambil masa 40 hari di sekitar Langkawi, Kedah.

"Pada peringkat awal, memang kami merancang untuk menjayakan penggambaran drama ini di Kuala Lumpur tetapi terpaksa buat di Langkawi kerana kesukaran mendapat kebenaran buat penggambaran di hotel sekitar Kuala Lumpur termasuk bertaraf lima bintang.

"Kita merancang buat penggambaran di hotel kerana ingin menggambarkan 'Pak Kaduk' dalam imej korporat," katanya.

Tambahnya lagi, pihak produksi terpaksa mengeluarkan kos yang tinggi bila menjayakan penggambaran di Pulau Langkawi bermula pada 29 Oktober dan berakhir pada 10 November lalu.

"Kesukaran untuk mendapat lokasi hotel ini memang masalah yang sering berlaku dalam produksi kita. Kita juga memerlukan bantuan kerajaan untuk membantu dalam perkara ini. Pada masa sama, kami berhadapan ujian kerana terpaksa meredah hujan dan banjir di Kedah untuk menjayakan penggambaran seperti dijadualkan," katanya.

Drama arahan Saian Samion ini dibintangi barisan pelakon seperti Datuk Mustapha Maarof (Datuk Kamil), Adrea Abdullah (Norhayati), Al Fahar (Norman), Bob Singah (Taha), Pesha (Badrun), Datuk Aziz Singah (Amri), Aimi Jarr (Wak Seman), Rosnah Johari (Datin Kalsom), Fazlina Datuk Ahmad Daud (Hanim) dan Haanii Shivraj (Kamala Devi).

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.